BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 31, 2007

Lukas dan Nostalgia

Hari ini saya berbicara tentang Lukas.
Hakcipta (C) 2007 Amiene Rev


Sabtu, seangkatan dengannya
Pagi berlagu andromeda
Lukas memburu kuah
Lalu melangit ke rindu tumpah

Ayam di taman padi
memburu cacing di bawah tanah
Musang di balik kali
menunggu masa untuk menyergah

Lukas menarik jerat
hinggap di kaki lima
jatuh rebah bangun tiada
senak di perut berombak di dada

Ayam mengilai terbatuk-batuk
diterkam musang gila ia
cacing tenteram syukur berlega
peluang berjasa masih ada

Emak pulang di pinggir pasar
bertembung anak nakal bersorak
Lukas luka kakinya, SAKITNYA!
Mengaduh panggil ibu pulang

Pulang Ibu! Lukas luka, kaki luka!
Emak pulang marah-marah
Kenapa ganggu ayam telur?
Lukas mau jerat musang

Mana musang ke mana ayam?
Lukas mengaduh terus mengadu
Ayam tiada musang kenyang
Belah perut musang itu!

Jerat Ibu! Jerat Ibu!
Musang takkan kena jerat!
Lukas janji tangkap musang!
Pulangkan ibu ayam yang hilang.

Lima belas tahun sudah berlalu,
Lukas bawa pulang selori ayam
dan seekor musang pulut kesayangan
untuk Emak yang Lukas cintai.

Dua-dua sudah kembali
Janji tunai, Lukas sudah.

Ahad, Disember 30, 2007

Ini Adalah Kebanggaan Seorang Pengkritik Blog

Sudah lama saya tidak mengkritik blog. Sibuk dengan tugas-tugas di dunia nyata menyebabkan di dalam jadual saya tidak ada langsung mengenai perkara untuk mengkritik blog. Namun, sepanjang tempoh tersebut, saya ada menemui beberapa buah blog baru yang sangat menarik.

Salah satu daripada blog itu layak mendapat anugerah, lalu saya pun menyapa pemilik blog tersebut. Tertarik dengan budi bahasa pemilik blog itu, di samping ketelusan hatinya dalam menyusun isi kandungan blog, menyebabkan saya rasa, inilah blog baru yang patut memenangi sesuatu.

Kemudian, diam-diam saya mencalonkan blog tersebut. Alhamdulillah, blog tersebut menang. Apa lagi yang boleh saya katakan selain daripada kesyukuran. Penilaian saya terhadap blog tersebut ternyata tepat lagi benar.

Blog itu telah menang, nilai-nilai mengkritik blog yang saya gunakan ternyata mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Pun, begitu, saya masih belum mahu kembali sebagai pengkritik blog. Kita merancang, dan tidak semestinya perancangan kita itu akan berjalan sebagaimana kehendak kita. Kadangkala kita perlu fleksibel dengan kehidupan di dunia nyata.

Apa pun, hari ini saya dapat menulis entri di sini, dengan gembira. Tahniah kepada pemilik blog tersebut!

Jumaat, Disember 28, 2007

Kematian Benazir Bhutto

Apabila seseorang itu menyertai dunia politik, maka dia juga harus bersedia untuk memikul segala kecelakaan dan kedajalan yang terkandung dalam kewajiban perjuangan. Benazir Bhutto, wanita yang berani menyahut segala malapetaka dalam dunia politik, lalu mati sebagai seorang pejuang.

Benazir Bhutto tidak mati di atas katil, sebaliknya mati di medan perjuangan. Berapa ramai antara kita yang berani memikul beban orang ramai, menjadi pejuang dalam arena politik yang terkenal dengan najis dan derita, dakwat dan darah.

Keluargamu atau masyarakatmu, apa yang kau perjuangkan? Jika mahu kehidupan bahagia, tenteram dan damai tanpa kesibukan mental, jauhi politik, tetapi politik itu sentiasa akan cuba menghidu dan memburu kehidupan setiap manusia. Walau pun kita rakyat yang neutral, yang bencikan politik, juga tidak dapat lari daripada tempiasnya.

