BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 11, 2007

Web, Video dan Gambar Program Angkasawan Negara


Sesiapa yang terlepas peluang untuk menyaksikan detik-detik bersejarah Angkasawan Pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bolehlah melihat gambar, video dan berita di laman web ini. Nampaknya keberangkatan Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa ini memberi kesan yang sangat besar terhadap mentaliti rakyat Malaysia.

AKU sendiri, ada semacam perasaan yang aneh, seperti satu semangat atau azam baru, menyerap ke dalam badanku. Barangkali inilah perasaan rakyat Malaysia!

Rabu, Oktober 10, 2007

Bunyi-bunyian - Sunyi-sunyian - Buni-bunian - Jadi-jadian

Kadangkala Ini Pun Dikatakan Puisi
Hakcipta (C) Amiene Rev

Bunyi-bunyian
kedengaran
ruang kosong bergema

Sunyi-sunyian
khalwat
bertemankan syaitan dan malaikat

Buni-bunian
kehalusan
tidak dilihat kadangkala bertandang

Jadi-jadian
khurafat
menjelma bila bulan mengambang penuh

Kadangkala ini pun dikatakan puisi
Apabila ilham tipis tersenyum sinis
menyerap ke minda ingatan seniman

Adakah aku Sang Pencinta Seni?
Sanggup atau tiada pilihan

Advencer Si Amiene Rev - Apabila Semua Orang Pulang

Ramai orang pulang ke kampung halaman masing-masing. Pelajar-pelajar yang tinggal di Utara dan Timur, pulang lebih awal. Ada yang bertolak balik seminggu lebih awal daripada tarikh cuti rasmi di IPT. Ada pula yang tidak pulang, kerana kampung halaman mereka jauh nun di seberang laut.

Ada pula pelajar yang sengaja tidak mahu pulang awal. Aku, termasuk dalam golongan pelajar seperti ini. Tanpa membeli tiket, aku menanggung risiko untuk balik pada saat-saat akhir. Sungguh advencer (merujuk kepada perkataan yang digunakan dalam Novel Faisal Tehrani yang berjudul Advencer Si Peniup Ney).

Perkataan 'advencer' ini adalah istilah Inggeris yang sudah masuk Melayu. Ney itu pula adalah serunai buluh yang digunakan oleh orang-orang sufi. Aku pula membaratkan perkataan Dak kepada Duke. Sebenarnya Dak itu istilah atau bahasa orang-orang di Melaka. Pada suatu ketika, bermulanya Tamadun Melayu yang hebat dan paling popular dalam catatan sejarah Semenanjung Tanah Melayu.

Apa agaknya yang ada di kampung ketika ini? Semua orang pasti gembira berbuka puasa bersama keluarga. Semua orang pasti sedang sibuk menyediakan bahan-bahan persiapan Hari Raya. Kenderaan-kenderaan pasti ada yang menunggu giliran untuk diservis.

Peperiksaan akhir semakin hampir. Selepas tamat hari raya, aku kena menyiapkan persiapan untuk peperiksaan akhir. Dua tiga hari ini hujan begitu asyik menangis. Awan sudah bertambah manja.

Esok, aku patut melihat kelibat tiket. Jika masih ada tiket bas yang sudi memimpin aku menaiki bas. Sungguh pasti tiket bas itu sungguh lawa dan romantik. Aku harap tiket bas itu bertudung labuh dan tetap imannya.

Proses Menulis Novel - Sebuah Novel

Bandaraya Meteor (Meteor City)
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Yuni tergamam! Dia tidak menyangka, makhluk aneh yang telah menyelamatkan dirinya ini adalah haiwan yang sering ditemuinya di tepi jalan. Baru sebentar tadi dia berbudi dengan memberi roti kepada makhluk ini, sekarang makhluk ini telah membalas budinya kembali.

"Mikel?" Sekali lagi Yuni kehairanan. "Bagaimana, err... Encik Mikel mendapat nama ini?"

"Tuan Puteri yang bagi, Mikel terdengar nama ini apabila Tuan Puteri memanggil Mikel. Nama itu pasti nama Mikel," bersungguh-sungguh makhluk aneh yang baru berevolusi itu menjawab.

"Mikel! Mikel! Mari Mikel! Mari Mikel!" Mikel mengulang kembali kelakuan Yuni semasa memberi roti kepadanya. Yuni melopong, lalu menoleh ke arah Mei Yun. Dia ternganga sambil menahan gelak. Comel! Getus hatinya.

"Terima kasih Mikel kerana menyelamatkan kami." Jawab Yuni. Dia berharap Mikel akan berhenti mengulang kelakuannya.

"Apa lagi Mikel, kahwinlah dengan Tuan Puteri Yuni!" Tiba-tiba Hisham bergurau. Muka Yuni merah padam.

