BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 04, 2010

Magika - Review Filem Muzikal Malaysia

Ulasan Filem Magika - Magika Review
Ulasan ringkas oleh Amiene Rev (C) 2010
Masa agak tidak mengizinkan saya untuk membuat ulasan, namun sebagai satu tanda penghargaan buat karya KRU, maka di sini saya ingin mencatatkan sedikit ulasan mengenai filem muzikal terbitan KRU, iaitu Magika. KRU boleh dikatakan perintis dalam kebanyakan genre filem di Malaysia. Genre adiwira, genre fantasi muzikal dan mungkin juga pemberi nafas baru dalam genre-genre yang lain.

Sinopsis Filem Magika:
Filem Magika adalah sebuah filem berbentuk kekeluargaan yang menyelitkan pantang larang orang Melayu terutama peringatan untuk anak-anak seperti jangan keluar rumah waktu senja dan jangan buang air kecil merata tempat sesuka hati tetapi nampak gayanya mungkin selepas ini ramai anak-anak akan suka keluar selepas waktu senja kerana mahu masuk ke alam Magika yang indah. Filem ini juga kaya dengan nilai kasih sayang, cinta dan pengorbanan, di mana unsur-unsur 'carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga' turut diterapkan.

Sinopsis: Filem Magika mengisahkan bagaimana dua beradik yang tersesat di alam bunian selepas keluar rumah pada waktu Maghrib. Hakikatnya, Malik yang degil keluar rumah pada waktu Maghrib, sementara Ayu pula diminta oleh ayahnya untuk mencari Malik yang entah menghilang ke mana.

Ayu (lakonan Diana Danielle) berhadapan dengan ujian sukar untuk menyelamatkan adiknya iaitu Malik (lakonan Shafimie Don) yang diculik nenek kebayan lakonan Ziana Zain. Bagaimanapun Ayu bernasib baik kerana dia bertemu dengan Badang (lakonan Mawi) yang membantu menyelamatkan mereka keluar dari dunia asing itu.
Watak-watak utama dalam filem ini ialah Ayu (Diana Danielle), Malik (Shafimie Don) dan Badang (Mawi).

Watak-watak lagenda, mitos, mistik:
Filem ini menggabungkan beberapa watak utama dan antagonis dalam cerita-cerita rakyat, mitos, lagenda dan mistik seperti Badang, Mahsuri, Hikayat Hang Tuah Lima Bersaudara, Lembing Awang Pulang ke Dayang, Bawang Putih Bawang Merah, Puteri Gunung Ledang, Pak Pandir dan Mak Andeh, Orang Minyak, Naga Tasik Chini, Nenek Kebayan dan Awang Kenit, Batu Belah Batu Bertangkup dan Nujum Pak Belalang. Watak-watak ini tidak digarap mengikut personaliti asal mereka. Penampilan watak-watak adalah kelakar. Contohnya, watak Hang Tuah digambarkan sebagai seorang jejaka yang agak miang dan kelakar. Pendek kata, semua watak dalam filem Magika mempunyai ciri-ciri komedi.

Watak-watak di dalam filem Magika dilakonkan oleh Diana Danielle (Ayu, kakak Malik), Fimie Don (Malik, adik Ayu), Mawi (Bad atau Badang), M.Nasir (Naga Tasik Chini versi Barat), Maya Karin (Puteri Bunian), Nabil (Orang Minyak yang lucah), Ning Baizura (Puteri Gunung Ledang yang pentingkan kecantikan), Vanidah Imran (Mahsuri yang mati hidup semula), Jalaludin Hassan (ayah Ayu dan Malik), Fauziah Ahmad Daud (arwah ibu Ayu dan Malik), Ziana Zain (nenek kebayan awet muda) dan ramai lagi yang sekejap ada sekejap tidak ada bersikap ceria dan kelakar.

Teknologi CGI atau Imej Janaan Komputer:
Teknologi grafik digital tiga dimensi yang digunakan di dalam filem Magika adalah semakin baik. Ini merupakan satu promosi yang baik untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa yang bakal muncul tidak lama lagi. Antara babak-babak menarik yang melibatkan teknologi CGI ini termasuklah babak kemunculan kera-kera liar, pokok-pokok yang boleh bercakap dan perubahan rupa paras Pertapa Tua (lakonan M. Nasir) menjadi Naga Tasik Chini.

Lagu-lagu Dalam Magika:
Salah satu kelebihan filem muzikal ialah dialog-dialog yang disusun ritmanya menjadi lagu. Bagi sesiapa yang belum biasa dengan filem muzikal, mereka tentu akan terasa janggal melihat babak-babak muzikal seperti ini. Namun, berbeza dengan filem Hindustan, babak-babak muzikal dalam filem muzikal adalah jalinan perjalanan cerita, perilaku watak-watak dan dialog yang dilakonkan sebelum dan selepasnya. Dalam erti kata lain, babak-babak dilakonkan dengan dialog yang sudah diubah menjadi lirik, dan pergerakan watak-watak diubah mengikut rentak dialog dan lagu.

Untuk melihat gambaran terbaik filem muzikal, anda mungkin boleh merujuk pada filem Sweeney Todd, lakonan Johnny Depp. Filem tersebut merupakan salah satu filem muzikal yang terbaik. Walau bagaimana pun, filem tersebut sarat dengan aksi kejam dan ganas, dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Begitulah ulasan saya berkaitan tiga perkara dalam filem muzikal Magika terbitan KRU ini. Tahniah buat Edry Abdul Halim kerana kejayaannya menerbitkan filem muzikal yang membangkitkan watak-watak dari cerita-cerita rakyat tempatan seperti Magika ini.