Dunia politik adalah peperangan. Sukar membezakan benar atau salah, kerana setiap pihak mendukung cita-cita dan pendirian masing-masing. Benazir Bhutto mungkin mampu hidup, sekurang-kurangnya lebih aman dan tenteram sekiranya dia tidak melibatkan diri dalam politik. Namun dia telah memilih untuk menjadi seorang wanita yang berani, menceburi dunia yang tidak menjamin keselamatan fizikal dan masa depan.

Bagaimana pula kisah Tunku Abdul Rahman, pada suatu ketika dahulu, aman daripada politik, sebelum dia berjuang menuntut kemerdekaan? Sebelum menyerlahkan diri dalam dunia politik, kehidupan Tunku boleh dikatakan sungguh aman, bahagia dan tenteram. Setelah menggubah keputusan untuk memimpin rakyat jelata mencapai kemerdekaan, hidupnya mula dilanda pelbagai rintangan.

Seorang ahli politik, sama ada mengorbankan diri atau mempergunakan orang ramai, kesan baik dan buruk itu tetap harmonis. Setiap tindakannya sama ada mendapat sokongan atau kecaman orang ramai. Niat yang baik tidak semestinya disangka baik, niat yang jahat kadangkala terselindung tidak terbongkar. Bagaikan sekeping syiling emas di dalam segumpal najis, begitu jugalah dunia politik, tidak ada siapa pun yang tahu, di mana letaknya kebenaran.

Keliru... lagi mengelirukan.

Khamis, Disember 27, 2007

Bicara Selepas PMR - Panduan Masuk Ke Tingkatan 4 - Panduan Memilih Bidang Yang Tepat dan Bahagia Untuk Masa Depan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada adik-adik yang baru tamat PMR. Hari ini, akan menjadi suatu hari yang bermakna dalam diri adik-adik. Keputusan PMR mungkin belum dianggap sepenting keputusan SPM, tetapi bagi adik-adik yang sudah bertungkus lumus menuntut ilmu sebelum ini, maka ketahuilah, bahawa adik-adik telah pun menjadikan PMR ini penting bagi adik-adik.

Adakah adik-adik sedar, semasa adik berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa mempelajari pelbagai subjek semasa di Tingkatan 1, 2, dan 3 dahulu, adik sudah pun mengesan potensi adik-adik. Adakah Matematik itu senang atau susah? Adakah Bahasa Inggeris itu mudah difahami? Adakah subjek sains itu mudah untuk adik-adik ikuti? Bahagian manakah yang senang itu? Fizik? Biologi? Kimia? Adakah subjek Bahasa Melayu itu seolah-olah sejiwa dengan diri adik-adik? Sejarah itu cukup untuk menimbulkan penghayatan dalam diri adik-adik? Ilmu perakaunan dalam Kemahiran Hidup menarik tumpuan adik-adik? Sukan sentiasa di jiwa adik-adik?

Jika adik-adik sedar atau sudah pun mengetahui apakah subjek yang paling mudah untuk adik-adik fahami, maka catatkan nama subjek tersebut. Kemudian, teliti pula subjek-subjek yang lain. Asingkan subjek yang mudah untuk adik-adik pelajari, dan subjek-subjek yang susah untuk adik-adik pelajari? Ada yang susah? Tiada? Alhamdulillah, adik-adik telah diberi anugerah yang istimewa.

Ada senang dan ada pula yang susah? Asingkan. Senaraikan subjek-subjek yang senang dan subjek-subjek yang susah secara berasingan.

Setelah adik-adik berjaya menyenaraikan subjek-subjek tersebut, teliti pula gred adik-adik untuk setiap satu subjek tersebut. Matematik, apakah grednya? Kemudian cuba adik-adik hayati, imbas kembali senang atau susahnya subjek tersebut bagi adik-adik. Jika mudah, jika adik-adik sekejap sahaja boleh memahami konsep Matematik, Insya-Allah, peluang adik-adik untuk bahagia dalam bidang Sains amat cerah.

