BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 12, 2010

Cara Kukus Nasi - 30 Minit

Teknik Memasak Nasi Secara Kukus 30 Minit
Oleh Amiene Rev

Selain memasak nasi dengan menggunakan rice cooker, nasi juga boleh dimasak dengan cara kukus. Sebelum kita mengukus nasi, bahan-bahan berikut perlu disediakan.

Bahan-bahan untuk mengukus nasi:
  1. Beras - Disukat dengan cara biasa untuk hidangan berapa orang.
  2. Air panas yang baru mendidih.
  3. Mangkuk untuk mengukus nasi (mangkuk besi/aluminium)
  4. Bekas mengukus nasi (yang biasa kita guna untuk mengukus makanan)

Cara-cara mengukus nasi adalah seperti berikut.
  • Didihkan air yang cukup untuk satu mangkuk atau lebih.
  • Masukkan 3/4 (tiga per empat) beras yang telah dibasuh ke dalam bekas atau mangkuk kukus nasi.
  • Isikan air yang telah dididihkan tadi ke dalam mangkuk yang berisi beras tadi sehingga penuh.
  • Masukkan bekas mengukus nasi ke dalam bekas kukus.
  • Kukus sehingga 30 minit.
  • Selepas 30 minit, cuba buka dan periksa sama ada beras yang telah dikukus tadi telah bertukar menjadi nasi atau pun tidak. Jika nasi sudah masak, maka telangkupkan mangkuk kukus nasi tadi ke atas pinggan.
  • Hidangkan bersama apa jua jenis lauk yang anda suka. Kelebihan nasi kukus ialah anda tidak perlu memasak nasi secara berlebihan jika anda memasak untuk diri anda sendiri. Nasi kukus juga tidak ada kerak.

Hadis Tentang Kebaikan Melawan Kejahatan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَة
البخاري ومسلم

Daripada Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w, mengenai apa yang disampaikannya daripada Tuhannya (hadis Qudsi), sabdanya:

"Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Ia menerangkan yang demikian, iaitu sesiapa yang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, kemudian ia tidak melakukannya, nescaya Allah menuliskan gerak hatinya hendak melakukan itu satu kebaikan yang sempurna sisi-Nya (selagi ia tidak berniat hendak meninggalkan membuatnya); dan jika orang itu tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, lalu dilakukannya, nescaya Allah menuliskan kebaikan itu di sisi-Nya dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, (bahkan) sehingga sampai berganda-ganda banyaknya dan jika seseorang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kejahatan, kemudian ia tidak melakukannya (kerana Allah), nescaya Allah tukarkan kejahatan yang tidak dilakukan (kerana-Nya) itu menjadi satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya dan jika tergerak hatinya hendak melakukan kejahatan itu, kemudian ia melakukannya, nescaya Allah menuliskannya satu kejahatan sahaja." (Sahih Bukhari dan Muslim)

4 Perkara Menajamkan Mata VS 4 Perkara Merosakkan Mata

Empat perkara menajamkan mata

1. Duduk mengadap kiblat

2. Bercelak sebelum tidur

3. Memandang yang hijau

4. Berpakaian bersih


Empat perkara merosakkan mata

1. Memandang najis

2. Melihat orang dibunuh

3. Melihat kemaluan

4. Membelakangi kiblat

Isnin, Oktober 11, 2010

Maksud Dan Takrif Anak Yatim

"Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad: Apakah yang akan mereka belanjakan? Katakanlah: Apa jua harta benda yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya." (Surah Al Baqarah, Ayat 215)


Definisi Anak Yatim - Suatu Takrifan
Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai: "Apabila seorang kanak-kanak kematian bapanya sama ada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka digelar yatim."

Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja yang digelar yatim. Ini kerana keperluan mereka kepada bapa di dalam menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya ini merujuk kepada peranan dan tanggungjawab seorang ayah.


Maksud Istilah Yatim Piatu - Suatu Definisi
Istilah yatim piatu pula tidak ada dalam kamus Arab melainkan ia terdapat dalam kamus perbualan masyarakat Melayu.

Panggilan serta kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak yatim ialah selagi mana mereka belum mencapai umur baligh. Ibn Ruslan pernah berkata: "Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh lagi digelar dengan nama yatim."


