Amiene Rev dengan Sang Atheis
Bulan November, ketika ini seluruh negara dilanda hujan. Hujan tidak begitu ketara turunnya, namun di sesetengah tempat, banjir sudah melanda. Aku berdiri di satu penjuru taman, dan aku renung semula kemungkaran yang semakin berleluasa pada hari ini.
Pada akhir zaman ini, manusia lebih suka mengkritik kebaikan berbanding keburukan. Keburukan di depan mata dibiarkan, kebaikan ditafsir sebaliknya.
Apabila orang kaya membantu orang miskin, itu dianggap publisiti murahan. Apabila orang kaya membantu orang kaya, itu dianggap rakan kongsi.
Apabila dua orang lelaki atau dua orang wanita bersahabat baik, mereka dituduh homoseks tetapi apabila lelaki dan perempuan bukan muhrim bebas bergaul, bersentuhan, berlaga anggota badan dan saling mendedahkan aurat sesama mereka, itu dianggap tidak mengapa.
Apabila artis-artis hiburan meninggal dunia, itu dianggap kehilangan yang besar. Apabila ustaz atau ustazah meninggal dunia, media senyap begitu sahaja.
Artis-artis kerap melakukan perbuatan tidak senonoh. Media sangat suka. Ini bahan berita. Ini sumber pendapatan. Bila ada cerita tidak elok, orang cepat percaya. Orang cepat suka. Surat khabar laris. Rating di televisyen cepat naik.
Bila orang buat fitnah. Benda yang tidak ada bukti cepat-cepat orang percaya. Cepat-cepat orang sebar. Bila benda buruk ada bukti, dimaklumkan oleh orang yang mahu mencegah kemungkaran, cepat-cepat orang kata fitnah. Bukti sudah ada di depan mata. Orang lagi tidak mahu percaya.
Bila orang tua tegur anak-anak muda remaja. Jangan buat maksiat. Jangan pegang-pegang lelaki dan perempuan bukan muhrim. Anak remaja marah-marah. Maki-maki orang tua. Mereka kata mereka masih muda. Mahu enjoy. Ajal maut tak kenal usia muda atau tua. Bukan setakat bayi baru lahir boleh mati dulu, janin dalam perut pun boleh gugur.
Kemudian datang seorang atheis. Tengoklah, agamamu mendatangkan masalah. Tuhanmu tidak pernah muncul bila dunia sekarang huru-hara. Tuhan tidak tolong apa pun. Tuhan kamu butakah?
Aku merenung si atheis. Tuhanku sedang mengujiku dan hamba-hambanya yang lain. Aku percaya bahawa Tuhan aku itu wujud.
Di mana Tuhanmu ketika ini?
Di dalam hatiku. Di dalam kepercayaanku. Pada lidahku. Pada akalku. Pada imanku.
Aku tidak nampak!
Kerana engkau buta dan aku tidak.
"Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." - (Az Zumar:67)
|