Teliti pula subjek Sains, mudah atau senang? Imbas kembali pembelajaran adik-adik dalam subjek ini? Bayangkan bagaimana adik-adik bermain dengan tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang semasa eksperimen. Tubuh badan manusia. Struktur tulang. Sel, tisu, organ dan sebagainya. Minat? Senang? Suka? Itulah biologi.

Imbas pula pengalaman adik semasa bermain dengan alat-alat eletrik. Mentol. Jam randik. Graf. Rumus laju, halaju, pecutan, tenaga, daya dan sebagainya. Sudut dongak. Sudut tunduk. Pertukaran unit. Joule. Watt. Ohm. Sentimeter. Graviti. Itu fizik. Adik-adik minat? Suka? Mudah faham? Alhamdulillah, adik-adik digalakkan untk mengambil subjek ini sekiranya adik-adik tidak ada sebarang masalah untuk memahami konsep-konsep ilmu fizik.

Imbas pula bagaimana adik-adik bermain dengan perkataan Hidrogen. Oksigen. Karbon Monoksida. Etanol. Imbas kembali bau-bau bahan kimia, tabung uji, penunu bunsen, balang kaca dan sebagainya semasa melakukan eksperimen. Berat emas. Berat atom. Molekul. Itulah kimia. Senangkah adik-adik mengingati rimus-rumus kimia dan unsur-unsur kimia? Sekiranya mudah, adik-adik digalakkan mengambil subjek ini.

Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik. Inilah antara elemen penting dalam bidang Sains Tulen. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi jurutera, ahli sains, ahli biologi, ahli kimia, pakar teknologi, maka subjek-subjek ini perlulah merupakan subjek-subjek yang mudah untuk adik-adik fahami.

Bagaimana pula dengan Kemahiran Hidup? Pertukangan? Perdagangan? Perakaunan? Manakah antara topik-topik dalam subjek Kemahiran Hidup yang mudah difahami? Imbas kembali pengalaman adik-adik semasa mempelajari subjek ini. Inilah kepentingan dan kelebihan bagi adik-adik yang rajin belajar. Adik-adik akan semakin mengenali diri adik-adik.

Sebab itu, semasa di sekolah, tidak kira adik-adik tidak pandai dalam sesuatu subjek. Jangan putus asa, jangan malas dan jangan pula memberontak untuk tidak mahu belajar. Cuba. Sebab dengan usaha adik-adik untuk belajar itulah yang akan menyebabkan adik-adik kenal siapa diri adik-adik dan apakah cita-cita yang paling sesuai dengan diri adik-adik. Berfikiran positif. Jangan kata cita-cita itu susah hendak dicapai kerana ada orang-orang yang di sekeliling adik-adik tidak dapat kerja kerana memilih bidang tersebut. Setiap orang berlainan potensi.

Guru-guru dan ibu bapa adik-adik menyuruh adik-adik rajin belajar bukan kerana adik-adik bodoh, tetapi kerana mahu adik-adik menemui potensi adik-adik. Oleh itu, janganlah adik-adik kata, "Saya bodoh, tak pergi sekolah pun tak apa."

Adik-adik mungkin tidak pandai dalam satu-satu perkara atau subjek, tetapi mungkin dalam subjek yang lain, adik-adik jauh lebih cemerlang berbanding kawan-kawan sekelas. Jangan kecewa dengan keputusan PMR yang tidak sebaik kawan-kawan adik. Lihat apa yang terbaik. Senaraikan gred yang terbaik dan yang paling senang untuk adik-adik pelajari. Adakah adik-adik mudah nampak jalan atau konsep ilmu bagi subjek tersebut? Jika ya, masukkan subjek tersebut dalam senarai subjek yang mahu adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti.

