BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Jun 11, 2011

Maharaja Lawak Minggu ke 11 - Nabil, Jambu dan R2 Nyaris-nyaris Tersingkir

Maharaja Lawak Minggu Ke 11 berlangsung di Kuantan Pahang. Pas masuk percuma telah diedarkan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisik, Kuantan, Pahang pada hari Jumaat bermula jam 3 petang. Tidak ada penyingkiran pada minggu ke-11, maka kesemua peserta Maharaja Lawak pada minggu ke 11 akan beraksi sekali lagi di Johor Bahru, Johor pada minggu ke-12 ini.

Namun begitu, jangan terkejut kerana pada kali ini, selain Nabil dan R2, Jambu juga telah dipanggil keluar sebagai salah satu kumpulan peserta yang mendapat undian terendah. Hal ini seolah-olah menepati amaran yang telah diberikan oleh juri pada Maharaja Lawak Minggu ke 10, di mana Jambu kelihatan begitu selesa pada Maharaja Lawak Minggu ke-10, sehingga lawak Kumpulan Jambu pada minggu itu kelihatan kurang pengisian.

Antara teori lain yang mungkin boleh dikemukakan, para peminat Kumpulan Maharaja Lawak Jambu telah menduga bahawa tidak akan ada penyingkiran yang bakal dibuat pada minggu ke 11 ini, maka mereka pun fikir lebih baik jika mereka menyimpan duit kredit SMS mereka untuk digunakan pada minggu terakhir atau pada pusingan akhir Maharaja Lawak itu nanti.

Memandangkan Jambu nyaris tersingkir pada minggu ini, maka saya berminat untuk mengkaji faktor manakah yang lebih tepat untuk mewakili kenapa Kumpulan Maharaja Lawak Jambu nyaris-nyaris tersingkir pada kali ini. Sebuah kumpulan yang dikatakan memiliki tahap lawak antarabangsa atau internasional seperti kata Mamat Khalid boleh tersingkir? Atau ini merupakan salah satu strategi para penyokong kumpulan Maharaja Lawak Jambu untuk melabur undian pada minggu terakhir? Memandangkan saya salah seorang peminat kumpulan Maharaja Lawak Jambu, maka saya cuba melihat dari aspek elemen-elemen lawak yang ditonjolkan secara terbuka untuk mengetahui apakah jenis elemen yang menyebabkan Kumpulan Maharaja Lawak Jambu nyaris tersingkir. Semasa ulasan ini dibuat, saya menganggap faktor strategi pengundi sebagai tidak wujud. Faktor-faktor yang dinyatakan ini adalah sebagai andaian yang memungkinkan Kumpulan Maharaja Lawak Jambu tersingkir dan bukannya fakta.

Ulasan Video Maharaja Lawak Minggu ke 11 - Faktor-Faktor Yang Memungkinkan Kumpulan Maharaja Lawak Jambu Tidak Diundi Pada Minggu Ke-11.

1. Watak lelaki sebagai perempuan, nyah atau pondan.
Jozan yang dianggotai oleh Zizan dan Johan nyaris tersingkir apabila mereka menggunakan watak nyah atau lelaki sebagai perempuan. Malah ada banyak kes di mana para peserta lelaki Raja Lawak atau Maharaja Lawak yang melakonkan watak sebagai perempuan tersingkir pada minggu mereka beraksi sedemikian rupa.

2. Aksi Perempuan Ganas
Aksi perempuan ganas atau aksi ganas antara lelaki dan perempuan barangkali tidak disukai oleh golongan ibu bapa atau golongan wanita.

3. Penggunaan Bahasa Kesat atau Lucah - Rogol
Saya dapati ketawa para hadirin menjadi kendur atau kurang selepas Yus mengucapkan ayat "Sekarang kau rogol aku pulak." Tidak ramai penonton yang ketawa atau mungkin tidak mahu ketawa dengan dialog tersebut. Semoga Kumpulan Maharaja Lawak berhati-hati dengan penggunaan dialog seperti di atas, kerana sesetengah orang menganggap perkataan seperti itu sebagai sensitif atau tidak sedap didengar atau dijadikan sebagai bahan lawak.

