Review Ngangkung - Ulasan Filem Ngangkung
Pengarah Filem: Ismail Bob Hasim
Para Pelakon: Shaheizy Sam (Azim), Angah Raja Lawak (Wan), Azad Jasmin (Tasnim), Azlee Jaafar (Doktor), Eira Syazira (Suri), Adik Farisya Fatin (Wahida), Mazlan Ahmad, Putri Mardiana.
Definisi atau Maksud Ngangkung
Ngangkung. Apakah maksud Ngangkung? Bunyinya mungkin jarang didengar. Mungkin ada yang menganggapnya sebagai mencangkung. Cangkung, apatah lagi cangkul tidak sama dengan ngangkung. Ngangkung dari segi maksudnya berdasarkan filem Ngangkung ialah satu aktiviti atau perbuatan yang tidak bermoral, di mana pelakunya perlu menyeru iblis, hantu, jin, puaka, ifrit dan yang seangkatan dengannya sama ada menerusi tempat-tempat 'keras' yang menjadi tempat tinggal makhluk halus tersebut, atau dengan cara memuja peralatan-peralatan tertentu yang dipercayai memiliki khadam atau pernah digunakan untuk membunuh seseorang bagi mendapat nombor ekor. Kebiasaannya, khidmat bomoh atau pawang akan digunakan dalam usaha memanggil khadam (sekiranya menerusi pemujaan peralatan) atau penunggu bagi satu-satu tempat 'keras'. Apabila khadam atau makhluk halus itu keluar, bomoh akan meminta nombor ekor daripada makhluk halus tersebut.
Sinopsis Filem Ngangkung
Filem komedi seram berjudul Ngangkung ini bermula dengan kisah tiga orang sahabat baik. Azim (lakonan Shaheizy Sam) adalah seorang pemandu lori, seorang bapa kepada Wahidah, dan seorang suami yang baik. Namun kerana rungutan yang berterusan daripada isterinya membuatkan Azim mula terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang dipanggil ngangkung.
Pada mulanya Azim cuma berminat untuk mengikut dua orang kaki ngangkung yang bernama Tasnim dan Wan, namun setelah mendapati betapa tepatnya nombor ekor yang diramalkan oleh iblis laknatullah itu, maka Azim pun semakin terjebak. Azim menghabiskan duit gaji bulanannya untuk membeli nombor ekor. Suatu hari, Azim diminta oleh majikannya supaya pergi menghantar barang-barang ke Kelantan. Dalam perjalanan pulang dari Kelantan, Azim bertembung dengan seorang bomoh misteri yang berbahasa Kelantan. Bomoh itu memberikan Azim selendang sakti berwarna merah yang dipercayai mampu memberi nombor ekor bertuah kepad Azim. Nombor itu akan terpapar pada selendang merah tersebut. Akhirnya Azim menjadi kaya-raya.
Namun begitu, kegembiraan Azim tidak lama apabila dia diganggu oleh penunggu selendang tersebut. Manakala Tasnim dan Wan pula diganggu oleh khadam lembing purba akibat mereka cabut lari begitu sahaja selepas mendapat nombor ekor. Nasib baik, bomoh Kedah (dilakonkan oleh Mazlan Pet Pet) berjaya mencari Tasnim. Namun, Tasnim terpaksa menanggung derita apabila anak yang dikandung isterinya hilang begitu sahaja dalam kandungan sehingga doktor pun tidak tahu apa yang sedang berlaku. Penantian menunggu anak sulung selama lima tahun menjadi sia-sia. Wan pula dibelasah teruk oleh Along kerana gagal membayar balik pinjaman yang dibuat. Barang kemas milik isterinya dirampas oleh Along.
Azim dan isterinya makin lama makin dilanda perasaan gelisah apabila didapati anaknya sering bercakap dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat. Isteri Azim sering mengadu mengenai kehadiran bau busuk dan perasaan diperhatikan sesuatu semasa di dalam rumah. Pada suatu hari, Wahidah (anak Azim) telah bermain-main dengan selendang merah sakti kepunyaan Azim, Azim terkejut lalu menampar anaknya yang sebelum ini cukup dimanjakan. Perubahan sikap Azim mendatangkan kekeliruan dan kesedihan terhadap isteri dan anaknya.
Azim termenung mengenangkan perubahan yang telah berlaku dalam hidupnya. Azim sedar, dia telah menyara hidup keluarganya dengan menggunakan sumber yang haram, iaitu perjudian Toto dan aktiviti syirik yang dipanggil ngangkung. Adakah Azim akan insaf atau terus terjebak dalam dunia ngangkung?
Ulasan Filem Ngangkung - Filem Komedi Seram Yang Pasti Mencuit Hati!