Bincang dengan guru, terutamanya guru kaunseling. Guru kaunseling memiliki banyak panduan berkaitan dengan pemilihan kerjaya. Mereka sudah belajar bagaimana hendak menentukan apakah kerjaya yang paling sesuai dengan personaliti dan bakat adik-adik. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi guru kaunseling atau pakar psikologi, pastikan adik-adik juga berminat dengan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam atau Moral. Beberapa elemen dalam subjek Pendidikan Moral, Sains Sukan dan Kemahiran Hidup juga ada membincangkan mengenai ilmu yang berkaitan dengan bidang psikologi dan kaunseling. Menghayati sejarah adalah penting bagi pakar psikologi.

Belajarlah bersunguh-sungguh semasa di sekolah. Kita belajar untuk mengetahui sejauh mana potensi kita dalam sesuatu bidang. Tidak semestinya kita mendapat 8A dalam PMR bermakna masa depan kita cerah. Salah memilih bidang semasa masuk ke universiti akan membawa padah dan penderitaan yang tidak terkata hebatnya.

Jadi bagi adik-adik yang sudah menghadapi PMR, bersiap sedialah. Gunakan tempoh masa yang ada ini untuk menentukan kembali apa bidang yang hendak adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti. Lihat gred, imbas kembali pengalaman belajar dan senaraikan subjek senang dan susah. Ingat panduan yang Cikgu Amien berikan ini.

Bagi adik-adik yang belum mengambil PMR, ingat pesan Cikgu, belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk semua subjek semasa di sekolah. Kita belajar kerana kita hendak tahu sejauh mana potensi kita, dan bidang apakah yang paling layak untuk kita. Kita belajar kerana kita mahu tahu potensi terpendam dalam diri kita. Usah fikiran kita pandai atau tidak pandai. Kita akan temui bakat sebenar kita apabila kita rajin belajar. Rajinkan diri menuntut ilmu, supaya kita tahu sejauh mana potensi kita dalam sesuatu subjek atau bidang. Apabila bakat-bakat dalam diri sudah temui, maka senaraikan bakat-bakat tersebut untuk dijadikan sebagai faktor penentu masa depan kita. Bakat itu adalah anugerah, hargailah bakat dengan sebaik-baiknya.

Selamat berjaya.

Salam hormat daripada,
Amiene Rev

Rabu, Disember 26, 2007

Adat Kita Budaya Kita Kebanggaan Kita: Melayu VS Jepun

Orang Melayu terkenal dengan sifat rajinnya, sifat kedamaiannya, sifat hormat menghormatinya, sifat pemaafnya dan sopan santunnya. Orang Jepun yang menjunjung adat, budaya dan bahasanya. Orang Jepun sanggup mengorbankan cita-cita dan masa depan demi menjunjung bahasa ibundanya. Orang Jepun tidak gopoh mengejar kemajuan mengikut gaya Barat, biarpun ketika itu, Barat sudah berkembang pesat. Orang Jepun bersusah payah membawa balik ilmu dari Barat supaya ilmu-ilmu tersebut dapat diajar dalam Bahasa Jepun. Sekelip mata sahaja, kerana berkat mengingati asal usul mereka, Orang Jepun mengatasi Barat, dan kini merupakan salah satu negara termoden di dunia.

Mengenangkan semangat orang Jepun, air mata saya seakan-akan mahu menitis, terharu dengan kesungguhan mereka, pengorbanan mereka demi bahasa mereka. Tidak pula mereka membelakangi bahasa mereka dalam hal-hal berkaitan masa depan dan kemajuan. Tidak malu jika saya bermenantukan orang Jepun.

Namun Orang Jepun juga tahu menghormati bahasa lain. Mereka menghargai penggunaan bahasa lain tanpa menjejaskan Bahasa Jepun. Penggunaan bahasa asing dari Barat dan Eropah diselitkan secara terhormat. Menerusi manga dan anime, terdapat istilah-istilah bahasa asing yang mewakili sesuatu objek atau definisi. Ini satu penghormatan.

Maaf, saya bukan menulis karangan untuk peperiksaan. Hari ini saya tertarik untuk mengulas mengenai budaya Orang Melayu. Saya cetuskan satu situasi:

"Wajarkah seorang ibu atau bapa saudara diarahkan berkunjung ke rumah anak saudara, sedangkan anak saudara pula tidak pula pernah menjejakkan kaki ke rumah ibu atau bapa saudara?"

