BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 22, 2006

Jenglot VS Siti Nurhaliza

Dua berita yang hangat dan agak panas dalam media sejak akhir-akhir ini ialah Kisah Perkahwinan Siti Dengan Datuk K dan Kesahihan Kewujudan Jenglot (replika atau hantu benar?). Apakah perbezaan antara Siti dengan Jenglot? Siti adalah penyanyi wanita popular manakala Jenglot adalah hantu paling sensasi pada masa kini. Siti menggunakan shampu Pantene manakala Jenglot tidak pernah ditawarkan untuk menjadi model shampu. Kemungkinan Jenglot adalah peminat irama Rock, Siti pula bukan penyanyi Rock.

DNA Siti Nurhaliza tidak dicurigai walaupun pernah ada satu keluarga yang mengatakan Siti Nurhaliza ini anak kandung mereka sebaliknya DNA Jenglot kini diuji oleh pakar HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) kerana dicurigai adalah replika ciptaan manusia.

Siti Nurhaliza adalah insan yang berhemah identiti kebanggaan bangsa Malaysia manakala Jenglot masih dicurigai sama ada dari bangsa hantu atau haiwan. Kasihan Jenglot. Cuba lagi, Jenglot. Tingkatkan usaha anda. Tak ada penerbit filemkah yang nak terbitkan cerita komedi seram berjudul Jenglot Rock? Apa yang saya tahu, ada kumpulan muzik Jelmol.

Saya tangguh dulu sesi mengarut di sini. Sekarang mari kita lihat apa yang menarik semasa majlis pernikahan Siti dengan Datuk K.

Tetamu Kehormat
Tetamu Kehormat yang hadir ke majlis persandingan tersebut antaranya ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Nor, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah serta isteri.

Ketua Adat Pihak Pengantin
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob memegang tanggungjawab sebagai ketua adat bagi pihak pengantin perempuan manakala bekas Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib dilantik sebagai ketua adat bagi pihak pengantin lelaki.

Wartawan Indonesia dan Dimas
Tidak kurang daripada 30 orang wartawan dan pihak media dari Indonesia turut hadir untuk membuat liputan majlis perkahwinan Siti dan Datuk K. Mereka datang sendiri ke Kuala Lumpur beberapa hari lebih awal dan kehadiran mereka diselenggarakan oleh pembantu khas Siti di Indonesia yang bernama Dimas.

Sistem Audio Bermasalah
Sesi berbalas pantun antara jurucakap pihak lelaki dengan pihak perempuan tidak jelas kedengaran. Begitu juga semasa Datuk K melafazkan akad nikah, suaranya tidak kedengaran dan menyebabkan ramai hadirin terpinga-pinga apabila pengacara Nizal Mohamed memberitahu acara sudah selesai.

Cenderamata Perkahwinan Untuk Pihak Media
Beg kertas comel berwarna merah jambu dengan nama Siti dan Datuk K tertulis di atasnya. Di dalam beg tersebut terdapat lilin berbentuk daun, sekotak teh Ctea dan kepingan coklat dengan cetakan wajah pasangan pengantin popular ini.

Artis Tidak Memenuhi Etika Berpakaian
Seorang penyanyi bernama -ditapis- diberikan anak tudung oleh pihak pengurusan masjid kerana tidak memenuhi etika pakaian yang ditetapkan. Semua tetamu sebelum ini sudah dimaklumkan supaya hadir bertudung litup dan selendang biasa tidak dibenarkan. Masuk masjid, aurat kena jaga. Hormatilah masjid.

Siti Tak Kisah
Siti Nurhaliza Tarudin yang kini sah bergelar isteri kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa pada hari mulia Iskraj Mikraj tidak berkecil hati jika ada sesiapa yang tidak memanggilnya dengan panggilan Datin.

Siti berkata, "Panggil Siti seperti mana yang anda kenal. Siti tak kisah."

Aiman pula bagaimana?
"Aiman tak kisah."


Fakta-fakta diolah dari sumber: KOSMO! dan Harian Metro.