"Kahwin? Baiklah, Mikel akan mengahwini Tuan Puteri Yuni bersungguh-sungguh!" Nampaknya Mikel sudah tersalah anggap bahawa perkataan kahwin itu bermaksud melindungi. Hisham tidak dapat menahan ketawanya lagi.

Melihatkan kelakuan Hisham itu, Mikel mengangkat keningnya, menampakkan kelopak mata yang memutih. Mei Yun pantas menyiku Hisham, sebagai isyarat supaya Hisham berhenti ketawa. Mikel berasa pelik melihat telatah manusia-manusia itu, tetapi ia lebih berminat untuk memberi perhatian terhadap Yuni.

"Muka Tuan Puteri merah, Tuan Puteri sakitkah? Biar Mikel cari penawarnya." Mikel merapati Yuni. Mei Yun yang sejak tadi mengambil peluang merakamkan aksi luar biasa itu dengan kamera digitalnya.

Adam yang pendiam, mula berfikir-fikir sama ada dia kini sedang bermimpi, atau benar-benar bertapak di dunia nyata. Baru sebentar tadi dia melihat sesuatu yang menakjubkan, sekarang bertambah lagi satu perkara yang menakjubkan.

"Heeeeeee!" Yuni sudah mula berasa bengang dengan kedua-dua orang kawannya. Sempat lagi bergurau dalam keadaan yang mencemaskan seperti ini. Namun, Yuni mengakui, hatinya turut senang dengan kehadiran Mikel. Seolah-olah kasih sayangnya terhadap haiwan kini terbukti. Haiwan juga mahu disayangi sebagaimana manusia. Mereka memiliki perasaan sebagaimana manusia. Bukankah alam maya ini diciptakan dengan kasih sayang? Sesungguhnya Tuhan itu Maha Menyayangi lagi Maha Mengasihi. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan.

Namun, apakah bencana yang menimpa bumi ini adalah satu balasan daripada Tuhan? Pasti, ada hikmah di sebaliknya. Yuni pasti, dia dan kawan-kawannya akan memperolehi kebenaran itu.

Selasa, Oktober 09, 2007

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Sudah sekian lama aku tidak bertemu sahabatku yang seorang ini. Seorang sahabat yang pernah sama-sama berjuang dalam satu arena yang sangat sukar, suatu ketika. Kami mula berkenalan sekitar tahun 2000, iaitu ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sebuah institusi pengajian tinggi. Kami sama-sama mempunyai minat dalam bidang penulisan. Perkenalan ini menjadikan kami sahabat baik. Namun, sejarah hidup Romantis Selatan penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan duka dan air mata.

“Rev...” Dia menegurku, memandangku dengan tidak berkelip-kelip. Matanya kelihatan redup, dan perwatakannya sudah berbeza berbanding dulu. Seolah-olah seorang insan yang sentiasa bermunajat pada waktu malam memohon ampun, agar Tuhan Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pemurah akan mengampunkan dosa-dosa silamnya.

“South...” Dan selepas leka menganalisis perubahan pada dirinya, aku menegurnya kembali.

Tiba-tiba aku terimbas kembali, kenangan silam, iaitu pada zaman kegemilangan dalam persahabatan kami. Setiap masa dia menghabiskan masanya dengan menulis, menyatakan kebencian dan dendamnya terhadap takdir. Sehingga suatu hari, aku menemui tulisan-tulisannya yang kusangkakan sebagai tugasan.

“Ini kisah yang sangat menarik,” Aku memuji ‘tugasannya’ itu. Sebetulnya, aku sangat-sangat ikhlas dalam menutur pujian itu. Hasil tulisannya itu telah berjaya menambat kehibaan ke hatiku.

“Surat Untuk Takdir,” Romantis Selatan, atau South, kelihatan agak bergementar apabila mendapati aku mengusik hasil tulisannya itu. Dia tunduk lalu mengetik papan kekunci komputer peribadinya beberapa kali, mencari-cari fail-fail tertentu. Tanpa berpaling dia bersuara, “Aku sekadar menulisnya untuk suka-suka.”

Aku menghela nafas dalam-dalam. Aku sudah membuat kesilapan, mengusik hartanya tanpa kebenaran. “Maaf, setiap perjuangan hidup, selalunya akan menemui, api dan kezaliman yang kadang-kadang tidak boleh dipersalahkan.”

Aku menyusun ayat itu lambat-lambat. South tidak berpaling, dia masih melayan komputer peribadinya, seolah-olah sedang khusyuk mengemaskini fail-fail dokumen di dalam komputer. “Memang, aku sengaja mahu kau melihatnya. Tinggalkan komen supaya jalan ceritanya dapat menjadi lebih baik.”

