BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Februari 29, 2008

Salam 29 Februari: Kembali Mengunjungi Blog-blog yang Pernah Diulas

Hari ini saya sempat meluangkan masa berkunjung ke blog-blog yang pernah saya ulas sekitar dua lalu. Tiba-tiba saya rasa masa ini sangat pantas berlalu. Kunjungan pertama saya adalah Blog Allahyarham Pak Teh. Pak Teh sudah lama meninggal. Komen-komen terakhir adalah sekitar tahun 2007. Sayu terasa.

Kemudian saya beredar pula ke blog Orange 4 Kay yang sudah lama tidak dikemaskini. Apa khabar berita dia sekarang? Semoga telah beroleh ketenangan, kini.

Kemudian saya beralih pula ke blog Honeybiru. Blog ini kelihatan sunyi. Kak Sera sudah menyambut hari lahirnya yang ke-29. Selamat Hari Jadi Kak Sera.

Kemudian saya ke blog Abah Muiz. Abah Muiz bercadang untuk menukar nama blognya. Ini kerana dia akan mendapat seorang lagi anak tidak lama lagi. Alhamdulillah.

Dan kemudian lagi, saya menjamu selera mata di blog Che Tam. Nampaknya blog ini konsisten dengan resepi-resepi terkini. Terdapat iklan-iklan produk makanannya juga.

Blog En. Kassim Selamat kini sudah bertukar lagi. Sebenarnya sebelum ini pun saya ada mengunjungi blog beliau. Kemas blog ini, seperti dahulu.

Selepas itu saya berkunjung pula ke blog Nashrex. Menerusi blog inilah saya belajar mengenakan kawan-kawan dengan menggunakan si Peter.

Saya sempat berkunjung ke beberapa blog lagi, seperti blog Ais Putih dan Kak Noamie. Bulan Februari ini sungguh bermakna buatnya. Kehilangan yang menghasilkan kerinduan.

Tidak lupa juga saya berkunjung ke blog Catatan Si Kenit. Dia kini seorang jurufoto!

Sekian. Salam 29 Februari semua. Sekali dalam empat tahun. Selamat Hari Jadi bagi mereka yang lahir pada hari ini.

Esok sudah 1 Mac 2008... Malam ini perut aku sangat lapar... lapar dan lapar... dan lesu..

Pengkritik Blog Mengkritik Blog Sendiri

Rekaan kali ini adalah berdasarkan ciptaan seorang blog designer bernama Elque. Namun saya tidak begitu berpuas hati dengan rekaan-rekaannya lalu mencipta struktur berdasarkan hasrat hati. Juga mengubahsuai isi kandungan kod XML sehingga benar-benar menepati citarasa. Buat masa ini aku belum pasti sama ada mahu menggunakan teknik berpusat atau tepian tebing bagi kedudukan tajuk utama bagi kolum-kolum serba guna.

Sebuah blog yang memiliki jaringan, banting dan tiga kolum, dengan satu kolum entri dan dua kolum serba guna. Bagaimana pula untuk tujuan iklan utama? Ya perlu ada satu lagi kekotak yang berperanan seperti itu.

Aku belum sepenuhnya menyiapkan rekaan blog ini. Menerusi Internet Explorer 7, kelihatannya rekaan ini agak kemas. Namun, rekaan blog ini tampak cacat pada Mozila Firefox.

Kecacatan berpunca dari kod webcounter yang satu itu. Aku akan membetulkan kod tersebut.

Sekian catatan untuk hari ini.

Rabu, Februari 27, 2008

Mengira Detik-detik Terakhir - Makin Hampir

Hari ini aku lihat, dia sudah semakin tenat. RS bakal menamatkan kehidupannya tidak lama lagi. Lebam di bawah matanya semakin tebal, kulitnya semakin pucat dan barangkali detik-detik terakhir itu sudah dekat benar.

"Kenapa tidak ingin, biar sebutir nasi pun untuk kau telan?"

Tidak ada sebarang jawapan. Terlalu lemah untuk insan ini berkata-kata. Dia hanya merenung jauh, jauh ke luar jendela, menyaksikan suria di balik tabir petang itu perlahan-lahan menyembunyikan dirinya.

"Kenapa begitu mudah untuk kau tinggalkan cita-citamu?"

Diam lagi. Senyap lagi. Tidak ada sebarang bicara pun. Perlahan-lahan dia mengunjukkan sebuah buku. Tertulis di atasnya, Kau Laksana Bulan.