Istimewanya Anak Yatim Terhadap Hamba Allah
Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim. Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud: "Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu." (riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga.

Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara.

Kelebihan ini diperoleh sama ada dengan melindungi anak yatim dengan hartanya atau pun dengan harta anak yatim yang ditinggalkan melalui pentadbiran dan pengurusan yang baik.


Pahala Mengusap Kepala Anak Yatim
Dalam sepotong athar daripada Abi Umamah berkata : "Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim kerana Allah baginya pahala atas setiap helai rambut yang disentuhnya."

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim."

Harta-Benda Anak Yatim
Allah s.w.t. memberi amaran yang keras ke atas orang-orang yang merosakkan harta anak-anak yatim dengan mencampuradukkan harta mereka dengan harta anak yatim. Firman Allah yang bermaksud: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar. (al-Nisa: 2)

Dalam ayat-ayat yang lain Allah mengecam perbuatan memakan harta anak yatim tanpa hak. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka sedang memenuhkan perut mereka dengan memakan api neraka dan tempat kembali mereka ialah neraka. (al-Nisa: 10)

Maksud firman Allah lagi: Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. (Dhuha: 9-10)

Maksudnya: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim. (al-Maun: 1-2)

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (al-Israk: 34)

Apabila turun ayat ini sahabat yang di rumahnya ada anak yatim mula mengasingkan makanan mereka daripada makanan yang lebih baik bagi anak-anak yatim. Kadang-kadang makan yang diasingkan itu menjadi basi dan rosak. Maka turunlah ayat 220 surah al-Baqarah itu tadi.


Tanggungjawab Sosial Masyarakat Setempat Terhadap Anak-anak Yatim
Anak-anak yatim adalah amanah Allah s.w.t., orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak. Masyarakat awam juga mempunyai tanggungjawab sosial ke atas mereka dengan menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan rumah anak- anak yatim yang kadang-kadang mengharapkan bantuan dari orang ramai. Masih banyak lagi rumah anak yatim yang serba daif menantikan bantuan dan perhatian orang ramai.

4 Perkara Menguatkan Badan VS 4 Perkara Melemahkan Badan

Empat perkara menguatkan badan
Huraian oleh Amiene Rev

1. Makan Daging
Daging mengandungi banyak protein, zat besi dan garam mineral yang baik untuk kesihatan tubuh. Dengan memakan daging, sel-sel badan dapat diperbaharui dan seterusnya menguatkan badan.

2. Memakai Haruman
Rawatan terapi menggunakan wangi-wangian kini semakin popular. Bau-bau yang wangi daripada pelbagai sumber alam semula jadi mampu memberikan perasaan tenang, bertenaga di samping dapat menghilangkan stres.

3. Kerap Mandi
Badan manusia terdiri daripada 70% air. Cecair di dalam badan manusia, seperti darah, membantu mengangkut pelbagai zat dan oksigen ke seluruh badan manusia. Apabila manusia mandi, air akan menyerap ke dalam tubuh manusia dan menyingkirkan haba yang berlebihan. Air yang menyerap ini juga akan membantu mencairkan kepekatan darah dan memudahkan pengaliran darah di dalam tubuh badan manusia. Semakin lancar perjalanan darah, semakin segarlah manusia kerana oksigen dapat diangkut dan diserap dengan lebih berkesan.

4. Berpakaian Daripada Kapas
Pakaian yang diperbuat daripada kapas membantu menyejukkan badan dan ini membantu menghindari ketegangan urat akibat panas badan.


Empat perkara melemahkan badan
Huraian oleh Amiene Rev

1. Banyak melakukan hubungan seks atau bersetubuh
Hubungan seks yang berlebihan akan menyebabkan tubuh kehilangan banyak tenaga dan memenatkan badan.

2. Selalu cemas
Cemas berlebihan akan menyebabkan kadar metabolisme badan menjadi tinggi dan ini akan mengorbankan banyak tenaga badan dengan sia-sia.

3. Banyak minum air ketika makan
Apabila makan diselangi dengan minum air yang banyak, asid di dalam perut menjadi lemah dan sukar untuk mencerna makanan yang dimakan. Akibatnya, zat-zat tidak dapat dicerna dan diserap dengan berkesan.

