BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Ogos 27, 2012

Kes Teman Wanita Dibakar - Dani Tiger Ditahan

Susulan Kes Teman Wanita Dibakar, Dani Tiger Kini Ditahan
Susulan daripada kes Nurul Firzanah yang dibakar oleh kekasihnya menyebabkan mangsa terbakar 25 peratus di muka, dada dan tangan yang kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur , pada hari ini pihak polis telah menahan lelaki yang disyaki membakar teman wanitanya di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju pada awal pagi 13 Ogos lalu.

Suspek ditahan dengan seorang wanita dan kedua-dua ditahan reman lima hari bermula hari ini kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Sebelum ini, pihak polis telah  memburu Mohd Amir Mohd Anuar, 18, dari Taman Keramat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

BERITA SEBELUMNYA:

KUALA LUMPUR: “Mama tolong kak ngah. Kak ngah sakit. Kak ngah kena bakar,” rintih seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika menghubungi ibu angkatnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang keluar bersama teman lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.

Bapa mangsa, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, anaknya, Nurul Firzanah yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu pergi ke rumah ibu angkatnya dan selepas tiba di sana, dengan kebenaran ibu angkatnya itu dia keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.

Menurut Mat Zaki, mereka yang sudah mengenali teman lelaki mangsa dan keluarganya tidak berasa syak untuk membenarkan mereka keluar bersama.

Bagaimanapun, katanya, jam 3 pagi, dia menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memberitahu Nurul Firzanah dibakar berdekatan Flat Wangsa Sari di kawasan terbabit.