"Aku terhutang budi kepada orang ini..."

dan kemudian dia mencapai sebuah buku lagi. Sebuah buku keluaran PTS.

"Juga penerbit buku ini. Dia menelefonku, tanpa kujangka."

RS sudah berminat untuk memulakan bicara.

"Aku masih ingat suatu ketika dahulu, dengan kedua-dua orang ini, sering kami bertukar-tukar SMS, dan... aku rasa cita-citaku bertambah cerah. Kemudian, aku membawa kamu kepada mereka berdua."

Ya. Kenangan itu pasti sangat manis bagi seorang yang terlalu teruja untuk bergelar penulis. Sayang sekali, pengalaman dan kisah silam tidak berpihak kepadanya.

Aku bersuara pula, "Ya. Semasa Kak Aina Emir memilih aku untuk menghadiri bengkel penulisan remaja untuk fiksyen sains, fantasi dan thriller, aku cukup gembira."

Kemudian aku membelek buku Kau Laksana Bulan. Tertera nama Romantis Selatan di bahagian penghargaan.

"Sayangnya, aku tidak dapat pergi. Seorang sepupuku, rumahnya sepatutnya aku tumpang, dan pak cikku sepatutnya menjadi penghantarku ke bengkel, tiba-tiba keluarga mereka dilanda misteri. Sepupuku itu diserang penyakit, dan penyakit itu telah meragut dua orang ibu saudaraku sebelum ini. Aku, tidak dapat hadir dan sampai sekarang aku rasa bersalah kepada Kak Aina."

Kak Aina Emir dan Puan Ainon, dua orang ini benar-benar berjasa. Kamu juga, Romantis Selatan, juga orang yang berjasa. Menerusi kamu, aku mengenali kedua-duanya.

"Sayangnya... aku barangkali ditakdirkan untuk tidak dapat bertemu mereka berdua."

BERSAMBUNG...

Hakcipta (C) Amiene Rev 2008

Isnin, Februari 25, 2008

Amiene Rev dan Gadis Dari Choson


Amiene Rev dan Gadis dari Choson

Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Imbas kembali:
Ketika itu cuaca bertambah sejuk. Permukaan sungai dan tasik berkaca-kaca dibekukan angin dingin dari utara. Kemudian, si gadis ayu dari Choson, tiba. Wajahnya tertunduk, melangkah sopan merentasi daun-daun kering yang berterbangan, dan sejuk pawana petang, kembara langit senja.

Aku, tanpa terucap sepatah kata, lalu bertegur sapa dengan batas yang memisahkan jarak antara dua manusia tanpa perhubungan muhrim. Kemudian terungkai kebisuan dari bibirnya, mengucapkan sedemikian kata-kata:

"Dan telah bangkit hari ini,
yang menyaksikan pertemuan semula kita berdua
seperti gugurnya daun-daun kering
dari puncak pohon yang lanjut usia

Dahulu kita masih mentah
tiada akal yang sempurna
kini cinta kita bertambah kekal
batin kita bertambah cekal
mengungkap erti cinta.

Adakah kekanda masih setia
menunggu adinda dari kamar perindu?
Atau sekadar menyaksikan bulan
halus cahayanya dalam dakapan langit malam?"

Mendengar kata-kata Gadis Dari Choson, maka tidak ada sepatah kata pun yang mampu kututurkan. Aku terus berjalan menelusuri tebing sungai yang kian mati, tanpa satu gerakan riak air pada permukaannya.

"Jika aku katakan aku tidak mencintaimu, maka aku berbohong. Namun darjat sudah mencipta jurang antara kita, seolah-olah suria itu telah terpadam cahayanya kini. Berbanding purnama yang kian cemerlang biarpun tanpa bintang menatap wajahnya."

Aku bergerak dengan perilaku dingin. Membiarkan tiupan angin berbunyi seakan-akan menangisi nasib kedua-duanya.

"Mustahil! Biar pun betapa unggul purnama itu bersinar, takkan mudah ia lupa bagaimana dahulu ia menimba cahaya yang tercurah ikhlas dari sang suria."

Gadis dari Choson seolah-olah memahami isi hatiku.

"Setinggi mana darjat dilonjak. Setinggi mana harta melangit. Segalanya yang menjadi milikku, tetap untukmu, kekanda Amiene Rev."

Aku tersenyum dalam keharuan. Lalu, dalam perasaan yang susah untuk digambarkan, aku cuma mampu membiarkan angin menyampaikan bisikan hati ini:

"Kau, adalah takdirku..."


