Skyline Movie Review - Ulasan Filem Skyline
Ulasan Filem Skyline - Skyline Film Review
Ulasan oleh Amiene Rev (C) 2010
Arahan: Colin Strause dan Greg Strause
Penulis Skrip: Joshua Cordes, Liam O’Donnell
Para Pelakon: Eric Balfour, David Zayas, Scottie Thompson, Brittany Daniel
Terbitan: Rogue Pictures / Relativity Media / Hopscotch
Laman Web: http://www.iamrogue.com/skyline
Ulasan oleh Amiene Rev (C) 2010
Arahan: Colin Strause dan Greg Strause
Penulis Skrip: Joshua Cordes, Liam O’Donnell
Para Pelakon: Eric Balfour, David Zayas, Scottie Thompson, Brittany Daniel
Terbitan: Rogue Pictures / Relativity Media / Hopscotch
Laman Web: http://www.iamrogue.com/skyline
Ulasan dan Sinopsis Filem Skyline
Filem Skyline mengingatkan penulis terhadap filem Cloverfield dan District 9. Ada juga unsur-unsur Resident Evil pada akhir cerita. Skyline adalah sebuah filem sains fiksyen yang mengisahkan kemunculan beberapa buah kapal angkasa makhluk asing yang datang untuk mencari otak-otak manusia bagi mencipta generasi baru makhluk asing yang berkuasa. Mereka menculik manusia, memenggal dan mencabut kepala dari badan manusia, kemudian mencabut otak dan saraf tunjang untuk dimasukkan ke dalam jasad makhluk asing yang pelbagai rupa.
Filem berjudul Skyline arahan Colin Strause dan Greg Strause ini bermula dengan Jarrod dan kekasihnya, Elaine, yang menziarahi sahabat baik mereka, Terry di Los Angeles. Los Angeles adalah sebuah kota raya yang terkenal dengan gempa bumi.
Pada suatu pagi, beberapa butiran bercahaya biru terang dan cantik, jatuh dari angkasa, menembusi awan dan kabus pagi, menjunam di beberapa tempat di Los Angeles. Kemudian beberapa ekor makhluk asing berterbangan, mula memburu manusia untuk mendapatkan otak. Kedengarannya seperti filem Zombie Kampung Pisang, tetapi sebenarnya pemburu otak ini ialah makhluk asing.
Makhluk-makhluk asing ini terdiri dalam pelbagai bentuk, dari bentuk seperti ampai-ampai yang berterbangan, sehinggalah ke bentuk gorila gergasi yang bersaiz bangunan dua tingkat atau lebih besar lagi. Terdapat juga beberapa buah kapal angkasa hidup yang apabila dimusnahkan akan hidup semula.
Filem Skyline ini digemparkan lagi dengan babak-babak pertempuran manusia dengan makluk-makhluk asing. Jet-jet pejuang canggih milik manusia termasuk Stealth turut serta dalam peperangan ini. Kehandalan para pemandu jet pejuang terserlah namun kemajuan teknologi makhluk asing memang sukar untuk diramalkan.
Jarrod menyedari dirinya memiliki kekuatan yang agak luar biasa selepas merenung ke dalam cahaya biru makhluk asing yang mempesonakan. Kekuatan ini hanya boleh diaktifkan menerusi perasaan berang atau marah.
Babak akhir filem ini menyaksikan Jarrod dan kekasihnya ditangkap dan dimasukkan ke dalam kapal angkasa makhluk asing yang serba canggih. Jarrod akhirnya bercerai kepala dari badan, dan otaknya dialihkan ke badan makhluk asing. Walaupun sudah dimasukkan ke dalam badan makhluk asing, Jarrod masih mampu memiliki kesedaran dan bakal melakukan kejutan dalam filem Skyline 2, tidak lama lagi (agaknya).
Kenapa Jarrod masih memiliki kesedaran biarpun sudah dimasukkan ke dalam badan makhluk asing? Kenapa makhluk asing tidak mahu membunuh kekasih Jarrod? Kenapa makhluk asing menceroboh bumi dan merampas otak-otak manusia? Semua persoalan ini bakal ditemui dalam filem Skyline.
Skyline memaparkan babak-babak aksi yang menarik dan cantik. Penonton pasti tidak akan senang duduk. Penamat filem Skyline walau bagaimana pun agak mengecewakan, namun dijangka segala kekecewaan penonton akan berakhir selepas terbitnya Skyline 2.
Ulasan Tambahan dan Kesimpulan:
Selepas menonton filem Skyline, saya dapat merasakan penerbit filem ini mungkin menghadapi masalah dari segi kewangan atau sedang sedaya-upaya mengehadkan perbelanjaan untuk filem Skyline ini bagi memberi laluan terhadap sambungan filem ini iaitu Skyline 2. Penamat filem ini bagaikan permulaan untuk filem Skyline ini, di mana kisah cinta antara Elaine (kekasih Jarrod yang sedang mengandung) dengan Jarrod yang kini memiliki tubuh baru, iaitu jiwa dan otak manusia dalam jasad makhluk asing. Barangkali, filem Skyline yang pertama ini memang dirancang sebagai filem pengenalan untuk Skyline.
Skyline Movie Trailer - Trailer Filem Skyline
Kebanyakan penonton tidak mahu keluar selepas filem ini tamat kerana mereka mengharapkan ada sesuatu maklumat atau babak-babak tambahan yang bakal keluar dari filem ini. Ini menunjukkan bahawa filem Skyline sebenarnya mempunyai jalan cerita yang menarik tetapi filem Skyline yang pertama ini mengehadkan segala-galanya.
Filem Skyline yang pertama ini umpama bahagian aisberg yang timbul, manakala plot dan jalan cerita yang lebih menarik umpama bahagian aisberg yang masih tenggelam di dalam air laut. Boleh dikatakan filem Skyline yang pertama yang ditayangkan pada tahun 2010 cuma menjelaskan tentang bagaimana Jarrod menjadi makhluk asing berjiwa manusia. Walau bagaimana pun, pengarah filem ini masih mengehadkan maklumat mengenai apa yang akan terjadi ke atas Elaine. Sama ada Elain akan hidup, mati atau menjadi sesuatu yang menakutkan, anda tentukan sendiri atau tunggu kesinambungannya nanti.
Filem Skyline adalah sebuah filem aksi yang padat dengan babak-babak cemas yang menggemparkan. Runut bunyi atau soundtrack untuk filem Skyline juga adalah menarik dan sesuai dengan filem ini.
|