BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Jun 01, 2011

Elektrik Masih Percuma Bagi Bil Bulanan Kurang Dari RM20

Elektrik Masih Percuma Bagi Bil Bulanan Kurang Dari RM20

Kerajaan telah mengambil kira kepentingan rakyat serta mereka yang berpendapatan rendah dalam usaha merasionalisasi subsidi dan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun ini, tidak akan memberi kesan kepada 75 peratus pengguna domestik.

Sebagai contoh, elektrik masih percuma bagi mereka yang bil bulanannya kurang daripada RM20.

Di samping itu, seramai 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kilowatt sebulan atau kurang.

Ini bermakna mereka yang menggunakan lebih banyak elektrik perlu membayar lebih, bagaimanapun kenaikannya beransur-ansur.

Yang pasti, langkah ini akan memberikan kesan kepada orang ramai secara langsung dan tidak langsung.

Tetapi akan yang lebih penting ialah kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang dalam persekitaran kenaikan kos tenaga dan harga makanan.

Ini juga merupakan mesej jelas kepada pengguna dan rakyat supaya menjimatkan tenaga dengan kos yang meningkat dan subsidi yang bertambah.

Bagi pengguna domestik yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan terus membantu dengan memberikan bekalan elektrik secara percuma kepada pengguna-pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Dis 2011.

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk menyemak semula harga gas di Semenanjung Malaysia daripada RM10.70 setiap mmBtu (juta unit termal British) kepada RM13.70 per mmBtu, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 2.23 sen/kilowat sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen/kwj berbanding kadar purata semasa 31.31 sen/kwj.

Senario ekonomi semasa yang semakin mencabar kerana harga komoditi yang meningkat menyebabkan jumlah tanggungan subsidi semakin bertambah dan ini memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

Oleh itu, dasar pemberian subsidi telah dikaji semula dan penjimatan perbelanjaan subsidi ini akan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara demi kepentingan rakyat dan negara pada masa hadapan.

Namun begitu, kerajaan tetap menjaga kepentingan rakyat dengan memastikan penyelarasan subsidi dilakukan secara berperingkat dan golongan yang memerlukan akan terus dibantu.

Bagi rakyat Malaysia, penggunaan tenaga elektrik dengan bijak dan secara produktif dapat mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dan pengguna masih boleh menikmati cara hidup yang sama.

Difahamkan, tiada impak ketara akibat penyelarasan harga gas dan tarif elektrik ke atas harga barangan dan perkhidmatan.

Berdasarkan kajian, kenaikan tarif elektrik tidak sepatutnya menyumbang kepada peningkatan yang ketara pada harga barangan dan perkhidmatan kerana komponen elektrik hanya menyumbang sebanyak 2.9 peratus kepada wajaran Indeks Harga Pengguna.

Sementara itu, peralihan harga tenaga secara berperingkat sehingga mencapai harga pasaran akan memberi nilai maksimum kepada ekonomi dalam menyediakan asas untuk pembangunan sektor tenaga yang lebih mampan.

Sumber: BERNAMA