4. Babak Menghampiri Ke Arah Lucah
Babak di mana Taukeh cuba merogol Yus mungkin juga sensitif bagi sesetengah pihak.

5. Yus Bersuara Ketika Juri Memberi Komen
Ramai penonton tidak suka apabila ada individu kacau daun. Dalam kes ini, ramai penonton tidak suka apabila peserta Maharaja Lawak potong bicara juri. Juri belum habis memberi ulasan, peserta sudah bersuara. Hal yang sama berlaku apabila Maharaja Lawak Amir memotong ulasan yang sedang dibuat oleh Ahmad Idham, di mana Amir tersingkir pada minggu tersebut. Begitu juga ramai penonton yang mengkritik AC Mizal yang tiba-tiba memunculkan diri semasa peserta masih belum habis beraksi di gelanggang. Dalam kes ini, AC Mizal betul kerana sebagai pengacara, beliau bertanggungjawab memastikan para peserta tidak terlalu melebihi masa yang diberikan kerana bimbang jangka masa program akan melebihi masa yang diperuntukkan atau overrun, yang boleh mendatangkan kacau-bilau pada susunan program-program televisyen ASTRO yang selepasnya.

6. Lawak Tahi Hidung (Pusingan Ke-2)
Lawak menjijikkan sebegini ada penonton yang tidak suka.

7. Tidak ada jalan cerita (Pusingan ke-2)
Persiapan kelihatan rapi. Apabila ada keadaan seperti ini, mungkin ada penonton yang merasakan sokongan mereka kurang dihargai. Pelawak sepatutnya bersedia untuk beraksi di pentas dan menghiburkan, bukan buat lawak cukup makan atau tidak bersedia.

8. Lawak biasa atau tidak ada pembaharuan berbanding kumpulan lain.
Tidak ada janaan lawak baru atau bertaraf antarabangsa. Terlalu bergantung kepada dialog yang tidak bernas dan selalu dilihat.

9. Lawak AC Mizal yang agak kasar
Sekadar faktor bonus yang mungkin tidak menjadi penyebab penyingkiran. Sekadar gurauan.

Ulasan yang diberikan oleh Mamat Khalid adalah bersesuaian dengan populariti Jambu. Bagi saya, sokongan peminat terhadap kumpulan Jambu ini seelok-eloknya dimanfaatkan oleh Kumpulan Maharaja Lawak Jambu untuk mengangkat lawak-lawak yang lebih bermoral dan bertahap lebih tinggi. Sukar dipastikan sama ada proses pengembaraan dari satu negeri ke satu negeri, dari Utara ke Pantai Timur menyebabkan Kumpulan Maharaja Lawak Jambu menjadi lelah untuk mempamerkan lawak yang hebat-hebat seperti dahulu. Semoga Kumpulan Maharaja Lawak Jambu akan berjaya ke pusingan akhir, begitu juga dengan kumpulan-kumpulan Maharaja Lawak yang lain. Harap-harap tak ada penyingkiran langsung selepas ini.


Ulasan Video Maharaja Lawak Minggu ke 11 - Faktor-Faktor Yang Memungkinkan Nabil Maharaja Lawak Tidak Diundi Pada Minggu Ke-11.

1. Penerimaan Penonton Terhadap Sikap Nabil Sebelum Ini
Nabil nampaknya sudah mula mengambil serius kemarahan para penonton Maharaja Lawak, khususnya berkenaan sikap kurang menyenangkan yang pernah dipamerkan Nabil sebelum ini. Kita semua tentu tahu, selain Nabil, kumpulan-kumpulan Maharaja Lawak atau para peserta Maharaja Lawak yang lain juga ada kumpulan penyokong dan peminat yang tersendiri. Maklum balas para penonton Maharaja Lawak di ruangan Facebook dan Youtube yang mengkritik sikap main-main Nabil terhadap kumpulan-kumpulan yang dipanggil keluar semasa penyingkiran sebelum ini sebenarnya satu kerugian besar buat Nabil, di mana para penyokong peserta-peserta tersebut, jika peserta tersebut tersingkir, mereka mungkin akan mengundi para peserta selain Nabil yang masih berjuang di pentas Maharaja Lawak pada minggu berikutnya dan tidak berminat untuk mengundi Nabil. Apabila sudah benci atau tidak suka, para penonton pasti akan semakin cepat nampak kelemahan, kekurangan dan keburukan persembahan Nabil berbanding idea-idea Nabil. Cuba imbas kembali pada minggu Nabil menyebut nama Amir dalam persembahannya, dan pada minggu itu juga Nabil diumumkan sebagai salah seorang peserta yang bakal disingkirkan. Ini menyebabkan teori penyokong Maharaja Lawak Amir tidak mahu mengundi Nabil dan mengundi para peserta yang lain. Faktor para penyokong kumpulan yang telah tersingkir yang kurang dapat menerima Nabil memungkinkan salah satu faktor kenapa Nabil boleh dipanggil keluar pada sesi penyingkiran kali ini.

