BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 21, 2010

Movie Review: Harry Potter & The Deathly Hallows - Ulasan Filem

Ulasan Filem Harry Potter & The Deathly Hallows part 1
Ulasan Filem Harry Potter 7 - The Tales of The Three Brothers
Ulasan Filem oleh Amiene Rev (C) 2010

Sinopsis Filem Harry Potter & The Deathly Hallows part 1:
Usaha untuk memusnahkan saki-baki The Horcrux, iaitu benda-benda keramat yang menjadi nadi kekebalan dan kehidupan abadi buat Voldermort, ahli sihir yang paling jahat dalam sejarah ahli sihir. Kali ini, Daniel Radcliff (sebagai Harry Potter) Emma Watson (sebagai Hermione Granger) dan Rupert Grint (sebagai Ron Weasley) bergabung sekali lagi dalam usaha mencari jalan untuk memusnahkan seutas rantai leher yang juga merupakan salah satu daripada alatan keramat Horcrux. Pada masa yang sama, pakatan Voldermort semakin kuat dan pertempuran antara ahli sihir pro-Harry Potter dengan sekutu-sekutu Voldermort tidak dapat dielakkan.
Dalam pertempuran ini, beberapa rakan seperjuangan Harry Potter yang paling penting, turut terkorban. Pastinya filem Harry Potter and The Deathly Hallows banyak adegan duka, biarpun ada unsur-unsur komedi.

Ulasan Filem Harry Potter & The Deathly Hallows part 1:
Harry Potter and The Deathly Hallow terdiri daripada 2 bahagian. Bahagian yang pertama ini terdiri daripada pengenalan terhadap 3 alatan sakti yang lain selain The Horcruxes. Tiga alatan sakti itu dikenali sebagai The Deathly Hallows. The Deathly Hallows terdiri daripada Elder Wand yang dianggap sebagai kayu sakti paling hebat, Resurrection Stone yang mampu menghidupkan semula orang mati, dan Cloak of Invisibility yang merupakan sebuah jubah yang mampu membuat si pemakainya menjadi halimunan dan tidak dapat dikesan biarpun oleh malaikat maut.
Semasa Harry Potter dan rakan-rakannya berusaha untuk menghancurkan The Horcruxes, Voldermort pula berusaha untuk mendapatkan The Elder Wand. Ini kerana kayu sakti sedia ada yang digunakan oleh Voldermort memiliki teras yang sama dengan kayu sakti yang dimiliki oleh Harry Potter. Voldermort dan Harry Potter masing-masing boleh mencederakan antara satu sama lain, tetapi tidak sampai ke tahap membunuh.

The Tale of The Three Brothers - Kisah Tiga Beradik
Bunyinya seperti permainan komputer Diablo, yang memiliki tiga adik-beradik iaitu Diablo, Ba'al dan Mephisto. Namun kisah tiga beradik dalam Harry Potter ini bukan mengenai tiga kepala iblis, sebaliknya adalah mengenai The Deathly Hallows, asal-usul tiga alatan sakti yang disebutkan sebelum ini.

Menurut kisah tersebut, Antioch Peverell (pemilik The Elder Wand) dan Cadmus Peverell (pemilik Resurrection Stone) mengakhiri riwayat mereka dengan tragik, manakala Ignotus Peverell yang bijaksana (pemilik Cloak of Invisibility) mendapat ganjaran.
Kisahnya begini. Pada suatu hari ada tiga orang adik-beradik hendak menyeberangi sebuah sungai maut yang telah meragut banyak nyawa. Dikatakan sebelum ini, semua orang yang pernah cuba untuk menyeberangi sungai itu menjadi korban Dewa Maut yang dikenali sebagai Death (kematian).

Namun, tiga orang adik-beradik tersebut bukan orang biasa, mereka adalah ahli sihir. Mereka menggunakan ilmu sihir, membina sebuah jambatan lalu mereka pun dapat menyeberangi sungai itu dengan selamat. Belum pun sempat mereka menjejakkan kaki ke atas jambatan yang telah dibina, Death memunculkan diri. Death tahu, ketiga-tiga beradik itu telah menggunakan ilmu sihir, maka mereka pun berjaya mengelakkan diri daripada kematian. Death menggunakan muslihat untuk menipu ketiga-tiga adik-beradik tersebut. Death meminta setiap seorang daripada tiga beradik itu untuk meminta satu hadiah.

