BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mei 31, 2010

Sudah Tiba - Di Kaca TV2 - RTM

Setelah mencipta rekod
diulang cetak berulang kali
pada tahun 2006
akhirnya malam ini
di TV2,
jam 8.30 malam
KLB menjadi hidup,
setiap minggu.

bersumberkan daripada e-mel
Penerbit/Penulis

Rabu, Mei 26, 2010

Trailer Hikayat Merong Mahawangsa - Filem Epik Melayu Penuh Aksi

Filem terbitan KRU ini mendapat sambutan luar biasa di Berlin. Runut bunyinya dikatakan bertaraf antarabangsa. Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah satu kisah hikayat Melayu kuno yang kini diangkat ke layar perak dengan adunan teknologi serba moden.

Selasa, Mei 25, 2010

I'm Awake - The Other

It has been long time, I sleep. Now I'm awake. Perhaps, this is temporary. From the last date, it should have been around months.

I sleep. I let someone take over ME. But, somehow, I got strength to control this body. I found out that I has become a new person, with more focus on goal and work.

I might go back to sleep, for few months again. I wish before that, that some good stories are around, and I am having a good time in each story.

I am glad that I can make decision, and once again hold this body. But I understand, this should be temporary. I missed 2009. The days I awake, and then sleep.

When I'm awake, I'm in front a page with so many friend in there. That might be my new web profile. I approved many friend requests.

But somehow, I can tell myself, someone inside me, will not agree with what I'm doing. Well... the other might already fall, very tired and exhausted of life energy so that I can go out and play like this.

Time to go. Time to sleep again, and let the other hold back myself. Both will sleep.

Ahad, Mei 23, 2010

Semangat Tak Kunjung Tumbang

Menulis adalah satu cara untuk mendidik manusia. Ada orang kata, untuk menjadi seorang penulis yang hebat, seseorang itu perlu melalui jalan hidup yang penuh derita. Bagiku, antara banyak-banyak kisah, sudah tentu kisah guru adalah yang paling hebat. Hari ini aku akan bercerita tentang seorang guru tingkatan dan sekumpulan murid-murid barunya.

Semangat Guru Tingkatan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010

Watak-watak baru dalam kisah ini.
  1. FH - Seorang gadis yang juga merangkap ketua tingkatan. Mempunyai kebolehan terpendam yang tidak cuba diterokainya. Suatu hari nanti, apabila dia menerokai kelebihan ini, kehidupannya akan berubah menjadi lebih baik.
  2. DK - Gadis yatim yang terhimpit antara pelajaran dan tanggungjawab terhadap keluarganya yang terdiri daripada bapa tunggal dan adik lelaki.
  3. FR - Penolong Ketua Tingkatan yang masih cuba memahami erti tanggungjawab seorang ketua.
  4. SN - Daripada seorang yang biadab, perlahan-lahan mengubah diri menjadi seorang yang semakin menghormati guru. Paling rajin membantu guru.
  5. AZ - Matanya rabun menyebabkan dia bermasalah dalam pelajaran. Pernah suatu ketika mahu berhenti belajar dan berhenti sekolah, namun kini sudah kembali bermotivasi untuk meneruskan pembelajarannya dengan semangat baru.
  6. KH - Rajin menolong ibu bapanya menjual ikan di pasar, mempunyai masalah takut gelap. Berkebolehan dalam seni lukis.
  7. AN - Walaupun suka bermain guli, tetapi tetap bersemangat untuk menelaah pelajaran pada waktu malam.
  8. FS - Sering sakit tetapi aktif di dalam kelas.
  9. RL - Menghadapi krisis kehadiran, tetapi apabila diminta menolong guru, dia akan berubah menjadi pelajar yang sangat rajin.
  10. SF - Sepupu AN. Mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap Matematik. Juga seorang gadis yang rajin.
  11. AM - Suka memberontak tetapi mempunyai daya usaha yang tinggi apabila mendapat dorongan daripada guru.
  12. KA - Sering kelihatan hidup tanpa cita-cita. Rapat dengan AM.
  13. YZ - Kadangkala hanyut, kadangkala bermatlamat.
  14. SK - Pernah tidak hadir melebihi satu minggu. Bermasalah kehadiran!
  15. ZK - Satu-satunya pelajar istimewa dalam kelas ini. Kadangkala mendatangkan masalah, kadangkala bijak menyuarakan jawapan. Guru Tingkatan menganggapnya sebagai hadiah istimewa daripada Tuhan untuk kelas ini.
  16. SB - Pelajar yang mengalami masalah gagap. Berminat dalam bidang kemahiran.
  17. FK - Gadis yang sangat meminati mata pelajaran Matematik, tetapi sering ponteng kelas untuk mata pelajaran lain.
  18. ZA - Gadis matang yang berkemahiran serba-serbi.
  19. HD - Satu-satunya gadis pengawas di dalam kelas ini.
  20. HB - Salah seorang gadis pintar di dalam kelas ini.
  21. HM - Gadis yang agak bermasalah dari segi kehadiran.
  22. SW - Gadis yang mengalami masalah kesihatan yang agak serius. Kadangkala pengsan di dalam kelas.
  23. NW - Gadis yang suka tidur apabila berkesempatan. Bekerja separuh masa di luar waktu sekolah.
  24. SU - Gadis dengan kebolehan misteri.
  25. MS - Gadis yang agak mementingkan imej. Bermasalah dengan ibu bapa.
  26. MR - Gadis yang agak lambat memahami sesuatu, tetapi sebenarnya beliau memiliki potensi yang luarbiasa.
  27. RP - Pelajar yang berwajah tanpa emosi.
  28. AI - Serikandi silat yang mewakili negeri.
  29. RD - Gadis yang dahulunya pendiam, kini semakin aktif bersuara bertanyakan soalan di dalam kelas Matematik.
  30. YN - Gadis yang suka bercakap dan menghantar mesej kepada kawan-kawan di luar kelas.
  31. NZ- Pelajar baru, hari pertama sudah melakukan kesalahan disiplin yang berat. Namun, setelah dipantau dan dibimbing oleh guru tingkatan dari semasa ke semasa, beliau menunjukkan perubahan yang agak positif. Berminat dalam Matematik. Tulisan sangat buruk.

Dua Minggu Menjelang Bulan 6

Benarkan aku menulis
menulis dan menulis lagi
kali ini semakin berisi,
ribuan perkataan menjangkau mata
tanda-tanda awal
kelahiran seorang penulis

Dua minggu menjelang bulan 6
pengalaman baru

Dua minggu menjelang bulan 6
Detik silam buatku terharu

Tahun itu 2006
aku menuju ke Arkansas
512 memori kekal abadi

Dua minggu menjelang bulan 6
tahun itu 2005
kenangan lalu tidak pernah luput

tahun ini Mei 2010
di kaca TV ia terpapar

Jumaat, Mei 21, 2010

110 Surat Peminat Amiene Rev - Mampukah Kubalas Dalam Sehari?

Sejak akhir-akhir ini saya sudah jarang membalas e-mel mana-mana peminat yang suka membaca blog saya. Saya memohon maaf, kerana dalam kehidupan yang semakin sibuk ini, sukar untuk saya melayan semua surat peminat.

Masih ada 110 surat peminat yang belum dapat saya balas. Sekiranya anda membaca tulisan saya ini, saya berharap para penyokong dan peminat blog Duke Amiene Rev dapat memaafkan saya kerana tidak mampu membalas kesemua surat saudara dalam jangka masa terdekat ini.

Untuk pengetahuan tuan, puan, kakak-kakak dan adik-adik semua, saya kini sudah bekerja di bidang profesionalisme yang menuntut komitmen dalam kerjaya. Saya mempunyai tanggungjawab terhadap kerjaya saya, dan saya berasa sangat seronok dengan kerjaya ini.

Pendek kata, 99.99% daripada kehidupan saya adalah kerjaya saya. Kerjaya yang diredhai Tuhan. Kerjaya yang sangat besar tanggungjawabnya. Inilah corak kehidupan yang perlu saya lalui pada ketika ini.

Apa pun, saya amat menghargai sokongan para pembaca semua kerana sudi mengirimkan surat dan e-mel kepada saya. Tidak kira di mana pun saudara dan saudari berada, sama ada di Malaysia, Singapura, New Zealand, Arab Saudi, United Kingdom, Amerika, Australia, Ireland, Jepun, China, Thailand, Indonesia, India, Romania, Brazil, Argentina, Laos, Vietnam, Mesir, Afrika, Kanada atau Filipina. Saya ucapkan terima kasih kerana menyokong saya.

