BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 30, 2006

BLOG: Abah Mui'zz - Cerita tentang hidup... dan kehidupan

Seperti biasa, klik pada imej ayah dengan bayi ini untuk ke blog abahmuizz. Kita baca apa Abah Muizz tulis. Entah kenapa, bila saya baca entri-entri dalam blog Abah Muizz ini, saya rasa seperti sedang merenung sesuatu. Ya, blog ini penuh dengan kata-kata yang bernada lembut, kata-kata berunsur nasihat yang direfleksikan daripada pengalaman peribadi Abah Muizz sendiri.

Ini adalah blog jurnal peribadi. Saya suka dengan gaya penulisannya. Mesej yang disampaikannya boleh membuatkan kita berfikir. Blog yang penuh dengan pengajaran.

Berdasarkan maklum balas terbaru, saya dapati ada sesetengah pembaca yang tidak suka kalau saya menggunakan gaya-gaya tertentu. Maka bermula daripada entri bertajuk "Kritik Blog Anda?", saya akan menggunakan satu gaya utama untuk mengulas blog-blog anda. Namun tujuannya tetap satu, walaupun anda mahu blog anda dikritik secara pedas, atau cara lembut, saya tetap akan cuba memberi kritikan dan ulasan yang membina. Sebabnya, saya sudah pun memberitahu para pembaca dalam entri-entri sebelum ini mengenai tujuan saya mengkritik blog. Ada sebab-sebab tertentu yang positif untuk kebaikan masyarakat semua. Berbalik semula pada ulasan saya untuk blog ini.


REKABENTUK BLOG: Biasa
Rekabentuk asasi blogger. Tidak ada sebarang ubahsuaian yang ketara.


BAHASA DAN PENULISAN: Bagus
Bahasa dan gaya penulisan Abah Muizz menarik perhatian saya. Gayanya yang bersahaja dan menenangkan. Sejuk. Lembut. Namun dalam sejuk dan lembut itu ada ketajamannya. Kaedah yang digunakan oleh Abah Muiz ialah menyelit isu semasa atau kehidupannya, kemudian dibalut dengan iktibar. Menarik.

Membaca blog ini seolah-olah membaca surat Abah Muizz yang ditujukan kepada saya, mungkin kita. Tulisannya seolah-olah berinteraksi dengan pembaca. Bagus.

Bahasa yang digunakan tidak 100% Bahasa Melayu rasmi, masih ada rojak. Ada juga bahasa singkatan dan bahasa percakapan harian.

Saya tahu saya tidak boleh memaksa para penulis blog untuk menulis dalam Bahasa Melayu yang betul. Sebab setiap orang mempunyai tujuan penulisan yang berbeza. Ada yang menjadi blogger semata-mata untuk meluahkan perasaan, menghilangkan tekanan atau mengisi masa lapang. Namun, saya benar-benar berharap agar para blogger cuba sedaya upaya untuk menggunakan bahasa kebangsaaan kita dengan sebaik mungkin. Saya juga sedang mencuba ke arah itu untuk diri saya sendiri, sebagai rakyat Malaysia yang merdeka.


ISI KANDUNGAN: Sangat Bagus
Saya memetik entri pertama dari blog Abah Muizz:

"Out of nowhere, tetiba je tergerak hati nak create blog. Abah tahu abah tak reti nak menulis-nulis ni, tapi dah seronok baca blog orang lain, yang masing-masing, ada cerita dan penulisan yang menarik, so, create la satu. Harap-harap bila orang baca, ada la kebaikan/iktibar atau apa sajalah, yang boleh dipelajari. Abah tak tahu lagi pun nak menulis tentang apa,mungkin lebih pada kehidupan seharian abah. Seronok juga berkongsi cerita tentang hidup, dan kehidupan." - Abah.

Di sini saya boleh katakan, Abah Muizz adalah seorang blogger yang fokus terhadap isi kandungannya. Walau pun ada terselit peristiwa-peristiwa lain, namun matlamat penulisan blog Abah Muiz, tercapai. Saya sukakan blogger seperti Abah Muizz. Banyak pengajaran yang boleh saya pelajari dari blog Abah Muizz.


TAHAP KEMASKINI: Mingguan
Secara puratanya adalah mingguan. Entri yang dipos adakalanya sangat panjang dan adakalanya sederhana. Mungkin bergantung pada masa lapang Abah Muizz. Tidak ada sebarang paksaan dari segi ini. Kita menulis berdasarkan bila kita kelapangan. Ada urusan harian yang realistik perlu diuruskan. Seperti saya, perlu juga meluangkan masa untuk akademik dan sukan selain dari aktiviti penulisan buku dan blog. Gaya hidup yang sihat dan berfaedah. Begitu juga Abah Muizz.

JARINGAN UMUM: Sedikit
Ada beberapa jaringan kegemaran Abah Muizz disertakan dalam blog ini. Saya juga suka laman web Harun Yahya. Salah satu sumber inspirasi penulisan saya.


JARINGAN BLOGGER: Sedikit
Jaringan rakan-rakan blogger tidak begitu banyak. Namun saya percaya blog ini mendapat kunjungan daripada pembaca-pembaca lain juga.


KOMEN PEMBACA: Sedikit
Sekejap ada komen. Sekejap tidak ada komen. Namun komen pembaca tidak penting. Cuma apabila saya melihat jika ada komen, saya boleh melihat apa pandangan pembaca terhadap entri yang ditulis. Adakah sama? Atau berbeza dengan pandangan saya. Komen di Msjbox juga saya teliti. Rata-rata bersetuju blog Abah Muizz ini adalah blog yang menarik dan positif.


Rasanya, tamatlah sudah pemburuan blog untuk hari ini. Saya ada aktiviti lain untuk dilaksanakan. Melihat dunia luar, melihat persediaan sambutan kemerdekaan. Hidup itu tidak perlu terkongkong di depan komputer semata-mata. Penulisan semata-mata. Perlu keluar untuk melihat dunia sebenar.

Ya! Sampai jumpa lagi. Para pembaca yang saya sayangi dan hormati. Tidak lupa juga kepada blogger-blogger yang blognya pernah saya ulas. Saya sentiasa melihat perkembangan blog anda.