Hakcipta (C) Amiene Rev 2008.

Segala tulisan di dalam blog ini tidak dibenarkan diterbitkan semula dalam apa jua cara dan media tanpa kebenaran dan persetujuan daripada Amiene Rev.

Rekabentuk Buku-buku PTS - Kombinasi Warna Menarik - Siri 2

Kali ini saya ingin memaparkan empat lagi rekabentuk kulit buku PTS yang menarik mana memandang. Empat buah buku tersebut ialah Minda Muslim Super - tulisan Dr. Danial Zainal Abidin, Syoknya Berpuasa - tulisan Rajendra Kartawira, Solat Khusyuk Solat SMART - tulisan M. Siddiq Mustika, dan Puasa Sebagai Penyembuh Penyakit - tulisan Dr. Rasyad Fuad As-Sayyid.

Susun atur tajuk Minda Muslim SUPER yang memanfaatkan warna kontra tetapi harmonis menimbulkan elemen tenaga yang menarik. Rekaan ini kelihatan kemas. Warna putih tulisan yang dipadankan dengan latar atas kulit buku yang berwarna hitam ke biru secara gradient, cukup sepadan. Penggunaan warna kuning yang masak dan bertenaga yang diwarnakan secara gradient serta padanan latar berwarna biru langit serta tagline putih yang menunjukkan ciri-ciri harmonis tetapi bertenaga. Satu rekaan yang sangat menarik, kukuh dan kemas. Serakan warna putih suria dan teknik radical blur sesuai dengan perlambangan super.

Perasaan sejuk dan segar dapat dilihat dalam rekaan kulit buku Syoknya Berpuasa. Padanan warna putih dan hijau lemon menghasilkan perasaan menyegarkan. Imej segelas sejuk berisi ketulan ais dan perkataan 'syoknya' yang dibentuk seperti kaca yang berkilau menimbulkan elemen yang dapat mengembalikan tenaga. Dua elemen warna yang sangat profesional.

Pewarnaan kulit buku Solat Khusyuk Solat SMART juga dibuat secara bijak. Latar belakang biru dengan tulisan putih dan kuning dengan garis luar secara serakan warna putih menimbulkan fokus terhadap tulisan. Cara ini bertepatan dengan judul buku yang mengandungi perkataan 'khusyuk'.

Buku terakhir untuk siri 2 ini, iaitu Puasa Sebagai Penyembuh Penyakit memanfaat sepenuhnya warna-warna segar, sejuk dan tenteram seperti putih, biru dan hijau. Ketiga-tiga warna ini juga merupakan warna kegemaran saya. Lihat sahaja pada kulit buku ini, pasti timbul perasaan segar dan kembali bertenaga.


 



Kesimpulannya, rekabentuk kulit luar untuk keempat-empat buku ini berupaya menimbulkan perasaan harmonis, segar dan bertenaga. Satu lagi koleksi rekabentuk buku yang menarik perhatian saya.

Ahad, Februari 24, 2008

Rekabentuk Buku-buku PTS - Kombinasi Warna Menarik - Siri 1

Baru-baru ini saya ke kedai buku, saya dapati ada beberapa rekabentuk buku keluaran PTS yang menarik minat saya. Kombinasi warnanya sungguh menarik. Empat buah buku tersebut ialah Chef yang ditulis oleh Zul Desa, Namun Kupunya Hati yang ditulis oleh Zalisa Maz, Aku Mahu Buli yang ditulis oleh Ain Maisarah dan Dari Kepala Batas ke New Haven yang ditulis oleh Ashadi Zain.

Kombinasi warna untuk kulit buku Aku Mahu Buli, karya Ain Maisarah memaparkan penggunaan warna merah dan kuning (emas) yang menarik perhatian. Lapisan tebal hitam yang menjadi garis luaran untuk memisahkan warna putih untuk objek dan tulisan daripada warna latar (merah) menambahkan lagi daya tarikan pada buku ini.

Sementara kombinasi warna untuk kulit buku Namun Kupunya Hati mencetus emosi yang merudum, sepadan dengan judul buku tersebut. Serakan cahaya pada baju yang berwarna merah di dalam kegelapan hitam serta pemilihan warna kuning kelam melapisi latar merah (baju) dan hitam memang tampak bergaya. Nama penulis yang berwarna putih menggenapkan kombinasi empat elemen warna yang digunakan untuk rekabentuk buku ini.

