BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 31, 2014

Hari Kemerdekaan - 31 Ogos 2014 - Apabila Lagu Negaraku Masuk Panggung Wayang

Sejak tahun lalu, budaya memasang lagu Negaraku di dalam panggung wayang sudah mula diamalkan. Video yang ditayangkan ada menyebut dan meminta para penonton untuk turut sama berdiri sebagai tanda menghormati lagu Negaraku dan juga bersyukur dengan kemerdekaan yang telah dicapai. Adakah konsep ini berjaya? Tidak sepenuhnya. Rata-rata penonton masih malu-malu, teragak-agak dan terikut-ikut, menunggu orang lain berdiri dahulu. Mereka juga ketawa dan mempersendakan budaya yang diamalkan di panggung tersebut. Apabila ada yang berdiri, mereka mula menunjukkan reaksi yang agak negatif, berasa serba-salah dan kelihatan hilang punca. Tidak kurang juga ada yang merungut dan ketawa, berasa lucu dengan apa yang cuba dibudayakan.


Jumaat, Ogos 22, 2014

Potensi Diri Seorang Manusia

Ramai orang, suka atau tidak, cenderung untuk memandang rendah kebolehan diri sendiri. Mereka dengan zalimnya, membataskan potensi diri. Disebabkan itu, mereka cuma menjadi orang biasa-biasa dengan penglibatan biasa-biasa. Disebabkan mereka memandang rendah kebolehan diri, mereka juga cenderung melepaskan peluang. 

Apa yang kamu ingin jadi? Setiap orang ada matlamat hidup. Cita-cita. Namun adakah apa yang ingin kita jadi itu sesuai dengan kehendak kita?

Apa yang kamu suka? Setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza-beza. Mana mungkin kamu akan dapat terus hidup dengan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak kamu? Ini boleh mengundang konflik pada kemudian hari.

Apa matlamat hidup kamu? Sesetengah orang, sanggup mengorbankan apa sahaja termasuk kehendak diri demi mencapai matlamat hidup. Manusia dengan matlamat hidup yang jelas dan kuat, akan mudah berjaya.

Apa yang paling ingin kamu libatkan diri dalam dunia ini? Adakah kamu seorang yang suka bersosial, atau suka menyendiri. Pilihan yang salah akan menyebabkan kamu sentiasa merasai kehilangan dan mungkin juga kesunyian. Ini boleh menjurus kepada kemurungan.

 Apa yang ingin kamu bawa bersama ke akhirat nanti? Jika kita cuma berjuang semata-mata untuk dunia sahaja. Hidup ini penuh dengan kerugian dan penyesalan pada kemudian hari. Jangan lupa, setiap matlamat yang kita usahakan, pastikan ada bahagian akhiratnya.
 
Bagaimana pula jika kamu berpotensi tetapi ada orang memandang rendah kamu? Dalam situasi ini, ingatlah, kamu bukan hidup untuk dia. Kamu terus lakukan apa yang kamu mahu lakukan. Kejayaan kamu di dunia ini adalah milik kamu, kebaikan yang kamu lakukan di dunia ini juga adalah milik kamu di akhirat nanti.

Selasa, Ogos 19, 2014

DUKE AMIENE REV 2014

Tajuk pos yang aku tulis hari ini, mungkin agak pelik. Kenapa, agaknya aku mengangkat nama blog aku sendiri dalam entri yang kutulis kali ini.

Sebenarnya, ini adalah satu permulaan untuk aku kembali bersuara. Merapatkan seluruh Asia. Sudah lama aku meninggalkan medan catatan yang pernah menjadi ruang dan gimnasium untuk aku mengasah bakat penulisanku.

Kehidupan dunia realiti, menyebabkan aku meninggalkan dunia blog yang tampak semakin suram ditenggelami teknologi. Aku walau bagaimana pun, masih menerima banyak surat kiriman daripada pembaca-pembaca blog ini. Sayang sekali, aku tidak dapat membalasnya kerana kesibukan waktu. Ah, alasan!

Tidak seperti sesetengah manusia, aku tidak suka bersembang di internet. Aku cuma suka untuk menulis pandanganku. Kini, aku kembali, tidak pasti sekali sekala atau secara total, untuk menulis isi hatiku. Lebih tepat untuk aku katakan, suara perspektifku.