BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 29, 2014

INI UNTUK KAMU - Kisah Tentang Cara-cara Mencari Kegembiraan dan Kebahagiaan Dalam Kehidupan


Buku Bergambar Kanak-kanak
INI UNTUK KAMU
Terbitan Karangkraf (Buku Prima)

Sudah Terbit! Bakal membimbing anak-anak anda dalam usaha 
mencapai kehidupan yang lebih bahagia pada penghujung 2014!

Jika kita inginkan kegembiraan hidup, kita harus tahu bagaimana cara mencapainya. Kegembiraan adalah milik semua orang. Anak-anak kita yang diajar cara-cara mencari kebahagiaan dalam hidup pasti akan dapat mengembalikan semula kegembiraan itu kepada kita. Adakalanya, memberi itu lebih baik daripada menerima. Jika kita membahagiakan orang lain, kebahagiaan itu akan turut kita kecapi.

GERBANG FANTASIA - Kisah Zoologis Remaja dan Anak Gajah

Bakal Menyeru Kasih Sayang Terhadap Haiwan Liar pada Tahun 2015!


SINOPSIS & WATAK-WATAK DALAM GERBANG FANTASIA

Umar, Zoologis Remaja
Gerbang Fantasia adalah sebuah novel fantasi sains fiksyen remaja. Kisahnya bermula dengan kejayaan seorang remaja, Umar untuk melanjutkan pengajiannya di Sekolah Zoologis Antarabangsa. Sekolah yang bertujuan untuk membela nasib haiwan-haiwan liar di dunia ini telah menugaskan setiap pelajarnya untuk mencari sejenis haiwan liar sebagai subjek kajian. Umar memilih seekor anak gajah.

Anak Gajah
Anak Gajah hadir ke Sekolah Zoologis Antarabangsa dengan misi yang tertentu. Perkenalannya dengan Umar telah mengubah tanggapannya terhadap manusia. Adakah Anak Gajah akan meneruskan misinya? Temui Lufa, spesies gajah berbadan ramping yang hanya dapat ditemui di Alam Ghaib Mergastua.

Gerbang Gading
Gerbang Gading, yang merupakan pintu masuk ke Alam Ghaib Mergastua hanya boleh dibuka dengan cara-cara yang tertentu. Utusan Siamang dan Hering Raksasa yang berasal dari Alam Ghaib Mergastua menggunakan Gerbang Gading untuk berhubung dengan haiwan-haiwan liar dari Alam Manusia.

Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua
Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua berniat untuk menakluki dunia manusia dan menghapuskan umat manusia. Pada masa yang sama, tindakannya itu tidak dipersetujui oleh Rwanggala, seekor kucing gergasi yang membela kewujudan manusia. Sejarah silam kedua-dua makhluk istimewa itu menyebabkan mereka mempunyai persepsi yang berbeza terhadap manusia. Adakah Rwanga akan meneruskan niat jahatnya?

Utusan Siamang dan Hering Raksasa
Handal dalam pertarungan, memiliki kesaktian dan berkaliber. Siapakah Utusan Siamang yang sebenarnya? Sambil menunggang Hering Raksasa, Utusan Siamang menguasai angkasa raya. Orang kanan Rwanga yang sangat berkuasa. Baikkah dia atau jahatkah dia? Kenapa dia memutuskan untuk menjadi pengikut Rwanga?

Abul, Pahlawan Kongkang Kilat & Ghor, Singa Berbulu Emas
Semasa di Alam Ghaib Mergastua, Umar didampingi oleh pahlawan-pahlawan yang comel dan perkasa. Rupa-rupanya di dunia Alam Ghaib Mergastua masih ada haiwan-haiwan liar yang menyokong dan menghargai manusia!

Rwanggala, Ratu Kucing Gergasi
Kucing gergasi yang memiliki kesaktian yang tidak bersetuju dengan niat jahat Rwanga untuk memusnahkan manusia di Alam Manusia. Adakah Rwanggala akan menyokong perjuangan Umar untuk menghalang Rwanga?

Puak Anak-anak Langit
Sekumpulan burung hantu gergasi yang menggelar diri mereka sebagai Puak Anak-anak Langit. Mereka menjauhi bahaya dunia dan memencilkan diri di sebuah kawasan yang penuh dengan pokok-pokok kelapa sawit yang besar-besar, setinggi Menara Berkembar Petronas! Adakah mereka makhluk yang ganas atau bijaksana seperti yang sering dikisahkan dalam buku-buku cerita dongeng manusia?

Sekuel Gerbang Fantasia akan muncul tidak lama lagi.

Khamis, Disember 04, 2014

4 DISEMBER 2014: MAJLIS PELANCARAN JUALAN GERAI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2015

MAJLIS PELANCARAN JUALAN GERAI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 2015) kali ke 34 akan diadakan pada 24hb April – 3hb Mei 2015 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia. 

Para pempamer adalah dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran Jualan Gerai PBAKL 2015 yang akan diadakan seperti berikut :

Tarikh: 4hb Disember 2014 (Khamis)
Masa: 2.30 petang
Tempat: Bilik Kuala Lumpur (Aras 5), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Sumber: Facebook Malaysian Book Publishers Association (MABOPA)

Isnin, Disember 01, 2014

Sajak Amiene Rev: Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2

Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev
1 Disember 2014

Aku tidak peduli
aku ini kelikir di pinggiran
Aku tidak peduli
aku ini debu di buangan
Aku tidak peduli
aku ini kuman persinggahan
Aku langsung tidak peduli
bila aku tidak dipedulikan
kerana aku tinggal di langit tinggi
seorang diri memandang ke tanah sempadan
melihat segala hamba berurusan niaga
dosa dan pahala
Bingkai awan mendaulatkan bulan
senja mengundang keemasan
malam menampilkan kerlipan bintang
di situ aku berdoa
mencari jalan bahagia
meratapi dosa-dosa lama
menginginkan keberkatan pahala
Lama aku termenung
mengingatkan Kau di mana-mana
tidak terlihat dari mata kuyuku
cuma perasaan mendalam di hati
aku ingin beritahu-Mu
kesunyian itu menjadi hartaku
yang entah patut kusyukuri
atau tidak.
Berkati aku dengan rahmat-Mu
aku cuma hamba-Mu
Wahai Yang Maha Perkasa

Sajak Amiene Rev - Kesunyian Adalah Temanku Yang Paling Rapat

"Kesunyian adalah temanku yang paling rapat," 
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev 
1 Disember 2014

Saat ini, tidak ada teman nyata untuk berbicara.
Adakah ini dipanggil kesunyian?
Sensitiviti seorang jurnalis, bisa membunuh! 
Aku seorang diri ini, terpinggir di jalan sepi.
Tidak ada ribut, tidak ada debu atau embun yang sejuk.
Namun, aku tetap terasa disapa kedinginan, dalam makna tersendiri.
Saat ini tidak ada lagi teman buat berbicara.
Kesunyian adalah temanku yang paling rapat.
Tanah Selatan ini, selalu saja meninggalkan kesayuan.
Di mana teman-temanmu?
Di mana suara-suara tawa itu?
Di mana sendu-sendu tangisan itu?
Aku menemani diriku, tanpa sepasang sayap buat menyelimuti diri, memanaskan diri dari dingin sunyi itu.
Kedengaran suara anak-anak kecil bergurau senda.
Dan jeritan ibu memanggil pulang.
Padang rumput menghijau, dan sebiji bola biru, terbiar begitu.
Lalu badai pun menyambar, memutuskan simpulan.
Lalang-lalang terbiar memanjang.
Ranting-ranting reput kepatahan.
Daun-daun kering, rapuh, hancur dilanggar taufan.
Jiwa pun bergelora, memberontak.
Api mula marak membara.
Jantung merebut darah.
Paru menghembuskan nafas.
Roma memercikkan peluh.
Urat menggetarkan jasad.
Lalu bangkit azam baru.
Lalu retak tembok itu.
Lalu kutendang pintu itu.
Lalu kurempuh pagar waja, mara, terus mara!
Langkahku laju, menuntut kemeriahan,
mengatur damai itu,
menguliti kesedihan
yang terukir oleh kesunyian.