Kombinasi warna kulit buku Chef, memukau mata memandang. Hijau sayuran segar dan warna perak, putih baju tukang masak dan latar hitam mempamerkan sifat yang profesional. Seperti rekabentuk buku Namun Kupunya Hati, rekabentuk buku Chef juga memanfaatkan penggunaan cahaya dengan baik untuk imej foto yang digunakan.

Dari Kepala Batas ke New Haven pula menggunakan elemen warna kuning, putih dan hitam untuk watak si pejalan kaki. Kesemua warna ini digabungkan dengan cara yang harmonis dan menampakkan sifat kematangannya.



Saya berpendapat, kombinasi warna yang digunakan dalam buku-buku di atas sangat cemerlang dan profesional. Semua rekaan di atas adalah bekas tangan pasukan grafik PTS yang diketuai oleh Hisham Salmin.

NOTA: Siri Rekabentuk Buku-buku PTS adalah entri-entri yang berkaitan dengan rekabentuk-rekabentuk buku dan novel PTS yang menarik perhatian saya. Nantikan siri seterusnya.


Blog PTS Graphic Team:
ptsgraphic.wordpress.com

Pasukan Grafik PTS:
ptsgraphic.wordpress.com/pts-graphic-team

Jumaat, Februari 22, 2008

Petua Nasi dan Nasi Goreng

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya dapati, Blogger sudah dapat diakses, biarpun kadangkala terdapat gangguan internet. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini.

Perut saya selalu lapar sejak akhir-akhir ini. Tidak sempat untuk makan, kadang kala saya cuma makan sekali sehari sahaja, atau menjamah mi segera.

Entah kenapa, tiba-tiba saya mengidam nasi goreng. Kalau sekarang saya boleh memasak di bilik ini, pasti sudah saya masak nasi dan goreng. Saya tiba-tiba terfikir bagaimana hendak memasak nasi goreng yang enak? Gunakan nasi sejuk, itulah jawapan yang keluar dari hati saya.

Nasi goreng yang sejuk, zarah-zarah setiap butir nasi itu sudah pasti rapat dan ini menyebabkan butiran nasi bertambah pejal dan apabila digoreng sungguh lazat dan enak.

Saya paling suka makan Nasi Goreng Ikan Masin. Masukkan ikan tenggiri yang disimpan di dalam minyak bersama garam, dicampur dengan bijiran jagung yang dimasak bersama marjerin, dan kacang hijau yang enak, pasti menimbulkan aroma yang menyelerakan. Lada kering yang dipotong-potong, ikan bilis dan kacang. Bunyinya semacam nasi lemak. Adakah nasi lemak goreng di dunia ini? Saya berfikir yang pelik-pelik tatkala lapar, tetapi perkara ini pasti tidak mustahil diadakan pada masa akan datang.

Saya pernah mendengar, ada orang kata, kalau hendak makan nasi basi, tidak mahu dibazirkan atau dibuang nasi basi itu, maka eloklah kalau nasi basi itu digoreng sehingga menjadi seperti bertih. Setelah itu, boleh dicampurkan bahan-bahan lain dan makan seperti biasa. Saya tidak pernah cuba, cuma mendengar kata orang. Jadi saya tidak menjamin kalau-kalau berlaku kes keracunan makanan.

Selain itu, saya pernah terfikir untuk makan nasi goreng yang dimasak dengan minyak zaitun. Entah kenapa, barangkali sebab saya terfikirkan nasi goreng yang harum mewangi. Adakah sesiapa pernah makan nasi goreng minyak zaitun? Kalau tidak ada, suatu masa nanti saya akan cuba menggoreng nasi dengan minyak zaitun.

Aduh, laparnya. Mi segera sudah boleh dimasak. Air panas sudah cukup.


Nota: Ketika blog ini ditulis, saya sentiasa memikirkan kisah seorang peminat yang memplagiat karya saya pada bulan lalu. Saya mengakui, saya ada rasa kasihan dan terharu, biarpun pada masa yang sama saya berasa sedih dan marah terhadap sikapnya. Biarlah, pihak Administrator web tersebut sudah pun mengambil tindakan, saya telah memaafkan dia. Saya sedih kerana sebenarnya saya pun tidak sampai hati hendak mengambil tindakan sebegitu rupa, seolah-olah saya telah berkasar terhadap orang yang lebih tua. Saya tidak senang hati kerana terpaksa bertindak menegur dia, namun, isu plagiat bukan isu main-main. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Khamis, Februari 21, 2008

mAmAzIe79lOvEsMiles si plagiat

Berikut adalah balasan mesej daripada seorang ahli RC, selepas saya menegurnya mengenai perbuatan plagiat yang beliau lakukan. Lihat betapa jahilnya dia dalam hal-hal menghormati karya saya. Sebuah puisi saya di blog ini, diambilnya, dan nama saya dipadamkan. Beliau menyiarkan karya tersebut seolah-olah karya saya itu, karya dia.