Antioch, Si Sulung yang suka bercakap besar, meminta satu kayu sakti yang terkuat sebagai bukti bahawa dia telah berjaya menipu Death. Maka Death pun mencipta satu kayu sakti yang terkuat dikenali sebagai The Elder Wand.

Cadmus, Si Angah yang biadab, mahu mengaibkan Death dengan lebih teruk lagi, oleh itu dia pun meminta Death supaya mencipta sebiji batu yang mampu menghidupkan orang mati, dan dengan ini dia dapat menghidupkan semula mana-mana orang mati yang telah dicabut nyawanya oleh Death, sebagai hadiah dan bukti bahawa dia telah berjaya menipu kematian yang sepatutnya diragut oleh Death.

Manakala Ignotus yang merendah diri dan bijaksana, cuma meminta sehelai jubah halimunan yang membolehkan dia tidak lagi ditemui oleh Death. Walaupun Death tahu bahawa dia telah dijerat oleh Ignotus, dia tetap memberikan jubah halimunan yang sering dipakainya untuk memburu dan mencabut nyawa manusia secara senyap-senyap kepada Ignotus. Selepas itu, Death membenarkan ketiga-tiga bersaudara itu melalui jambatan dan menyeberangi sungai itu dengan selamat.

Selepas itu, ketiga-tiga beradik itu pun berpisah dan pulang ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Antioch pergi mencari musuh lamanya yang juga merupakan seorang ahli sihir yang kuat, dan berjaya mengalahkannya. Antioch pun bercakap besar bahawa dialah ahli sihir yang terkuat. Namun, kemegahannya tidak lama, selepas satu malam, seorang ahli sihir yang tamak telah membunuh Antioch semasa dia sedang tidur, dan merampas The Elder Wand. Maka, Death berjaya meragut nyawa Antioch pada akhirnya.

Sementara itu, Cadmus pula menghidupkan semula wanita yang dicintainya, yang telah mati sebelum mereka sempat berkahwin. Walaupun wanita itu sudah hidup semula, wanita itu tetap sedar bahawa dia sudah mati dan tidak mahu berada di dunia ini. Wanita itu bersedih dan mahu kembali semula ke alam kematian. Cadmus kecewa, lalu membunuh diri supaya dapat bersama-sama dengan wanita itu di alam kematian. Maka, nyawa Cadmus juga berjaya dirampas oleh Death.

Ignotus pula berjaya menghindari diri daripada dikesan oleh Death untuk satu tempoh yang sangat lama. Setelah usia Ignotus meningkat tua, Ignotus pun berniat untuk meninggalkan dunia yang fana ini dan berangkat ke alam kematian. Dia pun menanggalkan Cloak of Invisibility yang dipakainya lalu diserahkan kepada anak lelakinya. Ignotus menjemput Death, yang dianggap sebagai rakan baiknya, lalu meminta Death mencabut nyawanya. Death menyambut baik permintaan Ignotus, lalu mencabut nyawanya dengan penuh hormat.

Dalam tempoh itu, Elder Wand melalui pelbagai zaman dan sejarah berdarah sehinggalah berjaya dimiliki oleh Albus Dumbledore, manakala Stone of Resurrection diwarisi oleh keluarga Gaunt, sehingga pada akhirnya diwarisi oleh Tom Riddle. Cloak of Invisibility pula diwarisi oleh keluarga James Potter. Selepas kematian James Potter, Albus Dumbledore menyimpan jubah halimunan tersebut dan mewariskannya kepada Harry Potter.
Penutup:
Filem Harry Potter & The Deathly Hallows memiliki babak-babak aksi yang menarik, namun adakalanya agak membosankan kerana elemen cinta tiga segi antara Ron, Hermione dan Harry Potter. Tema cinta remaja agak menguasai filem Harry Potter & The Deathly Hallows. Apa pun, filem ini berakhir dengan kematian seseorang. Siapakah yang mati? Mungkin ada yang bersedih. Untuk bersedih, silalah ke panggung wayang berdekatan untuk menyaksikan filem Harry Potter & The Deathly Hallows part 1 yang sedang ditayangkan di panggung pada ketika ulasan filem ini dibuat. Bagi yang pertama kali menonton filem Harry Potter, anda mungkin akan terpinga-pinga sedikit dengan jalan cerita dalam filem ini, kerana Filem Harry Potter 7 ini tidak begitu mesra dengan penonton yang baru pertama kali berkenalan dengan filem atau kisah Harry Potter. Ini kerana filem ini merupakan sambungan kepada filem yang sebelum-sebelumnya.