BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 11, 2010

Bulan Julai 2010 Adalah Bulan Hijrah

Bulan ini aku akan berpindah, jadi sepanjang bulan ini, aku agak sibuk. Namun begitu, pekerjaanku mesti diteruskan. Sementara itu pelbagai masalah melibatkan bekalan air, kekemasan rumah dan lain-lain terjejas. Oleh itu, buat seketika, aku merenung hari esok. Dan, berdasarkan renungan itu, aku tidak menemui apa-apa alasan melainkan terus berusaha!

Ahad, Julai 04, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Dan Demikian Kisahnya

Kisah ini tidak menerima sebarang perbezaan darjat. Namun antara baik dan jahat, masih tetap ada sempadan ketidaksamaan yang melarang manusia daripada menyertainya. Berbaik dengan kejahatan bermaksud membiarkan diri terjerat.

"Amiene Rev, sepanjang malam itu, aku mengenangkan apa yang aku lakukan pada siang hari itu. Jimmy langsung tidak mengejarku. Orang-orangnya juga diam di situ. Tidak berganjak. Tergamam, mungkin."

Aku diam.

"Mulai hari itu aku hidup dalam ketakutan. Aku bimbang jika pada lain hari, Jimmy dan orang-orangnya muncul lagi. Mereka tidak pernah muncul."

"Suatu hari, sepucuk surat sampai ke laman rumahku. Aku buka sampul surat itu. Di dalamnya ada beberapa keping gambar. Gambar aku semasa kecil. Dan tertulis di dalamnya, satu perkara yang buatkan aku tersentuh hati."

-o-

Pada tahun itu, sepucuk surat misteri telah tiba. Gadis Ayu membuka surat tersebut. Sekeping gambar hitam putih terselit di dalamnya. Gadis Ayu membelek-belek gambar tersebut. Di belakangnya ada tulisan.

Tulisan itu berbunyi:

"Sehingga kini, aku masih sedang cuba mencari jawapan, kenapa Engkau menampar aku, sedangkan aku tahu engkau mahu berkawan denganku. Kenapa engkau menampar aku, ketika aku sudah menerimamu dan mahu menyelamatkanmu?"