“Jadi, biarlah aku menelitinya lagi.” Ayat-ayat yang tertulis dalam karya yang berjudul Surat Untuk Takdir itu berbaur pemberontakan. Kadangkala terluah rasa geram dan kesal yang amat dalam, seperti sedang mengira-ngira betapa dalamnya jurang di neraka. Tidak ada penamatan.

“Aku ada tiga patah perkataan yang boleh mengubah jalan cerita Surat Untuk Takdir untuk menjadi lebih baik.” Aku menghulurkan manuskrip Surat Untuk Takdir kepada South.

“Katakan, dan nescaya akan kupersetujui.” South tersenyum. Dia berhenti menaip dan berpaling ke arahku.

“Tegas dan garang.” Secara mendatar, aku meluahkan jawapanku. “Takdir tidak boleh dipersalahkan, juga tidak boleh dianggap sebagai rintangan. Kau mesti jangan berlembut dalam setiap perkara yang tidak menyebelahi diri kau.. Kau mesti bertindak garang, jangan takut-takut untuk membuat keputusan.”

Ingatanku terhadap masa silam berhenti setakat itu. Tiba-tiba, kedengaran tempikan guruh di langit. Langit yang sejak awal-awal tadi mendung, semakin pekat gelapnya. Tangisan yang mengharukan pasti akan tumpah tidak lama lagi.

“Aku dengar sudah lama kau berhenti menulis. Aku menanti-nantikan berita daripadamu.” Sejak Romantis Selatan menghilangkan diri, dan diri aku yang sentiasa sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, aku tidak sempat menyampaikan apa-apa mesej kepada dia. Aku sibuk berurusan dengan anak-anak muridku, dengan anak-anak yatim di Bukit Cagar, dan dengan anak-anak di Desa Bakti.

“Aku ada alasan tertentu untuk meninggalkan dunia penulisan. Apa berita terbaru?” Aku yakin, South merujuk kepada seseorang.

“Dia sudah berkahwin, dua bulan lepas.” Aku merujuk kepada seorang gadis yang dahulunya merupakan teman rapat kami berdua. Gadis cantik yang merupakan cinta pertama Romantis Selatan di IPTA ini.

“Aku tidak dapat kad jemputannya.” Wajah Romantis Selatan kelihatan agak dingin.

“Aku juga, barangkali dia tidak mahu membuatkan kau menderita, sakit hati untuk hadir mengingati dia.” Aku harap kata-kata ini dapat meredakan perasaannya.

“Bukan jodoh aku dengan dia. Sejak kekasih lama dia datang empat tahun lalu, aku sudah menjangkakan hal ini.” Romantis tunduk memandang tanah. Badannya terpaku, memendam rasa.

“Mereka tidak pernah berpisah, cuma takdir menyebabkan mereka berjauhan seketika. Selama beberapa berbelas tahun. Faktor keluarga.” South mengalihkan pandangnya ke lain. Pastinya, dia tidak mahu aku membaca perasaannya. “Aku tidak sampai hati untuk menjadi orang ketiga.”

Soal cinta bukan keutamaan kini. Cinta yang berputik pada zaman kanak-kanak, kemudian tertangguh selama berbelas tahun kerana dua budak kecil yang masih mentah terpaksa mengikut keluarga masing-masing meninggalkan kota London. Berbelas-belas tahun kemudian mereka bertemu semula di IPTA ini, meneruskan kembali cinta silam yang belum pernah padam. Romantis Selatan yang baru hendak berputik cintanya terpaksa memadamkan hasrat itu, kerana dia tahu, gadis itu sehingga ke hari ini masih mengingati kisah silamnya.



Apabila aku mengingati kisah silam si gadis itu, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil yang pernah sama-sama bermain hujan. Kisah gadis itu mengingatkan aku kepada kisah silamku juga.

“Jadi, apa alasannya untuk kau tidak kembali menulis?” Aku kembali mengubah ke topik asal.

“Hasrat bonda. Aku mengejar hasrat bonda. Jadi aku mengabaikan dunia penulisan untuk mengejar kejayaan dalam bidang yang satu itu.” Romantis Selatan mengetap bibirnya. Terbayang wajah derita, yang mungkin cuma aku, sebagai seorang sahabatnya yang dapat mengertinya.

“Aku doakan kejayaan kau. Aku tidak ada apa-apa lagi yang boleh membantu kau. You’re on your own. Jalan kita sama-sama sudah jauh berbeza.”

“Tegas dan garang...” Tiba-tiba Romantis Selatan mengucapkan tiga perkataan ajaib itu kepadaku.