Sabtu, November 01, 2014

Ulasan Filem - Dendam Orang Mati - Movie Review


Hari ini aku tergerak hati menonton filem Dendam Orang Mati terbitan KRU Production dan diarahkan oleh Jason Chong. Tiga watak utama dalam filem ini adalah Lisa Surihani selaku Lena, Fizz Fairuz selaku Shahrul dan Miera Leyana selaku Min. 

SINOPSIS FILEM DENDAM ORANG MATI
Filem psiko-thriller untuk tontonan P13 ini mengisahkan tentang Lena yang telah tersedar dari koma selepas peristiwa kematian anaknya, Afiq. Lena hilang ingatan. Lena kemudiannya dibawa oleh suaminya, Shahrul pulang ke rumahnya. Rumah itu sangat kotor, sunyi dan menyeramkan. Shahrul berat sebelah dan lebih mengutamakan isteri pertamanya, Min, kerana menganggap Lena sakit mental. Min banyak kali menghasut Shahrul supaya mengabaikan Lena. Pertemuan Lena dengan pengasuh anaknya, dan pemandu peribadi kereta keluarganya, Zali menyebabkan Lena teringat semula kewujudan anaknya, Afiq, yang kini telah meninggal dunia. Dengan bantuan Zali, Lena mula menyedari dirinya dianiayai oleh orang yang cuba merampas harta keluarganya.

ULASAN FILEM DENDAM ORANG MATI
Terdapat sedikit twist-plot dalam filem ini yang akan membuatkan penonton perlu bijak mentafsir apa yang bakal berlaku selepas satu-satu peristiwa yang telah dilalui watak utamanya.

Lakonan Lisa Surihani sememangnya mantap dan berkesan dalam filem ini. Gaya rambut pendek menyerlahkan lagi wataknya. Penggunaan anak patung yang bernama Mimi turut membantu memantapkan lagi watak utama yang psiko.

Penggunaan teknologi CGI (computer generated image / imej yang dihasilkan oleh komputer) turut membantu meningkatkan tahap cemas dan aksi dalam filem ini. Kebanyakan watak hantu atau makhluk halus membantu memberi rasa cemas kepada penonton.

Secara keseluruhannya filem ini berjaya menyentuh emosi penonton. Kematian Afiq yang tragis, kewujudan pak cik tua yang sebenarnya hantu, sokongan daripada jiran yang bersimpati, masyarakat sekitar yang kuat mengumpat, watak suami yang bermuka dua dan isteri keduanya yang kuat cemburu, watak ayah yang tegas serta motif pemandu kereta peribadi keluarga yang terpendam membantu menghidupkan cerita ini ke tahap yang memerlukan penonton berfikir. Ia bukan sebuah cerita yang sekadar menyuapkan sesuatu kepada penonton sebaliknya penonton perlu menganalisis semula plot-plot yang sebelumnya untuk menjangkakan kesudahan yang mungkin berlaku dan seterusnya memenuhi sebab kenapa judul filem ini ialah "Dendam Orang Mati".

Adakah kemungkinan filem ini ada sambungannya? Dari pengakhiran cerita, saya mendapati wujudnya potensi untuk kesinambungan bagi cerita ini. Pada akhirnya, suami yang berniat jahat dan isteri keduanya seperti telah berjaya merampas harta isteri pertamanya. Namun, daripada reaksi muka pemandu kereta peribadi keluarganya, ada kemungkinan dia akan cuba membela anak tuannya itu.

Jumaat, Oktober 24, 2014

Penjual Arnab dan Itik Serati - Kota Bharu, Kelantan

Sekiranya anda berminat untuk membeli arnab dan itik serati di sekitar Kota Bharu, Kelantan, berikut adalah blog yang boleh anda lawati untuk berhubung dengan penjual arnab dan itik serati.

http://arnab-itik-serati-kota-bharu.blogspot.com/

Rahsia Clash Of Clan - Petua, Strategi dan Perangkap Hidden Tesla

Perangkap Tesla - Strategi Hidden Tesla dan Seni Psikologi Farming - Seni Peperangan Clash of Clan
Penulis: Amiene Rev (C) 2014

NOTA: Artikel ini ditulis dengan mengekalkan istilah-istilah penting bagi unit-unit tertentu dalam Clash of Clan dalam Bahasa Inggeris. Ini bagi memudahkan para pemain untuk mengenal pasti unit-unit tersebut.

Hidden Tesla Tower sangat berguna untuk dipasang sebagai perangkap. Sesetengah pemain Clash of Clan bercadang untuk mendapatkan Trophy semata-mata, dan sesetengahnya tidak berfikir mendalam apabila menyerang satu-satu Base. Kebanyakan pemain dari kategori Farming, akan meletakkan Town Hall mereka di satu kawasan yang mudah diserang supaya mereka boleh mendapat 12-16 jam Shield. Ini bermaksud dengan membiarkan Town Hall terdedah kepada serangan, maka dengan mudahnya mereka akan mendapat 12 jam perlindungan percuma. 

Dalam tempoh 12 jam itu, mereka berpeluang memenuhkan atau hampir memenuhkan Storage Elixer, Dark Elixer dan Gold bagi mendapatkan nilai secukupnya untuk tujuan Upgrade. Atas faktor ini, apabila penyerang melihat sesebuah Town Hall berada dalam keadaan terdedah, maka mereka akan menganggap itu adalah sebuah Farming Base dan kebarangkalian untuk mereka tidak menjangka akan adanya perangkap tersembunyi adalah tinggi. 

Letakkan Hidden Teslar di sekitar kawasan Town Hall itu dan sudah pasti maut menanti unit-unit penyerang yang mendekati Town Hall itu. Untuk perangkap yang lebih baik, boleh juga ditanam beberapa perangkap lain seperti bom dan sebagainya tidak jauh daripada kawasan bom tersebut.

Taktik ini tidak berkesan 100%, tetapi sudah cukup untuk anda memenangi beberapa pertempuran di Base anda. Lagi pun, anda tidak akan diserang oleh musuh yang sama berulang kali, oleh itu, selepas kali pertama mereka terkena perangkap anda, kebarangkalian untuk mereka datang mencari dan menyerang Base anda adalah sangat kecil.

