BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 22, 2011

Sinopsis KLIP 3GP - Kutipan KLIP 3GP memberangsangkan

SINOPSIS KLIP 3GP Eddie pada usia hanya sekitar 20-an sudah merasa kejayaan urusan perniagaannya di Internet. Dia seorang jejaka yang memiliki segalanya – tampan, menikmati kehidupan mewah dan juga teman wanita sekeliling pinggang. Tanpa diketahui sesiapa, Eddie sebenarnya meraih keuntungan daripada perniagaan yang membeli dan menjual klip-klip pornografi dan sensasi di Internet. Maya Akhtar pula adalah seorang jurnalis yang komited terhadap kerjayanya. Malangnya, dia telah jatuh mangsa kepada ugutan Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka. Lebih mengejutkan lagi, perbuatan Sunny ini disokong oleh isterinya sendiri Rita, kerana inilah cara mereka membuat duit, dengan memperdaya wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut mangsa kemudian. Suria, Mina dan Zakiah adalah tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu berubah menjadi suatu peristiwa yang menyeramkan apabila mendapati diri mereka diburu oleh satu makhluk yang mengerikan. Sandra adalah seorang gadis sekolah yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri. Lebih dari itu, Sandra satu hari telahdiperkosa beramai-ramai oleh satu geng motosikal yang dianggotai Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Acara perkosaan ini telah dirakamkan oleh geng ini melalui kamera telefon bimbit Jefri. Dalam filem 3GP, kehidupan watak-watak berbeza ini akhirnya bersulaman dan berkait melalui pembocoran klip-klip 3gp mereka kepada masyarakat Internet –dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik. Kutipan KLIP 3GP memberangsangkan sumber: hmetro.com.my SEJAK mula ditayangkan di pawagam pada 13 Oktober lalu, filem sensasi KLIP 3GP mencatat kutipan hampir RM1 juta untuk tempoh seminggu. Filem arahan Aidilfitri Mohd Yunus ini dijangka terus menerima sambutan peminat yang masih belum menyaksikannya. Jumlah ini dianggap agak baik dan memberangsangkan kerana menampilkan ramai muka baru serta karya pengarah baru melalui Skim Layar Baru yang diperkenalkan Primeworks Studios Sdn Bhd bagi mengetengahkan karyawan seni berbakat. Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, filem yang dikategorikan dalam bajet rendah ini mencatat kutipan boleh dibanggakan dan satu permulaan yang baik. “Skim khas ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pengkarya muda mempertaruhkan karya unik mereka. Walaupun wujud beberapa kontroversi membabitkan filem ini, namun perlu saya tekankan di sini bahawa kontroversi itu bukan di kalangan pihak produksi. “Kami tidak pernah mengharapkan kontroversi. Pada kami kontroversi yang tidak benar bukan satu cara untuk mempromosikan filem,” katanya. Tambahnya, filem ini bukan sekadar ingin menghiburkan, sebaliknya sarat dengan mesej dan pengajaran tersendiri. Menariknya, ia masalah sosial yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat. “Apa yang kami paparkan adalah realiti sebenar dan kejadian yang ada di sekeliling kita. Mahu atau tidak, itu adalah virus dan masalah yang melanda masyarakat kita sekarang. Justeru, kami cuba tampilkan konsep itu dalam penceritaan lebih realistik supaya penonton dapat memahami dan menerima mesej yang cuba disampaikan. “Saya bersyukur kerana semua pelakon memberikan lakonan terbaik serta mengikut garis panduan skrip yang kami inginkan. Melihat keseluruhan babak dan plot ceritanya, saya percaya ia sesuatu yang berlainan berbanding filem lain,” katanya. Katanya, mungkin ada segelintir pihak yang menganggap filem ini cuba mempertaruhkan babak seks keterlaluan. Ada pula mempersoalkan mengenai ‘tagline’ filem itu - Ganas, Gerun & Ghairah. Bagaimanapun kata Tengku Iesta, ‘tagline’ berkenaan sekadar gimik semata-mata. “Jika diikutkan, filem ini tidak menampilkan aksi di luar batasan kerana ia berdasarkan ekspresi lakonan dan mimik wajah saja. Filem ini juga melepasi kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) 100 peratus yakni tanpa ada potongan. “Malah berdasarkan pemerhatian kami, walaupun filem ini dikatakan mencetuskan kontroversi, ia mendapat maklum balas positif daripada penonton kerana temanya sangat relevan dengan kepincangan masyarakat masa kini. “Bagi yang belum menonton Klip 3GP, jangan lepaskan peluang menontonnya yang kini masuk minggu kedua tayangan,” katanya. KLIP 3GP mengisahkan kegiatan remaja dan anak muda yang menyalahgunakan kecanggihan rakaman video pada telefon bimbit. Ada yang menjadi mangsa rogol dan tidak ketinggalan kes peras ugut untuk mendapatkan wang. Selain itu, ada pihak yang menjual rakaman video entiti yang dianggap sebagai hantu dan makhluk halus. Filem ini menampilkan lakonan membanggakan daripada anggota One Nation Emcees, Sabhi Sadhi, Adeline Tsen, Fikhree Bakar, Faralyna Idris dan Zahiril Adzim.