“Ya, tegas dan garang. Kau telah lakukan satu pengorbanan besar, demi menghormati restu ibu, kau mengorbankan bakat. Moga-moga ahli-ahli syurga akan menyambut kau dan kau akan bersama-sama mereka.” Aku mengucapkan kata-kata terakhirku. Barangkali kami tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Hari ini, Romantis Selatan akan berangkat ke suatu tempat yang jauh, untuk seketika.

Dia tidak pulang berhari raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Dia tidak mahu mencacatkan suasana hari raya dengan air mata dan tangisan ibu dan ayahnya. Dia akan membawa diri ke suatu tempat lain, yang tidak akan menyebabkan dia mengingati kisah silam. Dia sudah berjanji tidak akan pulang dengan tangan kosong. Dia akan pulang hanya apabila kejayaan sudah berada di dalam tangan!

“Rev, dengar kata kau akan keluar negara tahun hadapan?” Nampaknya Romantis Selatan juga mendapat berita itu.

“Edinburgh, City of Literature.” Jawabku pendek. Aku tidak tahu kenapa hatiku sering menyebut-nyebut nama tempat ini. Ada satu jawapan misteri yang sedang menungguku. Barangkali berkaitan dengan darah keturunanku. Sesuatu yang takkan terpahat di dalam blog ini, sekadar kiasan dan catatan untuk mengingatkan aku apabila aku lupa.

“Itu cuma satu kemungkinan.” Tambahku lagi.

Ada jawapan yang masih belum selesai. Aku bukan bangsa Melayu sepenuhnya, nenek moyang aku tinggal di dua negara.

Rahsia keluarga ini telah dipendam sejak beberapa generasi, kerana dikhuatiri akan membawa malapetaka pada waktu dulu. Namun sekarang, permusuhan antara Eropah dengan Timur boleh dikatakan sudah tamat. Walau apa pun, orang Melayu itu berasal daripada tanah. Orang Inggeris itu juga berasal daripada tanah. Aku juga tetap berasal daripada tanah. Keluarga kami adalah Melayu, sebab kami berbahasa Melayu, sebab kami berpegang pada agama sebagaimana agama bagi kebanyakan orang-orang di Melayu di Tanah Melayu.

Adam dan Hawa pernah menderhakai Tuhan dan kemudiannya mendapat kemaafan. Kerana Tuhan itu Maha Pengampun. Maafkan nenek moyang kami yang pernah menjajah orang-orang Melayu. Manusia seperti kita, tidak ada seorang pun yang dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Hujan mula turun. Rintik-rintik, bertitisan kecil. Air hujan yang mengenai rambut dan mukaku membuatkan aku mengingati semula kisah silam. Dua kanak-kanak kecil yang bercinta semasa di tadika. Senyuman gadis cantik itu tiba-tiba mekar, berbayang di mataku. Dua orang kanak-kanak yang baru beberapa tahun mengenali dunia sudah mula dilanda perasaan cinta? Oh, ya, mereka lupa, kami anak-anak Indigo. Kepintaran kami semasa kecil, sudah setanding dengan anak-anak pada zaman remaja!

Aku meneruskan langkah meninggalkan medan pertemuan sahabat lama. Romantis Selatan juga sudah tidak kelihatan lagi. Kami akan membawa hala tujuan kami masing-masing. Cita-cita dan matlamat hidup masing-masing.

Ahad, Oktober 07, 2007

Pengembara Dari Geneva, Bergembiralah

Aku bergembira hari ini kerana jawapan untuk kertas ujianku menepati skema dan oleh itu aku mendapat markah penuh untuk subjek logik yang dikatakan sangat sukar itu. Syukur ke hadrat Ilahi yang memberikan aku ingatan yang luar biasa seperti ini. Jika bukan kerana ingatan yang luar biasa itu, sudah pasti tidak akan dapat aku mengingati teori, lemma, formula dan seumpamanya.

Cuba bayangkan bagaimana menderitanya hidup ini, apabila dimestikan untuk menulis satu persatu simbol-simbol Yunani dan Greek purba itu, yang mewakili rumus-rumus yang berbaris-baris sehingga berpuluh-puluh baris.

Aku mengambil langkah Sei yang nyata lebih baik daripada langkah Dou, iaitu salah satu cabang dalam seni asas untuk menguasai Seikyuusen, lalu kupraktik dengan segenap rel organ minda untuk menguasai rumus-rumus itu. Jika hilang satu fungsi di dalam rumus yang sangat panjang itu, maka baris-baris itu akan pincang dan jawapan akhirnya juga akan tumbang.

Di dalam kelas itu, aku menjadi satu-satunya pelajar yang dapat menjawab salah satu subjek dalam cabang Matematik itu dengan sempurna. Sesungguhnya setiap yang berlaku itu adalah dengan izin Allah. Kepintaran ini juga adalah anugerah Allah.