Sungguh mengejutkan dunia hari ini apabila anak saudara dianggap lebih terhormat berbanding ibu atau bapa saudara. Juga dalam kes:

"Wajarkah seorang guru diminta mengunjungi anak murid yang telah berjaya, sedangkan anak murid itu sendiri tidak pernah lagi mengambil tahu hal gurunya yang pernah berjasa?"

Begitu juga dengan kes mangsa banjir yang sudah dibantu dengan makanan dan minuman, tetapi mereka tanpa segan silu meminta makanan yang lebih enak sehingga pihak kebajikan banjir terpaksa menghabis minyak kenderaan membeli barang-barang makanan yang tak kalau tak dibeli pun tak mengapa. Satu perkara yang mungkin kedengaran agak kelakar tetapi betul-betul berlaku di suatu tempat di Pantai Timur.

Satu perkara lagi, dahulu telah datang sekumpulan anak muda memberi pendidikan percuma kepada anak-anak di sebuah kawasan perumahan tempatan. Kemudian pada musim yang seterusnya, ada seorang dua ibu bapa dengan riak muka angkuh bertanya bila lagi mahu mengadakan pendidikan percuma untuk anak-anak mereka seolah-olah anak-anak muda ini, seolah-olah anak-anak muda itu adalah pekerja mereka pula. Mereka lupa bahawa anak-anak muda itu semuanya melakukan kerja-kerja ini secara sukarela tanpa arahan sesiapa, tetapi mereka menganggap anak-anak muda ini melakukan kerja-kerja tersebut kerana dipaksa.

Sabtu, Disember 22, 2007

Akan Kucari Penawar Bagi Racun Ini - Jika Tidak Kutemui, Maka Biar Kucipta Vaksinnya

PENTING: Terutama, kepada adik-adik yang ada menghantar puji-pujian kepada saya, harap jangan berkecil hati dengan penggunaan perkataan racun dan godaan di dalam entri ini. Saya menulis sedemikian rupa, sebagai memberi peringatan kepada diri saya supaya jangan mudah tenggelam dengan puji-pujian, jangan berhenti memajukan diri dalam bidang penulisan. Sesungguhnya masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. Masih banyak perkara yang perlu saya terokai. Ilham dan idea itu datangnya daripada Tuhan yang satu.

"Kiranya anda mengirimkan racun dan bisa (puji-pujian) kepada saya, jangan lupa kirimkan penawarnya sekali (ulasan/kritikan yang membina dan dapat meningkatkan hasil penulisan saya)" - Amiene Rev, 1.49 pagi, 22 Disember 2007.

Baru-baru ini, jiwa saya mula makin serius dengan bidang penulisan. Ketika itu juga ujian (godaan) datang kepada saya. Ujian ini berbentuk racun (puji-pujian). Racun ini bukan untuk Tuhan, tetapi untuk manusia (hamba-Nya).

Telah datang beberapa anak muda (saya juga masih muda mentah), mereka membaca karya-karya penulisan saya, catatan saya, dan kemudian menggoda saya supaya menjadi pendeta, memberi tunjuk ajar dalam penulisan sastera. Lalu saya katakan, saya masih mentah, tidak memiliki tiket untuk bergelar guru, biarpun karya saya pernah disiarkan di dalam majalah, ketika usia saya masih belasan tahun.

Anak-anak muda ini mengirimkan pelbagai jenis racun:

  1. Racun tokoh terkenal - mengatakan karya-karya saya sudah seperti tokoh terkenal
  2. Racun legenda - mengatakan karya-karya saya sudah seperti karya sasterawan lagenda (Shakespear dan lain-lain).
  3. Racun perindu - mengatakan karya-karya saya sedap dibaca
  4. Racun-racun yang belum dikenalpasti
Anak-anak muda ini kemudian datang kepada saya untuk berguru kepada saya. Mereka memberi kepercayaan kepada saya, lalu mengirimkan karya-karya mereka kepada saya untuk diulas. Saya memasang niat, sekiranya saya menolak permintaan mereka, maka saya telah mengecilkan hati mereka, tidak berusaha membantu memperkasakan sastera, tidak mendorong mereka supaya meminati penulisan dan beberapa perkara yang tidak enak lagi.

