BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 21, 2010

Bahaya Bagi Pemakai Kasut Crocs di Escalator: Kasut Getah Punca Kaki Pecah!

Bahaya Memakai Kasut Crocs Ketika Menggunakan Escalator

Sebelum saya menulis tentang legenda Kasut Crocs dan Escalator, ingin saya beritahu puncanya saya menulis kisah ini. Sudah dua hari berturut-turut saya melihat dengan mata kepala saya sendiri di hypermarket besar dan ternama, kes kemalangan melibatkan kasut Crocs atau kasut getah, tersepit di escalator. Oleh yang demikian, saya rasa terpanggil untuk menulis dan memperingatkan para pembaca dan pengunjung setia sekalian mengenai betapa bahayanya memakai kasut crocs semasa menggunakan escalator. Semalam, sebuah kasut crocs berwarna hijau tersepit di celah escalator dan menyebabkan escalator tersebut tidak lagi dapat digunakan. Darah terpercik di merata-rata tempat, menandakan tuan punya kasut Crocs telah patah atau hancur jari kakinya. Kasut itu adalah bersaiz kaki orang dewasa. Wallahualam.

Kedua, petang tadi, seorang kanak-kanak kecil menjerit kesakitan sambil ditenteramkan oleh ibunya sendiri, sementara pihak pengawal keselamatan mendapatkan peti kecemasan untuk merawat kaki kanak-kanak tersebut yang telah luka. Kasut Crocs kecil berwarna kuning itu sebelahnya telah rompong, terkoyak dan hangit pada bahagian depannya, menandakan betapa sakit dan pedihnya hujung-hujung jari kaki kanak-kanak tersebut apabila kasut crocs yang dipakainya tersepit di celah-celah escalator.

Sumpahan Kasut Crocs di Escalator - Kisah Kasut Crocs dan Escalator
The Tale Of Crocs Shoes and Escalator
Original Story by Amiene Rev (C) 2010

Menurut legenda, pada suatu ketika dahulu, Escalator dan Kasut Crocs bersahabat baik. Namun, kerana faktor populariti, kedua-duanya kini bermusuhan. Kasut Crocs pada asalnya dicipta untuk kegunaan aktiviti yang melibatkan air kerana faktor mudah kering. Namun sejak tahun 2002, populariti kasut getah yang berjenama Crocs mula mendapat perhatian dunia sebagai satu fesyen yang santai dan comel.

Jika dahulu escalator begitu berbangga apabila berada di bawah manusia, kini Kasut Crocs pula mengambil tempat tersebut. Rupa kasut Crocs yang comel dan kelakar menyebabkan escalator sering mengetawakan Kasut Crocs. Setiap kali ada manusia yang menaiki escalator dengan memakai Kasut Crocs maka escalator akan ketawa berdekah-dekah hingga tertelan Kasut Crocs itu sendiri. Hal ini menimbulkan kecederaan pada kaki manusia. Kini Kasut Crocs dan escalator mula bermusuhan. Escalator menyalahkan Kasut Crocs kerana menyebabkan kecederaan pada manusia dan menjadi punca ramai manusia yang memakai Kasut Crocs tidak mahu menaiki escalator, manakala Kasut Crocs pula menyalahkan escalator kerana disebabkan escalator, maka ramai orang takut hendak memakai Kasut Crocs bila pergi ke pasar raya yang sejuk dan nyaman itu.

MORAL: Kasut Crocs adalah dari jenis getah lembut dan fleksibel. Oleh itu tidak hairanlah kenapa kasut jenis ini seringkali terlekat dan tersepit di celah-celah tangga escalator yang mudah lipat itu. Patuhilah disiplin semasa menaiki escalator.

Pengawal keselamatan harus ditempatkan di setiap escalator bagi memastikan escalator tidak terus menjadi mimpi ngeri buat penggemar kasut crocs yang degil atau belum tahu betapa bahayanya memakai kasut getah, selipar getah atau kasut Crocs di escalator.