BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 09, 2011

Semua Orang Ada Klon - Teori Adam dan Hawa

LEE PEN HOCK - KLON TUN ABDULLAH BADAWI

Kepala Batas - Apa perasaan anda apabila tiba-tiba disapa orang yang tidak dikenali: ''Assalamualaikum Pak Lah.''

Dan semasa di luar negara, secara kebetulan datang seseorang lalu mengucapkan: ''Selamat datang Perdana Menteri.

''Itulah yang berlaku terhadap seorang ahli perniagaan, Lee Peng Hock(gambar), 56, yang memiliki wajah mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Peng Hock yang berasal dari negeri ini berkata, dia kerap kali disangkakanPerdana Menteri apabila berada di tempat awam.

Katanya, semasa di Hong Kong dan Singapura pula ada yang bersalam dengannyasambil mengucapkan selamat datang kerana mereka menyangka dia adalah Perdana Menteri Malaysia.

''Pernah satu ketika saya membeli-belah di pasar, tiba-tiba orang memberi salam kepada saya, saya pun jawablah walaupun saya orang Cina,'' katanya sambil ketawa kepada pemberita di sini hari ini.

Peng Hock tiba dari Kuala Lumpur bersama anak saudaranya, Philip Yeap bagi menyampaikan hadiah daripada rakan lama Abdullah di Singapura sempena meraikan perkahwinan Perdana Menteri dengan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah yang lalu.

Philip yang merupakan kenalan kepada rakan lama Abdullah datang ke Kepala Batas bersama Peng Hock setelah mengetahui kenduri diadakan di sini bagi meraikan Perdana Menteri dan isterinya, untuk menyampaikan hadiah tersebut.

Peng Hock dan Philip mengambil kesempatan menyampaikan hadiah berkenaan semasa Abdullah dan Jeanne berada di Masjid Al-Jamiul Badawi.


FENOMENA pelanduk dua serupa atau individu memiliki wajah yang hampir sama sering menarik perhatian orang ramai.

Dalam kebudayaan Barat, mereka yang mempunyai wajah hampir seiras atau disebut ‘klon’ selalunya dikaitkan dengan personaliti hiburan, ahli politik atau kerabat diraja.

Bahkan ramai individu berwajah seiras dibayar untuk menjadi tetamu dalam majlis awam, menghadiri temu bual televisyen atau berlakon filem kerana wajah mereka seiras personaliti hiburan atau orang kenamaan.

KLON OBAMA - ILHAM ANAS (Jurufoto Indonesia)

Wajah mereka yang hampir seiras dengan individu terkenal ini boleh dilihat dalam banyak laman Internet termasuk gambar yang disediakan agensi fotografi profesional.

Mereka yang seiras wajah pelakon popular ini sering menjadi watak utama dalam filem-filem Barat sehingga kini.

Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pula didakwa mengupah beberapa klonnya sebagai taktik politik semasa pemerintahannya.

Menurut program televisyen CBS, 60 Minutes pada Januari 2008, Saddam Hussein menafikan kepada penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) yang dia mengupah kumpulan ‘klon’ tersebut.

Semenjak tahun 2011, seorang lelaki mirip wajah jurulatih England, Sven Goran-Eriksson bernama Derek William telah diupah oleh pasukan bola sepak negara itu untuk menggantikan Eriksson dalam jemputan rasmi dan perlawanan persahabatan.

Seperti di Malaysia, sesetengah masyarakat Barat percaya terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia ini.

Sebenarnya, kisah wajah klon ini turut melibatkan orang kenamaan di negara ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta penyanyi popular Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza.

Teori Adam dan Hawa

Beberapa tahun lalu, seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Lee Peng Hock, 60, mencuri tumpuan kerana wajahnya mirip Abdullah.

Menurut Peng Hock, beliau tiba-tiba menjadi popular sehinggakan ada saja orang memanggilnya Pak Lah ke mana saja beliau pergi.

KLON SEIRAS MAWI AF3

Pada Januari 2007, orang ramai digemparkan dengan kemunculan klon mirip juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi iaitu Saifulruddin Mohd. Idaham, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur.

Saifulruddin yang merupakan seorang tukang masak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pernah diserbu orang ramai yang menyangka dia ialah penyanyi bergelar Raja SMS itu.