Lalu, saya memutuskan, untuk meningkatkan lagi ilmu saya dalam bidang-bidang seperti ini. Kepada adik-adik yang belum mendapat balasan dari saya, jangan pula berkecil hati. Sejak akhir-akhir ini saya sangat sibuk mendalami ilmu penulisan, demi adik-adik semua, yang yakin dengan kebolehan saya.

Saya akan berusaha untuk memastikan karya-karya saya dalam bentuk puisi melakarkan dakwat dalam media-media tempatan. Ketika karya-karya saya mula diterima media (yang saya yakini, diusahakan oleh pakar dan ahli dalam bidang puisi), ketika itu saya pasti akan memenuhi permintaan adik-adik semua, memberi tunjuk ajar dalam bidang penulisan puisi.

Adik-adik sekalian, maafkan saya. Saya pada masa ini, belum layak untuk menjadi guru buat adik-adik. Saya belum mencapai tahap seperti yang telah adik bayangkan. Belum lagi ada pengalaman yang cukup dalam untuk terus merencanakan hasil karya adik-adik dalam bentuk ulasan dan tunjuk ajar. Sekiranya saya memberi tunjuk ajar juga, saya tidak jamin apa yang saya ajar itu dapat membantu adik-adik meniti di jambatan yang betul. Mungkin adik-adik akan terpijak papan reput, lalu jatuh ke dalam gaung.

Untuk itu, saya akan memajukan lagi diri saya supaya dengan adanya pencapaian, pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang penulisan, saya tidak lagi risau sekiranya tercipta mazhab palsu untuk adik-adik.

Saya akan mula mengisi sampul-sampul, setiap satu sampul dengan satu puisi, kemudian menampal setem, dan kemudian menunggu puisi-puisi itu tersiar di majalah dan akhbar. Sekiranya tidak tersiar, maka selagi itulah saya belum layak untuk memberi tunjuk ajar kepada adik-adik dalam bidang ini. Belum praktis.

Sekian, terima kasih.

Isnin, Disember 17, 2007

Seorang Lelaki Cina

Dahulu, saya sentiasa berhasrat untuk pergi ke pasar malam yang berada di satu kawasan perumahan. Saya tidak pernah pergi ke pasar malam itu. Jadi, pada suatu hari, saya pun berkesempatan untuk pergi ke sana.

Semasa sedang menunggu bas ketika hendak balik, seorang lelaki Cina, berusia sekitar 35 tahun menegur saya. Dia bertanya jam pukul berapa ketika itu. Sebenarnya pada waktu-waktu begini perlu berhati-hati sebab kawasan ini juga terkenal dengan kes-kes jenayah. Baru-baru ini (pada tahun itu) ada berlaku kes pembunuhan bersiri, di mana seorang amah warga Indonesia dikelar lehernya di kawasan itu.

Kemudian dia meminta wang tambang bas sebanyak 50 sen. Wangnya tidak cukup. Dia tidak makan apa-apa hari ini kecuali air teh.

Saya pun memberikannya duit syiling 50 sen. Memandangkan bas yang akan saya naik melalui tempat yang ingin dia tujui juga, maka kami naik bas bersama-sama.

Lelaki Cina itu sedang menunggu seseorang di tempat yang bakal kami tujui. Menurutnya dia sudah berjanji untuk bertemu dengan seorang agen pekerjaan. Agen itu berjanji akan bertemunya di suatu tempat yang akan kami tujui selepas ini.

Di dalam bas dia bercerita mengenai kisahnya semasa zaman mudanya. Dia memberitahu mengenai latar kehidupannya yang susah. Dahulu dia bekerja sebagai pemandu lori haram. Dia juga bercerita susah payah kehidupannya untuk mengelak sekatan polis dan lain-lain.