4. Banyak makan bahan yang masam
Makanan yang masam adalah lawan kepada makanan yang manis. Makanan yang manis mengandungi banyak kalori sementara makanan yang masam adalah sebaliknya. Oleh sebab itu, kebanyakan makanan atau buah-buahan yang masam mampu menyejukkan badan manakala makanan atau buah-buahan yang manis dapat memanaskan badan.

Ahad, Oktober 10, 2010

Surat Pembaca - Jejaka Sunyi Mahukan Teman Hidup

Surat kiriman daripada Pawie: lonely-where can i get a new girlfriend beside me
Hai ,selamat sejahtera, saya pawie. Saya nie kalau anda bertemu dengan saya mungkin anda anggap saya umpama tiada masalah, tetapi masalah yang paling besar saya hadapi adalah keseorangan. Saya mmg ada kawan-kawan laki, tetapi laki tau sahaja lah camne, macam2 kan.lelaki tak kisah sgt. tapi masalah saye rasa teringin untuk tampil berani berkawan dengan wanita (yg mudalah)atau yg belum kawin lagi. mmg kat pejabat pun ade tapi saye malas nak kacau ,kalau boleh saya nak cari sendiri tapi, bagaimana saya nak cari sendiri kalau saya nie sentiasa berjalan sendiri atau pun kalauu tidak saya akan berjalan dengan adik kandung saya sendiri yg masih belajar di UM.

Kadang2 bila adik saya sibuk ,saye terpksa berjalan sorang2, saye bukan tak nak ajak kawan2 lain,tapi saye dah mual dengan sikap kawan2 lelaki terutamanya, saye jadi bosan, alih2 saye akan berjalan seorg diri, saya menghabis masa berjlan di pusat beli belah selama 3-4 jam berseorangan, kadang2 bila saye tengok org lain berjalan berkelompok, 2,3 org dan ade yang berpasangan saya jadi rasa cemburu tak tentu pasal, tak tahu lah pulak kalo pasangan tue yg dah bertunang ke yg dah kawin ke saye tak tahu. kadang2 bile makan sorang2 ... takde org teman, saye tak perlu kan kawan lelaki tetapi saye terlalu teringin untuk duduk semeja dan makan bersama gadis idaman yng saya tak tahu di mana adanya.

saya terlalu kuat berimaginasi, sehingga saya terlalu taksub melukis wanita dan seolah2 memuja wanita dan kadang2 saya berimaginasi anda wanita yg saya lukis itu keluar dari kertas lukisan itu dan menemani saya. Teringin saya untuk berkawan dengan wanita (gadisterutamanya) kerana bagi saya bolehlah saya berkongsi masalah,saling bertukar pendapat dan kalau lebih bagus andai ada punya minat yg hampir sama. Mmg ada website komuniti social friendster lah facebook lah tapi bagi saye ia tak mungkin akan berkesan.

saya bukan tak berani nak berkenalan dengan wanita seperti mana sebelum ini, tetapi sekarang saya rase lain sgt kerana saye jadi seolah2 malu, rendah dir dan hilang keyakinan untuk berkawan dengan wanita, atau mungkin sebab kecacatan yg mmg pada hakikat saya tak cacat langsung, cacat yang saya maksudkan ialah saya tak ada kereta nak bawa teman wanita berjalan ke sana ke mari, saya taklah bergaji besar sehingga saya mampun untuk beli apa sahaja yg wanita sekarang suka sangat (shopping. saya tahu wanita sekarang saya gelarkan bersifat material kerana, saya nie cacat, tak blh nak kereta walaupun ade lesen, malu kan lelaki tak buleh bawak kereta, tue lah yg buat saya rase sgt perit dan tambahan sebelum ini saye ade cuba2 untuk berkawan dengan wanita dan saya ada 2 org sebelum ni yg mana saya hubungi mereka, kuat juga keinginan saya ketika itu untuk berkwan dengan mereka tatapi akhirnya gagal, saya tak pandai dan bak kata org mengayat .... saye terasa sgt, itulah dia masalah saya, cemburu buleh datang kalau mata saye terpandang pada mereka yg berkasih2 sayang, umur saya 26, mmg lah masih muda dan bleh enjoy lagi tpi enjoy dah tak lalu lagi dah, kalau boleh saya juga nak kecapi manis berteman wanita setidak2nya boleh berkongsi masalah,bercerita pendapat masing2, tlg menolong, amik berat antara satu sama lain kan manis tue, kalo saya takde duit si die tue buleh tlg dan kalo die tak duit saya buleh tlg kan best begitu tapi ... tuelah usaaha saye terbantut bile mana saya tak usaha kan pun sedikit kerana mana tidaknya saya berjalan sorang diri, budak2 pompuan jln sekelompok kata kan dalam satu kelompok tue ade yg saye suka, tak ke saye perlu tebalkan muka nak berkenalan, pada saye itu seolah2 terlelau sukar kerana terpaksa berkenalan juga dgn yg lain2... itu hanya andai, tapi kesimpulannya saye tak pernah cuba lagi.. itulah hidup saya di bandar besar sekitar klang valley dgn berjln berseorangan tanpa ada teman, yg nak teman pun wanita adalah adik kandung saya itu pun dia belajar di UM. itulah saye ....melukis, main alat muzik, membaca hanya kegemaran tapi tak buleh tahu perasaan manusia walaupun manusia itu luruh jatuh jantung hatinya kerana sakit, kecewa, rindu, cinta, cemburu, dengki dan sebagainya....

