Megamind Movie Review - Ulasan Filem
Ulasan Filem Megamind 3D - Pengulas: Amiene Rev (C) 2010
Pengarah: Tom McGrath- Ditulis oleh: Alan J. Schoolcraft dan Brent Simons - Muzik oleh: Hans Zimmer dan Lorne Balfe - Studio: DreamWorks Animation, Pacific Data Images, Red Hour Productions - Para Pelakon Suara: Will Ferrell (Megamind), Tina Fey (Roxanne Ritch), Jonah Hill (Hal Stewart aka Tighten aka Titan), David Cross (Minion), Brad Pitt (Metro Man)
Sinopsis Filem Megamind 3D:
Filem ini mengisahkan Megamind dan Metro Man yang telah menjadi saingan sejak kecil. Megamind dan Metro Man, kedua-duanya berhati mulia. Namun persepsi orang ramai terhadap Megamind supaya percaya bahawa dirinya telah ditakdirkan untuk menjadi jahat. Dalam kebanyakan perkara, Metro Man sering dapat melakukannya dengan betul, manakala kebanyakan perkara yang hendak dilakukan oleh Megamind berakhir dengan kutukan dan maki hamun orang ramai. Metro Man dilahirkan dengan kuasa mirip Superman, manakala Megamind cuma berlandaskan kepintaran dan bakat rekacipta luar biasa yang dimilikinya. Metro Man membesar sebagai wira, manakala Megamind pula menjadi penjahat yang paling berbakat dalam menghasilkan pelbagai rekacipta. Hobinya menculik Roxanne Ritchi, supaya kemudiannya diselamatkan oleh Metro Man. Pada suatu hari, tanpa disangka-sangka Megamind telah berjaya menghapuskan Metro Man.
Hal ini menyebabkan bandaraya Metro City menjadi kacau bilau. Akhirnya, Megamind berasa sangat bosan dan dilanda kemurungan. Megamind berpendapat tidak ada maknanya lagi untuk dirinya berperanan sebagai penjahat sekiranya tidak ada kuasa kebaikan yang datang menentangnya. Megamind juga berasa sangat sedih kerana telah berjaya menghapuskan Metro Man. Akhirnya, Megamind telah berjaya mendapatkan DNA Metro Man, lalu tanpa disengajakan, DNA tersebut telah tersuntik ke dalam lubang hidung Hal Stewart.
Hal Stewart akhirnya memiliki kuasa luar biasa. Kemudian Megamind dan Minion masing-masing menyamar sebagai Bapa Kandung Angkasa Lepas Hal Stewart dan Ibu Tiri Angkasa Lepas Hal Stewart. Mereka melatih Hal Stewart menjadi Titan, wira baru yang bakal menentang Megamind. Namun usaha mereka menjadi angin apabila Stewart tidak berminat menjadi Titan, sebaliknya lebih berminat menjadi penjahat yang dikenali sebagai Tighten. Tighten mendatangkan kerosakan pada muka bumi ini. Rasa cemburunya terhadap percintaan Roxanne Ritchi dengan Bernard (lakonan suara oleh Ben Stiller) serta penipuan yang dilakukan oleh Megamind yang menyamar sebagai Bapa Angkasa Lepas dan Bernard menyebabkan Ben Stiller mengamuk dan terus memburu Megamind dan memusnahkan Metro City. Disebabkan Tighten gagal mencari Megamind, dia pun menculik Roxanne Ritchi dan mengugut untuk membunuh Roxanne Ritchi jika Megamind tidak memunculkan diri. Megamind akhirnya bertukar peranan, daripada seorang penjahat kepada hero. Dengan kepintaran dan bakat rekacipta yang dimilikinya, Megamind akhirnya berjaya menewaskan Tighten. Megamind menggunakan sejenis alat pengurai DNA untuk mengurai DNA Metro Man yang terdapat di dalam lubang hidung Tighten. Tighten hilang kuasa begitu sahaja. Megamind pula kini disanjung sebagai wira.
