BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 16, 2011

Laman Web Malaysia Digodam Diserang Hackers

Portal kerajaan digodam penjahat Dragon Force
SUMBER: KOSMO!

SEBUAH kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai Anonymous turut memberi amaran untuk menggodam laman web kerajaan.

KUALA LUMPUR - Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di sini awal pagi semalam.

Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.

"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi.

"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.

Bagaimanapun, kedua-dua portal yang digodam selama 13 jam bermula tengah malam kelmarin sehingga kira-kira pukul 1 petang itu boleh diakses semula setelah dibaik pulih oleh pentadbir portal berkenaan.

Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Pengajian Politeknik mengesahkan kejadian tersebut dan sedang menunggu laporan penuh pembekal perkhidmatan laman webnya.

"Kami mempunyai dua portal iaitu www.politeknik.edu.my dan politeknik.gov.my. Yang telah diserang ialah politeknik.gov.my sementara portal yang satu lagi tidak digodam.

"Buat masa sekarang, memang tiada sebarang kerosakan serius dan semua kerosakan itu sudah dibaiki. Selepas pihak kami mendapat laporan penuh daripada pembekal, kami akan buat laporan terus kepada pihak atasan mengenainya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaitu www.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama.

Beberapa laman web Malaysia mula digodam
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 15 Jun - Agensi CyberSecurity Malaysia mengesahkan beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan bergelar anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Aktiviti itu didapati bermula hari ini walaupun kumpulan tersebut mengancam akan memulakannya pada pukul 3.30 pagi Khamis waktu Malaysia atau 7.30 malam waktu Greenwich Mean Time (GMT).

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Leftenan Kolonel Datuk Husin Jazri bagaimanapun tidak menyatakan jumlah laman web tempatan yang telah digodam.

"Buat masa ini, kami tidak dapat mengulas lanjut, tetapi percaya proses pembaikan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi menyelesaikan isu itu," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pegawai Penyelidik F-Secure Corporation, Mikko Hypponen melalui akaun Twitternya menyebarkan mengenai rancangan kumpulan penggodam itu.

F-Secure merupakan syarikat keselamatan perisian komputer yang berpangkalan di Helsinki, Finland.

Beberapa jam kemudian, kumpulan anonymous itu melalui satu video di laman Youtube mendakwa tindakan mereka adalah kerana tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Malaysia menapis pelbagai laman web dalam dan luar negara.

"Kami bimbang jika kerajaan Malaysia terus menafikan kebebasan manusia, kami terpaksa bertindak pantas tanpa belas kasihan," kata kumpulan itu melalui satu rakaman suara di Youtube.
Anonymous turut menggunakan wajah Guy Fawkes, salah seorang anggota kumpulan Kristian Katolik, The Gunpowder Plot 1605 yang cuba membunuh Raja England, James I bagi menentang pemerintahan Kristian Katolik, sebagai figura mewakili kumpulan itu.


Kerajaan sedia hadapi serangan siber
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysia bersedia menghadapi apa jua kemungkinan serangan siber terhadap mana-mana laman web rasmi kerajaan termasuk ancaman daripada kumpulan yang bergelar Anonymous.

Meskipun mengakui ancaman itu merupakan sesuatu di luar jangkaan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan laman web kerajaan selamat daripada digodam.

"Kami mengambil perkara itu secara serius. Walaupun ia bukan sesuatu yang dijangka, kami sebenarnya telah berdepan dengan cubaan untuk menggodam laman web kerajaan beberapa kali sebelum ini.

"Maklumat mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan. Kami bersedia berdepan menerusi pakar daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia dan beberapa agensi lain," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai anonymous menyatakan hasrat untuk menggodam laman web kerajaan kerana mendakwa Malaysia sebagai salah satu negara paling tegas mengenakan sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.

Mereka merancang melakukan serangan yang dipanggil 'Operasi Malaysia' itu pada pukul 7.30 petang, Rabu waktu GMT (3.30 pagi Khamis waktu Malaysia). Ancaman mereka dimuat naik ke web i.imgur.com/ PTFWh.png Selasa lalu.

Kumpulan sama sebelum ini pernah menyerang laman web kerajaan Zimbabwe, Turki, polis Sepanyol serta memuat naik banyak video lucah ke Youtube sempena satu hari yang digelarkan mereka sebagai Youtube porn day.

Mengulas dakwaan kumpulan itu kononnya Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan tersebut, Rais menganggap kumpulan tersebut mungkin telah tersalah faham akan niat baik kerajaan.

"Kerajaan tidak pernah mengamalkan sekatan, sebaliknya tindakan diambil terhadap laman web tertentu kerana mereka terlibat dengan jenayah," katanya.


Laman web KRU Studios diserang
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 15 Jun - Laman web KRU Studios di www.krustudios.com akan ditutup bermula 12 malam ini bagi mengelak ia digodam pihak tidak bertanggungjawab sama ada dari dalam atau luar negara.

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga kerana laman tersebut telah diserang penggodam sejak pukul 10 pagi ini dan ia berterusan hingga malam ini.

Katanya, serangan itu dipercayai ada kaitan dengan rancangan sekumpulan penggodam luar bergelar anonymous yang merancang melakukan serangan ke atas beberapa laman web berpangkalan di negara ini bermula 3.30 pagi esok.

"Bagaimanapun, mereka tidak dapat menggodam laman web kami kerana sistem firewall kami yang stabil. Bagaimanapun, untuk menghilangkan semua serangan, kita akan tutup laman sementara waktu bermula 12 malam ini sehingga serangan reda.

"Ini menunjukkan ada pihak luar sama ada anonymous ataupun pihak tempatan sendiri yang menyokong aktiviti cetak rompak mahu memerangi kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini malam ini.

Kelmarin, satu entiti yang menamakan diri mereka Anonymous mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam akan menyerang laman-laman web di Malaysia termasuk www.malaysia.gov.my kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menapis beberapa laman web.

Dalam satu rakaman yang disiarkan di laman Youtube, kumpulan itu mengancam akan memulakan serangan tersebut pada pukul 3.30 pagi esok.

Norman menambah, masyarakat kini perlu sedar bahawa penggiat cetak rompak tempatan dan antarabangsa akan terus melakukan serangan ke atas pihak berkuasa serta penggiat seni bagi melaksanakan agenda mereka.


Kerajaan pandang serius isu penggodam - Muhyiddin
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 16 Jun – Serangan penggodam ke atas beberapa laman web rasmi kerajaan akan memberi kesan besar kepada sistem maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) untuk rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kerajaan memandang serius serangan penggodam tersebut dan sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara itu.

"Kita akan tunggu laporan bagaimana perkara ini hendak ditangani dan berharap agar tindakan sebegini tidak akan dilakukan secara berterusan, kita perlu beri perhatian dan pihak bertanggungjawab iaitu SKMM kini memantau perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi ASEAN 2011 dan pelancaran semula Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan yang bergelar “Anonymous” yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Muhyiddin berkata, kerajaan memberikan jaminan bahawa dasar kerajaan untuk tidak menyaring Internet akan terus dilaksanakan.

"Tetapi kalau ada mana-mana pihak yang menyalahgunakan ataupun melanggar beberapa peruntukan dalam undang-undang negara maka SKMM ada hak dan kuasa untuk ambil tindakan,” katanya. – Bernama