jadi di sini saya harap dptlah anda tlg saye selesai atau beri pendapat ttg ape yg saye alami kini kiri baru 2 thn dik kerana kecewa dgn 2 org wanita yg mmg bukalah teman wanita saya walaupun saya kenal mereka tetapi saye rase seolah2 rase yg pompuan menipu, memperdaya org lelaki ,saye tak benci pompuan sayang lagi ade tetapi kat mane saye nak lontarkan semua ini....

hanya pada tuhan sahaja yg dapat saya pohon pertolongan,ibu bapa tak buleh nak tolong mungkin kerana mereka tidak faham,tlg lah tlgh lah.....


Jawapan daripada Amiene Rev:
Panjang benar luahan rasa saudara Pawie. Namun, jika saudari seorang yang pemalu, mintalah bantuan ibu bapa saudara untuk carikan seorang isteri. Saudara ada ramai kawan lelaki, jadi cuba-cubalah minta bantuan mereka merisik seseorang gadis untuk saudara. Apa pun, usaha, doa dan tawakal tetap menjadi keutamaan.

Sabtu, Oktober 09, 2010

Epilog Syurga Cinta di Slot Akasia TV3

Epilog Syurga Cinta di Slot Akasia TV3

Epilog Syurga Cinta merupakan drama adapatasi daripada filem Syurga Cinta. Epilog Syurga Cinta dilakonkan oleh Zizan Nin, Fida, Intan Ladyana, dan Mia Sara Nasuha. Tonton Online Epilog Syurga Cinta boleh ditonton menerusi laman web TV3, selagi stok masih ada.

Sinopsis Epilog Syurga Cinta

Bagi sesiapa yang mahukan sinopsis lengkap drama bersiri Epilog Syurga Cinta, maka sinopsis ceritanya adalah seperti berikut:

Irham, pemuda berusia lewat 20-an merupakan anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Puan Sri Mahani, dia membesar dia luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Dia bersekolah dan bekerja disana untuk beberapa tahun dan pulang ke Malaysia kerana perlu mengambil alih syarikat milik keluarganya. Di belakang tabir epilog syurga cinta masih menjadi misteri.
Oleh sebab terlalu lama menetap di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat. Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham. Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Malah, Alex dan Zainal sering kalah jika mereka bertaruh. Begitulah kisah watak dua orang lelaki yang tenggelam dalam kesesatan dalam cerita Epilog Syurga Cinta ini.

Bagi memastikan Irham kalah, mereka mencabar Irham memikat gadis bertudung kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini. Gadis tersebut adalah Syuhadah, seorang gadis moden namun masih mempertahankan nilai-nilai sebagai muslimah sejati. Dia merupakan anak yatim dan dijaga oleh datuknya sejak dari kecil. Ini adalah watak yang cukup baik dalam cerita bertemakan Islamik. Tahniah Epilog Syurga Cinta.