Khamis, Oktober 16, 2014

POS MASALAH ANDA REUPLOAD 2014 - Kerjasama Dengan Dragonizer


Post Title Background Remake 2014


BLOG DESIGN REUPLOAD 2014 - ENTRY DESIGN




BLOG DESIGN SET - REUPLOAD 2014








Sabtu, Oktober 04, 2014

the others 015

24 SEPTEMBER 2014: Aku masih dilanda rasa bersalah kerana makan malam semalam. Aku rasa risau jika the others berjaya merampas aku lagi. Namun sekurang-kurangnya, apabila mengingatkan hal itu akan melapangkan hati 'kakak' aku, maka aku rasa agak tenteram. Aku dilanda mimpi ngeri malam tadi, aku melihat ada beberapa budak kecil pelbagai rupa, cuba mengejar aku. Aku menyorok dalam satu ruang di sebalik pintu, tetapi mereka cuba merosakkan pintu itu. Aku percaya, budak-budak itu semuanya adalah the others. Mereka ingin mendapatkan aku. Apabila mereka berjaya mengoyakkan pintu itu sehingga terdapat lubang kecil, mereka mengintai-ngintai dari celah lubang itu untuk mencari aku. Mereka kelihatan sangat geram dan marah kerana aku cuba menjauhkan diri daripada mereka.
Siang tadi, aku memaklumkan satu-persatu kepada budak-budak tingkatan 1 dan tingkatan 2. Pertama, aku maklumkan aku tidak dapat menerima tawaran menjadi jurulatih bola sepak kelab mereka. Kedua, aku maklumkan kepada budak tingkatan 2, aku tidak dapat bersama-sama mereka untuk ke pantai. Budak-budak itu kelihatan agak kecewa dan sedih. Aku beritahu mereka, tunggulah apabila mereka sudah besar dan dewasa, datanglah cari aku, dan ajaklah aku keluar, aku akan ikut mereka. Mereka pun kata, kalau macam itu, tak dapatlah mereka keluar bersama-sama aku lagi sebab masa tu aku mungkin sudah berkahwin dan sibuk bersama anak-anak. Aku terdiam.
Aku ini orang dewasa dan sudah semestinya pada suatu hari nanti aku juga akan berkahwin dan memiliki keluarga dan anak-anak. Namun aku tetap dengan keputusanku, untuk menjauhkan diri daripada budak-budak. Ustaz sudah berpesan, jika aku terus berkawan dengan budak-budak, pemikiranku akan jadi kecil. Berfikiran seperti budak-budak dan mudahlah aku ditakluki oleh the others.
Kesemua the others adalah trauma masa silam aku, penyeksaan, penderitaan, penderaan yang pernah aku alami. Walaupun aku cuba melupakan semua itu, mereka datang lagi dalam bentuk the others dan menghantui jasadku.
Entah kenapa selepas aku memberitahu kesemua budak-budak bahawa aku tidak lagi dapat mengorbankan masa aku bersama-sama mereka, aku berasa semacam satu perasaan tenteram.
Pulang sahaja dari sekolah, ketika aku membuka pintu kereta, aku rasa ada sesuatu bergeser pada pintu kereta. Aku terlihat ada sikat tersepit pada celah lubang pintu keretaku. Ah, sikat ini! Sikat ini mengingatkan aku bagaimana pintu kereta aku nyaris-nyaris dirosakkan oleh sekumpulan budak kerana mereka terkunci kereta aku dari luar. Mereka cuba membuka kereta aku menggunakan sikat itu tetapi sikat itu jatuh dan tenggelam di dalam pintu kereta aku.
Ketika itu aku berada di masjid sekitar setahun dua yang lalu. Apabila mendapat tahu kereta aku terkunci dari dalam, aku pun berdoa. Entah bagaimana, datang seorang ustaz mahu menolong aku. Aku pun meminta bantuan ustaz tersebut untuk ke pasar raya membeli peralatan tertentu untuk membuka semula pintu kereta aku. Dengan ilmu kemahiran hidup yang aku warisi dari guru sekolah aku yang dahulu, aku berjaya membuka pintu kereta tanpa merosakkannya, dan mengambil semula kunci kereta aku. Masalah kereta terkunci dianggap selesai.
Aku memaafkan budak-budak yang tidak matang itu. Mereka kelihatan rasa bersalah tetapi aku memang sedia faham, itulah bebanan yang perlu dipikul apabila berkawan dengan budak-budak. Kesabaran mesti tinggi. Kitalah yang melindungi mereka. Penat memang sangat penat.
Aku ingatkan sikat itu akan tenggelam di dalam kereta aku buat selama-lamanya dan sepanjang tempoh itu, kunci kereta di pintu tersebut sering bermasalah. Kadangkala sukar untuk dikunci. Pada mulanya aku terfikir untuk meminta pomen membuka dan memperbaiki pintu itu tetapi aku kesuntukan masa untuk ke bengkel aksesori. Aku percaya sikat yang panjang di bahagian tangkainya itu telah mengganggu atau menyekat sistem-sistem kunci di dalam pintu kereta utama itu.
Hari ini, apabila aku telah menetapkan pendirian baru, sikat itu dengan sukarela telah keluar dengan sendirinya dari pintu kereta itu. Sikat yang banyak memberi masalah kepada pintu kereta aku, disebabkan oleh perbuatan budak-budak yang tidak matang, akhirnya dengan sendirinya keluar.
Bukankah itu satu petunjuk?
Aku dapat rasakan tak lama lagi aku akan berkeluarga. Aku akan tinggalkan zaman pemikiran seperti budak-budak, dan mula mengikut jejak orang dewasa yang lain. Namun, aku tidak pasti sama ada gigi aku akan bertambah daripada 28 ke 32 seperti orang dewasa yang lain atau pun tidak. Aku memiliki satu rahsia, aku memiliki 28 batang gigi sejak dari dulu lagi, tidak seperti kebanyakan orang dewasa yang memiliki bilangan gigi sebanyak 32 ke atas.
Aku pernah bertanya kepada orang-orang yang sebaya atau lebih muda daripadaku, berapa batang gigi yang mereka miliki. Apabila mereka menjawab 30 atau 32 batang, aku mula berasa rendah diri. Sekali-sekala aku akan mengira bilangan gigiku. Masih sama. Aku pernah pergi bertemu doktor gigi dan bertanya kepadanya bilangan gigiku, dia menjawab 28 batang sahaja.
Aku begitu risau bila memikirkan bagaimana agaknya rupa aku, apabila memiliki 32 batang gigi. Aku teringat bagaimana sakit dan demam datang melanda orang-orang yang tumbuh gigi baru. Aku tidak pernah mengalami keadaan itu.
Ah, tak perlu aku fikirkan tentang hal itu lagi. Bilangan gigi tidak menentukan seseorang itu dewasa atau tidak, tetapi kematangan pemikirannya yang menentukan sama ada dia dewasa atau pun tidak.
Apa pun, sikat yang sekian lama mendiami pintu kereta aku sudah dapat dikeluarkan. Bagiku, itu satu petunjuk. Petunjuk aku sudah membuat keputusan yang bijak. Atau mungkin saja suatu kebetulan.

Jumaat, Oktober 03, 2014

the others 014

23 SEPTEMBER 2014: Malam ini, sebentar tadi sekitar pukul 10.30 malam, aku dan bekas anak muridku, Ftr Hs keluar berjalan-jalan mengelilingi bandar. Ftr Hs akhirnya berjaya memujuk aku untuk makan. Oleh itu, selepas 8 hari tanpa makan, akhirnya aku dan Ftr Hs makan nasi goreng thai, nasi goreng pattaya, daging rusa blackpaper, sup cendawan, air milo dan air jus oren. Pada mulanya apabila menghadap makanan-makanan itu, timbul rasa takut untuk makan. Aku teringatkan the others mungkin akan kembali merampas diri aku jika aku makan. Aku teringatkan perkara-perkara yang tidak menyenangkan yang akan berlaku selepas itu. Namun Ftr Hs memujukku, lalu aku pun makan.

Apa rasanya makan selepas 8 hari tidak makan? Aku sudah 8 hari tidak mengunyah. Sudah 8 hari tidak merasa nasi, daging dan sebagainya. Sebenarnya perjumpaan aku dengan bekas anak muridku bukan sahaja untuk berjalan-jalan, tetapi juga bagi membincangkan tentang ajakan budak-budak tingkatan 1 yang mahu aku menjadi jurulatih bola sepak mereka dan ajakan budak-budak tingkatan 2 yang mahu aku ikut mereka pergi ke pantai. Ini kerana aku masih bimbang untuk kembali bergaul budak-budak, kerana bimbang pemikiranku akan mengecil dan menjadi kebudak-budakan, lalu the others akan kembali berjaya untuk merampas diri aku.

Akhirnya setelah perbincangan, aku pun membuat keputusan. Aku juga dapati antara 1000 orang murid, mungkin cuma ada 1 sahaja yang betul-betul mengenang budi dan jasa. Bukan senang sekarang untuk mencari rakan yang betul-betul setiakawan atau sahabat. Yang lain, cuma tahu memperalatkan kelebihan kawan.

Aku sudah tidak begitu percaya lagi dengan budak-budak zaman sekarang, susah untuk mencari budak-budak yang betul-betul mudah dilentur jiwanya untuk berperikemanusiaan. Hati anak-anak sekarang kebanyakannya terlalu keras, mereka tidak ada rasa kasihan terhadap orang lain, terhadap ibu bapa, terhadap guru dan sebagainya. Mereka cuma tahu memperalatkan orang untuk keuntungan diri mereka sahaja.

Aku kecewa dengan generasi sekarang. Biarlah... sebenarnya, keluar berjalan-jalan bersama-sama rakan sebaya atau budak yang sudah matang lebih seronok. Ini kerana aku tidak perlu risau untuk menjaga mereka, sebaliknya boleh bekerjasama untuk menghadapi cabaran.