Suatu ketika, Siti Nurhaliza juga tidak boleh lari daripada fenomena itu. Dia turut mempunyai kembar iaitu penyanyi seberang, Rossa dan pelakon Yuni Yunos.

Baru-baru ini, wajah aktor yang terkenal dengan watak puntianak, Nicolas Cage didapati hampir sama dengan seorang individu berasal dari Bristol, Tennessee, AS, pada tahun 1870-an yang mirip beliau.

Wajah pelakon Paul Newman juga dikatakan mirip wajah seorang individu pada tahun 1860-an termasuk pelakon Matthew McConaughey.

Realitinya, jika wajah anda mirip ikon popular mungkin anda boleh menumpang tuah populariti mereka. Namun, jika wajah anda mirip pengganas, penjenayah mahupun perogol bersiri, mungkin bala pula yang datang.

Pengarah Institut Perubatan Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal memberitahu, tidak mustahil setiap individu di dunia ini mempunyai wajah yang hampir serupa.

Katanya, walaupun kini bumi dihuni tujuh bilion manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum, mereka berasal daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa.

“Sebenarnya, semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa. Jika diteliti susur galur dan keturunan, wajah seiras sememangnya boleh berlaku.

“Namun, kita sukar mengenal pasti keturunan terdahulu kerana proses kejadian manusia berlaku jutaan tahun lalu,” katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, wajah klon kebanyakannya berlaku pada manusia yang mempunyai susur galur keturunan dan bangsa yang sama.

Nicolas Cage pernah dianggap sebagai vampire kerana sekeping foto lama yang ditemui memiliki wajah mirip beliau. Foto tersebut dijual pada harga 1 juta Dolar di EBay.

Beliau memberikan contoh wajah Nicolas Cage yang sama seperti gambar foto seorang lelaki dari tahun 1860-an.

“Mereka mungkin berasal daripada bangsa dan keturunan yang sama. Kebiasaannya wajah orang Inggeris hampir sama dengan individu berketurunan Inggeris juga.

“Mustahil individu berbangsa Melayu wajahnya seperti orang Inggeris kecuali ada sejarah perkahwinan campur atau migrasi,” katanya.

Ujarnya lagi, terdapat sifat dalam baka atau gen yang tidak diwarisi oleh anak seseorang tetapi mungkin akan diturunkan pada cucu-cicit kelak.

Ujian saintifik

Contohnya, kata beliau, seorang anak mungkin mempunyai lesung pipit tetapi bapa, nenek serta moyangnya tidak memiliki ciri fizikal sedemikian.

Namun, ciri tersebut dimiliki sama ada daripada keluarga pihak suami mahupun isteri yang mempunyai ciri berkenaan.

“Terdapat juga orang Melayu yang bermata biru sedangkan semua ahli keluarganya tiada. Mungkin dahulu keluarganya mempunyai mata berwarna biru. Tetapi ia jarang berlaku,” katanya.

Rahman turut menjelaskan, faktor perpisahan keluarga juga boleh menjelaskan isu ini seperti pasangan kembar seiras dipisahkan tetapi setelah berpuluh tahun, mereka berjumpa kembali.

Beliau turut memberikan pandangan mengenai pendapat yang mengatakan terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia.

“Pendapat ini mungkin benar kerana manusia berasal daripada Adam dan Hawa selain daripada susur galur keturunan.

“Tetapi setakat ini tiada kajian spesifik yang dilakukan oleh saintis berhubung perkara ini kerana tiada keperluan setakat ini,” katanya yang juga merupakan pengkaji di Institut Genom Malaysia (IGM).

Jelasnya, faktor kemajuan dalam sains dan teknologi turut dapat memberi kesimpulan pada perkara ini yang mana individu yang mempunyai wajah hampir sama boleh melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selain ukuran saiz mata, telinga, hidung dan mulut.

Ujarnya, setiap pemeriksaan tersebut dapat membuktikan perbezaan ukuran wajah.

“Teknologi kini juga boleh melakukan perkara itu seperti pertindihan imej wajah seseorang membuatkan ia hampir serupa.

“Selain rekaan imej, solekan dan dunia fotografi terbukti boleh merealisasi perkara itu namun saya berpendapat walaupun kembar seiras sendiri terdapat perbezaannya,” katanya.

SUMBER: KOSMO!