1 Julai 2011 - Peraturan Pelabelan Sayur dan Buah-buahan Berkuatkuasa
Peraturan Pelabelan Sayuran Dan Buah-Buahan Berkuatkuasa 1 Julai Ini
PADANG BESAR, 28 Jun. Peraturan pelabelan sayur dan buah- buahan di bawah peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2008 untuk pasaran dalam negeri, pengimportan dan pengeksportan akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Negeri Perlis, Sabry Ahmad berkata, peraturan pelabelan yang dikuatkuasa pada 1 Julai itu adalah berdasarkan peraturan 3P iaitu Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan di bawah Akta 141 FAMA 2008 tetapi hanya peraturan pelabelan sahaja akan dikuat kuasa pada tarikh berkenaan.
Beliau berkata, terdapat 66 jenis keluaran pertanian perlu mematuhi peraturan 3P itu yang antara lain akan memudahkan masyarakat mengenal pasti tempat asal produk barangan itu dikeluarkan selain dapat meningkatkan kualiti barangan serta menjamin keselamatan pengguna.
“FAMA turut menyediakan buku panduan peraturan- peraturan FAMA sebagai rujukan bagi memudahkan pengimport dan pengeskport mengenal pasti jenis sayuran dan buah-buahan yang dibenarkan untuk dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat 3P kepada pengimport dan pengeksport sayuran dan buah-buahan di sini pada Selasa.
Menurutnya, para pengimport dan pengeksport di beri tempoh percubaan selama tiga bulan bagi melabel barangan mereka dan jika mereka gagal berbuat demikian surat amaran akan dikeluarkan diikuti tindakan penalti.
“Penali RM1,000 akan dikenakan kepada individu dan RM15, 000 untuk syarikat berstatus Sendirian Berhad bagi pengimport dan pengeskport yang gagal mematuhi peraturan,” jelasnya.
Sabry berkata, label pada barangan perlu mengandungi butir-butir seperti nama atau kod penanam, alamat keluaran, nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran, komoditi, gred, berat bersih, bilangan dan mengandungi perkataan “Produce of Malaysia” jika keluaran pertanian itu hendak dieksport.
Manakala bagi peruncit juga, mereka perlu melabelkan barangan mereka dengan komoditi, negara asal, gred, saiz dan harga.
Hal ini bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan keluaran pertanian tempatan supaya terus berdaya saing dan berupaya mengekalkan pasaran sedia ada atau meluaskan kemasukan pasaran di dalam dan di luar negara sejajar dengan perubahan perdagangan dunia.
“Selepas peraturan pelabelan dilaksanakan, kita akan teruskan dengan pembungkusan dan seterusnya penggredan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Regulatori FAMA, Ishak Abbas.
Sumber: BERNAMA
|