BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 23, 2006

BLOG OKU: Nostalgiaku *Hitam Putih Warna Kehidupanku*

Klik pada gambar ini untuk membuka blog Kassim Selamat."Pernahkah kau bermimpi seketika
berada di tempat ku
membayangkan pahit manis berlaku
tak siapa yang tahu..."

Begitulah lirik lagu Biarlah Rahsia dendangan Siti Nurhaliza menjadi permulaan kata untuk ulasan blog kali ini. Sebabnya, bila terpandang sahaja wajah empunya blog, teringat pula saya kepada Datuk K. Ada iras-iras ya? Maaf, Saya bergurau sahaja. Tak marah? Kalau marah nanti kena jual (adaptasi dialog dari salah sebuah filem P. Ramlee).

Seperti biasa, para pembaca boleh klik pada gambar Kassim Selamat aka P.Ramlee yang dimuat kan ke dalam entri ini untuk mengunjungi blog beliau.

Dirinya diperkenalkan sebagai Kassim Selamat, simbolik terhadap pengalaman yang telah mengisi hari-hari lalunya. Kenangan silih berganti dengan renungan terhadap masa depannya. Inilah blog Kassim Selamat, blog yang menceritakan kisah-kisah hidup yang masih kekal dalam ingatannya.

"Aku insan kurang upaya (OKU)
tiada yang istimewa ada pada diriku,
hanya sekujur tubuh kaku yang layu,
sekeping hati yang lesu dan pilu,
secebis kenangan lalu dan sebuah kerusi roda milikku. "
Puisi di atas dipetik dari profil Kassim Selamat.

Benar-benar, jika anda ingin memahami dunia Orang Kurang Upaya, blog ini adalah boleh dianggap sebagai satu sumber rujukan untuk anda. Luahan hati manusia yang tabah menerima takdir ketentuan Tuhan. Ekspresi dan pandangan dari sudut orang kurang upaya, kita yang masih normal dan sihat ini belum tentu dapat melaluinya. Merasai pengalamannya. Menghayati erti penghargaan buat orang yang tersayang, yang telah mengorbankan waktu dan hati untuk dirinya. Ini adalah satu luahan yang tercurah menerusi blog yang perlu anda hayati.

Saudara Kassim Selamat telah lumpuh dari paras dada ke bawah dan disahkan doktor mendapat kecederaan saraf tunjang (SCI) dari C2-T5. Kassim Selamat memiliki Combinya sendiri yang menjaga makan minumnya. Cukup setia wanita tersebut, semoga syurga di akhirat akan menerima jejaknya. Kunjungi blog ini dan sama-sama kita memberi sokongan moral kepada beliau.

Sementara itu, baru-baru ini di dalam surat khabar, ada tersiar mengenai teknologi bionik. Cip-cip ditanam di dalam anggota-anggota badan tertentu untuk membolehkannya digerakkan dengan daya fikiran. Ini adalah suatu harapan untuk mereka yang tidak bernasib baik - lumpuh anggota badannya.

Buat masa ini, proses pemilihan dan pengubahsuaian kriteria belum siap sepenuhnya, maka saya akan ulas blog ini berdasarkan kriteria yang lama. Nampaknya saya cukup teruja untuk mengulas blog ini.

REKABENTUK BLOG: Bagus
Laman Web serba hitam ini dihiasi dengan lagu, membayangkan kesunyian Kassim Selamat dalam hidupnya. Walau pun Combi berada di sisi, namun siapa yang boleh menduga dalamnya kesunyian Kassim Selamat. Kesunyian terhadap masa depannya, gelap, hitam seakan hitam warna blognya.


BAHASA DAN PENULISAN: Sangat Bagus!
Mungkin berdasarkan apa yang ditulisnya, saya patut mengemukakan teori sebegini: Jika ada di kalangan pembaca yang ingin menjadi penulis terbilang, perlu melalui jalan hidup penuh derita dan sengsara, agar kelak akan dapat diwarnakan menerusi kalam tulisan. Mengenai hatimu, jiwamu, pendapatmu menerusi tajamnya mata pena dan lidah yang berkata-kata.

