BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 28, 2016

Ulasan Filem - Filem Redha


Apa yang membuatkan saya rasa terpesona dengan filem Redha?
1. Ia umpama buku panduan tentang anak-anak autisme yang penuh dengan seni. Buku panduan yang beremosi, menyentuh hati dan perasaan. Penonton secara tidak langsung diajar cara berdepan dengan anak-anak autisme.
2. Saya suka melihat ramai penonton menangis, terutamanya pasangan suami isteri yang kelihatan bagaikan pasangan romantik semasa menonton filem ini. Filem ini membuatkan mereka menghargai diri mereka sebagai pasangan ibu bapa.
3. Warna biru air laut Pulau Redang seperti kristal biru yang bersinar-sinar, serta alunan bunyi ombak memukau jalan cerita ini.
4. Filem ini memberi motivasi kepada diri saya. Kekuatan. Terapi. Mungkin kerana alunan kemanusiaan dan alam semula jadi yang indah cukup membantu.
5. Kesungguhan pelakon kanak-kanak (Danial) dan remaja mempelajari tingkah laku pelajar anak-anak autisme dipaparkan di bahagian akhir filem ini menyentuh hati saya. Saya rasa bukan saya saja yang tersentuh hati tetapi 100% pelakon lain di dalam panggung filem ini yang bagaikan enggan keluar sehingga ke akhir kredit filem.
6. Keluar dari panggung dengan satu perasaan istimewa, kesedaran, keinsafan dan juga pengetahuan serta pengalaman yang baru, membuat kita rasa cukup bersyukur akan kehidupan kita ini.
7. Redha umpama hadiah untuk kita semua yang suka menonton filem. Bukan senang nak cari filem yang macam ini. Filem ini menunjukkan bahawa penulis skripnya membuat kajian dan rujukan. Bukan calang-calang filem.
Saya sangat suka filem Redha.

Jumaat, April 08, 2016

Kenapa Anak Anda Bermasalah?

PERINGATAN UNTUK IBU BAPA: KENAPA ANAK ANDA BERMASALAH?

1. Jika anak anda suka menipu, maka itu adalah salah ibu bapa kerana bertindak balas melampau terhadap anak anda sebelum ini apabila mereka melakukan kesalahan.

2. Jika anak anda kurang keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri, ini kerana anda lebih kerap menasihati mereka berbanding memberi galakan atau motivasi kepada mereka.

3. Jika anak anda mudah dibuli, tidak pandai membela diri mereka, ini kerana sejak dari kecil anda telah mendisiplinkan mereka di depan orang ramai.

4. Jika anda membeli semua benda untuk anak anda tetapi anak anda masih mengambil atau mencuri barang daripada orang lain, ini kerana anda tidak memberi peluang kepada anak anda memilih barang yang mereka inginkan.

5. Jika anak anda seorang penakut, ini kerana anda kerap menolong mereka terlalu cepat. Anda sepatutnya memberikan mereka peluang meneroka sesuatu halangan, memahaminya sendiri.

6. Jika anak anda kuat cemburu atau berhasad dengki, kemungkinan besar kerana sikap anda sendiri yang suka membanding-bandingkan anak anda dengan orang lain.

7. Jika anak anda seorang yang cepat marah, kemungkinan besar disebabkan sikap anda yang tidak suka memberi penghargaan kepada mereka, lalu mereka bertindak melakukan masalah untuk menarik perhatian anda.

8. Jika anak anda tidak tahu menghormati orang lain, sebabnya mungkin disebabkan anda selalu memberi arahan kepada mereka tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak yang tidak mendapat layanan 'perasaan', 'hormat' atau 'penghargaan' daripada ibu bapa mereka cenderung untuk menjadi seorang yang tidak tahu menghormati orang lain.

9. Jika anak anda suka berahsia, ini mungkin disebabkan sikap anda yang terlalu suka bercerita atau menyebarkan cerita tentang anak anda. Adakalanya anda tidak sedar, sikap anda yang suka bermegah-megah tentang anak anda akan mencetuskan kebimbangan terhadap anak anda. Dia risau dia mungkin menjadi mangsa buli akibat cemburu dan hasad dengki, hilang kawan dan sebagainya.

10. Jika anak anda seorang yang biadab atau kasar, anda patut cermin diri anda sendiri dan persekitaran tempat tinggal anda. Anak anda belajar menjadi biadab dan kasar menerusi ibu bapanya, adik beradiknya atau orang-orang yang tinggal berdekatan dengannya; jiran terdekat anda.

Ahad, April 03, 2016

Pokok Keembung dan Ulat Beluncas Hitam

3 APRIL 2016: Sejak Januari 2016, aku telah menanam pokok-pokok keembung untuk kegunaan projek Sains. Pokok-pokok keembungku telah berkembang dengan cukup baik.  Aku mula menabur benih pokok-pokok keembungku ke dalam tua tapak semaian. Tapak semaian yang pertama, aku tabur satu demi satu butir benihnya, manakala yang satu lagi, aku tabur sekali dengan kulit buah pokok keembung. Kira-kira seminggu kemudian, biji benih pokok keembung mula bercambah. Didapati, biji benih yang ditabur dengan kulit buah pokok keembung itulah yang tumbuh lebih subur.

Pada suatu hari, cuaca sangat panas, dan hujan tidak turun selama beberapa hari. Pokok-pokok mula kelihatan layu dan ada yang hampir mati. Aku mula menabur campuran air dengan sodium bikarbonat untuk memulihkan pokok-pokok tersebut. Cubaan itu berjaya, dan pada waktu malamnya ketika aku ingin keluar mengambil angin malam, aku melihat pokok-pokok tersebut tumbuh segar. Nota: Sodium bikarbonat juga dikenali sebagai baking soda / sodium bicarbonate merupakan bahan yang digunakan untuk membuat kek.

Cuaca semakin panas sejak akhir-akhir ini. Menjaga tanaman pada musim panas melampau sebegini memang sangat mencabar. Namun tidak cukup dengan cabaran yang pertama, pagi tadi, aku menerima beberapa tetamu berwarna hitam sedang merayap-rayap memamah daun-daun pokok keembungku. Aku mencabut ulat-ulat beluncas hitam ini dan membuangnya ke tempat yang lebih jauh daripada pokok-pokok keembungku. Ulat-ulat beluncas kelihatan sangat comel dan aku rasa bukan salah mereka memakan pokok-pokok keembungku. Bukan juga salah pokok-pokok liar yang aku biarkan tumbuh di sekitar bekas semaian pokok-pokok keembungku.

Cuma aku mula rasa pelik, kenapa biarpun terdapat banyak pokok hijau dan rumput liar di luar tapak semaian, ulat-ulat beluncas hitam ini masih memilih daun-daun pokok keembungku berbanding tumbuhan-tumbuhan liar itu semua.

ULAT BELUNCAS HITAM: Ha! Ha! Ha! Kami tahu manusia sangat menyayangi pokok keembung.

TUMBUHAN LIAR: Betul-betul, oleh itu janganlah kalian memakan aku dan spesiesku yang lain. Makanlah pokok-pokok keembung itu. Mereka mendapat layanan yang sungguh istimewa, dan kami tidak.

Jadi aku percaya, ulat-ulat beluncas tersebut mungkin telah dihasut atau diupah oleh tumbuh-tumbuhan liar untuk membuli pokok-pokok keembung. Benarkah begitu kepercayaanku?

Sudah pasti, tidak.