BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Ogos 18, 2012

Perkenal Gred Tahap Keselamatan Pusat Beli-Belah

Orang ramai boleh mengetahui pusat beli-belah yang selamat -Perkenal gred tahap keselamatan

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam (PPIM) mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan sistem gred berdasarkan kepada tahap keselamatan ke atas pusat beli-belah di negara ini.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Maa'mor Osman berkata, ia bagi memastikan orang ramai tahu premis mana yang mempunyai tahap keselamatan terbaik untuk para pengguna.

"Ia sama macam gred yang diberikan kepada premis makanan ikut kebersihan premis itu, misalnya A untuk bersih dan sebagainya," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya orang ramai memboikot pusat beli-belah yang mengabaikan aspek keselamatan di premis mereka.

Antara ciri-ciri pusat beli-belah yang selamat ialah mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan yang mencukupi khususnya di kawasan letak kenderaan.

Maa'mor berkata, cadangan memperkenalkan sistem gred bukan bertujuan menyekat kedatangan pengunjung ke sesebuah premis, sebaliknya untuk memastikan tiada pemilik pusat beli-belah yang memandang ringan soal keselamatan.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna, Samsuddin Mohamad Fauzi pula berpendapat, soal keselamatan orang ramai di pusat beli-belah tidak boleh dinilai dengan memberikan gred tertentu.

"Dalam soal keselamatan ini, kita tak boleh kata yang ini lebih tinggi dan yang ini lebih rendah kerana semua premis wajib mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, tindakan boikot terhadap pusat beli-belah yang mengabaikan keselamatan pengguna bukan satu cadangan yang terbaik.

"Apa yang penting adalah kesedaran pengguna untuk melaksanakan hak mereka dalam mendapatkan perkhidmatan yang terbaik," ujarnya.