Movie Review Let Me In - Ulasan Filem
Ulasan Filem Let Me In (2010 - USA) Pengarah Filem: Matt Reeves (USA)
Filem Asal: Let the Right One In (2008 - Sweden)
Arahan Tomas Alfredso (Sweden) berdasarkan Novel Ajvide Lindqvist (2004)
Filem Asal: Let the Right One In (2008 - Sweden)
Arahan Tomas Alfredso (Sweden) berdasarkan Novel Ajvide Lindqvist (2004)
Para Pelakon: Kodi Smit-McPhee (Owen), Chloe Grace Moretz (Abby), Richard Jenkins (ayah angkat/penjaga Abby) dan Elias Koteas (Pakcik Polis)
Sinopsis dan Ulasan Filem Let Me In
Filem Let Me In ini mengisahkan hubungan cinta antara dua kanak-kanak, satu manusia, dan satu lagi pontianak. Owen (lakonan Kodi Smit-McPhee) adalah seorang budak lelaki yang sering menjadi mangsa buli pelajar-pelajar nakal di sekolahnya. Owen tinggal dengan ibunya, yang bakal bercerai dengan bapanya. Pada suatu hari, Owen mendapat jiran baru yang agak misteri. Seorang pakcik tua dan anaknya yang bernama Abby.
Abby, yang dilakonkan oleh Chloe Grace Moretz, seperti biasa menunjukkan kehandalan aksi ganas dan kejamnya seperti watak Mindy Macready aka Hit-Girl dalam filem Kick-Ass. Nampaknya gadis cilik ini bakal menggantikan pelakon-pelakon aksi sedia ada seperti Angelina Jolie, Milla Jovovich, Sigourney Weaver dan Megan Fox pada masa akan datang. Seperti di dalam filem Kick-Ass juga, Chloe Grace Moretz bakal melakonkan watak seorang budak perempuan tabah yang kehilangan bapa atau penjaganya.
Mungkin disebabkan faktor usia yang sama, Owen dan Abby menjadi kawan. Owen adalah seorang budak yang sentiasa dalam kesunyian, kemunculan Abby bagaikan sinar matahari dalam hidupnya. Akhirnya, Owen dan Abby jatuh cinta. Kerana itulah di dalam agama Islam, perlu ada batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, terutamanya di kalangan budak remaja. Ini kerana mereka tidak matang dan mudah dilanda jatuh cinta, walhal mereka tidak memahami sepenuhnya tanggungjawab dalam bercinta.
Walaupun filem ini adalah mengenai percintaan kanak-kanak, itu tidak bermaksud filem ini boleh ditonton oleh semua peringkat umur atau umum. Filem ini dilabelkan sebagai filem 18PL kerana unsur-unsur ganas dan kejam berdarah yang ditampilkan di dalam filem ini. Adalah sesuatu yang ironik apabila memikirkan sebuah filem kejam dan ganas, dibintangi oleh dua pelakon kanak-kanak sebagai watak utama, dan watak-watak antagonisnya juga adalah sekumpulan remaja pembuli budak-budak. Filem ini tidak ada hero lelaki dewasa atau pun heroin wanita dewasa, tetapi filem ini adalah untuk tontonan dewasa berusia 18 tahun ke atas sahaja! Bayangkan, betapa ganasnya seekor pontianak kecil yang mengganas, mengigit dan mematahkan tengkuk orang dewasa kerana kehausan darah. Darah mangsa terpercik di serata tempat! Di pintu, di atas salji, di bilik air dan juga di kolam renang!
Let Me In - Kisah Cinta Yang Indah Tetapi Tragis
Let Me In adalah hasil karya Matt Reeves yang pernah menghasilkan Cloverfield, sebuah filem hebat lagi mencemaskan, mengenai kehadiran makhluk asing yang memusnahkan bandaraya Cloverfield. Mungkin peminat filem Let the Right One In (Sweden) akan membandingkan filem Let Me In dengan filem tersebut. Let the Right One In memang sebuah filem hebat, namun Let Me In juga telah dihidupkan dengan baik oleh kedua-dua pelakon kanak-kanak dan pengarahnya, Matt Reeves.
Kisah hubungan cinta antara pontianak atau vampire dengan manusia dalam filem dan karya Barat bukan lagi sesuatu yang baru. Jika manusia memakan haiwan ternakan, pontianak pula perlukan darah manusia untuk kekal hidup. Hubungan antara budak perempuan pontianak dan budak lelaki dalam filem ini boleh diumpamakan sebagai cinta antara musang dengan ayam. Namun, ada seekor ayam yang tidak mampu dimakan oleh musang tersebut, iaitu ayam yang bernama Owen. Oleh itu, musang terpaksa menyamar sebagai ayam, menjadi musang berbulu ayam supaya dia boleh hidup bahagia dengan ayam yang dicintainya. Apa pun, pontianak, yang kita sedia maklum, sangat alergik dengan cahaya, sehingga boleh mengundang kebakaran pada sel-sel darah dan badannya. Maka, oleh kerana faktor ini jugalah, manusia dan pontianak perlu saling-bantu membantu untuk menjaga kepentingan masing-masing.
Owen bakal menjadi pengganti bapa angkat atau penjaga Abby yang sebelumnya. Owen akan membesar bersama-sama dengan Abby, kemudian menjadi dewasa, lalu bertukar status daripada teman lelaki kepada bapa angkat Abby, dan akhirnya menjadi sangat tua dan lemah sehingga gagal mencari darah manusia untuk Abby.
Kisah cinta seperti ini sungguh tragis. Umpama percintaan antara manusia dengan syaitan. Pontianak kerdil yang manis dan cantik di dalam filem ini, rupa-rupanya adalah syaitan yang meragut nyawa manusia, dan kerana cinta dan sayang terhadap pontianak ini, manusia sanggup bersubahat membunuh bangsanya sendiri demi mengekalkan nyawa sang pontianak. Jika anda menjadi Owen, apakah pilihan anda?
Sebelum anda membuat keputusan terakhir, apa kata anda tonton sendiri filem cinta antara budak lelaki dengan pontianak yang tragis ini, dan adakah perasaan simpati anda akan mempengaruhi keputusan anda? Inilah satu-satu persoalan yang mungkin paling kuat mengusik jiwa para penonton apabila menonton filem Let Me In.
Adakah selepas menonton filem Let Me In ini, anda akan menyalahkan Owen dan bapa angkat Abby? Atau Abby patut dipersalahkan kerana kehidupannya sebagai pontianak? Anda tentukan sendiri.
|