Anak-Anak Yatim Anak-Anak Orang Miskin 4
Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Orang Miskin - Siri 4
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Kehinaan. Aku merujuk kepada sifat hedonis. Sifat manusia yang mengabaikan kejadian asalnya, dan tujuan asalnya hidup di muka bumi. Hina, kerana mereka dinobatkan sebagai hamba yang paling mulia dan tinggi darjatnya, kekasih Sang Pencipta, sedangkan mereka melalaikan diri mereka, menyapu najis-najis hedonis ke muka mereka.
Lalai. Aku merujuk kepada sifat hedonis lagi. Manusia semakin lupa percanggahan hedonis dengan kehendak Pencipta. Manusia tidak dijadikan untuk berhibur. Manusia tidak dijadikan untuk mengagung-agungkan kenikmatan hiburan berteraskan nafsu, penyimpangan daripada aspek mengingati dan mencintai-Nya.
Aku semakin takut dan bimbang. Anak-anak yang masih memiliki ibu bapa, maka ibu bapa merekalah yang akan menentukan hala tuju anak-anak mereka. Namun, anak-anak yatim, mereka masih ada harapan sebagaimana mereka juga masih ada risiko. Anak-anak orang miskin, ada di kalangan mereka yang mudah tergoda dengan kemewahan. Lalu, ketika masih di bangku sekolah, mereka bekerja, mencari wang, bukan kerana semata-mata mahu menanggung ibu bapa dan saudara-saudara mereka tetapi kerana mereka mahu mencari kemewahan untuk diri mereka juga.
Ah, betapa jengkelnya dunia pada masa ini. Apabila hiburan dan kemewahan menjadi tarikan dan punca pengaruh, begitu mudah anak-anak muda pada hari ini diselewengkan. Inilah penyelewengan nikmat. Sesungguhnya, gaya hidup yang diamalkan oleh kebanyakan anak-anak muda pada hari ini amat menakutkan.
BERSAMBUNG...
|