BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 27, 2006

Siti (TV3) VS Mawi (RTM + Astro): Rasionalnya?

Adakah Media Elektronik adalah ruang Untuk Artis dan Hiburan Semata-mata? Ini adalah satu persoalan yang harus berani dijawab oleh pihak stesen televisyen tempatan.

Hari ini kita sekali lagi melihat bagaimana dua kuasa besar dalam dunia penyiaran negara, iaitu RTM dan Astro "berperang rating" dengan TV3 menerusi dua kisah percintaan artis popular tanah air. RTM dan Astro mempertemukan Mawi dengan tunangnya, Ina secara sidang video di udara, sementara TV3 mempertaruhkan liputan secara langsung persandingan Siti Nurhaliza dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Apakah sajian-sajian begini dapat membantu dalam membentuk intelektual dan daya fikir kritis di kalangan masyarakat kita? Atau, cuma sekadar meningkatkan rating dan populariti pihak televisyen tempatan supaya dapat diterima ramai?

Dunia hari ini nampaknya semakin terdesak dengan gelombang populariti dan rating. Kita dapat lihat fenomena undi popular dan program realiti TV yang semakin bercambah. Saya menyokong program realiti televisyen sebab dari situ kita dapat cungkil bakat-bakat penduduk tempatan untuk diperbaiki dan diperkembangkan lagi agar dapat memberi sumbangan kepada negara.

Misalnya program televisyen seperti MyTeam adalah satu program yang sangat saya puji. Ini adalah satu bentuk kebijaksanaan yang terbaik setakat ini untuk sukan bola sepak negara. Hasilnya, semua pemain-pemain yang dicungkil bakatnya kini berjuang dalam landasan Piala Malaysia. Tahniah MyTeam! Tahniah kepada semua yang terlibat dalam penerbitan MyTeam.

Saya tidak nafikan betapa hebatnya gelombang Akademi Fantasia dan Malaysian Idol dalam mencipta bintang-bintang segera untuk memberi sumbangan kepada negara. Jaclyn Victor dan Mawi antara nama-nama pantas menjadi tersohor dalam dunia hiburan negara. Selain mengisi ruang-ruang ikon remaja, mereka membawa mesej dan kempen yang positif untuk mengubah masyarakat kepada lebih baik.

Apakah yang dimaksudkan bintang segera? Ya, inilah yang perlu kita semua sedar. Mawi, Jaclyn, Saiful Apek dan Skuad MyTeam adalah antara mereka yang bernasib baik kerana di negara ini telah disediakan ruang bagi mereka untuk mencipta masa depan yang gemilang menerusi program-program televisyen yang berpusatkan kepada Kecerdasan Pelbagai yang mereka miliki. Ini adalah berdasarkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang diasaskan oleh Howard Gardner.

Jaclyn, Mawi dan Saiful Apek masing-masing memiliki kecerdasan muzikal, interpersonal, intrapersonal yang mampu membawa mereka maju terus ke hadapan menyaingi artis-artis sedia ada. Ini yang disebut sebagai pakej. Mereka memiliki pakej kecerdasan tersebut.

Bagaimana pula dengan MyTeam? kecerdasan Kinestatik adalah faktor utama, digabung pula dengan kecerdasan intrapersonal, maka lahirlah satu skuad bola sepak segera yang mampu memberi cabaran terhadap pasukan sedia ada di peringkat kebangsaan.

Ini bukan suatu yang mengkagumkan buat saya. Masalahnya, bila kerajaan mahu sedar? Bila stesen televisyen kita mahu bebas dari kebutaan? Atau mereka belum cukup berani untuk melaksanakan perubahan?

Cuba lihat The Apprentice, apakah elemen kecerdasan pelbagai yang ditumpukan dalam program tersebut? Saya boleh juga berbangga dengan Explorace, Bicara Siswa, Debat Perdana, Nescafe Kick Start dan Akademi Al-Quran. Tidak lupa juga Malaysian Top Host. Kesemua itu menguji kecerdasan pelbagai dalam cabang-cabang yang lain.

Bila lagi mahu adakan program yang menguji cabang kecerdasan yang lain secara fokus seperti logik matematik, spatial, verbal, kinestatik, naturalis, interpersonal dan intrapersonal.

Bangkitkan lebih ramai Adiputra, lebih ramai Nicol David, lebih ramai bakat-bakat baru menerusi program berpusatkan kecerdasan pelbagai. Jangan sekadar mencari penyanyi, artis dan penghibur. Berikan harapan dan keyakinan generasi hari ini bahawa Malaysia mampu melahirkan lebih ramai ikon dalam pelbagai bidang kerjaya untuk memberi sumbangan terhadap masyarakat dan negara. Juga dunia!


PST: Mat Rempit juga memiliki bakat terpendam yang boleh diperkembangkan. Cari nilai positif dalam diri mereka untuk dikembangkan. Ada jurutera dari luar negara kagum dengan kebolehan Mat Rempit tempatan mengubahsuai enjin motor biasa supaya mampu memecut dengan kelajuan yang di luar jangkaan.