Namun, hatiku tetap dibayangi perasaan gelisah, apabila memikirkan peperiksaan akhir yang bakal menjelang selepas Al Quds. Lalu, aku pun menggenggam tangan kananku, sambil memandangnya dengan mata yang memancarkan cahaya seperti lampu stadium, terang benderang, penuh dengan semangat Sei yang mutlak.

Demi melindungi keluargaku, saudara-saudaraku dan demi martabat bangsa dan agamaku, aku akan menjulang kepintaran dan ketampanan yang aku miliki untuk menakluk dan membasuh segala bentuk kejahatan Baal dan kenegatifan Negacion, untuk membawa pulang seribu rahmat yang tidak penghabisan kembali kepada yang berhak.

Alangkah beruntungnya, sekiranya aku syahid dalam memerangi kemungkaran.

"Rahmat telah kembali," bisik Kebenaran dengan suara yang mendatar.

Malam tadi, aku bermimpi, seorang manusia berjubah dan bercahaya menunaikan solat di bilikku. Sehingga kini, aku masih dapat merasai kehadiran bau wangi kasturi yang keluar dari mulutnya yang sepanjang malam berzikir sehingga sekitar jam 5 pagi.

Oh, mungkin limau itu. Aku terlupa memakannya dua hari lepas! Tapi limau itu itu bukannya limau kasturi!

Pengembara Dari Geneva

Hikayat Serangga Hina
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Malam seakan-akan berlindung di sebalik permaidani hitam. Bintang-bintang bagaikan permata yang singgah menjejaki dosa. Siulan cengkerik tidak berhenti-henti memikat sang kekasih. Ketika itu juga dua orang manusia mula berbicara sesama sendiri.

Ayat-ayat mereka kedengaran begitu tegas mentadbir masa. Sesekali itu juga kedengaran bunyi mercun yang mengecutkan benak dan jantung. Tidak ada harapan lagi untuk mengembalikan kemegahan silam.

"Hai Sang Cengkerik yang dermawan, simpankan lagu itu untukku pada esok hari," pinta Sang Lipas Coklat Seni.

"Bagaimana mahu kutunaikan permintaanmu kerana lagu ini sudah ditempah oleh Sang Pipit Jawa?" Rupa-rupanya lagu kegemaran Sang Lipas Coklat Seni itu juga merupakan lagu kesukaan Sang Pipit Jawa.

"Kalau begitu sudah sehati sejiwa Sang Pipit dengan diriku, maka biarlah kami bersua muka." Sang Lipas Coklat Seni beranggapan, pertemuannya dengan Sang Pipit Jawa nanti pasti akan mengundang keceriaan.

"Sang Pipit Jawa pernah berkata, dia tidak suka haiwan kotor sepertimu dan penyakit bawaanmu, Sang Lipas." Begitu berani Sang Cengkerik menyatakan kebenaran yang terisi intipati sepahit kopi itu.

"Aku pasti mengingati kata-katamu itu, Sang Cengkerik." Tampak sudah wajah duka pada Sang Lipas Coklat Seni. Lalu dia membuka kedua-dua belah kelopak sayapnya, lalu berterbanganlah ia bersama teman-teman, tanpa arah tujuan yang nyata.

Lalu angin pun bertiup sepoi-sepoi bahasa, dan awan terus menghilangkan diri pada malam yang serba sunyi itu.

Sabtu, Oktober 06, 2007

Rimau dan Limau

MERLIMAU, Jumaat, 5 Oktober 2007: Seekor harimau didapati telah memakan sebuah limau dekat sini semalam. Harimau itu dipercayai berwarna kuning dan jingga, serta belangnya yang berwarna hitam, telah merampas limau itu daripada seorang penjual bernama Merlin. Merlin yang juga merupakan tokoh ilmu sihir, telah berpencen dan oleh itu berkira-kira untuk menjual limau yang ditanam di kebun bunga.

Antara limau yang ditanam termasuklah, limau kasturi dan limau purut. Tidak termasuk limau nipis dan lemonade yang menjadi tema satu iklan serbuk pencuci baju. Misteri kenapa harimau itu memakan limau dipercayai kerana suatu hari Merlin telah terbaca mentera yang berbunyi:

"Hari-hari Mau, Hari Hari Mau Limau!"

Semasa Allahyarham Sudirman kecil, dia suka minum lemonade. Setiap kali Allahyarham En. Dahlan hendak menggunting rambutnya, dia akan meminta lemonade. Aku merujuk buku kartun karya Allahyarham Sudirman, yang pernah aku miliki. Setiap kali membaca buku itu, hati aku kadangkala terasa sayu. Oh, dan apabila mengingati saja kisah-kisah Allahyarham, aku berasa sayu.

"Kata orang, tangisan aku terdengar sehingga beribu-ribu batu, nenek berjalan kaki ke mari untuk menemui aku."