Jadi sekarang apa yang dia hendak buat? Dia mencari pekerjaan baru. Dia sangat lapar dan dahaga. Dia mengajak saya pergi minum teh. Saya pun memberikan mi goreng yang saya beli kepada dia. Mi goreng sebungkus. Sebenarnya mi goreng itu saya beli kerana saya kasihan melihat mak cik penjual mi goreng yang jualannya tidak laku di pasar malam tadi. Harganya pun cuma seringgit. Ayam goreng yang berharga RM1.50 itu saya simpan untuk makan malam. Sebenarnya, saya sudah lama mengidam mahu makan ayam goreng tepung yang dijual di pasar malam. Itulah tujuan saya ke pasar malam tersebut.

Semasa turun dari bas, saya mengajaknya pergi ke Jusco. Hari itu hari Ahad. Saya membawanya berjalan-jalan sekitar Jusco. Ada banyak gerai promosi makanan dan minuman. Saya mengajaknya mencuba semua makanan dan minuman percuma di gerai promosi.

Saya memberitahu lelaki Cina itu, beginilah kehidupan saya. Saya seorang pelajar. Saya juga tidak ada duit yang banyak. Kadangkala pada hari Sabtu dan Ahad, saya akan keluar menaiki bas universiti untuk merasa makanan percuma di sini.

Selepas itu saya pun memberitahu lelaki Cina itu, saya ingin meminta diri. Bas universiti pasti sudah menunggu. Jika saya lambat, saya akan ketinggalan.

Sebelum beredar, saya mengucapkan "Semoga Berjaya mendapat pekerjaan yang dicarinya." kepada lelaki Cina itu. Air muka lelaki Cina itu kelihatan berubah.

Lelaki Cina itu berkata, "Apabila saya sudah kaya nanti, saya pasti balas budi kamu."

Saya tersenyum dan beredar pergi. Kehidupan ini mudah, tetapi kerana maruah dan hasrat, segala-galanya berubah menjadi suatu perkara yang mencabar.

Ahad, Disember 16, 2007

DIA CINTA kita, Amiene Rev

Sejak akhir-akhir ini, dia tidak pernah cuba untuk mendekati kita. Kita tahu dia tidak menyayangi kita. Kita tahu dia tidak mencintai kita. Kita tahu siapa diri kita. Kita lepaskan dia pergi. Kita tidak mahu dia terus terikat dengan kita.

Setiap hari, kita menunggu dia datang kepada kita, sekadar bertanyakan sesuatu, tetapi dia tidak pernah datang. Kita tahu kita sedang kesunyian, dan kita tahu siapa teman sebenar kita ketika kita kesunyian, kesusahan, kesedihan.

Kita tahu kita tidak layak untuk dia. Kita tidak layak untuk membimbing dia. Kita tidak layak untuk memimpin dia. Kita tidak layak untuk menjadi sesuatu apa pun bagi dia. Kita bersendirian di sini. Kita berjuang seorang diri di sini. Cuma ada DIA.

Kita menunggu dia-dia pula. Dia-dia yang kita anggap sebagai anak kita, darah daging kita, saudara kita. Dia-dia semuanya tidak datang juga. Dia-dia juga sudah lupa akan kita. Setiap hari kita menjenguk dia-dia tetapi dia-dia seolah-olah tidak mengetahui kehadiran kita. Ada antara dia-dia yang datang menjenguk kita kembali tetapi dia-dia tidak pernah menegur kita lagi.

Dia-dia sudah tidak perlukan kita lagi. Kita sendirian. Kita susah, kita sedih, kita tanggung sendiri. Kita sudah dia tinggalkan.

Dia-dia tidak akan ambil tahu semua ini. Dia-dia tidak akan baca semua ini. Dia-dia sudah lupa akan kita. Dia juga sudah lupa akan kita...

tetapi...