Ulasan dan Fakta Filem Megamind 3D:
Pada asalnya nama filem Megamind ialah Mastermind, namun nama Mastermind itu telah didaftarniagakan untuk permainan dan rancangan televisyen sekitar tahun 1970. Oleh itu nama Oobermind dicadangkan. Namun, akhirnya nama Megamind dipilih.
Lakonan suara untuk watak Megamind sepatutnya dilakonkan oleh Ben Stiller, namun kerana konflik tertentu akhirnya Will Ferrell dijemput sebagai pelakon suara untuk watak Megamind. Namun Ben Stiller masih muncul dalam filem Megamind, melakonkan suara untuk watak Bernard.
Will Ferrell walau bagaimana pun memberi kerjasama dan sokongan yang sangat hebat untuk filem Megamind. Beliau mengadakan satu jamuan bertemakan kostum adiwira, di mana jamuan itu dihadiri oleh 1580 orang kawannya. Jamuan itu berjaya mencipta rekod baru dalam Guinness World Record sebagai jamuan bertemakan kostum adiwira terbesar pernah diadakan.
Filem animasi 3D Megamind mempunyai satu persamaan dengan filem animasi 3D Despicable Me. Watak yang jahat berubah menjadi baik. Watak jahat sebagai watak utama. Watak jahat yang dapat diterima penonton.
DreamWorks Animation didapati sering menggunakan trademark mereka iaitu watak animasi dengan sebelah kening terangkat ke atas. Jika dilihat pada poster-poster filem animasi DreamWorks, pasti anda akan dapat melihat trademark kening terangkat sebelah ini pada wajah watak-watak DreamWorks.
Filem Megamind memiliki kekuatan visual yang hebat. Namun proses penciptaan watak-wataknya kurang pembaharuan. Kebanyakan watak-watak dan babak-babak yang terdapat dalam filem animasi 3D Megamind ini diambil daripada filem-filem sedia ada seperti Superman, X-Men, Watchmen, Captain America dan The Flash. Apa pun, saya beranggapan ini merupakan bentuk-bentuk parodi halus yang wujud dalam filem Megamind. Apabila saya mengulas filem Megamind, saya memberi markah yang tinggi terhadap persembahan visual animasi tiga dimensi yang digunakan dalam filem ini, dan tidak terhadap keaslian watak-watak dan jalan ceritanya. Jalan cerita dalam filem Megamind ini adalah bersempena premis "Apa yang akan berlaku sekiranya Lex Luthor berjaya menghapuskan Superman."
Lex Luthor seperti yang kita tahu, memiliki sifat baik dan jahat. Watak Megamind pula tidaklah sejahat yang disangkakan. Megamind sering menculik wartawan terkenal Metro City iaitu Roxanne Ritchi dengan harapan Metro Man akan muncul untuk menyelamatkan Roxanne Ritchi dan mengalahkan Megamind. Ini bagaikan satu permainan buat Megamind dan Metro Man. Satu permainan yang telah dimainkan berulang-ulang kali, mendapat sambutan hangat daripada media, mempopularkan Roxanne Ritchi, dan menyebabkan Roxanne Ritchi hilang rasa takut dan paniknya setiap kali diculik oleh Megamind. Lebih kelakar, apabila Roxanne Ritchi juga mampu meramalkan senjata ugutan jenis apa yang bakal digunakan oleh Megamind. Megamind seolah-olah watak jahat yang sering dibuli oleh Roxanne Ritchi.
Penegasan filem ini sudah semestinya, jika ada kejahatan pasti akan ada kebaikan untuk menghalangnya. Apabila watak jahat diangkat menjadi baik, filem ini pasti mengundang rasa curiga kepada golongan tertentu. Moral dalam filem ini ialah setiap orang diberi pilihan sama ada untuk menjadi orang baik atau pun jahat, dan tindakan mereka yang akan menentukan sama ada mereka layak menjadi orang baik atau pun jahat.
|