BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 09, 2011

Punca Bosan - Kalau Bosan Nak Buat Apa?

Bagaimana Menghilangkan Rasa Bosan - Apa Nak Buat Kalau Rasa Bosan?
Penulis: Amiene Rev (C) 2011

Artikel yang ditulis oleh Amiene Rev kali ini adalah bertujuan menjawab luahan-luahan hati pembaca yang dikirimkan kepada Duke Amiene Rev menerusi e-mel yang menyatakan bagaimana hendak menghilangkan rasa bosan. Antara tajuk-tajuk e-mel tersebut ialah: Kalau Bosan Nak Buat Apa, Bosan, Bosannya, Apa Nak Buat Kalau Bosan dan Apa Nak Buat Bila Bosan

Bosan Punca Sakit Jantung dan Mati Muda
Penyelidik dari London, kononnya mendakwa bahawa kebosanan boleh menyebabkan kematian pada usia muda dan juga mudah terkena penyakit jantung. Benar atau tidak kenyataan ini masih belum dapat dipastikan.

Punca Bosan - Definisi Bosan
Mengikut kamus kefahaman Amiene Rev, bosan pada dasarnya membawa maksud jemu dengan satu-satu keadaan, tindak balas, sikap atau tingkah laku. Contohnya pada hari cuti, kita tidak ada apa-apa aktiviti yang boleh dibuat, dan duduk bersahaja. Oleh kerana terlalu kerap atau terlalu jemu duduk bersahaja, maka itulah yang kita panggil sebagai bosan.

Kadangkala, kita pelik bila kita melayari laman sosial, terdapat banyak maklum balas atau luahan bosan yang dapat kita dengar daripada laman sosial. Bosan boleh berlaku bila kita tidak menetap matlamat dan merancang aktiviti untuk mencapai matlamat kita pada satu-satu masa. Hidup ini perlu ada matlamat, jika tidak ada matlamat maka hidup ini akan menjadi bosan.

Mulakan Hari Anda Dengan Pemikiran Terbuka
Setiap pagi selepas solat Subuh, pastikan anda berdoa agar anda sentiasa berfikiran positif. Fikirkan tentang betapa seronoknya pada pagi ini kerana anda masih hidup dan bernafas. Fikirkan perkara-perkara yang menarik dan apa perkara yang menarik yang boleh anda lakukan pada hari ini. Dengan berfikiran positif, anda akan jadi lebih kreatif dan dengan cara ini anda boleh melihat dunia ini dari pelbagai sudut yang menarik.

Tetapkan Matlamat dan Jadual Waktu Yang Fleksibel
Pastikan anda memiliki rancangan alternatif setiap hari. Elakkan diri daripada terikat dengan pelbagai aktiviti yang memenatkan. Hidup ini adalah kepunyaan anda. Anda hidup kerana Allah.

Ada orang yang menghabiskan masa dengan menonton televisyen, bermain permainan video dan komputer. Cara yang menghabiskan masa sebegini untuk menghilang bosan bukanlah cara yang elok. Cuba teliti kenapa ada orang sanggup menghabiskan masa untuk menghabiskan permainan video atau permainan komputer? Ada juga yang ketagihan bermain permainan secara online di internet kerana di situ terdapat ramai rakan siber yang boleh menghilangkan rasa kesunyian mereka. Salah satu sebab kenapa ramai orang menganggap menghabiskan masa dengan bermain permainan sebegitu boleh menghilangkan rasa bosan adalah faktor ada peluang untuk berusaha mencapai sasaran atau matlamat. Pencapaian. Namun, selepas berada di kemuncak pencapaian dalam satu-satu permainan, maka rasa bosan akan melanda juga.

Bagaimana jika kita tetapkan matlamat yang lebih berfaedah. Contohnya matlamat untuk menggandakan kebajikan kita setiap hari. Pastikan setiap hari anda ada peluang untuk berbuat kebajikan. Orang yang suka berbuat kebajikan hidupnya tidak akan bosan.

Kadangkala kita merancang sesuatu dengan kawan-kawan kita, tetapi tiba-tiba beberapa orang kawan kita membatalkan penyertaan mereka pada saat akhir, lalu kita pun mati akal kerana tidak ada rancangan alternatif. Bagi saya, setiap hari kita mesti ada rancangan alternatif, apa lagi pada masa cuti. Dengan adanya rancangan alternatif, maka kita akan sentiasa ada cara untuk mengisi masa lapang kita tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Jangan terlalu suka bergantung pada orang lain, kelak anda yang rugi.

Menghilangkan Bosan Kerana Rasa Sunyi
Kadangkala rasa sunyi yang keterlaluan boleh mengundang rasa bosan. Kalau begitu, cubalah anda hubungi orang-orang yang anda sayangi. Namun cara ini juga cuma berkesan jika orang yang dihubungi itu tidak sibuk. Ada cara lain yang boleh membantu anda untuk menghilangkan rasa bosan, antaranya keluar dan pergi ke tempat-tempat menarik dan berfaedah yang belum pernah anda kunjungi. Dengan cara ini, anda akan dapat membuka pemikiran dan menambah pengalaman baru apabila berada di suasana yang baru.

Tanamkan Sifat Suka Bersyukur Dengan Apa Yang Kita Ada
Ramai orang bertanya, apa yang menyebabkan Amiene Rev, penulis artikel ini selalu tidak merasa bosan, malah sentiasa berasa seronok dengan kehidupannya. Untuk pengetahuan anda, Amiene Rev, penulis blog Duke Amiene Rev sentiasa mempunyai matlamat yang hendak dicapai dalam kehidupannya, malah beliau sentiasa dicari-cari oleh orang lain yang ingin berkongsi keseronokan hidup. Pun begitu, Amiene Rev adalah seorang yang sentiasa memberi ruang kepada orang lain untuk melihat dunia ini dari pelbagai perspektif seperti mengunjungi tempat-tempat yang berfaedah untuk menjana idea-idea baru, memberi inspirasi dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk semangat kerjasama dan disiplin.

Jemputan Peminat Terhadap Amiene Rev
Jika anda ingin keluar bersama-sama dengan Amiene Rev pastikan anda seorang yang berdisiplin dan menepati masa kerana sifat Amiene Rev, penulis blog Duke Amiene Rev ialah merancang sesuatu dengan baik sebelum dilaksanakan. Beliau tidak suka buat kerja tanpa perancangan. Kerana itu, hidup beliau sentiasa penuh dengan keseronokan dan beliau mempunyai rakan-rakan global di serata dunia.

Jadi, kepada para pengirim e-mel sekalian, harap-harap tulisan yang ditulis oleh Amiene Rev, penulis blog Duke Amiene Rev ini akan menjawab pertanyaan anda semua mengenai bagaimana cara untuk menghilangkan rasa bosan. Sekian, terima kasih.