BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 17, 2006

Remp-It: Filem Panas Penuh Aksi

Filem Remp-It kini telah mengganas di pawagam dengan selambanya. Adakah anda sudah menonton filem ini atau sedang menanti VCD cetak rompaknya keluar? Saya harap akan ada pihak yang akan melekukkan kepala anda jika anda berbuat demikian. Ini kerana filem Remp-It penuh dengan aksi, lagu tema rock yang mengasyikkan. Sokonglah industri filem Malaysia. Macam mana Malaysia nak hasilkan filem aksi sebegini kalau asyik kena cetak rompak? Duit pulangan penting untuk menjana ekonomi negara menerusi industri perfileman Malaysia!

Sebenarnya pada hari Rabu itu, ada diskaun untuk tiket. Kalau tak, saya takkan pergi. Lebih baik saya beli buku yang ada kaitan dengan intelektual. Ilmu kena tingkatkan juga. Jangan asyik nak tengok filem sahaja. Namun, menerusi filem juga kita boleh mempelajari sesuatu. Remp-It adalah sebuah kisah mengenai gejala sosial masa kini di Malaysia, negara kita yang tercinta. Banyak sindiran dan teguran halus yang dimuatkan dalam filem Remp-It ini, cuma mereka yang berakal sahaja yang akan dapat membongkar siratannya. Ya, saya tahu anda semua berakal. Kalau tidak, anda takkan faham apa yang saya tulis di sini.

Saya menyaksikan filem Remp-It sebab saya ingin menghayati budaya Mat Rempit di negara ini. Saya mahu lihat bagaimana dunia Mat Rempit dan Minah Rempit mampu melukakan hati saya, membimbangkan pemikiran saya mengenai dunia akan datang. Ya, benar. Filem Remp-It berjaya 'mengguris' hati saya menerusi keruntuhan akhlak dan moral yang paparkan.

Filem Remp-It tak kurang hebatnya jika nak dibandingkan dengan cerita Barat yang berjudul "Fast and Furious". Saya mengakui tertarik dengan aksi-aksi pelagak ngeri yang ditonjolkan dalam filem Remp-It. Mereka memang pandai berlagak. Berlagak ngeri. Sungguh ngeri. Aksi pertarungan antara pengawal keselamatan dengan mat-mat rempit TZM juga diadun dengan baik. Pertunjukan sarkastik oleh mat-mat rempit juga sangat menarik. Ada adegan Mat Rempit berdiri tanpa memegang handle motosikal sambil meluncur laju. Adegan yang paling banyak ialah adegan memandu motosikal dengan tayar depan terangkat.

Cerita Remp-It banyak memaparkan aksi perlumbaan. Setiap aksi perlumbaan disertakan dengan lagu tema yang rancak dan saya sangat sukakan lagu itu. Rock! Tak kurang juga aksi panasssssss! Berapi! Bertambah berapi dan menyinggung perasaan dengan lagu tema yang mengiringi adegan astagfirullahalazim tersebut. Saya rasa filem ini lebih sesuai jika diklasifikasikan sebagai filem 18SX/SG. Namun budak-budak zaman sekarang memang cepat 'pandai'. Zaman teknologi maklumat katakan. Astagfirullahalazim.

Adegan yang paling memanaskan hati adalah ketika Spark (lakonan Zul Huzaimy) dan rakan-rakannya membelasah Madi (Farid Kamil). Gaya Spark yang agak gila-gila, lucah dan ala-ala bapuk penggoda, juga adegan membakar motosikal merah kepunyaan Madi dengan api rokoknya boleh menyebabkan ada di antara penonton berasa geram dan marah. Tahniah Zul Huzaimy, lakonan anda sebagai watak antagonis dalam filem itu boleh diterima pakai! Dalam kegelapan panggung itu dapat saya tangkap suara-suara panas penonton yang marah-marah dengan tingkah laku Spark.

Penggunaan kamera juga adalah baik. Namun saya percaya fokus kamera masih boleh diperbaiki dan dipelbagaikan lagi. Aksi-aksi perlumbaan di kawasan rumah kedai (Hebat ya! Menyelit dekat simpang-simpang kecil rumah-rumah kedai!). Ada kepelbagaian jugalah. Rasanya tak ada adegan yang dibentuk menerusi imej janaan komputer.

Secara keseluruhannya, lakonan para pelakon dalam filem ini ada kekuatannya. Kesesuaiannya dari segi pembawaan watak dapat diterima. Cat Ruffedge, selaku Macha, kawan baik Madi dan lakonan Osman Kering berjaya mencuit hati para penonton. Begitu juga dengan Khatijah Tan. Hebat. Arahan yang hebat. Lakonan gedik Julia Hana sebagai Ieka juga boleh tahan

Sebelum itu saya mahu MENGUSIK para pelakon dan pengarah filem Remp-It dengan anugerah-anugerah berikut:

Anugerah Pelakon Paling Gedik Sebab Main Kayu Tiga Empat Lapan:
Julia Hana

Anugerah Pelakon Paling Nak Kena Hentam Sebab Jahat Sangat:
Zul Huzaimy

Anugerah Pelakon Paling Badut:
Cat Ruffedge

Anugerah Pelakon Paling Pandai Bohong Maknya:
Farid Kamil

Anugerah Pelakon Paling Selamba:
Aqasha

Pengarah Filem Paling Beridea Ganas:
Ahmad Idham

Pelagak Ngeri Paling Kamikaze:
Semua Stuntman dalam Remp-It
(hidup dunia stuntman Malaysia - sebesar-besar penghargaan untuk anda kerana membantu menghiburkan para penonton dengan aksi dan pengorbanan anda)

Penerbit Filem Paling Berani:
Metrowealth Production


Lagu Tema... masa tu saya dah keluar pawagam,. Tak sempat tengok apa namanya. Tapi lagu tema dia memang sesuai dengan filem ni. Tahniah. Tahniah! Tahniah! Tahniah kerana menang anugerah khas juri untuk kategori pelagak ngeri paling menyerlah di Festival Filem Malaysia ke-19 baru-baru ini.




Awas! Adegan ini tidak ada dalam Remp-It. Tak ada siapa nak jemput orang tua ni masuk filem. Tak laku nanti siapa susah. Saya harap video di atas tidak menjatuhkan rating blog saya.

Akhir kata, renung-renungkan. Di negara kita, masih ada mat rempit. Di Lebanon, remaja sebaya mat rempit dan minah rempit menderita. Di sini kita menangis melihat anak-anak remaja kita cacat dan terkorban kerana merempit. Di sana, ibu bapa dan anak-anak yatim piatu mengalir air mata sayu lagi rindu mengenangkan kehilangan orang yang dikasihi.

Sama-sama kita doakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia. Ya, Allah, jadikan kami dan seluruh warga Malaysia dalam golongan orang-orang yang beriman.