BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 23, 2010

Ulasan Filem Crayon - Movie Review - Filem Hebat Malaysia!

Ulasan Filem Crayon The Movie
Oleh Amiene Rev (C) 2010

Filem Crayon sememangnya sebuah filem 'kecil' yang hebat. Persoalan kenapa para penonton belum mahu keluar dari panggung wayang biarpun filem Crayon telah tamat, terjawab selepas lampu di dalam panggung wayang dibuka. Kelihatan ramai penonton sedang menangis kerana terharu. Filem Crayon memang sebuah filem yang menyentuh hati rakyat Malaysia! Saya sendiri terkesan dengan aura menyayat hati dari filem ini." - Amiene Rev.

Skrip dan Arahan: Dean A. Burhanuddin
Para Pelakon: Hon Kahoe (Adam), Faisal Abdullah (Rafaat), Adibah Noor (Mak Engku) dan Joshry Adamme (Afiq).

Sinopsis Filem Crayon The Movie:
Filem Crayon The Movie bertemakan kasih sayang, cintai kebajikan dan perpaduan kaum ini mengisahkan dua orang sahabat baik Adam Wan (lakonan Hon Kahoe) dan Rafaat (lakonan Faisal Abdullah), dua orang pelajar universiti yang diminta untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan semasa cuti penggal sebagai salah satu syarat untuk kursus mereka. Kedua-dua pelajar universiti ini memilih untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan, membantu Mak Engku (atau Kak Engku khusus untuk Adam sahaja) di sebuah rumah anak yatim di Malaysia. Kerja-kerja sukarelawan mereka walau bagaimana pun tidak seindah yang disangka, apabila terdapat sebuah syarikat besar lintah darat yang menjadi dalang dalam usaha untuk merampas dan memajukan tanah tempat tinggal anak-anak yatim tersebut, untuk dijadikan pusat pelancongan. Syarikat tersebut juga memaksa Mak Engku supaya membayar hutang tertunggak selama tiga bulan dalam tempoh yang terdekat. Adam dan Rafaat merancang untuk mengadakan konsert amal bagi mengutip derma dan mengadakan lelong jualan lukisan yang dilukis oleh anak-anak yatim sebagai salah satu cara lagi untuk mengutip tabung bagi menyara anak-anak yatim tersebut.

Filem Crayon The Movie bukanlah sebuah filem yang cuma dipenuhi babak mencuit hati, tetapi juga babak menyayat hati. Di sebalik kejayaan konsert tersebut, satu peristiwa sedih telah berlaku, dan tanah perkuburan kembali merah, dibasahi hujan dan diselangi doa. Kemarahan Adam memuncak, dan Rafaat terus berjuang membela nasib anak yatim sehinggalah sebuah komputer riba, menyatakan sesuatu yang akhirnya membantu menegakkan keadilan dan membela nasib anak-anak yatim tersebut.


Poster Filem Crayon The Movie

Ulasan Filem Crayon The Movie:
Pertama, syabas buat Adibah Noor yang memainkan peranan yang cukup baik sebagai Mak Engku, pengasas dan pengendali rumah anak yatim. Sifat keibuan Mak Engku menghidupkan jalan cerita ini dengan baik. Kedua, Filem Crayon The Movie ini sarat dengan teguran untuk rakyat Malaysia. Teguran terhadap sifat perkauman dan prejudis di kalangan bangsa tertentu, termasuk juga terhadap pihak luar yang masih belum sedar akan pencapaian rakyat Malaysia.

Watak-watak dan para pelakon dalam Filem Crayon The Movie
Pada mulanya Filem Crayon The Movie ini kelihatan seperti filem kanak-kanak kerana kebanyakan watak dewasa dalam Filem Crayon The Movie ini bersifat kebudak-budakan. Bayangkan betapa manjanya watak jahat di dalam Filem Crayon The Movie ini. Begitu juga watak Rafaat yang agak pelik biarpun Rafaat merupakan seorang genius IT.

Babak Menyentuh Hati dalam Filem Crayon The Movie
Babak sedih dalam Filem Crayon The Movie ini memang sangat menjadi. Ramai penonton menitiskan air mata, dan tidak kurang juga yang sampai perlu dipujuk supaya berhenti menangis dan keluar dari panggung kerana Filem Crayon The Movie sudah lama tamat. Filem Crayon The Movie sememangnya sebuah karya bertemakan perpaduan kaum yang hebat. Walaupun saya telah keluar dari panggung wayang, perasaan tersayat dan sedih masih membuai jiwa saya. Hebatnya kesan melankolik dalam Filem Crayon The Movie ini.

Sebuah Filem Harus Tonton: Filem Crayon The Movie - Filem Terbaik
Filem Crayon The Movie adalah sebuah filem yang ringkas, malah sarat dengan nilai-nilai murni. Sebuah filem yang mesti ditonton oleh semua rakyat Malaysia. Filem Crayon The Movie adalah sebuah filem Malaysia. Dean A. Burhanuddin pasti akan muncul sebagai seorang lagi sutradara hebat Malaysia pada masa akan datang. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan Filem Crayon The Movie. Salah satu filem Malaysia terbaik pilihan saya untuk tahun ini.

Usah bandingkan Filem Crayon The Movie dengan filem-filem karya Yasmin Ahmad. Filem Crayon The Movie berada pada kelasnya yang tersendiri. Filem ini mengandungi dialog-dialog yang berani menyatakan keadilan, kebenaran dan kepahitan dalam realiti kehidupan di luar panggung wayang.

Petikan-petikan Al-Quran dalam Filem Crayon The Movie:
Filem Crayon The Movie juga memuatkan beberapa petikan Al-Quran yang cuba merapatkan lagi hubungan bukan Islam terhadap Islam. Ini satu usaha yang wajar dipuji. Jika sebelum ini ayat-ayat Al-Quran selalunya digunakan untuk filem-filem seram sahaja, maka semua orang patut sedar ayat-ayat Al-Quran juga boleh digunakan dalam filem-filem bertemakan perpaduan kaum seperti Filem Crayon The Movie ini.

Tahniah sekali lagi buat Dean A. Burhanuddin. Saya sudah menyenarai tinggi nama anda sebagai sutradara baru yang bakal mencetus inspirasi baru dalam pengkaryaan filem di Malaysia. Saya akan menunggu kemunculan filem-filem Dean A. Burhanuddin yang seterusnya selepas ini.