Movie Review Adele: Rise Of The Mummy - Ulasan Filem
Ulasan Filem Adele: Rise Of The Mummy
Ulasan Filem oleh Amiene Rev (C) 2010
The Extraordinary Adventures of Adèle Blanc-Sec
Ulasan Ringkas oleh Amiene Rev (C) 2010
Ulasan Filem oleh Amiene Rev (C) 2010
The Extraordinary Adventures of Adèle Blanc-Sec
Ulasan Ringkas oleh Amiene Rev (C) 2010
Ulasan dan Sinopis Filem Adele: Rise Of The Mummy
Filem Adele: Rise Of The Mummy ini diarahkan oleh Luc Besson, mengambil latar sekitar Mesir dan Paris pada tahun 1912. Adèle Blanc-Sec (lakonan Louise Bourgoin), seorang gadis muda, seorang wartawan, yang telah pergi ke Mesir (Egypt) untuk meminjam mumia bernama Patmosis, yang dipercayai merupakan seorang doktor peribadi kepada Firaun.
Filem Perancis yang didasarkan daripada komik karya Jacques Tardi ini memaparkan dua situasi berbeza yang akhirnya bergabung menjadi satu. Pertama, kehadiran seekor binatang pra-sejarah, reptilia boleh terbang yang dikenali sebagai pterodactyl. Kedua, kemunculan mumia hidup di Paris.
Mengingatkan kebangkitan mumia dalam filem ini, pasti para penonton yang pernah mengikuti filem The Mummy akan terbayang betapa ganasnya mumia yang telah dibangkitkan semula. Maaf, semua itu tidak ada dalam filem Adele: Rise Of The Mummy ini.
Selepas berjaya membawa pulang mumia yang bernama Patmosis, Adele Blanc-Sec pun berangkat pulang ke Paris untuk menemui Marie-Joseph Esperandieu ( yang merupakan seorang saintis genius yang telah menemui formula menghidupkan semula sesuatu yang telah mati. Adele Blanc-Sec mahu Esperandieu menghidupkan semula mumia Patmosis supaya Patmosis boleh merawat adik kembarnya Agathe Blanc-Sec yang mengalami kecederaan otak selepas cucuk sanggul yang dipakainya tertikam ke belakang kepalanya sehingga menembusi dahi dalam satu kemalangan semasa pertandingan tenis yang sangat agresif antara Adele Blanc-Sec dengan Agathe Blanc-Sec.
Esperandieu adalah saintis yang telah menghidupkan pterodactyl sebelum ini yang kemudiannya dijatuhkan hukuman pancung kerana pterodactyl yang dihidupkannya semula telah menyerang dan membunuh beberapa penduduk tempatan termasuk orang ternama.
Namun dengan bantuan Andrej Zborowski (lakonan Nicolas Giraud) yang berbakat, Adele Blanc-Sec berjaya menyelamatkan Esperandieu. Esperandieu berkongsi nyawa dengan pterodactyl yang dihidupkannya. Apabila seorang pemburu profesional berjaya menembak pterodactyl tersebut, Esperandieu turut tercedera. Sebelum meninggal dunia, Esperandieu berjaya menghidupkan semula Patmosis.
Malangnya Patmosis bukan seorang doktor tetapi ahli fizik Firaun. Patmosis yang berjiwa mulia walau bagaimana pun berjaya mengkaji teori gelombang hidup semula yang dilakukan oleh Esperandieu secara sepintas lalu, lalu berjaya membawa Adele Blanc-Sec ke sebuah muzium di Paris untuk membangkitkan kesemua mumia termasuk Firaun dalam usaha meminta izin daripada Firaun bagi mendapatkan perkhidmatan doktor peribadi Firaun untuk menyembuhkan Agathe Blanc-Sec. Usaha itu berjaya.
Filem ini memaparkan sindiran sinis terhadap kisah-kisah politik dan media secara tidak langsung. Dialog-dialog yang memuatkan kata-kata sinis dan watak-watak yang berkelakuan agak kelakar khususnya mumia-mumia dalam filem Adele: Rise Of The Mummy ini mencuit hati para penonton.
Apa pun anda tidak akan dapat menyaksikan aksi-aksi menggemparkan dalam filem Adele: Rise Of The Mummy ini kerana jalan ceritanya yang cukup bersahaja. Adele Blanc-Sec walaupun seorang gadis yang berani, berilmu, pintar dan serba boleh, namun kebanyakan masalah yang dihadapinya diselesaikan dengan menggunakan kepintaran dan ilmu pengetahuan, bukannya kekuatan fizikal. Jadi, kesimpulannya, filem Adele: Rise Of The Mummy bukan filem aksi.
Pada babak akhir filem ini, penonton akan menyaksikan kewujudan kapal yang terkenal dalam sejarah, iaitu RMS Titanic. Adele akan menaiki kapal ini dan dijangka sekuelnya nanti pasti berkisarkan tentang kapal ini. Adakah kisah seterusnya berkenaan dengan batu permata "Heart of the Ocean" yang menjadi lambang cinta dalam kisah Titanic?
Filem Adele: Rise Of The Mummy walau bagaimana pun mengundang pelbagai reaksi yang bertentangan daripada pelbagai pihak. Ada yang sukakan komedi dan aksi mencuit hati watak-watak di dalam cerita ini, dan ada pula yang mengatakan cerita ini agak bersahaja dan banyak babak-babak yang mungkin membosankan. Apa pun, terjemahan suara dari Perancis ke Bahasa Inggeris untuk filem Adele: Rise Of The Mummy ini dilakukan dengan baik kerana agak sukar untuk membezakan sama ada mulut sebut lain, suara keluar lain. Para pelakon suara yang melakonkan suara untuk filem Adele: Rise Of The Mummy ini memang profesional.
Imej janaan komputer atau teknologi CGI yang digunakan dalam filem ini juga agak kurang baik. Pergerakan pterodactyl nampak aga hidup biarpun tidak sehebat teknologi CGI yang kerap digunakan di Hollywood. Pergerakan mumia agak kelakar. Namun, barangkali kerana kekurangan dari segi CGI ini juga menyebabkan watak-watak mumia dalam filem ini amat mencuit hati.
Paris tahun 1912 pula diwujudkan dengan baik. Mungkin bagi orang Perancis, mereka boleh menilai dengan lebih mendalam, namun bagi penonton yang dibesarkan di luar Paris, dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Paris, mereka apa peduli tentang suasana sekarang atau klasik di Paris. Apa yang penting jalan ceritanya yang menarik, luar biasa dan lakonan-lakonan para pelakonnya yang hidup dan tidak kaku.
|