BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 28, 2012

Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan

PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR
JALAN RAJA CHULAN,
45200 SABAK BERNAM,
SELANGOR DARUL EHSAN.
TEL : 03-3216 1286
FAKS : 03-3216 1488
PAUTAN : baitul-ehsan.mais.gov.my

Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan memberi perlindungan dan membantu memulihkan wanita yang bermasalah seperti gadis terlanjur, mangsa rogol dan sumbang mahram, wanita teraniaya, mangsa penderaan, masalah akhlak dan kes-kes yang lain.

Secara asasnya, kategori pelatih yang diterima masuk oleh Pusat ini, melalui perintah Mahkamah, atas kesalahan jenayah syariah seperti khalwat dan persetubuhan luar nikah, sumbang mahram,  atau secara sukarela, atau yang meminta perlindungan.

Modul-modul dan kaunseling yang digunakan di dalam Pusat ini  banyak membantu kepada pemulihan gadis-gadis remaja yang terlanjur atau liar.

Latar Belakang

Baitul Ehsan merupakan sebuah Pusat Perlindungan Wanita yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kategori Pelatih


Pada asasnya terdapat 3 jenis pelatih yang dilindungi di pusat ini dan mempunyai tafsiran dan maksudnya yang tersendiri iaitu:

1. Pelatih Kategori Perintah Mahkamah ( Seksyen 54(2) EJSS 1995 )
Pelatih Perintah Mahkamah ialah pelatih wanita yang memasuki pusat perlindungan ini melalui perintah mahkamah dan telah di sabitkan dengan mana-mana kesalahan di dalam Bahagian 4 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995.

Pelatih dalam kategori ini tidak megambil kira tahap umur, sebaliknya mengambil kira apa yang telah di putus dan di sabitkan oleh mahkamah.

Tempoh perlindungan juga bergantung kepada perintah hukuman yang telah di sabitkan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Syariah.

2. Pelatih Kategori Sebab Perlindungan
Pelatih Perlindungan ialah pelatih wanita yang memasuki pusat dengan sebab pihak Majlis Agama Islam Selangor bertindak sebagai pelindung yang ingin memberikan perlindungan dengan secara paksaan atau sukarela kepada pelatih tersebut dengan sebab-sebab tertentu iaitu:
a. Dalam Siasatan – Masalah sosial
b. Penderaan – Ancaman keselamatan
c. Penganiayaan – Seperti mangsa sumbang mahram, rogol dll.
d. Tiada tempat perlindungan – Keluarga tidak menerima.

Tempoh perlindungan bagi kategori sekurang-kurangnya 6 bulan dan tidak melebihi satu tahun. Walaubagaimanapun, pihak Majlis Agama Islam Selangor mempunyai bicaranya untuk membenarkan pelatih menamatkan tempoh perlindungan sekiranya mendapat permohonan daripada pemohon.

3. Pelatih Kategori Rumah Perlindungan

Pelatih Rumah Perlindungan ialah kumpulan wanita yang diterima masuk disebabkan berbagai-bagai masalah seperti rumahtangga, keluarga dan lain-lain lagi. Lazimnya, pemohon yang ingin mendapatkan kemudahan rumah perlindungan ini mestilah TIDAK terlibat dengan masalah sosial atau jenayah secara khususnya. Pemohon yang diterima masuk selepas ini akan dikenali sebagai Penghuni dan tidak dibenarkan untuk mengikuti sebarang aktiviti yang melibatkan pelatih. Pemohon yang diterima masuk tidak sepenuhnya mendapat kemudahan barangan keperluan, makan minum dan sebagainya sebagaimana pelatih yang lain. Sebaliknya, pemohon bagi kategori ini digalakkan untuk lebih berdikari. Walaubagaimanapun pihak pusat akan membantu dan memberikan kemudahan untuk kes-kes yang perlu sahaja. Had tempoh perlindungan adalah tidak melebihi 3 bulan sahaja dan bergantung kepada budi bicara bagi sebarang tempoh lanjutan.