BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, November 05, 2010

The Other Guys Movie Review - Filem Aksi Komedi Kelakar

Ulasan Filem The Other Guys - The Other Guys Movie Review
Ulasan ringkas oleh Amiene Rev (C) 2010

Jangan tertipu dengan kemunculan Dwayne "The Rock" Johnson (Danson) dan Samuel L. Jackson (Highsmith) dalam filem ini. Mereka berdua bukan watak utama, tetapi watak lagenda yang menjadi ikutan ramai. Mereka berdua adalah polis berstatus selebriti yang sanggup menangkap penjenayah yang melakukan kes jenayah ribuan Dollar Amerika dengan melakukan kerosakan bernilai berjuta-juta Dollar Amerika. Mereka berdua adalah polis yang bertugas menangkap penjenayah dengan penuh bergaya dan mati dengan bodohnya apabila terjun daripada bangunan tinggi dengan sengaja semasa cuba mengejar perompak-perompak berstatus profesional.

Will Ferrell sebagai Allen Gamble dan Mark Wahlberg sebagai Terry Hoitz bergabung sebagai watak utama dalam cerita ini. Dua orang polis yang selalu bertengkar, kemudian mendapat inspirasi daripada dua orang polis selebriti tadi, lalu kedua-duanya bekerjasama sebagai rakan sepasukan yang hebat pada akhirnya.

Gamble dan Hoitz masing-masing memiliki sejarah silam yang hitam dan kelakar. Pada masa silamnya Hoitz pernah tertembah Derek Jeter, manakala Gamble yang lurus bendul pernah menjadi Gator, bapa ayam semasa di universiti.

Cerita ini penuh dengan lawak lucah dan agak keterlaluan, termasuk lawak bodoh dan lawak-lawak yang di luar dugaan. Babak kematian Danson dan Highsmith yang begitu sahaja memang mengejutkan ramai, terutama apabila ramai penonton yang pada ketika itu percaya mereka akan jatuh ke atas sesuatu yang lembut selepas terjun daripada bangunan yang tinggi. Namun tidak, upacara pengkebumian menjadi penutup kedua-dua watak itu.

Siapa percaya, Gamble yang lurus bendul mampu menarik perhatian ramai gadis-gadis cantik dan seksi berbanding Hoitz. Malah isteri Gamble sendiri yang bernama Sheila itu juga sangat cantik sehingga Hoitz turut cemburu dan tergila-gilakannya.

Siapa percaya, kedua-dua polis ini dengan mudahnya termakan rasuah tiket perlawanan bola keranjang dan konsert kebudayaan daripada suspek mereka sebanyak dua kali.

Cerita ini banyak memaparkan lawak-lawak komedi yang di luar kewarasan manusia normal, selain aksi-aksi yang meletup-letup.

The Other Guys adalah sebuah cerita yang mampu membuatkan anda ketawa tidak percaya akan lawak-lawak badut yang dilakonkan oleh keempat-empat watak ini, termasuk watak orang kaya itu sendiri. Filem ini adalah sebuah filem lawak sindiran yang sinis.

Oh, ya. Seharusnya ulasan ini ditulis ringkas sahaja kerana masa tidak mengizinkan saya untuk lama menulis di sini. Awas, filem The Other Guys memiliki lawak lucah maka filem ini hanya sesuai untuk tontonan 18 tahun ke atas. Nampaknya filem-filem Barat semakin berani menjadikan kelucahan sebagai satu lawak.