Biasiswa Tajaan Guru Tingkatan Untuk Pelajar Miskin
Saya mengambil kesempatan ini untuk meninjau rumah-rumah jiran dan rumah-rumah kampung yang berdekatan. Tiba-tiba terlintas di kotak pemikiran saya, bagaimana agaknya jika kerosakan yang sebegini melanda rumah-rumah kediaman penduduk miskin yang bertaburan di beberapa sudut di kota metropolitan ini. Saya teringat semasa saya masih belajar di universiti dahulu, saya pernah menganjurkan program tuisyen percuma untuk anak-anak desa yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah. Ketika itu saya berjaya menghimpun sekitar 300 orang anak-anak sekolah yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, untuk diajar secara percuma.
Kini saya sudah bekerja, dan tidak lagi mempunyai masa untuk melakukan semua itu. Kesibukan melaksanakan kerja-kerja melibatkan pengurusan dan hal-hal profesionalisme menyebabkan saya semakin rindu untuk melakukan tugas-tugas kebajikan seperti itu. Saya rindu untuk mengunjungi rumah-rumah anak-anak yatim untuk mengajar di sana. Wajah-wajah anak-anak yatim yang tersenyum melihat harapan baru melembutkan hati saya. Itu adalah kisah beberapa tahun lepas, di mana saya menggunakan wang saku saya untuk mengajar anak-anak yatim secara percuma di rumah anak-anak yatim. Saya mengajar mereka matematik, dan berbincang dengan kaunselor universiti, tentang masa depan dan hala tuju anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim, adalah anak-anak emas saya.
Maka hari ini, novel blog saya akan mengisahkan tentang sesuatu yang sudah lama ingin saya cuba, iaitu mewujudkan Biasiswa Tajaan Amien untuk anak-anak miskin. Saya jadikan hasrat ini sebagai unsur dalam episod novel blog saya untuk kali ini.
Guru Terampil, Guru Tingkatan
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Hari ini pelajar yang selalu tidak menghadirkan diri itu datang ke sekolah. Aku cepat-cepat mengambil peluang ini untuk berbincang dengan pelajar tersebut tentang masalah yang dihadapinya, selaku guru tingkatan.
Pelajar ini sudah kematian ibu, dan terpaksa membantu bapanya untuk menyediakan bahan-bahan untuk menjaja di tepi jalan. Pelajar ini adalah seorang kakak, dan dia masih mempunyai adik kecil yang masih bersekolah. Demi adiknya, pelajar ini harus bekerja dan menolong bapanya supaya dapat membantu adiknya meneruskan persekolahan.
Semalam aku menelefon pihak Kementerian Pelajaran berkenaan soal biasiswa. Pihak Kementerian Pelajaran ingin menghubungi aku semula berkenaan hal pelajar ini sekiranya aku tidak mempunyai jalan untuk membantu pelajar ini. Keprihatinan pihak biasiswa amat aku hargai.
Aku akan cuba sedaya untuk berbincang dengan pihak kaunselor berkenaan hal pelajar ini. Aku tidak mahu dia terlalu bersusah payah menolong ayahnya sehingga terpaksa mengorbankan masa depannya. Ironinya, pelajar ini adalah anak kepada warga Indonesia. Sudah tentu, akan ada pihak yang mempertikaikan aku kerana membantu anak warga Indonesia. Namun pelajar ini lahir di Malaysia. Maka, berkemungkinan besar dia boleh dibantu untuk mendapatkan biasiswa.
Kemudian aku mengingati pula apa yang telah aku lakukan pada tahun-tahun sebelumnya. Tahun lepas aku menghabiskan wang beratus-ratus ringgit, malah mungkin melebihi empat digit untuk membantu, memberi bimbingan dan tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar di sekolahku. Ada pelajar yang sebelum ini sering gagal, berjaya mendapat keputusan yang lebih baik. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada pelajar tingkatan tiga, empat dan lima.
Jika tahun lepas aku sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit untuk menolong anak-anak orang lain, kenapa tidak pula aku mencuba, untuk membantu pelajar perempuan tersebut yang kematian ibu, dan terpaksa membantu bapanya yang telah tua untuk menyediakan bahan-bahan makanan untuk dijaja di tepi jejantas?
Aku masih ingat pada minggu lalu, aku mencari bapa pelajar tersebut di tepi jejantas. Dan aku masih dapat merasai sesuatu, simpati yang akan mencetuskan Biasiswa Guru Tingkatan untuk Pelajar Miskin. Aku akan menggunakan sedikit wang gaji bulananku untuk dijadikan biasiswa untuk pelajar-pelajar miskin yang terpilih. Aku akan menetapkan syaratnya kemudian.