Jika keluar dengan budak-budak, aku sering hilang kebebasan, sentiasa dirundung rasa bimbang, kerana aku terpaksa memerhati setiap pergerakan mereka, keselamatan mereka dan kepatuhan mereka terhadap masa. Lagi pun budak-budak sekarang kebanyakannya tidak lagi tahu mengenang budi. Dalam 1000, cuma ada 1 sahaja yang betul-betul mengenang budi.

Aku berasa sangat sedih mengenangkan budak-budak zaman ini. Mereka tidak lagi boleh dijadikan teman atau rakan setiawan. Sudah tidak ada sifat perikemanusiaan dalam jiwa mereka. Walaupun diajar di sekolah sekali pun, hati mereka terlalu gelap untuk menerima erti perikemanusiaan. Mereka tidak mementingkan perasaan orang lain, kesusahan orang lain, mereka cuma fikirkan diri mereka sahaja, utamakan diri mereka sahaja. Apabila ada orang teraniaya, mereka akan biarkan sahaja. Tidak berminat untuk membelanya. Untuk mencari yang betul-betul berperikemanusiaan, boleh dikatakan cuma 1 dalam 1000. Kawan ketika senang ramai, sahabat ketika susah, sangat jarang ditemui.

Khamis, Oktober 02, 2014

the others 013

23 SEPTEMBER 2014: Apa yang berlaku hari ini?
1. Budak-budak tingkatan 1 menawarkan aku menjadi jurulatih bola sepak/futsal pasukannya.
2. Budak-budak tingkatan 2 di sebuah kelas, beramai-ramai mahu mengajak aku pergi ke pantai beramai-ramai.
3. Budak-budak melayan aku dengan baik di setiap kelas.
Nampaknya, aku masih diterima oleh budak-budak walaupun aku sudah nyatakan bahawa aku ini orang gila.
Namun apakah yang aku fikirkan apabila kumpulan budak-budak di atas mengajak aku? Ini apa yang aku fikir.
1. Aku bimbang bergaul dengan budak-budak tingkatan 1 akan menyebabkan pemikiran aku menjadi seperti budak-budak, dan dengan ini the others akan kembali merampas diriku.
2. Aku sudah lama tidak makan, keluar dengan budak-budak ini akan memaksa aku untuk makan bersama-sama dengan mereka. Sepanjang aku tidak makan (hanya minum), aku dapati aku telah berjaya melemahkan the others. Berat badan aku juga susut dengan cepat. Hari ini adalah hari ke-8 tanpa makan.
3. Aku rasa bangga budak-budak melayanku dengan baik. Namun aku terdengar beberapa suara biadab yang aku akan ambil tindakan pada kemudian hari. Oh, ya. Aku juga sudah bersedia untuk saman malu beberapa individu tertentu yang telah cuba mengaibkan aku.
Hari ini, adindaku menelefonku, dan bertanya sama ada aku mahu ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan psikiatri. Aku masih menangguhkannya, kerana aku rasa aku masih boleh melawan the others, iblis, thogut, azazil dan sekutunya.
Petang tadi ada seorang budak perempuan gatal tingkatan dua cuba menggoda aku. Aku akan melaporkan kepada pihak pentadbir, esok untuk tindakan lanjut.

Rabu, Oktober 01, 2014

the others 012

22 SEPTEMBER 2014: Sejak aku mula mengiringi rumahku dengan bacaan-bacaan surah yang dipinta oleh Ustaz, aku mula mendapati 'musuh' aku semakin kuat mengganggu aku. Barangkali mungkin silap aku minum air susu kotak terlalu banyak petang tadi. Aku menjadi kuat. Secara tak langsung 'musuh' aku yang dulu aku panggil the others menjadi kuat. Aku tak pasti.
Bacaan-bacaan dalam solatku terganggu dan menjadi kucar-kacir, tunggang langgang sehingga aku terpaksa membetulkan bacaan-bacaan tersebut beberapa kali. Wahai 'musuh' yang dulu aku panggil the others, aku akan lawan kamu habis-habisan kali ini!
Barangkali kau ingat aku ini bakal tentera engkau yang hebat atau berbakat, tapi jangan harap engkau akan dapat mempergunakan kebolehan aku.
Engkau takkan dapat merekrut aku menjadi tentera engkau! thogut! Engkau bukan the others, engkau adalah thogut! Engkau adalah azazil, iblis petala bumi dan langit. Engkau cuba menyusahkan aku supaya aku berada dalam keadaan tersepit, dan kemudian engkau akan ambil peluang itu untuk menghasut aku menjadi tentera engkau, bukan?
Engkau juga yang cuba menyesatkan saudara aku dahulu. Aku masih ingat bagaimana rupa engkau yang pernah diberitahu dulu. Engkau menyamar dalam rupa yang baik-baik, berpakaian seperti seorang ulama, tetapi engkau sebenarnya iblis! Engkaulah yang pernah mengganggu keluarga aku 20 tahun lepas!!! Kini engkau cuba dapatkan aku pula? Ha! Hah! Engkau tak dapat saudara aku, engkau cuba pula nak dapatkan aku?
Aku takkan tunduk kepada engkau lagi! Malam ini aku akan perdengarkan lagi bacaan-bacaan tersebut di dalam rumah ini, sehinggalah pada suatu hari nanti, engkau akan terhapus terus!
Engkau dah hapuskan salah seorang sahabat aku, sehingga dia lenyap, dianiayai pada Februari lalu. Kerana sejak dia bersahabat dengan aku sejak hujung tahun lalu, engkau makin terhalang untuk menghasut aku. Kini, sahabat aku itu telah engkau tewaskan, jadi engkau datang kembali untuk merampas aku, menakluk aku.
Cukuplah selama ini dengan cubaan-cubaan engkau untuk menyesatkan aku! Aku akan lawan engkau! Demi Allah, aku akan melawan engkau habis-habisan!
Bismillahirahmanirrahim!

Selasa, September 30, 2014

THE OTHERS 011

22 SEPTEMBER 2014: Hari ini Pak D, tukang kebun sekolah telah meninggal dunia. Petang tadi. Al-Fatihah. Tiba-tiba aku terkenang kenangan membina bongkah-bongkah serbaguna untuk latihan olahraga sekitar cuti akhir tahun sekolah yang lalu. Aku adalah arkitek dan quantity surveyor untuk projek tersebut. Pak D membantu merealisasikan idea itu. Kami menghabiskan masa cuti sekolah akhir tahun untuk menyiapkan projek itu. Pengorbanan cuti sekolah yang agak berbaloi. Bongkah-bongkah itu kini merupakan salah satu saham akhirat untuk Allahyarham Pak D. Semakin ramai orang menggunakan bongkah-bongkah serbaguna itu, maka semakin bertambah pahala Allahyarham Pak D. Aku berharap semua warga sekolah akan terus menggunakan bongkah-bongkah serbaguna itu. Petang tadi aku sempat menghabiskan masa duduk di bongkah serbaguna itu. Sebak rasanya bila mengenang semula kenangan membina bongkah-bongkah serbaguna itu.


22 SEPTEMBER 2014: Kisah kematian tersebut amat merisaukan aku. Aku pun lantas mengisi borang perpindahan guru secara online. Sudah sampai masanya untuk aku tinggal berdekatan dengan ahli-ahli keluarga. Jika tidak dapat pindah, aku rasa aku patut berhenti jadi guru supaya bebas mengatur pergerakan hidupku. Tiba-tiba aku menerima panggilan daripada seorang kenalan, mengajak aku berniaga dengannya. Apabila dia dapat tahu aku ingin berhenti kerja sebagai guru, dia cepat-cepat mengatakan jangan berhenti jadi cikgu. Apa semua ini? Semuanya datang mendadak. Sudah ramai yang melarang aku berhenti daripada menjadi guru. Setiap kali aku terfikir untuk berhenti jadi guru, mesti tiba-tiba ada yang menghalang! Apa semua ini?

