BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, September 06, 2016

Ulasan Filem PEKAK - PEKAK Movie Review

Ulasan Filem Pekak (Minor Spoiler Alert)
Pengulas: Amiene Rev (C) 2016

Pekak adalah nama sebuah filem, yang baru muncul sekitar beberapa hari pada bulan September 2016. Filem ini menampilkan bakat-bakat muda yang berpengalaman. Pelakon utama filem Pekak, Zahiril Adzim, memegang watak Uda, seorang pemuda cacat pendengaran yang terjebak dalam dosa pengedaran dadah. Cintanya bermula selepas berkenalan dengan Dara (lakonan Sharifah Amani) di mana Uda mula terjebak dalam konflik peribadi. Adakah usahanya mengedar dadah untuk mengumpul wang bagi pembedahan koklea akan berjaya?

Sinematografi bagi filem Pekak tampak indah, biarpun latar belakangnya cuma sekitar kawasan flat berkos rendah, kawasan semak dan landasan keretapi. Seni abstrak dan grafitti meningkatkan lagi keindahan filem.

Watak-watak dalam filem Pekak digarap dengan elemen sinis dan kejutan. Seorang pekak yang kelihatan tidak berdosa, rupa-rupanya pengedar dadah. Seorang anak dara yang pandai mengajar membaca Al-Quran, rupanya syaitan penghasut dan perosak anak gadis. Gejala sosial yang dipaparkan memang mengejutkan jantung, apatah lagi seorang pengedar dadah dijadikan hero dalam filem ini.

Pekak ada pengajaran. Setelah babak-babak yang menggegarkan jantung dipaparkan, Pekak memukul rentak kemanusiaan dengan memaparkan penamatan hukum karma. Setiap perbuatan jahat, setiap dosa biarpun atas niat untuk kebaikan diri, akan berakhir dengan pembalasan yang sewajarnya.

Pengajaran dalam filem Pekak, biarpun dimesejkan secara kesan-akibat, tetap mampu mengacau jiwa penonton betapa ruginya manusia yang berkawan dengan manusia yang negatif. Berkawan dengan orang-orang yang biadab akan memakan diri. Sekali terjebak bergaul dengan orang-orang yang sukakan dunia terlaknat, maka sukar untuk keluar atau melarikan diri. Bayang-bayang kejahatan akan sentiasa memburu sesiapa sahaja yang pernah masuk ke dunia gelap itu. Tidak ada belas ihsan, biarpun untuk seorang pekak.

Sejak akhir-akhir ini jarang-jarang saya melihat karya tempatan yang bermutu di skrin perak, justeru pada hari ini saya berniat mengarkibkan ulasan saya mengenai filem berjudul Pekak ini di sini. Tahniah kepada semua kru penerbitan filem dan para pelakonnya. Mantapkan lagi karya filem tempatan.

Khamis, September 01, 2016

Merdeka Itu Sudah Berlalu

Kata orang, negara kita sudah merdeka. Maka, setiap tahun pun kita sambut, kita rayakan Hari Kemerdekaan. Secara luarannya kita semua kelihatan sudah merdeka. Dalaman kita, barangkali antara satu ratus orang, cuma sepuluh orang yang benar-benar merdeka.

Kita menyambut hari kemerdekaan, kita meriahkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan. Tidak kelihatan hipokritnya di situ kerana kita semua menyambut kemerdekaan negara, bukan kemerdekaan peribadi.

Adakah diri kita merdeka, dengan hanya menjadi rakyat di sebuah negara yang telah merdeka?

Perjuangan untuk memerdekakan negara barangkali sudah selesai, namun perjuangan untuk memerdekakan kehidupan kita, barangkali belum benar-benar selesai.