Semakin hampir dengan Al-Quds, tiba-tiba aku teringatkan legenda ini. Beliau suatu masa membuka syarikatnya sendiri. Tak silap aku minuman berjenama Sudi. Dan, ya benar, muka abang kepada Allahyarham Sudirman yang satu itu mirip muka Allahyarham.

"Aku tidak melambai, kerana aku percaya persahabatan kami tidak berakhir di sini."

Ini pula satu babak di mana Sudirman menghantar seorang rakannya pulang. Peristiwa yang berlaku ketika itu, seorang rakannya melambai ke arahnya, kerana mereka akan berpisah.

Allahyarham Sudirman meninggal kerana penyakit radang paru-paru yang dideritainya. Kini, bagaimana pula dengan Benji, ibunya Azean Irdawati pula menderita penyakit kanser payu dara. Benji membotakkan kepalanya sebagai tanda memberi sokongan terhadap ibunya, yang menjadi botak akibat kemoterapi.

Oh, dunia seniman. Mengenangkan dunia ini. Dan, tiba-tiba lagu hari raya itu berkumandang. Nyanyian seniman juga. Dengan suara mereka, para seniman memberi nada terhadap kehidupan, memberi ritma sehingga hidup suasana raya itu. Asalkan mendengar lagu raya, pasti terasa...

Wah, jauh lagi perjalanan ini!


NOTA: Selepas berakhir catatan untuk entri kali ini, aku ingin mengupas buah limau yang khusyuk berzikir di atas meja. Buah limau yang diperolehi di masjid dua hari lalu. Warnanya jingga, buah limau ini tidak berbiji, rasanya masam dan manis. Keluaran Unifrutti dengan izin-Nya. Limau ini telah menjadi sumber inspirasiku untuk menulis entri kali ini. Oleh itu, aku mesti memakannya sebagai tanda berterima kasih. Kata orang, nasi akan menangis jika tidak dimakan. Limau juga, pasti begitu. Sebab, mereka sama-sama tumbuhan, sama-sama makanan, sama-sama berasal daripada tanah. Selamat Hari Raya Tuan Tanah, berhati-hati semasa meletakkan nama-nama pembohong di bulan puasa itu, (padahal mereka bukannya Muslim, sekadar memperalatkan nama Muslim dan orang-orang tertentu), kerana jika tersilap langkah mereka mungkin menjejakimu. Selamat Hari Raya juga kepada AminBakish dan Tok Rimau.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Flet Bukit Chagar bergegar

Mengimbas kembali nostalgia pada Ramadhan tahun lalu, ketika itu aku selalu berjalan kaki dari pulang dari Rumah Barkat menuju ke City Square.

"Hati-hati ada pencopet," kata-kata seorang ibu yang sudah berumur, pada suatu ketika, setahun lalu, semasa aku bertanyakan jalan pintas dari Rumah Barkat ke City Square.

Jalan-jalan di sekitar flat yang sudah lusuh warna, penuh dengan lumut-lumut dan bekas-bekas hitam. Aku melalui kawasan yang bersemak-samun, penuh dengan lalang-lalang tinggi, dan jalan-jalan yang ditabur simen.

Kemudian melompati rel keretapi. Ting! Ting! Ting! Drus! Crus! Drus! Crus! Kadangkala keretapi lalu, aku pun menunggu. Itulah jalan pintas terhampir dengan City Square, setahun dulu.

Tahun ini...

"Bergegar! Gempa bumi!" Tidak berapa lama dulu, itulah yang berlaku.

Roboh! Bukan gempa bumi yang bakal merobohkan flat ini, barangkali tetapi manusia. Setinggi-tinggi Flet Bukit Chagar, namun apakah malang sehingga dianggap sebagai duri yang menikam pandangan bandaraya.


NOTA: Rupa-rupanya penulis itu sudah membaca e-mel yang kukirimkan kepadanya. Dia memberi respon kepadaku, aku mengesannya menerusi Google Reader, terima kasih kepada Bibik Aminbakish. Namun, kesukaran untuk melayari blogspot.com menyebabkan aku tidak mendapatinya. Kesibukan masa, komen belum diperolehi berkaitan tulisan itu. Ah, idea yang datang mencurah-curah. Selepas satu-satu. Hatiku terpaku. Tahun ini, aku mengenangkan Paris dan Seoul. Kenangan di sebaliknya.

Khamis, Oktober 04, 2007

Derma Darah - Tabung Darah Kini Kritikal Di HSA

Pada waktu ini, kedengaran menerusi corong informasi kolej, memaklumkan mengenai tabung darah kini pada tahap kritikal. Sesiapa yang berminat untuk menderma darah, bolehlah berkunjung ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru pada bila-bila masa.


