BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Jun 29, 2011

Punca Kemalangan Jalan Raya

Cara-cara untuk mengelakkan kemalangan jalan raya ialah dengan menenangkan diri semasa memandu kenderaan. Memberi lampu isyarat kiri atau kanan sebelum hendak membelok. Tunggu satu saat atau tinjau kiri dan kanan sebelum menekan pedal minyak ketika lampu sudah hijau bagi memastikan tidak ada kenderaan terlajak lampu merah melintas dari kiri atau kanan jalan. Apa kata kita baca petikan artikel di bawah ini.

Apakah Punca Kemalangan Jalan Raya?
Fikiran Kusut Antara Punca Kemalangan Ke Tempat Kerja

SEPANG, 28 Jun (Bernama) — Fikiran kusut, mengejar kad perakam waktu atau tergesa-gesa ke tempat kerja dikatakan antara punca kemalangan semasa pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu pagi antaranya kerana fikiran kusut memikirkan pelbagai tanggungjawab untuk dilaksanakan hari itu, mengejar kad perakam waktu atau lambat bertolak dari rumah,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau melancarkan Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Kebangsaan 2011.

Beliau berkata jumlah kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja meningkat 38 peratus dengan 22,036 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 20,810 kes pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 63 pekerja meninggal setiap bulan kerana kemalangan semasa berulang-alik ke tempat kerja, katanya.

Maznah turut berkata kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 80 peratus mangsa kemalangan adalah pekerja lelaki yang melibatkan pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata Perkeso mengeluarkan RM1.8 bilion pampasan kepada pekerja yang mengalami kemalangan sewaktu di tempat kerja atau pun sewaktu berulang-alik ke tempat kerja berbanding RM1.3 bilion pada tahun 2009.

Sasaran pengurangan sebanyak 30 peratus kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja diharap dapat dicapai tahun ini sempena kempen yang dilancarkan yang bermula hari ini, katanya.

“Saya harap kempen ini akan dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran betapa tingginya risiko berulang-alik ke tempat kerja. Ia tertumpu kepada 100 majikan yang pekerjanya paling tinggi terlibat kemalangan ke tempat kerja,” katanya.

Maznah berkata kempen juga akan tertumpu kepada kawasan kemalangan berisiko tinggi di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Ipoh.

Sumber: BERNAMA