2. Keganasan
Seperti yang disebutkan tadi, ada juga penonton atau pengundi yang tidak suka aksi-aksi yang ganas. Kali ini, Nabil ada memaparkan aksi ganas kepada Spiderman. Barangkali ada penyokong Spiderman yang tidak suka melihat hero mereka, Spiderman dibelasah Nabil.

3. Aksi Bermain Api
Boleh dikatakan agak ganas juga. Ini contoh yang tidak baik untuk para penonton kanak-kanak. Ibu bapa pasti risau melihat Nabil bermain api dan membakar kaki Spiderman kerana dibimbangi akan ditiru oleh anak-anak mereka.

4. Terlalu banyak dialog
Penonton lebih suka persembahan yang seimbang dari aspek kemesraan mata dan telinga. Penonton ingin bersantai, dan tidak mahu berfikir banyak. Nabil lebih baik dalam soal ini berbanding R2.

Ulasan Video Maharaja Lawak Minggu ke 11 - Faktor-Faktor Yang Memungkinkan Kumpulan Maharaja Lawak R2 Tidak Diundi Pada Minggu Ke-11

1. Banyak dialog untuk sampai ke satu-satu punch line.
Semua peserta atau kumpulan Maharaja Lawak yang mengetop atau yang popular mempunyai banyak punch line yang menyebabkan penonton suka melihatnya. R2 banyak menghabiskan masa dengan bermain dengan dialog sebelum sampai ke satu-satu punch line. Lambat panas.

2. Lawak Kotor atau Lawak Kentut (PUSINGAN KE-2)
Ramai penonton tidak suka lawak sebegini. R2 masih memuatkan lawak kentut dalam pentas Maharaja Lawak. Tidak ada hadirin yang ketawa ketika lawak yang memuatkan perkataan "nak terkentut", "keluar angin" dan "keluar benda lain" disebut oleh salah satu peserta kumpulan Maharaja Lawak R2.

