Raja Bhutan - Raja Naga - Kahwin Usia 31
Raja Jigme Khesar Namgyal Wangchuck sebelum ini menimbulkan isu apabila tidak mempunyai kemahuan untuk mencari isteri kini telah pun berkahwin. Perkahwinan tersebut dibuat secara ringkas. Raja Bhutan sebelum ini terkenal kerana sikapnya yang merendah diri dan menghormati orang ramai.
Raja Naga kahwini orang biasa - PASANGAN pengantin diraja Bhutan mendukung seorang kanak-kanak selepas majlis perkahwinan mereka.
PUNAKHA, Bhutan - Pemerintah Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyal Wangchuck berkahwin dengan pengantin perempuan daripada golongan rakyat biasa dalam istiadat purba mengikut agama Buddha yang diadakan di sebuah kuil bersejarah di Bhutan.
Memakai gelaran Raja Naga Kelima, Raja Jigme Wangchuck turun dari takhta emas di hadapan patung Buddha besar semalam, sebelum meletakkan mahkota di atas kepala pengantin perempuan, Jetsun Pema.
Kemudian, Raja Jigme, 31, kembali ke takhtanya. Sementara Pema duduk di sisinya sebagai permaisuri baharu Bhutan.
Pema yang baru berusia 21 tahun dan masih belajar merupakan anak perempuan seorang juruterbang komersial.
Upacara perkahwinan diraja itu disiarkan secara langsung di Bhutan, sebuah negara yang memiliki cuma 700,000 penduduk.
Beribu-ribu orang yang memakai pakaian tradisi negara di Banjaran Himalaya itu berkumpul di luar kuil berkenaan untuk memeriahkan lagi istiadat perkahwinan diraja tersebut. - AP
Raja Bhutan kahwin anak juruterbang - Tamat zaman bujang pada usia 31
PUNAKHA (Bhutan): Raja negara kecil Himalaya, Bhutan melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis rakyat biasa semalam dalam satu majlis mengikut tradisi agama Buddha di kuil paling suci di negara itu. Raja Jigme Khesar Namgyal Wangchuck, yang memakai mahkota hitam berkilat, turun dari takhta emas di hadapan patung Buddha untuk meletakkan mahkota kecil broked di atas kepala pengantin perempuan, Jetsun Prema. Gadis yang menjadi pilihan hatinya adalah anak kepada seorang juruterbang dan sudah pun menjalani sesi perkenalan dengan penjelajahan ke kampung pedalaman di negara itu sejak raja itu mengumumkan kepada Parlimen pada Mei, “Kini, tiba masa untuk saya berkahwin,”.
Keluarga dan rakan berkata perkahwinan itu berdasarkan cinta dan pasangan itu sudah tinggal bersama sejak lapan bulan lalu. Malah, keluarga gadis itu sudah lama dikenali di kalangan kerabat diraja.
Sami mengumumkan majlis itu sebaik Prema mengambil tempat duduk di sebelah suaminya sebagai permaisuri baru negara itu.
Perkahwinan itu menjadi tumpuan negara, yang sebelum ini mencetuskan isu apabila raja yang berusia 31 tahun tiada kemahuan untuk mencari pasangan dan memulakan keluarga sendiri sejak bapanya bersara dan menyerahkan kuasa kepadanya lima tahun lalu.
Majlis bermula jam 8.20 pagi, iaitu masa yang ditetapkan peramal diraja apabila raja itu memakai pakaian kuning berjalan ke perkarangan biara yang dibina sejak kurun ke-17 di ibu kota purba Punakha dan memanjat tangga ke dalam.
Beberapa minit kemudian, pengantin perempuan berusia 21 tahun tiba pada akhir perarakan manakala sami berjubah merah dan pemegang bendera berjalan di jambatan kayu menyeberangi sungai biru di sebelah kubu dan mengikuti suaminya ke dalam.
Di dalam, ketua sami negara, yang mengetuai perkahwinan itu melaksanakan majlis penyucian kepada pasangan berkenaan di depan hamparan besar Thongdal milik pengasas Bhutan kurun ke-17, Raja sami Zhabdrung.
Pasangan itu kemudian ke kuil untuk majlis yang disiarkan secara langsung dalam televisyen nasional, sehingga ketibaan raja, bapanya dan sami yang dikenali sebagai Je Khenpo memasuki makam Zhabdrug, barulah mereka dibenarkan membuat rakaman.
Tidak seperti perkahwinan diraja di negara lain seperti perkahwinan gilang gemilang Putera William dan Kate, tiada kerabat diraja asing, ketua negara atau selebriti dijemput. Hanya kerabat diraja Bhutan dan ribuan penduduk kampung berdekatan berkumpul di padang menanti pasangan diraja untuk meraikan mereka dan selebihnya 700,000 penduduk negara itu menonton di televisyen.
“Keseluruhan tema perkahwinan ini adalah satu upacara keluarga yang sangat ringkas, inilah keluarga Bhutan,” kata Setiausaha Maklumat Bhutan, Kinley Dorji.
Raja yang berpendidikan Oxford itu berminat untuk membangunkan negara dan melakukan perubahan dalam demokrasi dengan mewujudkan monarki berperlembagaan pada 2008.
Dengan imej muda, berambut hitam, beliau gemar berbasikal di jalan setiap petang dan mempunyai reputasi sebagai raja bujang yang digilai ramai gadis.
Kira-kira 60 pakar masakan dari 20 kampung di Bhutan menyiapkan juadah untuk tetamu.
Selepas majlis perkahwinan itu, pasangan diraja akan keluar ke jalan dari Punakha ke Thimphu dan disambut rakyat sepanjang jalan. – AP/ Agensi
|