Isnin, September 29, 2014

THE OTHERS 010

21 SEPTEMBER 2014: Aku mula memahami, ada ramai orang menyayangi aku dalam diam. Yang sanggup menangis dan mengalir air matanya demi aku. Hari ini aku ada satu cerita menarik.

Tadi aku singgah ke sebuah pasar raya. Aku meneliti satu-satu barang-barang di situ, dan juga jenis-jenis barang makanan. Aku tiba-tiba merasa kasihan melihat ikan-ikan, daging-daging dan makanan-makanan yang ada di situ. Jika tidak ada orang membelinya, sudah tentu semua itu menjadi bangkai atau basi. Kasihan nyawa-nyawa yang sudah tidak ada itu, mengharapkan jasad mereka berguna, tetapi akhirnya menjadi sampah.

Entah bagaimana, tiba-tiba datang seorang makcik berbangsa Cina datang kepadaku dan bertanya mengenai susu apa yang terbaik untuknya. Aku menerang satu persatu jenis-jenis susu kotak yang ada di situ.

Selepas menerangkan tentang susu-susu itu, makcik itu pun membuat pilihannya. Dia kemudian memberitahu aku sesuatu dengan yang comel dan menarik berkenaan dengan tarikh luput. Terdapat jenama yang sama, tetapi tarikh luputnya berbeza. Aku tersenyum. Entah kenapa, hari itu makcik itu berjaya menggembirakan aku.

Akhirnya aku berkata kepada diri aku sendiri, "Memandangkan hari ini engkau telah berjaya bercakap dengan seseorang, dan memberi kebaikan kepadanya, maka hari ini engkau boleh memiliki mana-mana air kotak susu yang kau mahu."

Lalu, aku pun mengangkat dua kotak susu itu. Kemudian aku mengangkat lagi sekotak yogurt. Kemudian aku terfikir, makcik Cina yang sudah tua itu pun masih mahu menjaga kesihatannya, kenapa tidak aku yang masih muda. Makcik Cina itu pun tahu menghargai kehidupannya, kenapa tidak aku? Lalu aku pergi menimbang berat badan, dan aku dapati, berat badanku telah turun sekitar 9-10 kilogram!

Pulang sahaja ke rumah, seorang guru yang telah aku anggap sebagai kakak kandungku, menghantar SMS kepadaku. Lalu aku pun menelefonnya. Lebih 37 minit dia menasihati aku dan berbual-bual denganku. Sebelum ini pun dia rajin menelefonku sehingga bilnya melambung. Dialah Cikgu Rstt yang paling aku percayai. Beliau marah apabila tahu aku tidak makan selama beberapa hari dan meminta aku menghentikan semua perkara yang tidak masuk akal ini. Dia meminta aku jaga solat dan jaga makan.

Oleh kerana di dunia ini masih ada orang mempercayai aku dan menyayangi aku, aku rasa aku perlu mula berubah. Terima kasih kepada rakan-rakan di Facebook, rakan-rakan semasa di sekolah, tak kira sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, rakan di universiti, rakan sekerja, rakan penulis, rakan pengkarya yang telah banyak membantu memberi sokongan moral.

Aku tidak mahu kalian bimbang lagi. Aku akan berusaha untuk berubah menjadi lebih baik. Cikgu Rstt akan menelefonku esok untuk memastikan aku melakukan apa yang telah dimintanya. Nampaknya, Allah telah menghantar ramai orang untuk membantu aku. Kenapa mesti aku mensia-siakan bantuan mereka?

Aku akan berubah. Aku akan balas kebahagiaan yang kalian berikan kepadaku, dengan kebahagiaan juga. Aku akan berusaha untuk terus menyembuhkan penyakitku.

SINOPSIS: Cikgu Amien memiliki impian yang tinggi dalam hidupnya tetapi dia telah mengorbankan keperluan, kehendak dan cita-cita peribadinya demi memberi masa depan kepada anak-anak orang lain. Akhirnya kesemua keperluan, kehendak dan impian yang diabaikannya itu datang kembali kepadanya dalam bentuk The Others, dan menentangnya. Tekanan demi tekanan wujud dan memerangi jiwa Cikgu Amien sehingga dia menjadi gila. Akhirnya, Cikgu Amien berjaya memberi masa depan dan kejayaan kepada anak-anak orang lain (anak-anak muridnya) tetapi dia sendiri kehilangan masa depan, tenggelam dalam gaung dan kesesatan mental. Dia akhirnya dicemuh, dihina, diejek, dikeji, diusir, dihalau, dipinggirkan dan dipersendakan oleh orang lain, termasuk sesetengah orang yang pernah ditolongnya. Kemudian, Allah menghantar beberapa orang yang baik hati untuk memberi sokongan moral dan menolongnya. Ketika itu Cikgu Amien bukan sahaja mengenali siapa sahabat/saudara dan lawan, tetapi bahawa setiap kebaikan itu pasti akan dibalas dengan kebaikan juga.

PENGAJARAN: Setiap pengorbanan yang kita lakukan, pasti akan dibalas dengan kembali dengan kebaikan.

Semoga kisah-kisah yang diceritakan di sini akan memberi pengajaran kepada para pembaca, bahawa tidak rugi berbuat baik. Lambat-laun, Allah akan balas juga.

Semoga tulisan ini akan menjadi penamatan yang menggembirakan untuk semua individu yang telah menyokongku selama ini.