3. Skrip dan Persembahan Biasa
Jambu, Jozan, Nabil dan Sepah pernah mempamerkan skrip-skrip lawak yang luar biasa. Antaranya kebijaksanaan Jambu menguasai ruang pentas dan membawa para penonton ke dunia imaginasi mereka. Nabil dengan prop dan plot-plot jalan cerita yang menarik, Sepah dengan idea-idea Melayu yang segar dan Jozan yang sekali-sekala mempamerkan lawak yang simple dengan idea-idea yang serba baru. Pendek kata, kumpulan-kumpulan seperti Jambu, Jozan, Nabil dan Sepah didapati lebih kreatif dan segar dalam mempersembahkan idea-idea mereka. Kelemahan ketara kumpulan R2 yang menyebabkan mereka gagal menandingi tahap persembahan kumpulan-kumpulan senior ialah sumber rujukan dan kemahiran menggarap skrip dari pelbagai sudut atau view point. Secara kiasannya, jika persembahan mereka dianalogikan sebagai sudut pandangan kamera, maka jika sekarang kebanyakan filem menggunakan sudut pandangan pelbagai sudut kamera, filem R2 masih dalam bentuk 2D di mana satu kamera dipacakkan di depan pentas dan mereka bergaya di depan kamera yang langsung tidak bergerak. Jika R2 mahir mempelbagaikan teknik persembahan mereka, para penonton tentu akan lebih teruja dan tertarik untuk melihat persembahan mereka. Menonton persembahan R2 seolah-olah menonton filem klasik, tidak ada dinamik. Statik sahaja. Ini menyebabkan imbangan lawak R2 lebih bergantung kepada dialog dan ini amat berbahaya dalam pertandingan. Jika markah dialog maksimum cuma 50, persembahan 50, maka R2 mungkin kehilangan 50 markah berbanding para peserta lain yang memanfaatkan sumber-sumber tarikan penonton yang lain. Pendek kata, skrip R2 cuma ada dialog, tidak ada skrip untuk pergerakan kamera, plot dan kesan bunyi yang sesuai. Skrip yang mendatar dan biasa dan bergantung kepada peredaran dialog memang memerah otak, dan ini satu perkara yang saya rasa, R2 patut diberi penghormatan. Namun, jika R2 bijak mengatur strategi persembahan, maka adalah perlu dinyatakan, dialog-dialog boleh dikurangkan kepada sekadar perlu sahaja. Lawak-lawak yang banyak dialog biasanya kurang bersifat antarabangsa atau international, sebab lain budaya lain fahaman dan sensitivitinya. Lawak R2 mungkin berkesan pada sesetengah kaum, agama atau kelompok negeri sahaja dan tidak bersifat global. Dalam kes ini, R2 kehilangan banyak undian kerana gagal memenuhi citarasa ramai penonton. Berdasarkan analisis yang terdahulu, saya menganggap kegagalan Nazmi untuk mara ke final adalah faktor bergantung sepenuhnya pada pengucapana dialog. Apa pun, R2 adalah pelakon berbakat.

4. Banyak cakap, kurang aksi, memenatkan telinga, menjemukan mata
Dialog bukan satu-satunya elemen komunikasi atau penyampaian mesej. Jambu sebelum ini berjaya membuktikan bahawa teknik penyampaian idea lebih penting berbanding memahami maksud dialog itu sendiri. Amir yang sering menggunakan teknik pengucapan awam atau dialog seharusnya mencontohi Jambu dalam persembahan di mana Yus muncul sebagai Orang Asli dari Amazon yang menggunakan bahasa yang langsung tidak difahami para penonton, tetapi ideanya sampai kepada penonton. Sabri Yunos adalah antara contoh terbaik.

Dalam kebanyakan sketsa R2, penonton lebih banyak melihat aksi statik dan kurang senaman mata. Dialog-dialog yang bertalu-talu memenatkan otak penonton yang rata-rata mengharapkan mereka dapat menonton Maharaja Lawak secara santai tetapi terhibur. Jangan jadi pelawak yang santai tetapi penonton pula yang memeras otak cuba menangkap satu demi satu dialog. Bagusnya R2 ialah, mereka begitu berhati-hati dalam melontar dialog. Secara perlahan dan santai. Kalau lebih laju, tentu sukar penonton hendak menangkap maksudnya.

Jika diperhatikan, kebanyakan kumpulan lawak mengetop dalam Maharaja Lawak akan lebih mengoptimumkan lawak mesra mata dan telinga kerana mereka tahu, strategi bergantung kepada lawak mesra telinga sahaja, pasti akan kalah dalam persaingan merebut hati pengundi. R2 harus ambil iktibar dan timba pengalaman daripada pertandingan ini secepat mungkin! Bangkit R2!!! Bangkit!!!

Sekian sahaja ulasan saya untuk kumpulan R2, Jambu dan Nabil. Semoga ulasan ini dapat membantu ketiga-tiga kumpulan untuk mara ke final. Saya terpanggil untuk memberi ulasan terhadap rancangan Maharaja Lawak kali ini kerana rasa agak kurang senang apabila melihat Jambu nyaris tersingkir, dan pada masa yang sama mahukan R2 yang merupakan kumpulan pilihan saya semasa Raja Lawak 5 dahulu kekal dan meningkat dari segi mutu persembahannya, selain berharap Nabil juga akan kembali cergas menampilkan jalan-jalan cerita yang segar seperti pada mula-mula penampilannya dalam Maharaja Lawak dahulu. Satu lagi faktor, kebetulan saya ada masa untuk memberi komen.

Selamat berjaya kepada semua pasukan Maharaja Lawak.