Untuk pengetahuan anda, ruangan komen saya kini adalah berbayar.
Dulu percuma, sekarang berbayar. Saya tidak menggunakannya lagi kerana saya tidak mahu bayar. Sekiranya anda masih menggunakan ruangan komen tersebut, saya minta maaf kerana saya tidak lagi dapat membaca atau mengetahui apa jua komen yang anda tulis kepada saya, kerana fungsi tersebut sudah boleh dianggap sudah tidak aktif. Anda boleh menghubungi saya menerusi e-mel saya yang ada diserta dalam satu bahagian khusus di blog ini.

Mentor

Adalah sangat pelik bila memikirkan aku kini menjadi guru kepada penulis-penulis cilik, sedangkan aku sendiri sibuk dengan pelbagai tugasan harian. Baru-baru ini sekumpulan peminat yang dikenali sebagai Geng Peminat Amiene Rev telah menghubungiku.

Pada mulanya aku ingatkan mereka cuma bermain-main, namun setelah aku dihubungi oleh ibu bapa mereka, maka aku baru sedar, rupa-rupanya anak-anak ini serius untuk menuntut ilmu menulis denganku.

Lantaran itu, aku kini menjadi mentor mereka, mengajar seni penulisan gaya Amiene Rev. Mungkin suatu masa nanti, mereka akan menulis dan karya-karya mereka akan tersiar di media cetak.

Apa pun, semua ini mengingatkan aku, bahawa selalunya guru tidak menonjolkan diri, tetapi, murid mereka akan menonjolkan diri. Sebagai penulis blog, aku tidak sedar bahawa blog ini memiliki peminatnya yang tersendiri. Ini kerana sejak aku begitu sibuk dan seronok dengan kerjayaku, aku sudah mengorbankan begitu banyak cita-cita dan impianku sendiri, demi orang lain.

Barangkali, sudah sampai seru daripada Tuhan, lalu datang teguran berbentuk kemanisan, untuk menggalakkan aku kembali ke dunia penulisan.

Khamis, Mei 20, 2010

Kepentingan Niat Dalam Melakukan Sesuatu Pekerjaan

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Rabu, Mei 19, 2010

Sup Ayam Ginseng Dan Masalah Darah Beku

Sejak berminggu-minggu lepas, dan pastinya sudah melebihi beberapa bulan yang aku sendiri sudah lupa, aku kehilangan waktu cuti aku kerana terlalu fokus dengan seronok terhadap beberapa skop-skop tugasan dalam kerjayaku. Jawatan-jawatan baru yang bertambah, menyebabkan aku semakin hari semakin sibuk.

Aku menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti cepat mengantuk, penat dan pening-pening kepala. Kadangkala laluan langkahku seolah-olah bergoyang-goyang di atas ombak ganas. Namun aku tetap cuba membiasakan diri. Namun hari makin hari, aku dapat merasai kekebasan pada anggota tangan dan kakiku, yang membuktikan kepenatan melampau yang telah aku alami gara-gara kurang rehat dan banyak bekerja.

Baru-baru ini aku pergi membuat pemeriksaan kesihatan dan dari situ aku mengetahui kerana terlalu kuat bekerja, aku telah mengalami masalah darah beku di dalam saraf. Lalu selepas itu aku mula bertindak untuk membersihkan saluran-saluran darah di dalam badanku.

Aku tidak mengambil cuti, cuma pernah rehat. Namun hasilnya berbaloi dengan beberapa keberhasilan dalam kerja, termasuk beberapa kejayaan dan anugerah yang diperolehi dalam waktu yang begitu singkat ini. Syukur kepada Allah yang memberikan kekuatan dan ketabahan kepadaku untuk mengharungi alam pekerjaan yang mencabar dan menyeronokkan ini.

Hari ini, aku cuba memasak sup ayam ginseng untuk membersihkan darah beku di dalam saluran darah. Nampaknya selepas ini, aku aku perlu meneliti alam semula jadi dengan lebih terperinci, untuk menyelami ilmu-ilmu baru. (Seperti biasa, aku menulis menggunakan tatacara kod berbahasa lagi).

Sup ayam ginseng memakan masa yang agak lama untuk dimasak. Sekitar 3 jam. Herba-herba dan ulam merupakan makanan kegemaranku di kampung. Sejak berada di kota metropolitan ini, aku sudah lama tidak menemui herba dan ulam. Profesionalisme dalam kerjaya pula menyebabkan aku makin hari makin jauh daripada kehidupan lalu. Dalam jangka masa terdekat ini pula, aku bercadang membeli sebuah banglo sebagai kenang-kenangan di sini, supaya aku dapat mencari ketenangan dalam privasi, juga menyediakan dewan untuk latihan seni mempertahankan diri pada waktu lapang.