Ahad, September 28, 2014

THE OTHERS 009

20 SEPTEMBER 2014: Hari ke-4 atau ke-5 tanpa sebarang makan. Perjuangan melawan The Others masih diteruskan. Kelaparan melanda dengan agak teruk tetapi aku cuma minum air untuk meredakannya. Badan lemah, tetapi aku masih mampu keluar berjalan-jalan seorang diri. Aku tidak tahu berapa lama aku boleh hidup, jadi aku ingin bercerita tentang sesuatu yang diceritakan semula oleh salah seorang The Others pada malam tadi. Kisah yang berlaku lebih kurang 12-13 tahun lepas. Aku tidak faham kenapa The Others tiba-tiba boleh bercerita seperti ini. Sudah sampai masa, untuk kita semakin rapat. Itu, katanya.
Dahulu kata The Others, aku tidak suka budak-budak. Aku juga tidak suka jadi guru. Bagiku pada ketika itu budak-budak sangat memeningkan kepala, mengganggu aku sedang membaca, mencari idea atau menulis. Aku juga tidak pandai berbual-bual dengan budak-budak, malah merasa tidak senang jika ada budak-budak yang datang untuk berbual-bual denganku. Pada ketika itu, aku lebih suka bergaul dengan binatang-binatang atau buku-buku atau menulis atau mungkin juga melukis. Aku juga cuma bergaul dengan rakan sebayaku sahaja. Itu pun sangat selektif.
Menurut The Others, pada ketika itu, aku atau mungkin aku yang lain, memiliki satu keluarga angkat di Negeri Sembilan. Buat pertama kali aku memiliki keluarga angkat dan aku menjadi anak sulung dalam keluarga itu. Aku memiliki empat orang adik angkat, yang pertama berusia 14 tahun, yang kedua, 11 tahun, yang ketiga 5 tahun dan yang keempat dan paling comel, dan satu-satunya adik angkat perempuan dalam keluarga itu, berusia 3 tahun.
Sayang sekali pada ketika itu, aku kurang pandai bergaul dengan budak-budak dan aku kadang-kadang menjadi pendiam apabila situasi memeningkan kepala. Aku tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Aku percaya, adik-adik angkat aku pasti tidak suka situasi itu.
Adik-adik angkatku juga sering mahu tidur di bilik yang sama denganku, tetapi aku sentiasa menolak. Ini kerana aku lebih selesa tidur bersendirian pada waktu malam.
Namun, setiap kali aku balik bertemu mereka, perlahan-lahan hubungan kami adik-beradik menjadi semakin baik. Kebahagiaan itu tidak kekal lama. Salah seorang The Others, yang garang, suka bertindak sesuka hati dan panas baran, muncul dan merosakkan suasana. Dia sering melakukan provokasi, dan dia juga sering mahu balik, tidak mahu duduk di situ. Kebahagiaan hilang.
Aku yang lain mengetahui perkara itu, tetapi tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Jika aku memberitahu tentang The Others, tentu aku akan dikatakan gila. Oleh itu aku menulis satu surat menerusi kertas dan pen dan aku tinggalkan pada mesin jahit di rumah itu. Dan aku difahamkan menerusi surat itu, aku kemungkinan besar tidak akan datang bertemu dengan mereka lagi. Aku tidak beritahu kenapa, tetapi aku sedar, salah seorang daripada The Others berasa rimas apabila aku pergi tinggal di rumah keluarga angkat itu. Salah seorang The Others tidak suka, tetapi aku sangat suka dan merindui mereka.
Kerinduan aku terhadap keluarga angkat bertambah-tambah. Aku menggunakan perisian komputer 3D untuk membina semula rumah keluarga angkatku. Aku masih teringat jam yang berbentuk sport rim itu. Aku masih ingat bilik-bilik di dalam rumah itu. Aku mengambil masa untuk mereka satu-satu objek, kemudian meletakkan tekstur dan corak pada setiap objek. Cat dinding rumah, tingkap, langsir dan sebagainya. Apabila rumah yang kubina dalam komputer itu siap, setiap kali aku merindui keluarga angkat, aku akan membuka rumah tersebut dan berjalan-jalan di dalamnya. Untuk setiap bilik, ruang tamu dan dapur, aku akan mengimbas semula memori bersama keluarga angkat.
Namun aku telah melakukan satu kesilapan besar. Disebabkan kerinduan yang melampau, aku telah mencipta watak-watak berkaitan dengan adik-beradik angkatku di dalam satu permainan catur menerusi komputer. Aku bayangkan aku bermain catur dengan adik-adik angkatku. Aku merasa bahagia seketika. Bahagiakah aku? Watak-watak itu menghantui aku, dan menjadi The Others yang baru. Keadaan itu menjadi semakin teruk.
Aku tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu, tetapi cerita The Others tentang adik-beradik angkat hanya sampai di situ.
Namun, beberapa tahun kemudian apabila aku mula mengenali Facebook, aku mula mencari semula adik-adik angkat aku. Aku bertemu adik angkat perempuanku, yang sudah membesar menjadi gadis yang cantik. Menerusinya aku dapat melihat semula ayah angkat, ibu angkat, dan adik-beradik yang lain. Adik angkat yang paling tua telah menjadi doktor, dan dia telah berjaya mencapai cita-citanya. Adik angkat yang kedua sedang belajar di Jepun. Adik angkat yang ketiga, sedang belajar di sekolah agama. Adik angkat perempuanku, dia juga belajar di sekolah agama. Aku memerhati mereka dan berdoa untuk mereka dari jauh, namun kemudian aku mula sedar aku sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan keluarga ini. Sudah sampai masa untuk meninggalkan mereka.
Jika aku tidak mengenali keluarga angkat ini, barangkali sekarang ini aku adalah seorang guru yang sangat tegas, garang dan susah didekati pelajar. Atau, mungkin aku tidak jadi guru. Lagi pun, salah seorang The Others memang tidak suka jadi guru. Setiap kali pun dia memberontak, melawan, memarahiku, menyalahkanku kerana begitu mudah mengalah dan menerima keputusan untuk menjadi guru.
Sekarang ini, aku cuma tahu aku seorang gila. Aku tahu, tidak akan ada sesiapa lagi yang berani mendekatiku, atau mengajakku pergi ke mana-mana. Orang-orang yang di sekelilingku, akan mula menjauhiku.
Ustaz (seorang profesor dan bergelar doktor) yang merawatku kata, aku tidak boleh berkawan dengan budak-budak. Jika tidak, pemikiranku akan mengecil dan jadi semakin budak-budak. Apabila pemikiranku menjadi tidak matang, The Others akan mudah mengambil alih pemikiranku, dan seterusnya mengambil alih badanku.
Namun, tidak ada juga orang dewasa yang mahu berkawan denganku atau mengajakku keluar berjalan-jalan. Aku tahu, kerana aku ini orang gila. Siapa mahu keluar berjalan-jalan dengan orang gila?
Jika aku keluar berjalan-jalan dengan mereka, aku juga yang akan mengeluarkan wang, membelanja orang-orang yang keluar dengan aku. Nampaknya tidak ada orang yang benar-benar mahu keluar berjalan-jalan dengan aku.
Setiap hari menjadi sunyi bagiku. Badanku semakin lemah. Kelaparan. Aku tidak nampak masa depanku. Aku ingin mencari pekerjaan baru, jika boleh.
The Others berkata, jangan bimbang. Kami ada. Kami yang sentiasa menemani kamu sejak dulu. Kami yang membela dan menjaga kamu sejak dulu. Apabila kamu lemah, penat dan tertidur, kamilah yang menjaga kamu.
Ustaz kata, cuma ada satu Amien. Amien harus fikir bahawa hanya Amien yang paling berkuasa ke atas diri Amien. Bukan yang lain. Tidak ada sesiapa pun dapat mengawal Amien jika Amien tidak membenarkan mereka.
Air mata aku mengalir deras. Air mata orang gila yang menitis hingga ke tanah. Sederas hujan turun dari langit pada tengah hari, dan bunyi guruh yang berdentum seolah-olah memberontak. Pemberontakan yang aku sendiri tidak memahaminya.
Kematian. Setiap kali merenung sudut tiang tangga itu, aku melihat seseorang yang terjerut lehernya, bergelut dengan maut. Kemudian dia kaku. Air matanya menitis hingga ke lantai. Dia menjadi mayat tergantung. Dan mukanya, mukanya serupa aku.

Sabtu, September 27, 2014

THE OTHERS 008

19 SEPTEMBER 2014: Hari ke-3, atau hari ke-4 tanpa sebarang makan. Kali terakhir adalah beberapa biji bertih jagung ketika menonton wayang bersama Ftr Hs. Aku berkesempatan lalu di beberapa tempat perniagaan makanan dan restoran. Bau dan rupa makanan-makanan itu memang sedap, tetapi aku tidak teringin untuk singgah beli dan makan. Aku cuma minum air dan berjalan melihat dunia manusia, seolah-olah aku ini bukan manusia. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ustaz, "Kamu ini manusia."

Aku adalah manusia yang tidak makan. Aku berlapar sejak 3-4 hari lepas supaya badanku menjadi lemah. Jika badanku lemah, maka ada kemungkinan The Others juga menjadi lemah. Itu cuma teori yang belum pasti. Ini kerana aku sedar sekali-sekala ada perubahan dalam kedudukan benda-benda tertentu. Jika aku mati, maka The Others juga akan mati. Aku sudah lama ingin mati.

Sejak beberapa hari lepas, aku semakin berani memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi. Mungkin aku patut ubah sikap ini. Ketaksuban untuk cepat mati membuatkan aku menjadi semakin berani. Sejak itu aku mula beranggapan, aku tidak boleh membawa sesiapa lagi menumpang keretaku, kerana aku dalam keadaan berani mati. Ini tidak baik untuk keselamatan orang lain. Yang hendak mati itu adalah aku.

Sesekali semasa memandu, air mata aku mengalir mengenangkan orang-orang yang aku ingin tinggalkan. Aku meyayangi mereka, aku juga akan merindui mereka. Namun, aku ini cuma manusia yang telah rosak jiwanya, orang gila yang masih hidup berbakti kepada manusia sedangkan kehidupan aku sendiri telah musnah.

Aku semakin redha dengan kesunyian dan melalui setiap hari ini dengan kesunyian. Aku tidak mahu melibatkan orang lain lagi. Aku mahu pergi mati dengan aman. Ini yang aku inginkan sejak dulu lagi. Sekarang aku sudah tidak perlu memberi jawapan lagi, kenapa aku suka bersendirian. Semakin kurang hubungan mesra atau rapat aku dengan orang lain, makin semakin senang untuk aku mendekati kematian.
Aku ingin jadi hantu yang menganggu semua orang yang jahat, orang yang suka mengambil kesempatan dalam kesusahan orang lain dan orang yang suka menganiayai orang lain. Jika aku menjadi hantu, aku akan buatkan mereka semua ini mati kerana serangan jantung, mati kemalangan dan sebagainya.