Fakta penting:

Aktiviti: Derma Darah

Masa: Bila-bila masa

Tempat: Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Nota: Blogspot.com kini disekat semula. Nampaknya, kegembiraan untuk membaca blog-blog dari pihak blogspot.com sudah terpadam lagi. Aku cuma dapat mengakses akaun di Blogger.com dan menulis entri, tetapi tidak dapat mencapai fungsi 'view blog' kerana yang akan keluar pastilah laman web sebuah IPTA ternama di negara ini.

Laman Web Hospital Sultanah Aminah
http://hsajb.moh.gov.my/

Jaringan ke informasi Tabung Darah HSA (Sila klik di sini)

Rabu, Oktober 03, 2007

Hajat Di Hati

Maha Karya
Nukilan: Amiene Rev (C) 2007

Dunia ini sudah tua usianya.
Manusia bertebaran mencari rezeki.
Kurma yang dibeli rasanya manis.
Malam-malam kedengaran sunyi.
Pokok-pokok tunduk membisu.
Cengkerik diam tidak berlagu.
Awan lari bintang bersembunyi.
Bulan tiada, langit pun tenggelam.

Bisikan itu terlalu aneh.
Siapa Tuhanmu?
Maha Suci Allah.
Allah Maha Besar.

Allah! Allah! Allah.
Ini bukan mukjizat.
Ini bukan taksub.
Ini bukan fanatik.
Ini bukan ilmu hitam.

Allah! Allah! Allah!
Sudah terbuka hijab langit.
Menunaikan hajat di hati.
Segala jawapan bagaikan bermimpi.
Hikayat berlangsung tiada henti.
Lautan luas tidak diterokai.
Daratan berhutan tak mampu ditebas.

Kebenaran.
Bagi pemenang satu juta.
Si miskin bertukar menjadi kaya.
Kebahagiaan tertulis pada akhirnya.
Ilmu yang luas menjadi harta.
Biarpun cetek pada kalam-Nya.
Otak kecil padat berguna.

Nota: Akhirnya 5 buah buku setebal kira-kira 600 muka surat habis dibaca. Sekarang sudah sampai masa untuk melancong ke Seoul, mencari kebenaran hati yang hilang. Kata orang, rendang Korea. Setiap ibu bapa perlu menjaga anak-anak, terutama pada waktu-waktu perayaan ini, apabila di khalayak ramai. Jiran tetangga harus mengambil tahu. Sektor korporat... 60 minit bersama menteri. Tentera udara Malaysia, pegawai-pegawai perubatan. Jantung mekanikal. Pesakit yang mati otak, mendermakan tisu-tisunya. Pukul Tujuh Malam Rabu. Korea Utara bersetuju membatalkan semua program nuklearnya, terkandung dalam Perjanjian Enam Negara.

Selasa, Oktober 02, 2007

Apabila Seseorang Itu Benar-benar Layak Menjadi Penulis Novel

Lagu-lagu latar dimainkan secara medley yang mahu ditambah dalam koleksi lagu-lagu yang diminati sepanjang zamanku:







Dalam diri ini ada semacam keraguan, yang timbul, apabila mahu mula bergelar sebagai seorang novelis. Semua orang boleh menjadi penulis, tetapi penulis yang bagaimanakah itu, bergantung kepada tanggapan dirinya.

Apakah perkara yang meragukan bagiku, sebagai seorang penulis novel? Personaliti. Keperibadian seorang penulis novel. Aku bimbang sekiranya apa yang aku tulis nanti, akan mencetus peperangan dalam jiwa setiap pembaca novelku. Seolah-olah terputusnya tali kebenaran, dalam pinggiran neraka kesesatan.

Adakah impak yang mengenai para pembaca itu nanti, impak yang yang baik, atau akan menjuruskan mereka kepada nilai-nilai negatif seperti kebencian, dendaman, kemurungan, kekufuran, sukakan sifat baran, sukakan keganasan, kealpaan, hasad dengki, materialistik, ego, gilakan kuasa, atau sukakan provokasi?

Seorang penulis itu adalah seorang pendidik. Karya-karyaku perlu diteliti semua, agar pengadunan dan pengolahan mesejnya tercapai. Biar sejahat mana pun sesuatu watak itu, maka tidak ada seorang pembaca pun yang akan suka atau mahu mengikuti jalan kesesatan itu.

Betapa hati ini sentiasa menangis dan menyesal, apabila melihat mimpi-mimpi yang dibayangi kesesatan, sekiranya karya-karya yang lahir daripada jari-jemari yang memetik petak-petak abjad ini, merupakan induk terhadap perkara-perkara negatif ini. Betapa gentarnya isi daging yang memaut jantung, dan darah panas yang melancari urat-urat di tubuh ini, apabila mengenangkan bagaimana mata dan telinga ini mendapati mimpi-mimpi seram itu menjadi nyata pada kemudian hari.