Semoga pihak Rakan Cyber mengambil tindakan sewajarnya ke atas dia. Mesej yang dihantar oleh mamazie selepas saya menegurnya, membuatkan saya berasa terkilan.

Balasan mesej SI PLAGIAT aka MAMAZIE adalah seperti berikut:

VIEW MAIL

FROM: mAmAzIe79lOvEsMiLeS
DATE: 21/02/2008 10:38:12
SUBJECTS: Re: Anda Telah Melakukan Kesalahan berkaitan Copyright Material
di rakan cyber ini, bukan satu pencerobohan hak sesiapa. Andai saya ingin berkongsi kata-kata dan punjaga dari seseorang yang saya tidak kenal, ini tidak menyalahkan hak sesiapa.

Untuk makluman anda, saya begitu tragis dengan kata-kata anda. So, tidak salah seandainya, saya meminati nukilan anda dan saya masukkan dalam blog saya.

Harap maklum!


PERKEMBANGAN TERBARU: Pada 22 Februari 2008, dengan kerjasama pihak Administrator Rakan Cyber, karya saya yang telah diplagiat oleh mAmAzIe79lOvEsMiLeS telah dipadamkan dari entri blognya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua staf Rakan Cyber yang terlibat dalam membantu mengembalikan kegembiraan saya.

Buat semua peminat dan penyokong, saya harap anda semua tidak lagi membenci atau mengutuk mAmAzIe79lOvEsMiLeS. Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya di sini telah memaafkan dia biarpun belum ada maklum balas terkini daripada beliau.

Selasa, Februari 19, 2008

Mimpi Aneh - Semoga Tidak Berlaku

Malam tadi berlaku suatu mimpi yang aneh. Maka hari ini aku mengorbankan masa untuk membuka blog dari laman web blogger yang sudah terjejas fungsinya akibat sekatan server di tempat aku, untuk mencatatkan mimpi ini.

Aku tidak pasti sama ada mimpi ini adalah reaksi daripada manuskrip seorang penulis yang pernah aku teliti, atau mungkin berkaitan dengan perkara lain. Apa pun perkara di dalam mimpi ini, sama ada memiliki maksud tersurat, atau tersirat, atau sekadar mimpi.

Dalam mimpi itu aku melihat rusuhan. Terdapat satu bangsa lain di negara ini memulakan rusuhan. Membunuh orang awam. Kemudian bangsa utama di negara ini mula melibatkan diri. Konflik berdarah terus berlaku. Semakin ramai orang terlibat. Semakin ramai bangsa yang membunuh dan dibunuh. Tidak kira usia muda atau tua.

Sehingga satu masa... kedamaian dicapai.

Ahad, Februari 03, 2008

Al-Fatihah buat Ahmad Zafran aka Panaharjuna




Allahyarham Panaharjuna aka Ahmad Zafran Abd. Mutalib merupakan salah seorang penulis PTS Publication. Buku-buku di atas adalah antara hasil karya Allahyarham yang telah dihasilkan. Allayarham telah berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang telah tua. Allaharham menghidap penyakit jantung, dan beliau tidak mendirikan rumah tangga kerana penyakitnya ini.


Sepanjang hidupnya, Panaharjuna terkenal dengan sikapnya yang pemurah, sedia berkongsi ilmu dengan mana-mana penulis. Dia juga telah memberi galakan kepada penulis-penulis dan bakal-bakal penulis supaya bersemangat untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan.


Dapatkan buku dan novel Panaharjuna - Pendekar Merah Budiman, Sahabat Kole Kacang 1 & 2, 40 Lukisan Hati dan Tegar di kedai-kedai buku tempatan (mudah didapati di MPH dan POPULAR). Buku novel ini merupakan satu sastera yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan buat para pelajar.


Semoga hasil jualan buku-buku ini dapat dijadikan sebagai salah satu cara untuk membantu ahli-ahli keluarga Allahyarham Ahmad Zafran secara berterusan (menerusi royalti).