Jumaat, September 26, 2014

THE OTHERS 007

16 SEPTEMBER 2014: Aku telah hilang keupayaan untuk tidur. Aku takut hendak tidur. Aku takut aku dirampas lagi. Mungkin aku telah dirampas semalam? Sedangkan ketika jaga pun aku boleh dirampas tiba-tiba. Aku tidak tahu. Aku terbaca tentang perkhidmatan bunuh diri di Switzerland beberapa hari lepas. Aku teringat artikel itu sehingga kini. Orang yang ingin membunuh diri akan tidur dengan selesa di satu tempat, dan disuntik dengan bahan kimia tertentu untuk mati. Adakah bahan kimia itu ada dijual di negara ini? 

Sejak dua tiga hari lepas, aku terbayangkan aku menggantungkan tali pada tangga atas rumahku, dan meletakkan leherku pada jerutan di bawahnya. Itu, tempat yang paling sesuai untuk menjerut diri. Apabila leher terjerut, nafas akan tercekik, mata putih dan anak mata akan dipenuhi dengan liang-liang darah. Tiba-tiba aku teringat, aku pernah mengalami keadaan seperti itu beberapa tahun lepas. Amien... cuma ada satu Amien. Kamu mesti lawan. Jangan biarkan yang lain rampas Amien daripada Amien. Apabila kamu baca semula tulisan ini, cuma tanya diri kamu, siapa kamu yang telah menulis semua ini, kemudian padamkan. 

Cuma ada satu Amien. Amien mesti yakin Amien ada kekuatan untuk melawan yang lain daripada merampas atau mengawal Amien. Hari ini, sekali lagi, aku rasa aku patut tidak makan. Badan aku perlu dibiarkan lemah, kurang pergerakan seperti yang pernah aku buat sebelum ini, supaya The Others pun akan jadi lemah juga. The Others pun tidak mampu bergerak juga. Betulkah? 

Tapi semalam tukang gunting rambut kata rambutku banyak gugur. Kekurangan zat. Kamu mesti lawan. Kalau kamu mati melawan The Others, bukankah itu satu jihad? Aku tak perlu makan apa-apa lagi. 

Tunggu! Kamu mesti siapkan kerja-kerja kamu juga! Markah ujian anak-anak murid kamu mesti diselesaikan juga. Selepas itu, mati pun tak apa. Kerja kamu sudah selesai. Cuba siapkan kerja-kerja itu.

Khamis, September 25, 2014

THE OTHERS 006

15 SEPTEMBER 2014: Dengan ditemani oleh bekas anak murid yang diajar 11 tahun lepas, aku akhirnya berjaya menjalani rawatan pertama dengan Ustaz Dr. Ism Ms di Pusat Islam, UT. Sesi rawatan kedua akan dibuat kemudian. Bekas anak murid aku, Shm Hr meluangkan masanya untuk menemani aku biarpun sibuk dengan hal-hal akademik. Aku rasa aku seumpama seorang ayah yang sudah tua nyanyuk yang dibalas jasanya oleh seorang anak yang telah berjaya. Suatu ketika dahulu, aku mendidiknya sebagai anak murid. Kini, apabila aku sudah musnah dan 'gila', anak muridku ini pula yang membantu dan menjaga aku. Sebagai bekas guru yang pernah mendidiknya, apakah yang aku rasa? Aku sangat terharu... aku juga sangat terharu kerana ada seorang guru, Cikgu Rstt yang bagaikan kakak kandungku, sanggup menerima kekuranganku, dan membantuku, pada ketika aku sangat lemah. Begitu juga kepada anak-anak muridku yang lain yang turut membantu, seperti Ftr Hs, Azh Syf dan Rzq. Aku mendidik mereka seperti anak sendiri sehingga mereka mendapat banyak kejayaan dan anugerah, kini mereka pula yang menjaga aku. Ia sungguh menyentuh hati. Pada ketika ramai yang memandang hina aku, mempersendakan aku, masih ada anak murid dan bekas anak murid yang masih mahu menjaga aku ketika aku sedang tenat dan musnah. Begitu juga dengan sahabat-sahabat pertama di dunia seperti Hafizul dan Edis yang sudah kuanggap sebagai saudara kandung sejak dari tadika lagi yang turut memberi sokongan moral dari jauh.

Sinopsis: Cikgu Amien mengorbankan banyak kehendak dan keperluan dirinya sehingga menjadi 'gila', semata-mata mahu memberi kejayaan dan masa depan kepada anak-anak muridnya dan, sekolahnya. Pada saat-saat kehidupannya telah musnah, anak muridnya yang pernah dibantunya dahulu, datang semula membela dan menyelamatkannya dari terus musnah. Dia juga mendapat sokongan daripada seorang rakan sekerjanya di sekolah dan anak-anak murid yang pernah dibantunya.

Huraian: Demi memberi masa depan kepada anak-anak muridnya dan sekolahnya serta ibu bapanya, Cikgu Amien banyak menahan diri daripada memenuhi kehendak, impian dan keperluan peribadinya. Hal ini menyebabkan dirinya mengalami tekanan kerana rasa ketidakpuasan hati wujud secara tidak sedar dan mula bertentangan dengan dirinya sendiri. Disebabkan tekanan-tekanan tersebut semakin kuat bertentangan, Cikgu Amien akhirnya menjadi 'gila'.

Pada saat anak-anak muridnya berjaya, Cikgu Amien pula jatuh terjunam ke gaung yang paling gelap dan dalam. Cikgu Amien telah memusnahkan kehidupannya dan masa depannya sendiri demi memberi kejayaan kepada kehidupan dan masa depan anak-anak orang lain. Tekanan demi tekanan menjadikannya 'gila'. Pada masa yang sama dia mula dibenci dan dipandang hina serta diejek oleh orang lain.

Pada ketika hidupnya sudah musnah, anak-anak muridnya dan ibu bapa yang tertentu kembali datang menolongnya. Cikgu Amien yang pada mulanya merasakan dirinya kesunyian dan dipinggirkan orang, kini mula sedar... masih ada orang yang menyayangi dirinya, dan masih ada orang yang mahu membantunya. Terima kasih... sesi rawatan seterusnya akan dihadiri tidak lama lagi.

Ustaz berpesan, "Cuma ada satu Amien. Jangan benarkan yang lain mempengaruhi dan merampas Amien. Cuma ada satu Amien yang berkuasa untuk mengawal diri Amien."

Pada ketika ini Cikgu Amien masih berada dalam keadaan lemah dan perlu dijaga oleh seorang dewasa. Ustaz mencadangkan bekas anak muridnya untuk sentiasa datang menjenguk Cikgu Amien.
Cikgu Amien juga perlu didekatkan dengan orang-orang dewasa supaya dia dapat berubah menjadi orang dewasa dan menjauhkan diri daripada pemikiran kebudak-budakkan. Pemikiran kebudak-budakkan memberi peluang kepada The Others untuk mempengaruhi pemikiran Cikgu Amien lalu mengambil alih badan Cikgu Amien.

The Others mewakili diri-diri Cikgu Amien yang tidak berpuas hati dengan setiap kehendak, keperluan dan impian yang tidak dapat dipenuhi. Walaupun Cikgu Amien cuba menahan diri atau mengabaikan keperluan, kehendak dan impian tersebut, masih ada suara hati yang tidak puas hati. Ini kerana Cikgu Amien dahulunya seorang yang bercita-cita tinggi. Cita-cita dan kehendak yang tidak kesampaian itu akhirnya membentuk pemikiran-pemikiran yang masih mahu mendapatkannya walaupun Cikgu Amien menolaknya.