Sesungguhnya, aku cukup rimas jika tidak dapat menggunakan keempat-empat kerat tulangku dalam pelbagai acara seni bela diri, kerana seni bela diri adalah salah satu minat terpendam yang cukup kuat menggelora minta diisi dalam diriku.

Isnin, Mei 17, 2010

Bekas guru sebak dikunjungi anak didik

Guru mana yang tidak tersentuh hati apabila mengetahui masih ada anak murid yang mengenang budi, biarpun lebih sedekad berlalu. Kisah menarik dari kosmo.com.my ini saya paparkan di blog ini:
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

YAAKUB menunjukkan buku kenyataan murid ketika beliau masih di darjah satu kepada Sharifah di Melaka semalam.

ALOR GAJAH - Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang jatuh semalam, seorang wanita warga emas tidak menyangka ilmu yang dicurahkan 53 tahun lalu dikenang bekas anak muridnya.

Sharifah Hashim, 75, bagaikan tidak percaya apabila bekas anak muridnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md. Amin masih mengingatinya.

Malah beliau boleh berbangga apabila melihat kejayaan anak muridnya itu ketika dia menjadi guru seawal usia 15 tahun dan dia masih ingat dengan jelas wajah Yaakub ketika itu.

Pada usia semuda itu, beliau menjadi guru kelas Tahun 1B Sekolah Umum Bukit Rambai (kini Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai) pada tahun 1957.

Ahad, Mei 16, 2010

Selamat Hari Guru 2010 - Kalau Dulu-dulu

Saya masih ingat, semasa zaman persekolahan saya dahulu, guru-gurunya jauh berbeza dengan guru-guru yang saya lihat pada hari ini. Saya juga masih ingat cerita-cerita ibu bapa, orang-orang lama mengenai guru-guru pada zaman dahulu.

Kalau dulu-dulu, tidak hafal sifir dianggap dosa besar. Pelajar dulu-dulu akan teruk didenda kalau sudah umur 11 tahun pun masih tidak dapat menghafal sifir. Kalau direnungkan kembali, ada benarnya. Kalau pelajar masih gagal menghafal sifir, mereka akan menyusahkan guru-guru pada darjah atau tingkatan yang seterusnya. Benda yang mudah menjadi susah. Rugi dari segi masa. Perhatian guru terhadap pelajar-pelajar lain juga semakin terhad.

Kalau dulu-dulu, guru-guru akan mengeluarkan kata-kata yang keras, pedas dan memang mampu memecahkan hati pelajar yang rapuh supaya pelajar berubah. Kalau direnungkan, memang betul, sebab dengan cara itu, pelajar-pelajarnya lebih berdikari, lebih berorientasikan makna hidup, lebih tahu mengenang budi dan kemudiannya memberi kebaikan kepada sekalian manusia.

Kalau zaman dulu, guru sangat menekankan adab. Sekitar era 90-an dahulu, ramai pendidik mula bimbang dengan budaya barat yang kian mencengkam adab orang-orang tempatan. Budaya serba biadab kini menular dan semakin menular sehingga dipertahankan pula oleh penyokong-penyokong budaya biadab, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kalau pelajar dulu, biarpun disebat, ditengking, dimarahi, dikritik seteruk mana pun, mereka akan masih menghormati guru dan cuba sedaya-upaya untuk mengenang dan membalas jasa guru mereka.

Dukacitanya pelajar hari ini, jika diperlakukan sedemikian, maka mereka tidak lagi akan mengenang budi guru. Benarlah, kiamat makin dekat. Ramai pelajar kini, begitu mudah menyalahkan guru-guru. apabila guru bersikap tegas dan keras terhadap mereka. Ada pelajar yang tidak dapat menerima teguran dan kritikan guru-guru. Ada pelajar yang tergamak memburuk-burukkan guru-guru mereka.

Sudah musnah nilai-nilai murni dalam diri mereka. Apa yang mereka inginkan cuma kecemerlangan akademik, dan kejayaan dunia. Suatu hari nanti, golongan ini pasti musnah dan binasa. Sayang sekali, ketika itu, sudah terlambat untuk mereka kembali meminta ampun dan maaf kepada guru-guru yang telah mereka sakiti hatinya. Tuhan tidak lagi meredhai mereka, kerana penderitaan, penghinaan dan penganiayaan yang mereka lakukan kepada guru mereka, biarpun telah ditegur berkali-kali sebelumnya.