Sebuah karya, adakalanya memerlukan masa bertahun-tahun untuk disempurnakan, apabila mahu memikirkan soal ini. Pucuknya di sini, adakah masa lapang yang benar-benar wujud ketika ini benar-benar dapat dimanfaatkan untuk menatang minyak yang penuh?

Novel yang terhasil itu nanti, perlu melalui banyak peringkat tapisan dan pengadunan, seperti jeli raja yang diperolehi daripada sang ratu lebah. Zat-zat yang menghidupkan sesebuah karya itu akan mencerminkan keperibadian seorang penulis.

Seorang penulis yang benar-benar berjaya, adalah seorang pendidik yang matang. Tidak kira bagaimana caranya kisah itu disampaikan, sehebat mana pun imaginasi yang dapat dicorakkan pada minda pembaca, pemikiran dan fokus penghayatan pembaca itu haruslah dikembalikan pada mesej yang hendak disampaikan.

Ini adalah Teknik Penulisan Novel Amiene Rev. Biar pun teknik ini atas namaku, namun, sesungguhnya ilham itu datangnya daripada Allah. Apabila dia menyampaikan kepakaran ini kepadaku, maka aku akan menggunakan kepakaran ini untuk membentuk minda pembaca yang benar-benar sepadan dengan statusnya sebagai manusia, Hamba Allah.

Ketika ini, terasa betapa beratnya beban sebagai seorang penulis. Jalan itu tampak terlalu jauh dan berliku-liku. Namun jika hari ini tanpa niat, jika hari ini tanpa satu langkah, maka pada kemudian hari, aku akan tertinggal satu niat dan satu langkah.

Maka langkah itu akan sentiasa berterusan. Seperti ajal yang meragut jiwa. Ada yang mati muda, dan ada yang mati tua. Yang muda, yang tua, tidak kira apa pun usia ketika meninggalnya, tidak semestinya menuju ke syurga, dan tidak semestinya sentiasa ke neraka. Bergelar seorang penulis pun begitu juga.

Tidak boleh terburu-buru untuk menjadi seorang penulis, hanya kerana atas batas usia. Seseorang itu dapat menjadi seorang penulis pada usia muda, maka itulah rezekinya yang diizinkan Tuhan, sedangkan setiap manusia juga harus sentiasa berusaha, biarpun belum dapat menyatakan hasilnya.

Adakah kamu, mahu bergelar seorang penulis termuda, atau mahukan syurga itu sebagai tempat terakhir penujuanmu dalam erti hidup yang serba luas maknanya? Maka jadilah penulis yang diredhai-Nya. Mengejar keredhaan Allah itu nyata terlalu penting sehingga tidak ada ruang lain selainnya.

Aku memohon kepada-Mu, jadilah aku penulis novel yang diredhai-Mu. Moga-moga setiap titik darah yang terhasil dari kantung rezekiku itu nanti, adalah hasil pembelian pembaca yang membaca karya-karya tulisanku dan kemudian mendapat kebaikan dan hikmah daripadanya.

Amin.

Isnin, Oktober 01, 2007

Buruan Peminat atau Memburu Peminat?

Menjadi penulis novel, bererti kita menceburi bidang populariti. Karya yang diminati, dibeli dan dibaca, apabila konsisten pembeliannya oleh orang-orang tertentu, maka kita secara langsung atau tidak, sudah memiliki pengikut novel atau peminat novel kita tersendiri.

Namun, adakah yang diminati itu hanya kerana karyanya, atau kerana penulisnya, atau kerana kedua-duanya. Atau, cuma watak-watak tersebut yang menarik, atau kerana plot-plotnya yang menarik, atau kerana bahasanya yang menarik?

Jika karya itu yang diminati, maka ketahuilah, bahawa setiap hasil karya itu adalah lahir daripada idea dan ilham yang datangnya dengan izin Allah.

Jika penulis itu yang diminati, maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang datangnya daripada Allah.

Maka segala-galanya itu, setiap yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu daripada diri ini sendiri.

Sementara itu, fungsi sastera sebagai mewujudkan kembali peradaban berbudi bahasa sangat menyerlah. Berapa kerat di kalangan kita yang sedar akan hakikat ini, sesungguhnya mereka itu orang-orang yang terpilih.

Nota: Dengan menggunakan siaran radio menerusi mobil fon Samsung SGH-X700, saya suka melayari stesen Klasik Nasional. Entah kenapa, suasana di bilik kelihatan hidup dengan lagu-lagu klasik. Lagu-lagu klasik ini seolah-olah ada jiwa, ada mesej yang menarik, ada ceritera kehidupan yang tersembunyi di sebaliknya.