BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 11, 2010

Surat Pembaca - Selepas 17 Tahun Berkahwin, Hubungan Suami Isteri Menjadi Renggang

Surat kiriman daripada Mistress Legolas:

Saya ibu kepada 4 orang anak. Perkahwinan saya masuk tahun ke 17 tetapi sejak beberapa bulan ini hubungan suami dengan saya semakin renggang dan tiada keserasian.

Suami saya berumur 43 tahun, 3 tahun tua daripada saya, bersifat panas baran tetapi pandai buat baik bila perlukan sesuatu. Sepanjang hubungan kami dia memang sering meninggi suara pada saya tidak kira di hadapan anak-anak. Beliau juga jarang bersembahyang dan berpuasa. Saya sudah banyak kali bersabar dengan perangainya, dulu dia juga suka memukul saya tapi sejak saya melaporkan pada polis, dia belum berani lagi angkat tangan.

Masalahnya kini dia terlalu menumpukan pada kerja kerana mengejar harta duniawi sehingga mengabaikan perhatiannya kepada saya dan anak-anak. Sejak 3 bulan lepas, dia tidur berasingan bilik dan seperti tidak berkehendakkan seks. Siang malam dia tumpukan pada kerja dan kawan-kawan yang membantunya dalam kerjaya. Saya terseksa zahir dan batin.

Baginya dengan membeli susu, beras dan makanan sudah memenuhi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.. keperluan lain semua saya yang kena uruskan seperti duit sekolah anak, tuition, pakaian dan lain-lain. Saya memang selalu memikirkan untuk berpisah tetapi memandangkan anak-anak yang masih kecil saya tidak tahu apa yang terbaik untuk saya lakukan. Untuk meminta orang lain nasihatkan dia, saya rasa dia terlalu ego untuk menerima teguran orang.

Tolonglah saya untuk mencari jalan penyelesaian. Saya memang sedih setiap kali dia mendiamkan diri dan tidak mahu bertegur sapa dengan saya.. kekadang hampir berminggu lamanya.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Memandangkan Puan seorang Islam, saya cadangkan Puan agar mendoakan yang terbaik untuk suami Puan tanpa pengetahuan suami Puan. Apa yang dapat saya lihat mengenai sikap suami Puan itu, ialah keghairahan untuk berjaya dalam karier sehingga mengabaikan perkara-perkara lain. Saya sendiri tidak pasti apakah perkara yang mendorong suami Puan menjadi seperti itu.

Namun, kebiasaannya ada beberapa perkara yang menyebabkan suami Puan menjadi sedemikian rupa. Antaranya, terlalu bercita-cita tinggi sehingga menganggap keluarga sebagai pembatas atau bebanan terhadap usaha mencapai kejayaan.

Kedua, tekanan di tempat kerja. Mungkin suasana di tempat kerja suami Puan itu terlalu memberi tekanan kepada dirinya. Maka Puan perlu melakukan perubahan dari aspek keceriaan dan layanan terhadap suami Puan.

Puan juga boleh mempraktikkan kata-kata yang manis dan menyedapkan telinga mendengarnya apabila berbicara dengan suami Puan. Puan juga boleh melakukan kelainan dalam rumah tangga Puan seperti mengubahsuai kedudukan perabot, menu masakan, menurunkan berat badan, mengubah penampilan semasa di dalam rumah, dan apa-apa perkara yang dirasakan boleh menyebabkan suami Puan berada di dunia baru.

Letakkan bau-bauan wangi yang menenangkan jiwa di dalam rumah, wujudkan suasana ala-ala hotel, hidangan romantik dan sebagainya supaya suami Puan seolah-olah berada di dunia percutian apabila pulang ke rumah. Layanlah suami Puan seolah-olah Puan adalah dewi yang turun dari kayangan.

Mungkin idea di atas terlalu imaginatif untuk dilaksanakan, namun apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, suami Puan tampak bosan atau jemu dengan keadaan di rumah.

Latih anak-anak Puan untuk menunjukkan pencapaian harian mereka. Suami Puan yang bercita rasa tinggi tentu akan tersentuh hati apabila melihat pencapaian-pencapaian yang telah Puan lakukan di rumah. Suami yang bercita-cita tinggi biasanya sukakan pencapaian dan tidak suka dengan kebiasaan. Mereka suka pada benda-benda yang baru.

Tanam dalam minda Puan, bahawa Puan boleh melakukannya. Selamat berjuang untuk merampas kembali kebahagiaan rumah tangga yang diragut daripada kehidupan Puan. Berani bertindak adalah kunci kepada kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Selamat berani mencuba dan jangan cepat menyerah kalah jika kebahagiaan rumah tangga merupakan kemahuan bagi Puan.