Bahasa Melayu Blogger: Inikah Kebebasan?
Dunia Melayu baru sahaja berkabung dengan kemunculan seorang anak gadis yang begitu berbakat dalam mencemari maruah bangsa dan bahasa Melayu. Anak gadis itu masih mentah, ini masih boleh dimaafkan. Namun kelantangan suaranya pada malam itu telah menyebab sejarah seni dan perfileman negara kita tercemar pada satu majlis rasmi. Agak-agaknya, berapakah gred Bahasa Melayu SPM anak gadis itu sehingga dia boleh bercakap sedemikian rupa? Agaknya dia terlalu gembira, hingga lupa diri.
Apa yang ada pada nama? Kita tidak berbangga pada nama. Kita bangga pada bahasa. Jika nama seseorang itu Steven, Ong Bak, Krishan sekali pun, jika dia mampu bertutur dalam suatu bahasa itu dengan baik, itu adalah satu kebanggaan. Seperti Amiene Rev adalah seorang rakyat Malaysia yang dapat bercakap dalam Bahasa Melayu untuk blog-blognya. Saya tidak berbangga dapat bercakap dalam asing jika saya gagal untuk meluahkan apa yang saya rasa dalam Bahasa Melayu. Saya tidak rasa bodoh untuk bercakap dalam Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu begitu mudah untuk diucapkan. Setiap abjadnya disatukan menjadi perkataan itu akan menghasilkan bunyi yang boleh dijangkakan.
Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu Blogger? Semakin hari saya lihat Bahasa Melayu kita semakin tercemar. Semakin banyak pula versinya. Semakin kreatif pula bangsa kita mengubahsuai bahasa identiti bangsa kita. Sebab itu saya menulis blog ini. Saya mengulas blog-blog berbahasa Melayu (atau lebih tepat lagi Blog Berbahasa Melayu Blogger). Tujuan utama saya mengulas blog-blog adalah untuk melihat betapa ramai anak-anak Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan cara yang paling boleh diterima oleh bangsa kita.
Adakah jika semua penulis blog diminta untuk menulis dalam Bahasa Melayu rasmi maka mereka akan hilang kebebasan untuk menulis? Ada banyak jenis bahasa dan loghat. Bagi saya tidak salah untuk menulis dalam bahasa negeri. Namun bagaimana pula dengan bahasa yang lebih menyerupai bahasa SMS? Jangan cemari penulisan blog kita dengan bahasa seperti ini. Sungguh menyedihkan.
Namun boleh dimaafkan jika Bahasa Melayu diringkaskan dalam Shoutbox. Sebab seperti di dalam telefon bimbit, ruangnya sangat sedikit. Boleh dimaafkan untuk itu. Apa pun dalam penulisan blog, saya harap para penulis blog tidak terlalu taksub dan kreatif dalam mencipta istilah-istilah baru. Istilah-istilah yang sedia ada pun belum dikuasai dengan baik, sudah mahu mencipta istilah-istilah baru. Sedarlah wahai blogger-blogger Malaysia.
Memang benar, perkataan 'blogger' itu sendiri dipinjam daripada bahasa Inggeris yang membawa maksud Web dan Log. Dicantumkan menjadi Weblog atau Blog. Ini kerana revolusi teknologi maklumat. Perkataan baru untuk alatan baru atau fungsi yang baru. Namun untuk fungsi atau alatan yang sudah sedia wujud, tak usahlah begitu. Kita gunakan istilah yang sedia ada.
Sama-sama kita menghayati Bahasa Ibunda kita dalam Bulan Kemerdekaan ini. Kita hayati bahasa kita. Hidup Malaysia kerana bahasa dan bangsanya.
|