Walaupun hidup mewah namun dia tetap dididik dengan didikan agama yang cukup. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal. Hubungan Irham dan Ikmal yang tidak begitu baik sebelum ini menjadi lebih baik apabila Irham memerlukan bantuan Ikmal dalam menjayakan misinya. Bagus betul cerita Epilog Syurga Cinta kerana memuatkan babak seperti ini.

Melihat ketulusan Irham yang berpura-pura mendalami ajaran Islam, hati Syuhadah terbuka untuk menerima Ihram sebagai kawan dan dalam temph berkawan dalam diam-diam wujudnya perasaan kasih dan sayang. Irham pula sedikit sebanyak dibimbing oleh Syuhadah sehinggakan dalam tempoh sebulan tanpa dia sedari dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim seperti mendirikan solat dan dia merasa selesa dengan tanggungjawab tersebut. Cinta yang membawa ke syurga, begitulah jalan cerita Epilog Syurga Cinta.

Namun tempoh sebulan telah pun tamat dan Irham perlu berjumpa dengan Zainal dan Alex bagi menunaikan janjinya dengan membawa Syuhadah. Di depan Zainal dan Alex, Irham telah berterus-terang kepada Syuhadah bahawa dia cuma suka-suka dan bukannya benar-benar jatuh cinta kepada Syuhadah. Syuhadah yang mendengar pengakuan itu benar-benar kecewa. Ini adalah kelakuan yang tidak elok dipaparkan di dalam Epilog Syurga Cinta.

Sudahlah dia susah untuk menerima cinta dari seorang lelaki, kini lain pula jadinya. Syuhadah telah membawa diri pulang ke kampung. Irham menang pertaruhan itu tetapi gagal menafikan perasaannya yang sebenar terhadap Syuhadah. Jadi, apakah pengakhirannya? adakah Irham dan Syuhadah akan kembali bersama dan hidup bahagia? Kalau boleh janganlah free full download atau muat turun percuma cerita Epilog Syurga Cinta ini. Belilah DVD, Blue Ray yang original. Sekian ulasan Epilog Syurga Cinta yang entah apa-apa ini.

Surat Pembaca - Selalu Bergaduh Dengan Teman Lelaki

Surat daripada Lovely Girl:
Setiap kali berjumpa ataupun bersms kami sering kali bergaduh. Dengan hanya perkara kecil sahaja sampai dua hari kami tidak bertegur sapa. Apakah yang harus saya lakukan..??? Saya harap Duke Amiene Rev dapat menyelesaikan masalah saya ini, kerana saya tidak tahu lagi hendak mengadu kepada sesiapa lagi....:-(((((((

Jawapan daripada Amiene Rev:
Masalah yang diceritakan oleh Saudari Lovely Girl ini kurang jelas. Saya tidak tahu apa punca pergaduhan saudari dengan teman lelaki saudari.

Apa pun saya menganjurkan saudari untuk memohon petunjuk daripada Allah dengan mengadakan solat istikharah untuk menilai sama ada hubungan saudari ini wajar diteruskan atau pun tidak. Lagi pun, apa gunanya percintaan jika sentiasa diselangi dosa dan pergaduhan. Selepas mendapat petunjuk daripada-Nya, maka ikutlah keputusan tersebut, dan pasti, Saudari akan melalui kehidupan yang lebih baik dan bahagia.

Jumaat, Oktober 08, 2010

Surat Pembaca - Sunyi Kerana Tidak Ada Tujuan Hidup

Surat kiriman daripada Ggchick(whoever):
Dari dulu aku mmg xbanyak kawan malah dengan famili pun aku kurang rapat sgt kecuali sorang je. Sekrang ni aku ada banyak berkawan ngan org baik lelaki mahupun pempuan.tapi so banyak kenangan manis aku dah ada ngan diorang, so sampai satu tahap aku rasa aku terlalu rely on them, kena selalu keep in touch ngan diaorang.

tapi as a human being, kita ada waktu ngan kawan dan famili, tapi bagi aku aku rasa happy everytime ngan kawan2 walaupun ada satu tahap aku rasa aku terlalu taksub nak melapak ngan diorang dan kalau blh setiap masa aku ngan hangout ngan diorang.