Filem Ngangkung telah berjaya menemui formula komedi seram yang cukup baik. Namun tidak dinafikan ada beberapa elemen yang seakan-akan dipetik dari filem lain, tetapi digubah sebagai satu karya parodi. Watak-watak hantu dan jembalang yang dipaparkan dalam filem Ngangkung memiliki wajah yang kadangkala menyeramkan dan kadangkala kelakar. Dialog-dialog mencuit hati para pelakon memang menjadi.
Pemilihan pelakon juga kena pada tempatnya. Para pelakon dalam filem Ngangkung berjaya membawa watak masing-masing termasuk pelakon kanak-kanak. Filem Ngangkung sememangnya berbaloi untuk ditonton. Selain babak seram komedi yang dimuatkan, terdapat juga moral dan teladan untuk para penonton.
Setelah membuai para penonton dengan komedi, filem Ngangkung terus menerjah jiwa penonton dengan babak-babak sedih dan mengharukan. Babak-babak sedihnya memaparkan perubahan drastik para pelakon, di mana para pelakon yang sering beraksi komedi, tiba-tiba diselubungi perasaan sedih dan kesal.
Antara babak-babak yang menarik dalam filem Ngangkung:
Babak permulaan di mana Tasnim dan Wan mengikut bomoh (bomoh ini jika tidak silap merupakan salah seorang pelakon yang memegang watak Pendekar Perkasa dalam drama bersiri Keris Hitam Bersepuh Emas).
Babak sebelum dan semasa Azim, Tasnim dan Wan bertemu dengan bomoh Kedah (Mazlan Pet Pet). Babak sebelumnya memaparkan hantu Jepun tanpa kepala. Oleh kerana hantu Jepun tersebut tidak memiliki kepala dan tangan, maka susahlah bagi bomoh Kedah tersebut hendak meminta nombor ekor.
Babak di dalam kereta, di mana Azim, Tasnim dan Wan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah pada waktu malam. Wan menyedari ada sesuatu yang menyeramkan di dalam kereta, lalu memasang muzik rancak. Mereka semua menggoyangkan badan dan menyanyi mengikut rentak lagu termasuk jembalang wanita yang berada di belakang kereta. Kemudian lagu rancak habis, diikuti dengan lagu-lagu berunsur keagamaan dan lirik memuji Tuhan. Hal ini menyebabkan mereka semua terdiam, manakala jembalang wanita ketakutan sambil menutup telinga.
Babak di dalam kereta di mana Tasnim mencurigai kejayaan Azim memenangi nombor kereta. Tasnim secara tidak sedar telah berbicara dengan khadam lembing purba.
Babak di mana Doktor Pakar Sakit Puan, iaitu Azlee dengan sepasang kekasih yang cuba menggugurkan anak mereka.
Babak di mana khadam wanita lembing purba memunculkan diri di rumah Tasnim dan isteri Tasnim yang kelakar itu bertanyakan soalan yang kelakar juga. Untuk mengetahui apakah dialog-dialog kelakar yang mengeletek hati para penonton, silalah menonton filem Ngangkung ini.
Babak akhir di mana khadam selendang merah cuba memikat khadam lembing purba tetapi ditolak oleh khadam lembing purba.
Babak-babak di atas diceritakan secara ringkas sahaja. Aksi-aksi dan dialog-dialog kelakar boleh dihayati sendiri menerusi filem tersebut. Terdapat banyak lagi babak-babak kelakar dalam filem Ngangkung ini yang bakal menggeletek hati para penonton sepanjang masa. Pendek kata, sepanjang menonton filem ini, letusan gelak ketawa tidak terhenti-henti kedengaran. Syabas buat pengarah filem baru, Ismail Bob Hasim!
Filem Ngangkung memiiki visual yang menarik, hasil usaha pengarah fotografi Indra Che Muda. Kebanyakan teknik yang digunakan adalah teknik 'framing' dan 'close up' yang sering dipakai untuk menghidupkan suasana seram dan 'suspense' dalam filem seram atau thriller.
Berikut adalah senarai krew penghasilan
Filem Ngangkung
Penerbit: David Teo
Pengarah: Ismail Bob Hasim
Pen. Pengarah 1: Ahmad Azlan Syah A. Rashid
Pen. Pengarah 2: Kartika Mohammad
Pengarah Fotografi: Indra Che Muda
Skrip: Panel MIG
Pengarah Seni: Ahmad Rusli Mohd Khadri
Kesan Khas: Ella Sandera
Filem Ngangkung
Penerbit: David Teo
Pengarah: Ismail Bob Hasim
Pen. Pengarah 1: Ahmad Azlan Syah A. Rashid
Pen. Pengarah 2: Kartika Mohammad
Pengarah Fotografi: Indra Che Muda
Skrip: Panel MIG
Pengarah Seni: Ahmad Rusli Mohd Khadri
Kesan Khas: Ella Sandera
|