Apa Nak Buat Masa Cuti Hujung Minggu Ini?
Apa Nak Buat Pada Masa Cuti Hujung Minggu
Penulis: Amiene Rev (C) 2011
Penulis: Amiene Rev (C) 2011
Kali ini saya menjawab beberapa lagi pertanyaan yang lebih kurang sama daripada para peminat dan pembaca blog Duke Amiene Rev. Apa yang boleh kita buat pada cuti hujung minggu? Biasa cuti hujung minggu merupakan masa yang paling sesuai untuk kita merehatkan minda. Bagi sesetengah orang, minda mereka terlalu penat sehingga badan pun boleh menjadi lesu. Pada ketika ini, tidur dan berehat adalah perkara yang paling baik untuk menghilangkan penat bekerja yang tidak hilang sejak berhari-hari atau mungkin sejak berminggu-minggu yang lalu. Berikut adalah beberapa cadangan yang biasa kita dengar untuk menghabiskan masa cuti hujung minggu.
Apa Yang Orang Bekerja atau Pekerja atau Majikan Boleh Buat Pada Cuti Hujung Minggu
Mengemas Rumah dan Cuci Kereta
Bagi orang yang sudah bekerja pergi pagi balik petang atau malam, mengemas rumah pada cuti hujung minggu adalah perkara yang boleh jadi satu kemestian untuk dilakukan. Gunakan masa cuti ini untuk membersihkan tingkap, langsir, susunan perabot, buku, majalah, membasuh baju dan mencuci kereta.
Aktiviti Untuk Kesihatan Badan
Cuti hujung minggu merupakan saat yang sesuai untuk kita menghabiskan masa bersama-sama keluarga atau rakan-rakan dengan aktiviti yang boleh memanaskan badan. Bayangkan kita keluar berjoging di taman sambil menghirup udara segar pada waktu pagi, berbasikal, bermain-main di tepi pantai dan sebagainya. Sesekali sibuk dengan suasana di tempat kerja, pada cuti hujung minggu ini pula kita meluangkan masa untuk mencari kelainan.
Menyertai Persatuan, Kelab atau Pergi ke Gym
Sesetengah orang dewasa agak prihatin dan mudah risau dengan keadaan persekitaran tetapi tidak sempat untuk melakukan sesuatu kerana kesibukan kerja. Jadi, cuti pada hujung minggu mungkin boleh dijadikan tempat untuk mereka menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat sekitar. Cuba rancang aktiviti muhibah yang dapat menghilangkan tekanan kerja dan pada yang sama memberi kepuasan dan keseronokan bersama. Kalau kerja sepanjang masa, bila lagi ada masa untuk kehidupan sendiri dan keluarga?
Apa yang penting cuti hujung minggu ini memberi peluang kepada kita untuk menggerakkan tulang empat kerat kita secara berlainan daripada biasa, selain dapat bercampur gaul dengan masyarakat dan menghabiskan masa bersama keluarga. Cuti hujung minggu yang sebegini pasti menyeronokkan.
Seterusnya Amiene Rev, selaku penulis blog Duke Amiene Rev ingin menjawab satu lagi soalan yang lebih kurang sama tetapi kali ini ditanya oleh kelompok budak-budak dan remaja.
Apa yang Pelajar Universiti dan Pelajar Sekolah Boleh Buat Pada Cuti Hujung Minggu
Menghabiskan Masa Bersama Keluarga
Bagi pelajar sekolah, adik-adik boleh merancang aktiviti bersama keluarga dan adik-beradik yang lain. Mungkin kerana kesibukan kerja ibu bapa adik-adik sibuk dengan kerja, jadi gunalah cuti ini untuk merancang aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan keluarga.
Pelajar Universiti atau Kolej ada yang menghabiskan masa pada hujung minggu ini untuk keluar ke bandar, pergi menonton wayang, bermain boling atau mengunjungi komplek beli belah di bandar bersama kawan-kawan. Selalunya pada zaman yang serba moden ini, kemudahan dobi sudah disediakan di asrama atau kolej, oleh itu dari aspek pengurusan bilik dan kekemasan, boleh dianggap sudah terjaga.
Melibatkan Diri Dengan Aktiviti Berfaedah Untuk Meningkatkan Pengetahuan dan Kemahiran Diri
Menghabiskan masa melayari internet barangkali bukan idea yang baik dilakukan pada masa cuti. Para pelajar digalakkan menyertai aktiviti yang dapat menjana minda. Bagi pelajar sekolah, mungkin ada yang menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan menghadiri kelas tuisyen, manakala bagi pelajar universiti ada yang menyertai kelab atau persatuan yang lebih berunsurkan riadah atau pun menyertai program-program hujung minggu yang dikendalikan sama ada oleh pihak universiti atau pihak persatuan pelajar. Ini barulah idea yang baik, kerana apabila pelajar melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan, sukan dan sebagainya, mereka akan belajar untuk berpasukan dan menyiapkan diri ke arah kerja berpasukan. Kerjasama sebegini diperlukan apabila mereka berada di alam pekerjaan nanti.
Rancang Aktiviti Cuti Hujung Minggu Lebih Awal
Elakkan rasa bosan pada cuti hujung minggu dengan merancang terlebih dahulu aktiviti semasa cuti beberapa hari atau beberapa minggu lebih awal. Sebagai manusia yang mempunyai komitmen dengan organisasi dan masyarakat setempat, kita harus sedia maklum, kadangkala kita atau rakan-rakan kita mungkin akan terlibat dengan urusan-urusan penting yang tidak dapat dielakkan, maka pastikan kita sentiasa ada rancangan alternatif yang boleh menggantikan rancangan utama kita untuk satu-satu cuti hujung minggu.
Bijak merancang, bahagia sentiasa. Sekian, tulisan saya, Amiene Rev kali ini, untuk para peminat dan pembaca blog Duke Amiene Rev sekalian.
NOTA: Ada yang bertanya kenapa komen yang dibuat di bahagian Comment di bawah tidak keluar. Untuk tujuan itu, perlu saya maklumkan bahawa ruangan Comment di bawah tidak lagi berfungsi seperti awal-awal penubuhan blog ini dahulu. Ini kerana Amiene Rev, selaku penulis blog Duke Amiene Rev, lebih suka berurusan menerusi e-mel. Rujuklah ruangan Tanya Sama Amiene Rev bagi para pembaca atau peminat yang berminat untuk berurusan dengan Amiene Rev, dan sekiranya surat atau e-mel anda dibaca, maka Amiene Rev, selaku penulis blog Duke Amiene Rev akan menjawabnya di blog Duke Amiene Rev ini. Sekian, terima kasih.
|