BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Ogos 13, 2012

Tempat-tempat Menarik Di Kuala Selangor

Tempat-tempat Menarik Di Kuala Selangor
Kuala Selangor merupakan sebuah daerah yang terletak di Barat Laut Negeri Selangor. Daerah ini disempadani oleh Daerah Klang di sebelah Selatan. Manakala Daerah Ulu Selangor menjadi sempadan di sebelah Timur dan sebelah barat ia di sempadani oleh Selat Melaka. Keluasan Daerah Kuala Selangor dianggarkan seluas 117,844 hektar.

Kuala Selangor ini dianggap bumi bertuah kerana terdapat banyak tempat-tempat yang menarik dan bersejarah yang boleh dijadikan aset utama dalam aspek perlancongan di daerah ini. Di antara yang menjadi tumpuan utama pelancong ialah Bukit Malawati, Kelip-Kelip di Kampung Kuantan dan Taman Alam Kuala Selangor. Selain itu beberapa tempat lain telah dikenalpasti sebagai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perlancongan seperti Pulau Angsa, Pantai Remis dan Sungai Selangor.

Bukit Malawati
Mengikut sejarah, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim (Julai 1784). Setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Serangan yang bermula selepas waktu Isyak itu telah berjaya menawan bukit ini sebelum fajar subuh menyinsing.Di atas Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah.

Makam Anak Dara
Lagenda mengatakan seorang gadis warak yang dipaksa pada hari perkahwinannya telah menghilangkan diri ketika mengambil air sembahyang di Sungai Selangor. Orang tuanya bermimpi, anak gadisnya melarang mereka mencarinya kerana beliau telah mendapat suatu tempat yang tenteram di sebuah pulau. Ibu bapanya hanya menjumpai baju anaknya yang tersangkut di sebatang pokok lalu sebuah makan didirikan di situ

Makam Diraja
Makam Diraja Selangor ini terdiri dari 3 makam Sultan Selangor iaitu:
  •     Sultan Selangor Pertama - Sultan Salahuddin (1742-1778)
  •     Sultan Selangor Kedua - Sultan Ibrahim (1778-1826)
  •     Sultan Selangor Ketiga - Sultan Mahmud (1826-1857)
Perigi Beracun
Airnya berisi racun, hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi sehingga paras dagu sebagai penyiksaan kepada penderhaka. Terletak di hadapan Muzium Kuala Selangor.

Tangga Seratus
Tangga ini dibuat bagi mendaki Bukit Selangor menuju terus ke pintu Malawati dari Pekan Kuala Selangor.

Telaga Tujuh
Asalnya sebuah telaga yang mempunyai 7 mata air tang tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau, tetapi kini hanya terdapat beberapa buah sahaja kerana yang lainnya telah terkambus.

Batu Hampar
Terletak di pintu masuk Kota Melawati, di atasnya satu busut besar bersaiz 5 x 5 x 2 kaki. Lagenda mengatakan bahawa batu ini adalah tempat memancung kepala penderhaka.

Busut Malawati
Terletak kira-kira 200 kaki di hadapan pintu kota. Terdapat Pohon Sena yang kini berusia kira-kira 200 tahun. Kemuncaknya rata kira-kira 20 kaki persegi membolehkan Sultan Selangor pada zaman dahulu bersemayam untuk berehat dan menyaksikan ayam bersabung.

Tempat Melihat Anak Bulan
Bangunan ringkas berkisi-kisi ini dibina khas bagi melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan berpuasa di bulan Ramadhan, Hari Raya Syawal dan Raya Haji.

Meriam Penggawa

Meriam Penggawa ini sentiasa dibalut dengan kain kuning dan terletak di dalam kawasan makam 3 orang Sultan Selangor. Ditemui di pinggir Sungai Buluh, 12km ke Selatan Kuala Selangor pada 23 September 1966. Nama asalnya ialah Petoi Boga bererti Puteri Putih.

Bukit Belanda
Di zaman taklukan Belanda, dikenali sebagai Kota Utrecht sempena nama kapal Belanda yang berjaya mengalahkan Raja Hadi di Teluk Ketapang. Terletak di Utara Bukit Selangor, di sebelah Sekolah Men. Sri Tanjung. Merupakan Kubu Pertahanan Belanda yang pertama. Terdapat sebatang pokok besar yang dikatakan menjadi menara bagi para peninjau melihat musuh.

Kota Malawati
Dibina oleh orang-orang Melayu ketika pemerintahan Sultan Selangor ke-2 sebagai salah satu usaha mempertahankan Kuala Selangor dari serangan Belanda. Kota ini dilengkapi dengan meriam-meriam.

Perkhidmatan Keretapi
Perkhidmatan kereta api juga disediakan di Bukit Malawati. Perkhidmatan ini hanya disediakan pada hujung minggu sahaja iaitu setiap hari Ahad dan Sabtu. Setiap penumpang dikenakan tambang sebanyak RM2.00 sahaja.