Kematian Seekor Ikan Betta Betina Berwarna Putih - Sekitar Subuh, 31 Ogos 2009
Saya dapati kualiti air tangki kurang memuaskan. Kemungkinan besar, bungkusan karbon teraktif yang saya letakkan tempoh hari kurang mencukupi untuk menyerap dan menapis ammonia. Saya yakin, kandungan ammnonia di dalam tangki air sudah semakin tinggi. Saya yakin, ikan-ikan Betta saya tentu menghadapi kesukaran untuk hidup dalam persekitaran air yang beralkali seperti ini. Seekor ikan Betta berwarna putih telah menunjukkan tanda-tanda ia menghadapi kecederaan akibat ammonia.
Ikan Betta tersebut tidak berminat untuk berenang-renang, ia duduk diam dan termenung di dasar air, dan jarang sekali timbul ke permukaan untuk mengambil oksigen. Ikan Betta itu duduk dekat dengan salah satu blok makanan yang saya tinggalkan di dalam tangki ikan tersebut.
Saya mula mengambil langkah merawat kesemua ikan di dalam tangki. Ubat-ubat yang diperlukan ditambah ke dalam air. Anti ammonia turut ditambah. Namun, saya dapati ikan Betta yang berwarna putih itu berkemungkinan besar sukar untuk diselamatkan.
Ikan tersebut sudah menunjukkan tanda-tanda ia tidak mahu makan apabila diberi makanan. Kes seperti ini pertama kali berlaku. Berbeza dengan situasi di mana beratus-ratus ikan Betta saya di tempat lain yang hidup cemerlang di dalam air.
31 Ogos 2009 - Hari ini, sekitar waktu Subuh, saya menjenguk semula ikan tersebut. Saya mencari-cari ikan Betta betina yang berwarna putih tersebut. Kelibatnya langsung tidak nampak.
Kemudian saya melihat pula di celah-celah rumpai air yang saya letakkan tempoh hari. Di situ saya lihat ikan Betta putih itu duduk diam tanpa bergerak-gerak.
Saya mendapati tidak ada pergerakan dan warna badan ikan Betta itu sangat pucat. Akhirnya saya akur dengan pemergian ikan Betta berwarna putih itu. Keracunan ammonia yang berlaku sepanjang tempoh 9 hari ia ditinggalkan.
Kini ikan Betta saya tinggal 18 ekor. 8 ekor ikan Betta jantan, dan 10 ekor ikan Betta betina. Saya tidak bercadang untuk menambah bilangan ikan Betta di dalam tangki itu. Kebetulan, saya dapati ikan Veil-Tailed Betta berwarna Merah di dalam tangki air itu, yang juga merupakan salah satu daripada tiga jaguh di dalam tangki ikan Betta di dalam tangki sedang bersungguh-sungguh menjaga buih-buihnya yang bersarang di salah sebuah tukun tiruan yang seumpama gua itu.
Saya berharap sesuatu yang menarik akan berlaku tidak lama lagi. Namun, kematian ikan Betta putih itu adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan. Pada hari kemerdekaan, seekor ikan Betta betina saya telah meninggal dunia kerana keracunan ammonia. Ikan itu mati dalam keadaan termenung, seolah-olah sedang berehat di celah-celah rumpai air.