BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 15, 2011

The Three Musketeers - Movie

Filem The 3 Musketeers memang sebuah filem yang menarik. Aksi-aksi yang dipaparkan dalam filem ini serta kekuatan watak-wataknya membantu menghidupkan jalan cerita filem The Three Musketeers ini. Watak-watak di dalam filem Musketeers walaupun saling bermusuhan, namun boleh bekerjasama untuk negara mereka.

3 wira pedang kembali - Filem: The Three Musketeers
Genre: Aksi, Pengembaraan, Cinta


Pengarah: Paul WS Anderson Lakon Layar: Andrew Davies, Alex Litvak Pelakon: Logan Lerman, Milla Jovovich, Matthew Macfadyen, Ray Stevenson, Luke Evans, Orlando Bloom, Til Schweiger Durasi: 110 minit Tarikh Tayangan: Mulai 6 Oktober 2011

NOVEL tulisan Alexandre Dumas sudah banyak kali diadaptasi bukan saja dalam bentuk filem, tetapi juga ke pentas teater muzikal. Kali pertama novel ini diangkat ke filem adalah pada 1903 oleh sebuah produksi dari Perancis, manakala kali terakhir pula pada 2005, tetapi dihasilkan dalam bahasa Perancis dengan judul d'Artagnan et les trois mousquetaires.

Pada 2001, sebuah produksi dari Amerika Syarikat pernah menerbitkan filem ini. Bagaimanapun filem arahan Peter Hyams yang dibintangi Catherine Deneuve, Tim Roth, Mena Suvari, Stephen Rea, Nick Moran, Bill Treacher dan Justin Chambers itu rata-ratanya mendapat ulasan kurang memberangsangkan daripada pengkritik filem kerana kelonggaran jalan ceritanya.

Kali ini Paul WS Anderson, sutradara yang pernah mengarahkan filem Resident Evil serta beberapa filem fiksyen sains mengambil cabaran untuk mengarahkan judul berbentuk epik itu. Anderson mempunyai beberapa rekod yang kurang baik kerana kebanyakan filem arahannya sebelum ini kurang berjaya, seperti Event Horizan dan Soldier.

Namun kepercayaan yang diberikan produksi dari Jerman - Perancis - British disahut oleh Anderson.

Mengambil abad ke-17 sebagai latar penceritaan, Three Musketeers versinya mengisahkan mengenai cita-cita anak muda bernama D’Artagnan untuk menjadi wira pedang. Ketika tiba di Paris, anak muda itu terserempak dengan tiga sahabat yang memegang kuat motto hidup satu untuk semua, semua untuk satu iaitu Athos, Porthos dan Aramis.

Ketiga-tiganya ialah bekas wira pedang yang semakin dilupakan selepas teman wanita Athos, Milady de Winter, belot apabila dia bekerjasama dengan seorang lelaki Inggeris pengecut, Duke of Buckingham, lakonan Orlando Bloom.

Milady sanggup mengorbankan cintanya kepada Athos semata-mata mahu memuaskan dirinya sendiri. Kebijaksanaan Milady melakonkan pelbagai helah memang cukup menjengkelkan. Watak Milady dibawa dengan cukup baik oleh Milla Jovovich kerana aktres ini berjaya menimbul perasaan geram di hati penonton.

Penulis sendiri hampir bertepuk tangan dan gembira apabila tiga wira bersama anggota terbaru mereka, D’Artagnan, berjaya menumpaskan dan memberkas Milady yang cuba melarikan diri bersama barang kemas yang dicuri daripada Istana Raja Perancis.

Rancangan mencuri barang kemas milik permaisuri Perancis itu diatur penasihat agama negara itu, Cardinal Richelieu (Christoph Waltz) bagi menimbulkan kebencian rajanya, King Louis, terhadap permaisuri Queen Anne yang kononnya menjalinkan hubungan sulit dengan Duke of Buckingham. Sebenarnya rancangan itu diatur Richelieu dan Milady bagi mencetuskan peperangan antara Perancis dan England.

Walaupun dikatakan sebagai sebuah filem aksi, namun tidak begitu banyak babak lasak mahupun pertarungan yang dipaparkan dalam filem 3D ini. Adegan aksi hanya lebih banyak dipaparkan pada beberapa babak akhir. Babak itu pula tampak hebat, apatah lagi apabila dipersembahkan dalam format tiga dimensi. Elemen arahan seni, kostum dan kesan khas filem ini juga harus dipuji.

Biarpun ada ulasan yang tidak begitu menggemari karya arahan Anderson, namun filem ini masih berbaloi untuk ditonton. Ketika plot penceritaan tidak begitu kuat, ia masih menarik untuk diikuti. Bagi mereka yang menggemari filem seperti Pirates Of The Carribean, pasti mereka tidak sukar untuk menerima filem ini.

Ada juga pihak berpandangan cerita ini tidak seharusnya difilemkan lagi kerana sudah begitu banyak adaptasi yang dikeluarkan sebelum ini. Namun, melihat kepada babak terakhir filem ini, ada kemungkinan susulan The Three Musketeers bakal menemui penonton. -Disediakan oleh Berita Harian