DIA tidak lupa akan kita. DIA sentiasa ingat kita. DIA sedang menguji kita. DIA sedang menguji Amiene Rev. DIA menyayangi Amiene Rev. DIA sentiasa memaafkan kesilapan Amiene Rev. DIA sentiasa memberi peluang kepada Amiene Rev. DIA sayang orang lain juga. DIA makin sayang kepada Amiene Rev kalau Amiene Rev sentiasa ingat akan DIA. DIA satu-satunya tempat kita mengadu. DIA satu-satunya tempat kita berserah. DIA satu-satunya penakluk hati kita.

Dulu kita cintai dia. Dia sekarang sudah lupa kita. Dulu kita sayangi dia-dia. Sekarang dia-dia juga sudah tinggalkan kita...

tapi jika dulu kita cintai DIA,
tapi jika dulu kita tidak cintai DIA,
tapi jika dulu Amiene Rev cintai DIA,
tapi jika dulu Amiene Rev tidak cintai DIA,

DIA tetap beri CINTA DIA kepada kita,
SAYANG DIA kepada kita,
CINTA DIA kepada kita Amiene Rev
SAYANG DIA kepada Amiene Rev

Sebab DIA sentiasa sayang kepada kita, Amiene Rev.
Dia tidak kekal, dia-dia juga tidak kekal.


Catatan terakhir Amiene Rev untuk kita, sebelum mengorak langkah, menjadi novelis terunggul di dunia. 3.41 pagi, Sabtu, 16 Disember 2007.

Dan ketahuilah, tidak ada satu pun kekal, selain ilmu yang berguna dan amal yang ikhlas dari hati yang beriman, yang takut dan tunduk kepada DIA.

And then, I heard that someone is calling my name, did I?

I realized that, he the one who understand what it mean to be lonely. To fill his life with loneliness, and only his past as a sinner, he continue this life without any supporter.

Everyday, he wait for a supporter to come, to send a message of speech that can motivate him, but the word never come from the people he knew. He keep waiting for a talk, but nobody send him e-mail, about asking, about caring him. Nobody care. Or perhaps, the people, already lost all the memories about him. His name was no longer in their heart.

And he try to be strong, to be gallant. Strong enough so that he can stand on his own path.

Then... he realize that he really that strong. Nobody ask about his name, nobody ask about what his problem and how if there still exist any solution that can help him, to understand the true nature of life.

I found him, crying, sitting on his mobile chair of rebellion, struggling to walk. He called this so called friend name of mine in his blog, so that I can continue inspire him as an idol.

For that reason, I return to this world of journalist, as a blogger. Perhaps, for just one day of today.

One day he asked me, "Do you know Amiene, that when I wrote this part of novel, nobody in my family, either my friend encourage me, support me with morale or anything. I am the only man existed to support myself. As these words spread into my paragraphs, I put my love to my family and my friends, even they do not know that I am writing a novel."

I was continue to listen to him, as I have no word to spell, and no speech that I would think that I can motivated him.

"Do you know Amiene, that when I wrote this novel, I put my love to every knowledge that I gained, and I heard whispers of those knowledges. They said, spread us, spreads us into your book, so that we can help people, to achieve a new chapter of civilization."

Since then, I have no words, because then I realized that even I do not speak to him, but he, already speak to me...

and...

and I was HIM... for every moment that has passed. The only sadness that appears right into my soul, was me alone, the one who keep motivated myself.

Did I?

There are nobody, but me.

Did I?

Selasa, Disember 11, 2007

Radio THR FM Gegar Internet - http://thr.fm/gegar


Official Website: http://thr.fm/gegar/
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com

Radio Sinar FM Internet - http://www.sinar.fm/


Official Website: http://www.sinar.fm
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com 

Radio Mix FM Internet - http://www.mix.fm


Official Website: http://www.mix.fm/
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com

Radio Lite FM Internet - mms://rs5.radiostreamer.com/AMP_LITE


Official Website: mms://rs5.radiostreamer.com/AMP_LITE
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com

Radio Hitz FM Internet - www.hitz.fm


Official Website: www.hitz.fm
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com

Radio Nasyid FM Online - www.nasyidfm.my


Official Website: www.nasyidfm.my
Radio Blog dukeamienerev.blogspot.com