Bahasa dan gaya penulisan yang digunakan oleh penulis adalah Bahasa Melayu yang mengandungi elemen sastera. Saya ada cadangan untuk menemukan penulis ini dengan penerbit buku tempatan yang saya kenal. Harap-harap berjaya. Kisah hidupnya menarik untuk dibukukan.


ISI KANDUNGAN: Sangat Bagus
Kisah hidup yang tragis dan bait-bait kata luahan hati adalah elemen utama yang menjadi kekuatan dan teras yang menyokong blog Kassim Selamat ini. Ada juga kisah-kisah yang berkaitan dengan pahit manis beliau semasa bergiat dalam dunia politik dan reformasi, namun saya rasa tidak ada unsur-unsur hasutan. Gambar-gambar berkaitan dengan dunia politik merupakan antara paparan kegemaran penulis blog ini. Blog ini secara positifnya memaparkan pengalaman-pengalaman tersebut dengan tersiratnya kesedaran dan keinsafan buat para pembaca.

Juga, saya tertarik dengan sisipan beberapa e-mel sokongan moral yang dikirimkan oleh rakan-rakan 'seperjuangan' beliau yang turut tabah menghadapi dunia ini. Pelbagai pengetahuan dan ilham yang dapat saya kutip menerusi entri-entri dalam blog ini.

Fokus blog ini tidak lari dari tema asal blog ini, iaitu kisah hidupnya sebagai OKU. Isu-isu semasa dan peristiwa dunia yang lepas-lepas dikaitkan dengan kehidupan beliau secara bijaksana.

Turut diceritakan usaha-usaha untuk memulihkan dirinya, juga mengenai isterinya yang tabah. Pernahkah anda terfikir, jika anda berada di tempatnya?


TAHAP KEMASKINI: Mingguan
Boleh dikatakan mingguan. Masalah kesihatan dan kekurangan yang dialaminya tampak bukan penghalang untuk menjadi seorang penulis. Inilah kelebihan menjadi penulis, walau pun buta mata sekali pun (cuba rujuk e-mel salah seorang OKU yang dikirimkan kepada beliau), walau pun lumpuh sekali pun, tidak akan memadamkan mata hati.

Mata hati ini akan menjadi api lilin yang menyala dalam kegelapan, menunjukkan panduan kepada orang ramai. Panduan mengenai kehidupan dari aspek yang penuh derita. Bagaimana, kekuatan hati dan ketabahan diri itu diuji. Kebesaran Tuhan dapat dirasai.


JARINGAN UMUM: Sedikit
Tidak banyak jaringan umum yang ditemui. Saya suka dengan Wikipedia.

JARINGAN BLOGGER: Sedikit
Tidak terdapat banyak jaringan blogger di sini. Mungkinkah yang terdapat di sini adalah teman-teman yang paling rapat dengan diri beliau? Berdasarkan entri-entrinya, saya dapati perkara ini adalah benar. Ini menunjukkan betapa Kassim Selamat menghargai orang-orang yang menjadi temannya. Ada juga blog Azuna - Dayang Senandung yang sedang dalam perhatian saya. Ngeh heh hee...

KOMEN PEMBACA: Sangat sedikit.
Tidak begitu banyak komen oleh pembaca. Namun sokongan moral banyak diberikan dalam entri utamanya yang berjudul "Salam Hormat Daripada Kassim Selamat"

Apa pun, itulah apa yang dapat saya ulaskan mengenai blog ini. Ini pandangan saya, pandangan orang lain saya tidak tahu. Juga saya menyeru jika para pembaca ada komen tambahan untuk entri ini, atau berkaitan dengan blog ini, sila gunakan ruangan komen entri, bukan di Peti Jerit. Peti Jerit untuk pendapat, perbualan atau perbincangan yang tidak ada kaitannya dengan entri. Sebab bimbang komen-komen anda yang berharga untuk dirujuk itu hilang ditelan zaman. Tidak kekal.

Sekian. Selamat malam.