BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 20, 2010

Surat Pembaca - Krisis Mentua

Surat Kiriman Daripada Maria yang dilanda krisis mentua:
SAYA MARIA INGIN MELUAHKAN MASALAH YANG MELANDA DALAM KEHIDUPAN RUMAH TANGGA. MASALAH UTAMA SAYA IALAH SIKAP DINGIN MAK MENTUA DENGAN SAYA. MAK MENTUA SAYA SELALU MENGHINA SAYA DARI SEGI PARAS RUPA, KERJAYA DAN KEWANGAN. SAYA SEKARANG MEMPUNYAI 5 ORANG ANAK. SUAMI SAYA PULA SELALU MENGIKUT TELUNJUK IBUNYA (MAK MENTUA). BAGAIMANA SAYA INGIN MENYELESAIKAN MASALAH SAYA INI. SAYA SAYANGKAN MENTUA SAYA,TETAPI MENTUA SAYA SEBALIKNYA. SAYA HARAP DUKE AMIENE REV DAPAT MEMBANTU MEMBERI PANDANGAN YANG POSITIF TERHADAP MASALAH YANG SEDANG SAYA HADAPI INI. TERIMA KASIH.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Pertama, apabila menulis surat, pastikan Puan Maria tidak menggunakan huruf BESAR seperti di atas. Tulisan yang menggunakan huruf-huruf besar akan menggambarkan Puan Maria seolah-olah sedang melaung atau menjerit kepada penerima. Jika hal seperti ini dilakukan terhadap ibu mertua Puan Maria, pastilah dia akan marah. Begitu juga susunan ayat Puan Maria juga perlu dipertimbangkan sehingga saya terpaksa menyunting sesetengahnya supaya kelihatan lebih bersopan dan tidak bersifat mengarah-arah atau berbau prejudis.

Tentang rupa paras, jika ibu mertua Puan Maria mencerca rupa paras Maria, maka tidakkah dia tahu, seburuk-buruk rupa menantunya, berkahwin dengan anaknya juga sampai beranak lima? Semiskin-miskin menantunya, bukankah dapat berkahwin dengan anaknya juga?

Daripada Puan Maria membuang masa memikirkan perkara-perkara seperti ini, lebih baik Puan Maria pergi menghadiri apa-apa kursus kemahiran yang boleh membantu Puan Maria mendapat sesuatu yang berguna untuk kehidupan. Mungkin untuk menambahkan pendapatan?

Satu cara lagi yang boleh dilakukan, Puan Maria boleh berpura-pura pekak. Dengan cara ini sudah pasti ibu mertua Puan Maria tentu berasa membuang masa untuk menghina Puan Maria. Puan Maria juga boleh memasang kaset-kaset agama berkenaan hukum menghina rupa paras ciptaan Tuhan, menampal artikel dan risalah berkenaan hukum menghina rupa paras ciptaan Tuhan dan sebagainya supaya ibu mertua Puan Maria insaf.

Apa pun dalam segala hal, kesabaran Puan Maria menghadapi ibu mertua Puan Maria adalah paling penting. Jika Puan Maria hilang sabar, Puan Maria sudah pasti boleh mengamuk dan menyebabkan ibu mertua Puan Maria berasa takut. Namun, patutkah Puan Maria berbuat demikian?

Ingatlah, kecantikan manusia bersifat sementara. Semua manusia akan tua dan mati. Puan Maria tidak perlu berasa susah hati. Cuba fikirkan berapa banyakkah kedutan pada muka ibu mertua Puan Maria berbanding kedutan pada wajah Puan Maria. Pun begitu, jika Puan Maria terus-menerus berkerut dahi memikirkan masalah seperti ini, pasti makin banyak kedutan pada wajah Puan Maria.

Oleh itu setiap kali ibu mertua Puan Maria menghina Puan Maria, ucapkanlah Alhamdulillah dan ingatlah, menghina rupa paras manusia bererti menghina rupa paras ciptaan Tuhannya, yakni Allah S.W.T. Tampalkan kata-kata ini di dinding rumah untuk meningkatkan kesedaran dalam diri ibu mertua Puan Maria.

Selamat berbahagia di samping suami dan anak-anak.