BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Jun 12, 2011

Kisah Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Aksi Penonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku

Kisah seram di lebuh raya Karak kini semakin hangat dibicarakan selepas munculnya Filem Karak. Filem Karak membicarakan tentang 'urban legend' atau kisah-kisah seram yang meremangkan bulu roma dan dikatakan benar-benar berlaku dan menjadi topik perbualan orang ramai sehingga kini. Entri ini mengandungi dua bahagian judul iaitu:
  • Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
  • Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
Penulis: Amiene Rev

Sesiapa yang pernah menonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku, dan Karak - Jalan Puaka mungkin akan mengetahui serba sedikit mengenai apa yang ingin saya bicarakan dalam tulisan saya kali ini

Dalam Filem Momok The Movie, terdapat enam peristiwa aneh melibatkan makhluk halus atau gangguan hantu puaka di sepanjang perjalanan mereka. Pertama, hantu budak yang mampu berlari laju mengejar kereta mereka. Kedua, kereta Volkswagen kuning tanpa pemandu. Ketiga, Gerai Bunian di tepi jalan. Keempat, puntianak penghaus darah yang menyamar sebagai gadis cantik. Kelima, misteri panggilan daripada arwah kawan mereka. Keenam, misteri kewujudan lelaki pelik yang dikenali sebagai Abang Long yang menumpang kenderaan mereka sepanjang malam, yang turut mengenali makhluk-makhluk halus dan pontianak yang ditemui mereka.

Dalam Filem Karak pula, terdapat beberapa jenis hantu yang dipamerkan. Antaranya ialah hantu misteri yang memakan suami orang, perempuan tua yang boleh terbang, hantu budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku dan perempuan cantik yang kepalanya boleh tercabut serta Volkswagen kuning yang tidak putus-putus muncul dan memintas kereta watak-watak utama filem Karak.

Hantu Budak Sesat Cari Emak dan Hantu Budak Sekolah Buta Mata yang menghalang jalan ada persamaan dari fungsi gangguannya. Kedua-dua hantu ini mengganggu pengguna jalan raya. Dalam filem Momok The Movie, hantu ini membiarkan dirinya dilanggar pemandu kenderaan dan kemudian pemandu yang prihatin akan menyiasat apa yang dilanggar. Budak ini kemudiannya memunculkan dirinya dan kelihatan amat misteri dan seram.

Dalam filem Karak pula, budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku berdiri di tengah jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu kenderaan terbabas semata-mata terkejut dan mahu mengelakkan diri dari melanggar budak tersebut. Kawasan tempat budak sekolah bermata buta dicucuk paku itu diwartakan sebagai kawasan angin lintang. Nampaknya selepas ini, mungkin ada pemandu kenderaan yang menggunakan lebuh raya Karak atau mana-mana lebuh raya akan berasa takut dengan kawasan yang ada ditandakan sebagai kawasan angin lintang. Ini adalah satu lagi versi hantu budak sesat cari emak di Lebuh Raya Karak.


Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak
Diceritakan Semula Oleh: Amiene Rev (C) 2011

Pada suatu malam, ada seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Selalunya ramai orang memilih untuk mengguna lebuh raya Karak pada waktu malam kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya dan juga bahang panas matahari.

Namun, lelaki ini yang begitu suci pemikirannya daripada kisah-kisah hantu di lebuh raya Karak terlalu penat pada malam itu, lalu memilih untuk berhenti memandu dan tidur di dalam kereta di tepi jalan. Silap besar! Itulah yang berlaku. Mungkin Uncle Seeker boleh menggunakan idea ini untuk mengesan kewujudan entiti dan bukti kewujudan hantu di Lebuh Raya Karak.

Baru sahaja beberapa minit dia terlelap, dia kembali dikejutkan dengan bunyi ketukan tingkap dari luar. Rupa-rupanya ada seorang budak lelaki yang merenungnya tanpa berkelip-kelip dan bertanya kepadanya di mana ibunya.

Pemandu itu masih mempunyai naluri yang kuat. Nalurinya kuat mengatakan dia harus menghidupkan enjin kereta dan memecut laju dan jangan mempedulikan budak misteri itu. Pemandu itu pun terus meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipecut laju. Dari cermin belakang keretanya, dia melihat budak itu masih mengejar dengan laju walaupun pada ketika itu kereta pemandu itu sedang bergerak pada kelajuan melebihi had laju nasional. Budak itu masih lagi mampu mengekori keretanya dan sempat lagi bersaing sebelah menyebelah dengan pemandu kereta itu. Budak itu terus bertanya dan bertanya jika pemandu itu tahu di mana ibunya.

Kemudian sebuah kereta polis peronda pun muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah hantu budak sesat cari ibu itu menghilangkan diri. Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun menceritakan segala-galanya kepada pegawai polis. Pegawai polis memberitahu lelaki tersebut:

Pada suatu ketika dahulu, ada kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta tersebut tidak memaki tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak tersebut telah tercampak keluar dari keretanya. Manakala budak tersebut kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.

Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun bertanya bila peristiwa itu berlaku. Pegawai polis itu memberitahu, lama sudah.

Lelaki itu berasa pelik kenapa budak itu tidak membesar. Polis itu pun memberitahu, kalau dah namanya hantu, seratus tahun lagi pun macam itulah rupanya.

Begitulah kisah hantu budak sesat cari emak di lebuh raya Kuala Lumpur. Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu yang duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu. Benar atau tidak kisah ini, wallahualam.

Lampiran arkib sumber artikel dan kajian terdahulu berkenaan Lebuh Raya Karak: