BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, November 15, 2010

Surat Pembaca - Nak Buang Sifat Pemalas

Surat kiriman daripada Aisyah Kibum:

Saya masih sekolah tetapi saya tidak boleh nak buang sifat pemalas saya. Macam mana ya nak mengatasinya?

Jawapan daripada Amiene Rev:
Sifat malas ini adalah salah satu sifat yang merugikan. Langkah pertama untuk mengelakkan diri daripada rasa malas adalah dengan membuang perkataan malas itu dari kamus peribadi. Seboleh-bolehnya elakkan diri daripada mengguna perkataan malas apabila bercakap.

Kedua, hidup ini hendaklah bermatlamat kerana Allah. Pastikan niat melakukan sesuatu itu kerana Allah. Bacalah Bismillah apabila hendak melakukan satu-satu perkara. Letakkan sasaran dan matlamat yang realistik dan mudah untuk dicapai.

Ketiga, mengambil wuduk. Dalam keadaan suci dan bersih, Aisyah akan lebih mudah terpelihara daripada bisikan syaitan.

Keempat, biasakan diri untuk bangun awal pada setiap hari. Tidak kira Aisyah bersekolah pada waktu pagi atau pun petang, biasakan diri untuk bangun dan bersolat subuh. Sikap malas bangun pagi adalah benih kemalasan. Oleh itu amalkan sikap sentiasa rajin untuk bangun subuh atau bersolat subuh. Apabila kita rajin bersolat subuh, maka kita telah menanam benih kerajinan dalam diri kita. Kebiasaannya, orang yang malas ialah orang yang sering tertinggal solat Subuh. Orang seperti ini sering tidur sampai ke tengah hari, dan kadangkala sampai ke petang. Ada juga kes di mana orang yang sudah berupa seperti seekor beruang polar, berhibernasi sehingga ke esok hari. Ini, sesungguhnya adalah sifat yang sangat buruk.

Kelima, jauhkan diri daripada orang yang seringkali malas atau suka berdalih apabila disuruh melakukan sesuatu perkara. Dekatilah orang yang rajin dan ringan tulang. Dekatilah orang yang suka menolong. Dekatilah orang yang suka mencari ilmu pengetahuan. Dekatilah orang yang rajin bersolat. Dekatilah orang yang rajin dan tekun berusaha.

Semoga panduan di atas dapat membantu Aisyah untuk menjadi lebih rajin dan bermotivasi untuk hidup kerana Allah. Selamat merajinkan diri.