BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 06, 2010

Review Life As We Know It - Ulasan Filem - Korbankan Kerjaya Sendiri Demi Anak Orang Lain

Ulasan Filem Life As We Know It - Movie Review
Ulasan filem oleh Amiene Rev (C) 2010

"Sebuah filem yang bermula dengan komedi, dan terus menganjak ke arah kesedihan dalam kehidupan yang tidak diduga sebelum perlahan-lahan kembali membina semula kebahagiaan hidup yang hilang demi amanah persahabatan dan kasih sayang terhadap seorang anak kecil. Cerita Life As We Know It adalah sebuah filem yang sangat menyentuh hati, membuai perasaan dan memori silam yang berkenaan melakukan pengorbanan dalam kerjaya demi kasih sayang terhadap anak orang lain." - Amiene Rev

Sinopsis Filem Life As We Know It
Filem Life As We Know It mengisahkan mengenai Holly Berenson (Katherine Heigl) dan Eric Messer (Josh Duhamel) yang dipertemukan oleh sahabat baik masing-masing untuk dijodohkan. Namun kedua-duanya memiliki ciri-ciri peribadi yang berbeza dan bertentangan antara satu sama lain. Namun selepas itu mereka tetap menjadi kawan.

Pada suatu hari, pasangan yang cuba menjodohkan Messer dengan Holly terlibat dalam satu kemalangan yang mengejutkan, lalu meninggalkan seorang bayi perempuan bernama Sophie. Demi Sophie, Eric Messer dan Holly terpaksa melakukan perubahan dalam hidup mereka, termasuk menerima kekurangan yang ada antara satu sama lain.

Akhirnya mereka pun faham kenapa pasangan tersebut memilih mereka berdua sebagai penjaga Sophie, ini kerana pasangan tersebut yang merupakan sahabat baik mereka mahu menyatukan kedua-duanya sebagai satu keluarga.

Movie Trailer - Trailer Filem Live As We Know It

Ulasan Amiene Rev
"Life As We Know It" adalah sebuah cerita yang menyentuh hati, dalam kegembiraan, kelucuan dan kecomelan, wujud kejutan duka dan simpati. Menerusi filem ini, Eric Messer digambarkan sebagai seorang lelaki yang sanggup mengorbankan cita-citanya demi menjalankan amanah untuk menjaga seorang anak kecil. Bukan sahaja terhadap Sophie, malah turut kepada Holly. Namun ternyata Holly agak tidak menghargai pengorbanan Eric Messer dan lebih dilihat cuba mengambil kesempatan di atas kebaikan dan sifat toleransi Eric Messer.

Holly pula pada akhirnya menyesal dan rasa bersalah kerana agak mementingkan diri sendiri dan sering menyerahkan beban menjaga Sophie kepada Eric Messer. Namun tanpa disedari, Holly telah mengorbankan rasa cintanya terhadap Sam, seorang doktor pakar kanak-kanak demi Sophie.

Pada satu babak, Eric Messer akhirnya mendapat peluang yang ditunggu-tunggunya sekali lagi di Pheonix. Sophie yang rasa bersalah akhirnya menyuruh Messer pergi mengejar cita-citanya. Ketika inilah hubungan Holly semakin rapat dengan Sam.

Sehinggalah pada suatu hari, Holly berasa terkejut apabila Sophie memanggilnya sebagai Mama. Holly tiba-tiba terlintas untuk mencari semua Eric Messer.

Sementara itu Eric Messer juga terganggu dan masih sangat menyayangi Sophie. Seringkali dia membuka video melihat Sophie yang dapat berdiri dan berjalan, dan kemudian dia melakukan satu lagi kejutan dan pengorbanan.

Janine, pegawai perkhidmatan sosial dan kebajikan kanak-kanak yang tegas akhirnya berasa terharu dan berusaha untuk menyatukan semula Holly dengan Eric Messer.

Filem ini memaparkan banyak babak mencuit dan menyentuh hati. Anda pasti akan jatuh cinta dengan filem ini.

Sesuaikah status PG 13?
Biarpun filem ini dikatakan sesuai untuk tontonan 13 tahun ke atas dengan bimbingan ibu bapa (PG 13) namun hakikatnya filem ini banyak memaparkan adegan-adegan seks yang tidak jelas, kelakuan berunsur erotik seperti perciuman, hubungan asmara, peluk-memeluk, babak bogel (lelaki dan perempuan tidur bersama dengan ditutup kain selimut pada sekitar bahagian sulit sahaja) kecurangan, hubungan bebas, seks sebelum kahwin dan banyak lagi babak-babak yang sebenarnya tidak sesuai untuk tontonan di bawah 13. Saya sendiri tidak faham bagaimana filem Life As We Know It ini dilabelkan sebagai filem PG 13.