Apabila guru menegur kamu, dan kamu memburuk-burukkan guru kamu, lalu di mana harga diri kamu sebagai seorang pelajar yang pergi menuntut ilmu dengan gurumu? Semata-mata kamu tidak puas hati dengan gurumu, maka segala budinya enggan kamu kenang, lalu kamu sisihkan gurumu, lalu kamu pulaukan gurumu, lalu kamu menderhakainya kerana beliau (gurumu) tidak menyenangkanmu.

Seorang pelajar, akan tetap terus menyapa dan memohon maaf biarpun beribu-ribu kali tidak dilayan oleh gurunya, kerana biarpun seberapa teruk pun seorang guru itu, dia tetap adalah seorang guru yang telah mengajarmu sekurang-kurangnya satu perkara yang membantu mempermudahkan kamu pada kemudian hari.

Juga, jika guru mengenang budi gurunya yang terdahulu, kemudian guru itu mengajar kamu, tetapi kamu pula tidak mengenang jasa gurumu? Sesungguhnya kamu berdosa besar terhadap gurumu dan guru kepada gurumu, kerana kamu mengkhianati mereka.

Dosa kamu kerana memburuk-burukkan seorang guru kerana kamu tidak menyukai guru tersebut, adakah mampu kamu tanggung ketika di akhirat kelak? Sesungguhnya api neraka tidak akan memanjai kamu, seperti ibu bapamu, atau guru-gurumu terhadap kamu.

Ahad, Mei 09, 2010

Auto Update: Tidak Pernah Cuti Cuma Pernah Rehat

Sejak beberapa minggu lepas, aku tidak pernah cuti daripada bekerja. Sama ada kerja rasmi atau pun tidak rasmi, semuanya menyumbang ke arah kerjayaku yang rasmi. Kesuntukan masa pada waktu kerja rasmi, menyebabkan aku rasa aku harus melakukan kerja-kerja di luar waktu rasmi untuk menyokong kerja-kerja rasmi.

Aku cuma dapat rehat, tetapi rehatku juga masih dibayangi kerja-kerja rasmi. Pendek kata, aku tidak pernah cuti, cuma pernah rehat. Boleh dikatakan, 99.99 peratus kehidupanku kini adalah kerjayaku. Pekerjaanku sudah menjadi kehidupanku.

Aku banyak mendengar komen daripada teman-teman, bunyinya lebih kurang begini: "Adakah kamu tidak memiliki kehidupan lain selain daripada bekerja untuk kerjaya kamu?"

Aku cuma ada satu jawapan, dan jawapan ini merupakan kata-kata yang pernah diberikan oleh pensyarahku kepadaku kepada pensyarah-pensyarah yang lain beberapa tahun yang lepas, "Amien adalah seorang yang sangat cintakan dunia pendidikan."

Dan menurut ayahandaku, namaku sendiri bermaksud: "Pemimpin Berilmu."

Kini aku perlu membuat satu keputusan besar, untuk masa depanku. Mengikut apa yang diberitahu daripada kitab Tuhan, pada masa akan datang, akan semakin ramai golongan pandai dan berpelajaran tinggi yang biadab akan menguasai muka bumi. Mereka akan menghapuskan kebenaran dan menegakkan kegelapan, penyelewengan, korupsi, penindasan dan kemungkaran.

Aku sudah memilih pihak mana yang aku harus sertai, namun kini, apa yang aku perlu adalah rakan seperjuangan untuk memulakan perjuangan ini. Menentang kebiadaban manusia yang pandai, kerana aku percaya seperti apa yang akan dikatakan oleh kitab Tuhan, pada suatu hari nanti, kemenangan akan berpihak kepada pihak yang benar, biarpun sebelum sampai saat itu, kegelapan akan kelihatan seperti sudah menang, kegelapan akan kelihatan seperti kebenaran.

Aku mengerti, semua ini adalah ujian untuk melihat hati, sama ada dapat membezakan antara benar dan salah dalam dunia yang penuh dengan ketidakadilan dan penyelewengan kini. Perjuangan pertama aku adalah, menentang kebiadaban.

Auto Update: Kehadiran

Impian jadi nyata. Sesuatu telah semakin hampir kepadaku. Kadangkala kita cuma berniat, dan kerana niat itu baik, maka Tuhan telah menetapkan satu demi satu laluan kehadirannya untuk kita. Aku akan bertukar status tidak lama lagi.