tapi tu la masing2 ada masalah masing dan aku pun tahu yang aku tak leh nak kongkong diorang utk setiapa masa ngan aku tapi yang nyatanya aku sunyi sgt tanpa diorang sbb aku ni jenis yang sayangkan kawan2 pastu jadi tetiba emo je kalau diorang tak tepon atau tanya khabar aku, tapi yang nytaanya aku xleh teruskan hidup camni, tak leh bergantung sgt ngan diorang, tu sb aku nak tanya solution nya , mcm mana aku nak lupakan kenangan aku ngan diorang , pastu aku happy ngan hidup dan cara aku sendiri tanpa berfikir atau teringatkan diorang.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Setelah membaca masalah anda, saya dapati anda terlalu pentingkan hubungan anda terhadap orang lain sehingga anda tenggelam tanpa matlamat hidup.

Pernahkah anda bertanya kepada diri anda, apakah matlamat hidup anda? Apakah cita-cita anda? Kenapa anda mahu hidup di muka bumi ini? Ke manakah hala tuju anda apabila anda mati nanti? Ke syurga atau ke neraka? Dengan siapa anda ingin bertemu selepas anda mati nanti? Mahukah anda menemui Tuhan anda?

Bacalah kitab suci Al-Quran sekiranya anda seorang Islam. Carilah ketenangan dari situ. Berkunjunglah ke masjid atau ke surau, bergaullah dengan orang-orang alim di sana, dan pasti, anda akan mendapat petunjuk. Bergaul dengan orang alim adalah jauh lebih baik daripada anda terus bergaul dengan lelaki dan perempuan secara bebas.

Ingatlah batas persahabatan. Jangan sampai diracuni dengan budaya barat sehingga lelaki dan perempuan bebas berkawan, terkinja-kinja di sana sini, berpegang-pegangan tangan dan sebagainya. Carilah tujuan hidup anda, dan fikirkan jenis sumbangan yang ingin anda berikan terhadap keluarga anda, agama anda dan masyarakat anda.

Apabila anda ada matlamat hidup, anda tidak akan sunyi lagi.

Khamis, Oktober 07, 2010

Surat Pembaca - Soalan STPM

Surat kiriman daripada Dozen:
Saya sebenarnnya tetamu baru dalam blog saudara. Saya juga telah melawati forum anda. Walaupun saya belum mengenali saudara dengan lebih jelas tetapi saya dapati blog saudara penuh dengan info-info pendidikan yang menarik dan penting. Apa yang saya ingin memohon kepada saudara ialah meletakkan ruangan untuk STPM dalam blog saudara. Terima kasih


Jawapan daripada Amiene Rev:
Buat masa ini saya belum bercadang untuk mengadakan ruangan STPM. Ini kerana STPM adalah salah satu daripada beberapa cabang pengajian selepas SPM dan saya juga kurang menggalakkan para pelajar untuk mengikuti peringkat STPM atas sebab-sebab tertentu yang belum sempat untuk ditulis di sini.

Rabu, Oktober 06, 2010

Poster TV Terbaik 2009

True Blood (TV)
POSTER TV PILIHAN AMIENE REV 2009
Dengan menggunakan darah merah dan warna hitam, imej seorang pontianak terpapar dan seterusnya menceritakan tentang cerita ini.

Selasa, Oktober 05, 2010

Bilangan Calon UPSR, PMR dan SPM 2007, 2008, 2009 dan 2010

Calon UPSR 2010: 494,493 - 21 September 2010


Calon PMR 2010: 479,675 - 5 Oktober 2010
Calon PMR 2009: 475,182
Calon PMR 2008: 472,060
Calon PMR 2007: 469,133


Calon SPM 2009: 465,853 - 18 November 2009
Calon SPM 2008: 442,936
Calon SPM 2007: 439,255

NOTA: Data di atas masih perlu dikemaskini kerana terdapat perbezaan dari segi fakta jumlah calon peperiksaan setiap tahun. Ini kerana sesetengah data hanya melibatkan jumlah calon dari sekolah kementerian dan bukan dari sekolah kementerian dan persendirian atau swasta.

Jumaat, Oktober 01, 2010

Planet Baru Mirip Bumi Ditemui - Gliese 581G

Planet Gliese 581g - Bumi Baru

LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.

Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.

Bintang itu diberi nama Gliese 581.

Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.

Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.

Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan pula selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.

Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.

Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.

Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.

Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.

Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.

Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

Sumber: Kosmo!