Sesekali The Others menakluki diri Cikgu Amien, terutama pada ketika mental Cikgu Amien dalam keadaan lemah atau tidak matang. Buat sementara waktu, Cikgu Amien memerlukan bimbingan daripada seorang dewasa yang kuat ilmu agamanya. Antara yang dicadangkan adalah bekas anak murid yang pernah diajar oleh Cikgu Amien pada 11 tahun yang lalu atau seseorang di sekolah yang tinggi ilmu agamanya. Ini bagi membolehkan Cikgu Amien mempelajari cara-cara menjadi orang dewasa, dan seterusnya memiliki pemikiran matang dan pemikiran yang matang ini tidak akan dapat dipengaruhi oleh The Others.

The Others akan sentiasa mencari peluang untuk menakluki pemikiran dan badan Cikgu Amien. Sesi rawatan yang kedua bertujuan untuk berdepan dengan semua The Others yang menghuni di dalam tubuh Cikgu Amien. Ia kedengaran agak menakutkan. Ustaz juga tidak menggalakkan Cikgu Amien bertemu dengan pakar psikiatri kerana hal tersebut akan memberi rekod tidak baik kepada profesionnya. Cikgu Amien ingin berhenti menjadi guru, tetapi ustaz berkata, "Pekerjaan guru sangat mulia."

Cikgu Amien tidak perlu berhenti menjadi guru, kerana penyakitnya masih boleh dirawat.

Apabila Cikgu Amien berkata dia ingin menjadi penulis sepenuh masa, ustaz memberitahu, konsep menulis mesti diperbetulkan. Menulis bukan kerana mencari duit tetapi kerana memberi ilmu kepada orang ramai. Cikgu Amien tiba-tiba teringatkan sesuatu... dia bersetuju dengan pandangan tersebut.

-BERSAMBUNG-

Rabu, September 24, 2014

THE OTHERS 005

14 SEPTEMBER 2014: Alhamdulillah. Bekas anak murid aku yang dah sambung Masters sekarang, datang ke rumah aku untuk beri sokongan moral.

14 SEPTEMBER 2014: Akhirnya, perbincangan dengan beberapa orang ibu bapa pelajar dan bekas anak murid (yang diajar 11 tahun lepas, kini sudah berjaya sambung Masters), mereka bersetuju untuk membantu aku mendapatkan rawatan secara keagamaan. Pertemuan dengan pakar psikiatri akan ditangguhkan. Nampaknya semakin ramai yang memberi sokongan moral. Nampaknya benarlah, tahun 2014, ialah tahun perubahan. Terima kasih kepada semua yang membantu... nampaknya ketika aku di dalam kesusahan, masih ada yang sanggup menerima dan membantu aku. Rupa-rupanya aku tidak kesunyian.

Selasa, September 23, 2014

THE OTHERS 004

14 SEPTEMBER 2014: Selepas bertemu pakar psikiatri, aku kemungkinan besar akan kehilangan kerja (mungkin juga masa depan). Namun aku harus akur, sebab penyakit aku akan mengehadkan jenis-jenis kerjaya yang boleh aku pilih. Aku mahu jadi penulis sepenuh masa. Memang sepatutnya itu berlaku dari dulu. Kehidupan aku sudah pun musnah. Terima kasih Bonda, kerana menghadiahkan buku "Mudahnya Menjemput Rezeki". - AIR MATA ORANG GILA YANG MENGALIR DERAS

Isnin, September 22, 2014

THE OTHERS 003

14 SEPTEMBER 2014: Aku akan berangkat ke Kuala Lumpur, esok untuk bertemu dengan pakar psikiatri bagi membincangkan tentang penyakit misteri yang semakin kronik sejak akhir-akhir ini. Ia telah memusnahkan kehidupanku. Namun adindaku mahu menolongku. Tadi aku telah mengambil Ujian DID dan markahnya sangat membimbangkan, iaitu 75 mata, 46 mata lebih tinggi daripada paras selamat (1-29). Aku tidak pasti keputusan itu boleh dipercayai atau tidak.

Ahad, September 21, 2014

THE OTHERS 002

14 SEPTEMBER 2014: Aku menghitung hari-hari berapa lama lagi aku mampu meneruskan kehidupan ini. Aku sepatutnya sudah lama mati, hidup dengan penyakit misteri seperti ini membuatkan kehidupan ini tidak ada gunanya lagi. Aku telah menemui jalan buntu, jalan yang akan berakhir dengan kematian.Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang dari jauh menelefonku malam tadi, dan juga bekas anak murid yang membantu memberi sokongan moral. The Others telah memusnahkan kehidupanku.

Sabtu, September 20, 2014

THE OTHERS 001

13 SEPTEMBER 2014: Sudah sekian lama aku merahsiakan satu penyakit yang aku hidapi sejak bertahun-tahun lamanya, mungkin sejak dari kecil lagi. Penyakit yang sering membuatkan aku rasa mati lebih baik daripada hidup. Penyakit yang sentiasa buat aku kecewa dengan diri aku, benci diri aku sendiri, marah dengan diri aku sendiri. Penyakit yang misteri, dan amat misteri. Aku mula menyedarinya apabila aku mula berada di universiti. Aku rasa aku sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Sekarang aku sudah faham kenapa pada akhirnya orang-orang yang menghidap penyakit yang sangat jarang-jarang di dunia ini mati muda. Aku... mungkin terpaksa mengikut jejak mereka juga. Aku telah cuba untuk merahsiakan penyakit ini, namun aku tak berjaya juga. The Others terlalu kuat... aku juga kepenatan untuk melawannya. Aku tidak tahu kenapa, dan aku berasa sangat kesal kerana masih hidup sehingga kini. Aku sepatutnya sudah lama mati.

Selasa, September 09, 2014

Lord Of The Rings - Soundtrack HD Complete (with links)





0:00:00 - The Prophecy
0:03:55 - Concerning Hobbits
0:06:50 - The Shadow Of The Past
0:10:23 - The Treason Of Isengard
0:14:23 - The Black Rider
0:17:12 - At The Sign Of The Prancing Pony
0:20:26 - A Knife In The Dark
0:24:00 - Flight To The Ford
0:28:15 - Many Meetings
0:31:21 - The Council Of Elrond
0:35:10 - The Ring Goes South
0:37:13 - A Journey In The Dark
0:41:33 - The Bridge Of Khazad-dum
0:47:31 - Lothlorien
0:52:05 - The Great River
0:54:48 - Amon Hen
0:59:50 - The Breaking Of The Fellowship
1:07:11 - May It Be
DIRECT LINKS - Part II - The Two Towers:
1:11:28 - Foundations Of Stone
1:15:20 - The Taming Of Smeagol
1:18:09 - The Riders Of Rohan
1:22:15 - Passage Of The Marshes
1:25:01 - The Uruk-hai
1:27:48 - King Of The Golden Hall
1:31:38 - The Black Gate Is Closed
1:34:40 - Evenstar
1:37:55 - The White Rider
1:40:24 - Treebeard
1:43:08 - The Leave Taking
1:46:49 - Helm's Deep
1:50:42 - The Forbidden Pool
1:56:10 - Breath Of Life
2:01:18 - The Hornburg
2:05:55 - Forth Eorlingas
2:09:10 - Isengard Unleashed
2:14:11 - Samwise The Brave
2:17:58 - Gollum's Song
2:23:50 - Farewell To Lorien
DIRECT LINKS - Part III - The Return Of The King:
2:28:27 - A Storm Is Coming
2:31:19 - Hope And Memory
2:33:05 - Minas Tirith
2:36:42 - The White Tree
2:40:07 - The Steward of Gondor
2:44:01 - Minas Morgul
2:45:59 - The Ride Of The Rohirrim
2:48:08 - Twilight And Shadow
2:51:38 - Cirith Ungol
2:53:23 - Anduril
2:55:58 - Shelob's Lair
3:00:05 - Ash And Smoke
3:03:30 - Fields Of The Pelennor
3:06:56 - Hope Fails
3:09:17 - The Black Gate Opens
3:13:19 - The End Of All Things
3:18:32 - The Return Of The King
3:28:46 - The Grey Havens
3:34:46 - Into The West